Wednesday 30 April 2008

Melihat Melayu dari Jendela Jiran

Kata Sang Tokoh , kekuasaan Melayu sekarang terhakis. Betul, jika di lihat dari angka-angka wakil rakyat BN yang menguasai Parlimen. Rumusan ini diperkuat lagi dengan kejatuhan lima negeri yang kini diperintah oleh penentang BN yang mengambil nama Pakatan Rakyat.Di Wilayah juga angka BN merosot menjadi minoriti. Tetapi ingat, angka-angka boleh main silap mata, dan terdedah kepada tafsiran. Makna di sebalik angka-angka itu yang penting, dan dari sudut pandangan yang panik , kekuasaan Melayu sedang terlantar dalam krisis. Pendapat ini benar andaikata yang memperjuangkan kepentingan Melayu itu dibebankan kepada UMNO/BN.

Dari sudut jendela lain, apa yang terhasil adalah satu ekuiblirium atau keseimbangan baru dalam politik Melayu: 1) Dalam Parlimen UMNO tetap kekal menjadi tulang belakang barisan yang memerintah di bawah PM, dan TPM Melayu. 2) Barisan pembangkang pula ada dua parti politik majoriti Melayu/Islam, dan ketua pembangkang dalam Parlimen bukan Cina lagi , tetapi Melayu.3) Empat daripada lima negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dipimpin oleh Menteri Besar Melayu (sama seperti dahulu). Jadi kali ini kepentingan Melayu boleh disuarakan dengan lebih luas dan melalui platform yang lebih banyak. 4) Ingat juga, kalau sebelum PRU 12, hanya ada 117 ahli Parlimen Melayu, sekarang sudah bertambah menjadi 133 orang. Nah! bukan kah hebat Melayu bermain politik. TETAPI INGAT ! jangan lupa ini semua kekuasaan Allah ; jangan takbur, jangan mabuk dengan kekuasaan; dan jangan jadi kacang lupakan kulit, atau harapkan pagar, pagar perkosa padi.

Optimisme baru ini hanya akan bermakna andaikata pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa ini benar-benar beriltizam untuk memelihara dan memajukan kebudayaan, kesenian, bahasa ,ilmu pengetahuan, teknologi , Islam, ekonomi dan sumber daya Melayu dalam rangka kesejahteraan bersama rakyat kebangsaan . Kalau tidak sama sajalah; tak ada apa-apa pembaharuan.
Para penulis dan budayawan pula harus berwaspada; dan jangan terlalu murah menjengulkan tengkuk di bawah ketiak tokoh politik.

Melayu Rindu Melayu; Melayu Cari Melayu

Siapa Melayu tulen? Dato Onn? Tunku Abd Rahman? Tun Razak? Tun Hussin Onn? Tun Dr. Mahathir?Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi? Barangkali Tun Razak sahaja yang lebih berat timbangan darah Melayu Nusantaranya. Sebab itu dalam konteks politik modern Malaysia sia-sia sahaja bercakap tentang Melayu dari segi darah keturunan, terutama kalau masing-masing masih berbangga dengan keminangkabauan, kejawaan, kebugisan, kemendahilingan, keacehan, atau kebanjarannya. Baru-baru ini saya bertemu ustaz dan imam yang sekampung dengan saya, yang berketurunan Banjar. Kelakar dakwahnya menggeletek pinggang. Katanya : kawin satu itu wajar; kawin dua itu belajar; kawin tiga itu Banjar; kawin empat itu kurang ajar. Sambungnya lagi dari istilah Banjar itulah timbulnya nama Banjaran Gunung Titi Wangsa; berbanjar-banjar etc. Maaf saya sudah menyeleweng sedikit, tetapi tidak mungkin kurang ajar.

Kekuasaan Melayu, ketuanan Melayu atau kedudukan masyarakat Melayu vis-a-vis Cina , India, dan kaum lain lebih wajar dibicarakan dalam kerangka perundangan dan Perlembagaan Malaysia yang mengandungi beberapa peruntukan bagi Bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan raja-raja dan istana, adat istiadat Melayu, hak-hak keistemewaan Melayu dan lain-lain. Sebagai pemahaman permulaan bagi ramai orang biasa ada sebuah artikel yang cukup bagus di tulis oleh Prof. Aziz Bari , Pensyarah ilmu undang-undang dari UIA ( Sila rujuk blog: kumpulanprihatin. blogspot.com ). Pentafsiran dan pemahaman perundangan inilah yang sangat penting bagi kita membahaskan sekalian dasar dan pelaksanaan dasar kerajaan, dan perancangan strategik Melayu dan nasional pada masa depan. Jadi kita sangat memerlukan banyak keterangan dan huraian daripada pakar undang-undang untuk memberi pendapat yang bijak tentang kedudukan Melayu kerana perlembagaan negara ini bukan eksklusif untuk Melayu sahaja, tetapi adalah satu kerangka nasional yang inklusif untuk semua rakyat. Kabarnya akan ada perhimpunan besar di Johor pada 3 Mei ini tentang perpaduan Melayu. Semoga pertemuan fikiran berlangsung berdasarkan kebijakan yang bukan sekadar sentrik UMNO, tetapi juga Melayu dalam lingkungan PAS, PKR, Bumiputera Sabah Serawak, dan tentu sekali jutaan jiwa Melayu dlm NGO yang akan memainkan pengaruh besar pada masa depan

Tuesday 29 April 2008

Terhakiskah Kuasa Melayu ?

Malam 28 April saya berkesempatan hadir pada diskusi khas tentang soalan di atas. Tak ramai, dan yang hadir adalah antara nama-nama yang dikenal umum, ada aktivis agama dan sosial, ada profesor, ada CEO, ada pengarang, bekas MP, bekas Speaker, editor , dan pokoknya mereka yang prihatin terhadap masalah politik dan kemasyarakatan. Perbincangan tentu sekali tak dapat lari daripada PRU 12, dan keputusannya , terutama yang berkaitan dengan jumlah calon parti yang menang. Pelbagai pandangan dikemukakan, ada yang berasaskan angka-angka statistik, ada yang sekadar tanggapan pribadi atau persepsi masing-masing.
Persoalan Melayu ini banyak dimensinya dan boleh ditafsir daripada pelbagai sudut, dan tidak kurang pula dipengaruhi oleh agenda peribadi, pegangan politik, atau hubungan individu terhadap tokoh-tokoh pemimpin politik tertentu. Jadi ada yang yakin bahawa dengan kemorosotan UMNO/BN kuasa orang Melayu sekarang sudah terhakis; dan ada yang berfikir sebaliknya. Sebab musabab kemerosotan UMNO itu banyak dan pelbagai; dan rata-rata menyatakan telah berlaku banyak kelemahan daripada politik UMNO dan kesalahan kepemimpinannya di pelbagai peringkat.

Suatu hal yang cukup menarik ialah , apabila kedudukan UMNO dan BN merosot ( merosot teruk), ramai yang menjadi sangat prihatin, malahan cemas, terhadap masa depan Melayu. Apakah masa depan itu ditafsirkan sebagai kekuasaan politik dan ekonomi, ketuanan, kedaulatan, atau apa? Tidak semua jelas tentang kekhuatiran yang ada di dalam fikirannya. Atau kekhuatiran pribadinya sendiri kerana dia berkedudukan (jangan baca berkesedudukan) atas restu UMNO. Walau apapun kebimbangan yang dialami oleh peserta diskusi, ia menggambarkan kepercayaan besar masyarakat Melayu selama ini terhadap UMNO bagi menjamin nasib , dan masa depan orang Melayu. Ini adalah satu kredit atau pujian kepada UMNO kerana selama ini diberikan kepercayaan besar oleh massa Melayu, baik ahli atau bukan ahli. Apakah kepercayaan itu satu metos atau kenyataan ? Kenapa kalau PAS atau PKR kalah orang tak sibuk tentang kekuasaan Melayu, tetapi kalau UMNO banyak kalah ada yang panik dan berasa sangat prihatin? Renungkanlah bersama.

Isu yang perlu dihuraikan: 1 Apakah yang dimaksudkan dengan Melayu; 2 Betulkah kuasa Melayu terhakis? Kita bincang nanti...

Saturday 26 April 2008

MEMAKNAKAN KESEPIAN

( kenangan allahyarham Rustam yang dahulu pada dekad 60-an
sama-sama memperjuangkan bahasa kebangsaan
)


Kita selalu keseorangan

meskipun dalam kesibukan
sepi tak memberi erti
kehidupan bagai kepingan waktu
tak menentu.
Tidak seperti jarum jam
berkejaran tak berhenti
memburu waktu yang tak menanti.

Tiba berita yang tidak ditunggu
seorang teman tergesa-gesa pergi
dia tidak akan kembali lagi.

Jarum jam tetap tidak berhenti
menunggu yang mati.

Friday 25 April 2008

DUSUN PERMAI 2 (Sambungan)

Hari yang semakin beringsut ke ambang senja menggesanya untuk beredar dari tepi tebing sungai. Burung-burung sudah banyak yang berterbangan menghampiri pohon-pohon yang semakin samar-samar dengan warna senjanya. Waktu bagi burung untuk beristirihat dan tidur
lebih awal daripada manusia semakin sampai, dan waktu itu bukan masanya lagi bagi dirinya berada di situ. Dia pulang dengan perasaan yang lebih aman dalam suara azan yang sayup-sayup sampai ke telinganya. Hanya Dia berasa agak aneh, bunyi burung yang riuh sebentar tadi tiba-tiba menipis lalu tenggelam pada saat suara azan itu kedengaran. Kenapa?

Sebelum Dia menghantar dirinya ke katil untuk tidur seperti biasa , Dia dibebani dengan keinginan untuk mengucapkan entah apa yang dirasakannya. Ada kata-kata yang tak teratur
berselerak dalam fikirannya. Akan sia-sia sahaja kalau Dia mengajar matanya untuk lelap tanpa menurunkan sekalian kata-kata yang berterbangan dalam cakerawala fikirannya. Lalu akhirnya Dia menulis begini:

Seperti Sungai Mengalir

Jadilah seperti sungai yang mengalir,
Perlahan-lahan sewaktu malam,
Jangan gentar pada gelap hitam,
Kalau ada bintang di langit, ia menjadi teman,
Ingatlah awan, seperti sungai adalah air,
Tak berhenti mengalir.


Dengan lukisan pengalaman itu Dia mebebaskan kerusuhan perasaannya dan bersedia untuk tidur dengan harapan Dia akan bermimpikan sebuah sungai mengalir jauh di depan jendela seperti yang pernah menggoda perasaannya sewaktu menyaksikan dari jendela hotel, Sungai Musi di Banyu Wangi, Palembang, dan sebatang sungai di Frankfurt pada suatu musim gugur beberapa tahun yang lalu.
( Bersambung...... )

Monday 21 April 2008

IBU BAPA MELAYU SILA FAHAMI KEBENARAN

Dalam tulisan terakhir ( Sabtu 19 April) saya memberi reaksi terhadap laporan media yang menyiarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, dan Naib-Presiden PKPPIM berkaitan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang saya anggap sebagai benih-benih pemusnahan masa depan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun Melayu.

Hari ini saya bertuah menerima hasil sebuah penyelidikan ilmiah tentang kesan pembelajaran dua subjek itu yang dilakukan oleh kumpulan pensyarah di bawah pimpinan Prof Emeritus Dato' Dr Ishak Harun. Setahu saya ini adalah penyelidikan ilmiah yang kedua selepas yang pertama yang dilakukan di bawah pimpinan Dr Juriah Long dari UKM.

Penyelidikan terakhir ini dibuat terhadap murid Tahun 5 di sekolah rendah dalam tiga kohort, iaitu FEB. 2007 dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 dari 13 buah sekolah rendah; dan Januari 2008 dari 28 buah sekolah . Murid-murid ini telah mengalami pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selama empat tahun , iaitu sejak arahan dilaksanakan . Dapatan dari ketiga-tiga sampel konsisten. Selanjutnya saya petik sebahagian daripada abstrak penyelidikan:

" Purata lebih 75% murid menyatakan mereka "tidak faham/kurang faham" pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris(terutama Sains) dan mereka "sukar/agak sukar"mempelajarinya. Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah , terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam bahasa Inggeris dan "menyelesaikan masalah". ... ....

Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. Corak dapatan tentang masalah dan pencapaian Matematik dan Sains ini sama seperti kajian lalu , terutama kajian Juriah Long (2005) sampel pelajar Tingkatan 2 sekolah menengah di seluruh negara . Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai . Bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar , dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar. Dengan itu disyorkan kerajaan mengkaji semula dasar ini dan mengguna semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains sekolah rendah dan menengah....."

Saturday 19 April 2008

KEKELIRUAN FIKIRAN tentang PEMBELAJARAN SAINS/MATEMATIK dalam BAHASA INGGERIS

New Straits Times( Sabtu 19 April 08) membawa laporan:
1 Penilaian akan dilakukan sama ada penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dlm sains dan matematik akan dikekalkan (TPM, Najib Razak);
2 Ketetapan akan dibuat berdasarkan keputusan UPSR tahun ini; ketetapan harus sejajar dengan dasar pelajaran kebangsaan; dan ketetapan misti berdasarkan fakta dan realiti, bukan prasangka atau emosi. ( Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein).
3. PKPIM mahu bahasa penghantar sains dan matematik dikembalikan ke Bahasa Malaysia ( Naib Presiden, Persatuan Kesatuan Pelajar Islam Malaysia, Khairul Anwar Shazali)


Kecelaruan fikiran telah timbul dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm. Bahasa Inggeris (PPSMI) di kalangan masyarakat malahan guru.

Isu ini bermula apabila bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) mengumumkan penggunaan BI mulai tahun 2003. Pengumuman ini dibuat pada tahun 2002 sebelum dia berhenti. Jadi segala persiapan yang memakan belanja puluhan juta ringgit dikerah secara tergesa-gesa sebelum dia meninggalkan kerajaan.

Tujuannya untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar- pelajar. Ini adalah cara berfikir yang tidak rasional, dan salah. Untuk mengatasi kelemahan menggunakan BI atau untuk meningkatkan profisensi bahasa(membaca, menulis dan bertutur) bukanlah melalui sains dan matematik. Ia harus diajar melalui subjek BI itu sendiri dengan kurikulum yang sesuai, guru yang terlatih dan mahir mengajar dalam BI, bahan bacaan mencukupi dan teknologi yang bermutu, atau melalui tambahan mata pelajaran sastera Inggeris. Dalam kata lain: lain luka, lain yang diubati; kaki yang luka , kepala yang dibebat.

Selain itu kenapa dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa menyediakan cukup tenaga pengajar yang mahir terutama untuk anak-anak di luar bandar yang serba serbi ketinggalan sehingga komputer yang dibekalkan terbiar, rosak, tak berjaga dan sia-sia. Siapa yang dapat kontrak
bernilai jutaan ringgit membekalkannya?

Pengumuman dan keputusan bekas PM ini telah ditentang oleh para penulis , ilmuwan dan cendekiawan Melayu. PERSOALAN YANG PALING PENTING ialah bukannya semata-mata berlakunya kemorosotan penguasaan ilmu sains dan matematik itu di kalangan pelajar, tetapi ialah BAHASA MELAYU ITU AKHIRNYA AKAN MUSNAH SEBAGAI BAHASA ILMU.

Ramai yang keliru kerana menyangka bahawa arahan baru ini konon melibatkan hanya dua subjek sahaja ( sains dan matematik). Ini tidak benar kerana apabila tiba di sekolah menengah dan universiti semua subjek yang berasaskan sains dan matematik ( MATEMATIK, MATEMATIK TAMBAHAN, STATISTIK, BIOLOGI, FIZIK, KIMIA, KEJURETERAAN AWAM, KEJURETERAAN ELEKTRIK, TEKNOLOGI, GEOLOGI, ZOOLOGI, ANATOMI, PERDAGANGAN , EKONOMI etc,etc) akan menggunakan BI.Dianggarkan apabila tiba di sekolah menengah hanya kira-kira 30 peratus sahaja menggunakan BM, dan di universiti hanya tinggal 15-20 peratus , itupun dalam bidang agama, dan sastera.

Jadi apabila BM tidak digunakan untuk mengajar ilmu dalam bidang-bidang sains , maka ia tidak akan berkembang sebagai bahasa modern dan bahasa ilmu seperti misalnya bahasa Latin itu akhirnya mati. Di Indonesia ada 70 juta penutur bahasa Jawa, dan puluhan juta bertutur dalam bahasa Sunda, dan jutaan lain dalam bahasa Minang, Bugis, Manura, tetapi bahasa-bahasa ini tinggal di daerah-daerah, dan tidak menjadi bahasa ilmu modern kerana Bahasa Indonesia yang digunakan di sekolah dan universiti. Persoalan inilah yang paling penting , yakni masa depan BM sebagai wadah ilmu serta tamadun Melayu, jati diri dan wahana dakwah Islamiah.

Kumpulan budaya dan pendidik Cina juga menentang penggunaan BI dengan memberi hujjah bahawa UNESCO berpendapat bahawa ilmu haruslah diajar melalui bahasa ibunda terutama pada peringkat sekolah rendah. Mereka menyokong kuat aktivis BM, dan mereka terus menggunakan bahasa Mandarin bagi mendidik anak-anaknya. Selain itu bangsa-bangsa yang maju di dunia ( Jerman, Perancis, Jepun, Korea, Belanda etc) menggunakan bahasa ibundanya terlebih dahulu dan baru di sekolah menengah mengajar BI. Ada kekeliruan yang besar dalam fikiran pemimpin kita dalam soal bahasa dan hubungannya dengan ilmu.

Kita tidak menentang usaha menguasai bahasa-bahasa Arab, Perancis, Jerman, Mandarin, Jepun, Sepanyol, Inggeris dll; lebih banyak bahasa dikuasai oleh rakyat, terutama Arab, adalah lebih baik. Yang tidak dipersetujui ialah BI mengambil alih BM sebagai bahasa pengantar.

Berbalik kepada kenyataan Menteri Pelajaran, pendirian pencinta bahasa menolak sama sekali penyingkiran BM dalam sains dan matematik adalah satu keputusan yang rasional dan berasaskan realiti, dan bukan berlandaskan emosi liar dan prasangka. Aspek emosi yang ada ialah kecintaan, rasa maruah diri Melayu dan perasaan kebangsaan, terutama BM itu adalah asas bagi dasar pelajaran kebangsaan yang telah mantap diperjuangkan oleh UMNO di bawah pimpinan Tun Razak, dan Tun Hussein Onn ( bukan UMNO Baru pimpinan Mahathir) sejak 1970 lagi.

Untuk mengulangi hujah: BM itu misti dipulihkan untuk menjadi bahasa ilmu yang modern.

Friday 18 April 2008

WAKTU MENJADI HAKIM

Kebetulan tadi malam saya menonton berita TV Bernama yang menyelitkan siaran langsung dari Marriot--acara makan malam Majlis Peguam yang diiringi tiga ucapan; memuat bahasa yang cantik, kiasan, metafora, makna yang mendalam, dan komitmen Perdana Menteri terhadap masa depan pentadbiran keadilan yang telus, bebas dan saksama. Sekali gus ucapan-ucapan itu menyesali kepimpinan eksekutif dan pemerintahan 20 tahun lalu yang ditafsirkan sebagai melakukan tekanan dan pengaruh terhadap sistem kehakiman sehingga tersingkirnya
para hakim yang arif daripada kerusi-kerusi yang sepatutnya menentukan benar atau salah bagi sebarang pertikaian yang dibicarakan. Maknanya selama 20 tahun bangsa kita menjalani kehidupan bernegara yang dicurigai ketelusan dan keadilan hukuman yang diputuskan di kamar-kamar pengadilan . Kalau kamar-kamar yang mulia itu dicurigai apatah lagi ruang-ruang pentadbiran atau birokrasi yang menguruskan kehidupan hidup sehari-hari yang hanya mampu menjadi bersih sekiranya berlandaskan akhlak dan hati nurani moral , yakni undang-undang yang tidak bertulis.

Yang baik dan menariknya pada malam 17 April 2008 di Marriot itu ialah apabila para hakim yang dihakimi bersalah 20 tahun lalu, persisnya pada 1988, secara terus terang dianggap telah diiniaya oleh pucuk pimpinan pemerintahan negara , maka pada hari ini yang menjadi mangsa dihadiahi dengan pengakuan kesal PM baru dan pampasan sebagai tanda kesalahan tindakan pimpinan negara, dan penawar bagi sekalian kesulitan moral, maruah, perasaan dan
kehidupan mereka. Dalam sekelip mata mereka memperolehi kemenangan moral setelah teraniaya sepanjang 20 tahun.

Waktu rupanya mengandungi hikmat dan penawar. Mereka yang dihukum dibebaskan oleh waktu dengan kemuliaan; dan mereka yang menghukum dilibas oleh waktu dengan kehinaan. Trial, Tribulation dan Triumph adalah triple twins; kembar tiga yang menjadi saudara nasib kehidupan manusia. Sering kita semua lupa kepadanya walaupun tidak terlepas daripada bersaudara nasib dengannya.

Sebuah pepatah Inggeris abad ke -18 berkata: Berlaku adillah sebelum bermurah hati; kata Sophocles ( penulis drama tragedi Yunani ): ada tahap teretentu kalau melampauinya keadilan pun menjadi tidak adil; dan kata orang yang beriman : adil itu adalah istilah yang sumber akarnya iman. Tentulah mereka yang berilmu dan pakar tentang undang-undang lebih mengetahui.

Aduh! gema dan gaung PRU 12 menjungkir balikkan banyak kisah untuk kita merenung ke luar sana, dan berfikir ke dalam diri. Apakah lagi yang sedang menunggu esok? Inilah nikmat yang ada pada manusia yang tak dapat dinikmati oleh haiwan: merenung dan berfikir.

Monday 14 April 2008

MELAYU MENCARI JAWAPAN MASA DEPAN

Seperti pengalaman peribadi , nasib malang dan untung yang dialami oleh orang Melayu boleh datang sederap atau kemalangan boleh datang silih berganti dengan keuntungan; kemalangan mungkin ada rahmatnya, dan keuntungan belum tentu menjanjikan kebaikan. Yang selalu dinasihati oleh mereka yang beriman ialah bersyukur apabila untung dan bersabar apabila malang-- jangan terlalu ghairah, jangan terlalu kecewa, jangan mencari kambing hitam kalau gagal , dan jangan lupa sumbangan orang lain kalau berjaya. Mencari kematangan berfikir dan bersikap seperti itulah yang sangat susah.

Lihat apa yang berlaku sekarang, masyarakat kita sedang saling tuduh menuduh, dan saling jatuh menjatuhkan. Apakah ini akibat daripada kealpaan atau cara melihat masalah yang salah. Kita menjadi sangat gelabah tentang nasib orang Melayu pada masa depan sehingga kita lupa bahawa yang merosakkan peluang-peluang untuk masa depan itu adalah pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang pada waktu berkuasanya hanya melihat masalah Melayu di sekeliling pinggang sahaja. Masalah Melayu itu adalah masalah nasional, dan yang pentingnya bukan individu Melayu itu, tetapi ialah bahasa,pendidikan, ekonomi dan tamadunnya, dan tak terpisah, justeru bahagiannya yang paling penting ialah pegangan Islamnya.

Tamadun Melayu yang bersendikan Islam inilah yang penting sebagai asas nasional yang harus diperjuangkan, tak kira UMNO, PAS, atau PKR. Kalau orang Melayu di sini bukan beragama Islam sudah banyak kezaliman dilakukan terhadap orang Cina , India dan bumiputera yang bukan Islam. Agama Islam melarang melakukan kezaliman, ketidakadilan, penipuan dan rasuah terhadap sesiapa saja. Itulah sebabnya kita melihat jiran-jiran Cina dan India hidup aman tenteram dalam kampung-kampung Melayu walaupun ada hanya sebuah dua rumah sahaja dalam lingkungan ratusan rumah Melayu di sekitarnya.

Jadi kita harus jelas berfikir , dan jangan sampai membuat keputusan bahawa kemerosotan kekuasaan BN di beberapa negeri bermakna masa depan orang Melayu dalam bahaya. Malahan dari satu segi adanya Menteri-menteri Besar Melayu daripada Barisan Alternatif bererti ada pembela-pembela tamadun Melayu dan Islam yang terdiri daripada kedua-dua belah pihak politik. Tidak kah dari satu segi lain ini merupakan satu kekuatan atau ekuilibrium baru bagi umat Melayu kerana kalau tidak berpuas hati pada UMNO kita ada PAS atau PKR; dan dalam Parlimen UMNO ada sebagai tulang belakang kerajaan, dan dalam pembangkang ada PAS dan PKR tempat mengadu hal. Pulau Pinang itu kalau pun BN menang Ketua Menterinya tetap bukan Melayu atau Islam. Jadi dari segi keturunan, pemegang tampuk kekuasaan di negeri-negeri, baik sebelum dan sesudah PRU 12, masih sama . Cuma Tokoh Melayu UMNO itu diganti dengan tokoh Melayu PAS (Kedah dan Perak) dan tokoh Melayu PKR (Selangor). Walau bagaimana pun baik menteri Melayu UMNO, PAS , PKR, ataupun Gerakan kalau hanya bercakap tentang nasib orang Melayu, tetapi bukan tamadun Melayu dan Islam sebagai asas identiti dan kekuatan nasional, sama sajalah masalahnya, terbabas daripada persoalan hakiki sebenarnya.

Jadi masyarakat Melayu yang sedang berasa cemas dan gawat sekarang ini marilah teliti persoalan ini sehalus-halusnya supaya jawapan kita berlandaskan pengalaman sejarah bagi kebijaksanaan nasional masa depan. Janganlah mudah sangat membuat rapat raksaksa hanya untuk berforum, tetapi tak ada program tindakan yang jelas. Nanti orang boleh menuduh macam-macam seperti kita aktivis Melayu ini mudah panik berfikir. Orang Melayu itu esok lusa akan mati, Perdana Menteri pun tak boleh menangguhkan barang setengan saat pun nyawanya apabila tangan Tuhan sudah sampai ke halkumnya. Islam dan tamadun Melayu itu misti terus dinamik untuk menjadi landasan filsafat nasional dan pegangan bagi sesiapa saja Perdana Menteri , kini atau esok.

Ramai di antara pemimpin yang sepatutnya menjadi khalifah dan memikul tanggungjawab yang sangat berat sebagai pemimpin Melayu-Islam telah tersilap langkah kerana dinina bobokkan oleh pengikut-pengikutnya yang lebih banyak memuji daripada mengingatkannya. Kita semua melakukan kesilapan, masa depan pun begitu juga, tetapi janganlah kali ini kita mengulangi lagi kesilapan itu dengan berfikiran salah tentang permasalahan Melayu ini.

Sunday 13 April 2008

PENILAIAN SEMULA SEJARAH

Pasca PRU 12 berletusan dengan kritikan-kritikan mantan PM, dan serentak dengan itu kedengaran tembakan-tembakan kritikan balas daripada pelbagai pihak (ahli politik UMNO& bukan UMNO, peguam dll) terhadap Mahathir bekas Presiden UMNO. Ingat apabila orang menyebut UMNO dan kritikan terhadapnya sebenarnya UMNO di bawah pimpinan Mahathir, yakni UMNO Baru . Kekuasaan autoritarian yang dianggap tidak telus, tidak adil, berbau
korupsi dan memanipulasi sistem kehakiman, mengekang kebebasan bersuara melalui pengaruh kekuasaan , semuanya bertopengkan demokerasi dan collective resposibility dianggap berlaku dalam periode 20 tahun yang lalu. Betulkah ? Kebebasan media hari ini , dan penguasaan parti-parti bukan BN di beberapa negeri, yang bermakna sudah mulai berlaku perimbangan
kekuasaan demokerasi , sedikit demi sedikit menerbitkan bahan-bahan bukti yang akan menulis kembali sejarah tentang kepalsuan dan kebenaran dalam sejarah nasional. Dalam tafsiran yang lebih jauh sejarah baru ini akan menceritakan drama tentang sifat-sifat dasar manusia-- kemuliaan, kejujuran, keagamaan, akhlak dan kepercayaan yang selalu diduga oleh syaitan untuk manusia bersifat rendah, rakus, penuh muslihat, memfitnah , tamak haloba dan mabuk kuasa. Sejarah bangsa kita adalah sebahagian daripada sejarah manusia...

Thursday 3 April 2008

DI DUSUN PERMAI 1

Tidaklah jauh , hanya kira-kira 20 ela dari belakang rumahnya, mengalir anak sungai yang mencuram ke kuala, khabarnya menembusi bandaraya , ke pusat dan jantung K.L. Airnya
tak pernah berhenti, tak penat-penat mengalir ke suatu arah, ke kuala. Arah aliran air yang sehala ini menandakan rumahnya berada di hulu sungai, di kampung yang jauh dari laut Selat Melaka.

Dia duduk keseorangan di atas tunggul durian memerhatikan air yang cetek setakat buku lali itu berenang-renang di atas batu-batu bulat , ada yang kecil sebesar penumbuk dan ada yang besar sebesar pemeluk. Ketul-ketul dan biji-biji batu itu licin tak melukakan kerana entah berapa ribu atau ratus tahun digeser arus atau bergolekan sendiri tatkala air deras hujan lebat menolaknya dari tempat ke tempat menurun sungai.

Dia tak bergerak merenung ke perut sungai, seolah-olah terpukau oleh air jernih dan batu-batu
yang tersusun aman dimandikan oleh air yang mengalir. Seperti arus air itu usia dan waktunya tak akan berpatah balik; mengalir jauh ke kuala detik demi detik. Seperti batu itu kehidupannya akan terhakis membawa bersamanya tenaga dan keghairahan hidup yang semakin layu.
Dahulu, sepuluh atau dua puluh tahun dahulu, Dia tidak pernah memikirkan itu semua. Air yang mengalir , batu-batu yang pelbagai bentuk dan berlumut, daun-daun yang berguguran ditiup angin dingin, dan bunyi kelicap atau murai, tak pernah menyentuh perasaan yang lembut dan menggerak fikirannya untuk merenung jauh ke dalam dirinya.



2

Seekor biawak tiba-tiba menerjah ke luar dari rimbun semak yang hanya beberapa tapak sahaja dari tunggul durian lapuk yang mengalas punggungnya. Dia terperanjat dan bingkas berdiri. Dia menyangka ular sawa atau ular tedung yang berbisa. Dalam ketakutan Dia berasa jengkel. Dia berasa persekitaran rumahnya berbahaya, terancam dan tidak selamat. Biawak itu menerpa ke sungai , lari menjauhkan dirinya. Barangkali biawak itu juga berasa tempatnya yang selesa selama ini sudah terganggu dan tidak selamat lagi. Siapa yang mengganggu siapa? Dia segera menjadi tenang dan siuman . Kali ini memikirkan tentang ular dan biawak , sambil sesekali merenung ke lalang dan rumput yang tumbuh setinggi pinggang di sekelilingnya.

" Tepi sungai, belukar dan semak samun ini memang sudah beratus tahun hadir di sini. Ini adalah alam , angin, tanah, air, lumut, pohon dan daun yang merumahkan haiwan . Tempat bermastautin , dan tanah permainannya. Tempat haiwan atau serangga bersarang, bertelur, membesar dan bercanda . Dalam hatinya Dia berkata," Aku yang mencuri masuk dan mengakui bahawa tanah, tebing, sungai dan arus air ini adalah hak manusia, hak milik aku. Tertulis secara rasmi di atas kertas yang juga ciptaan manusia." (BERSAMBUNG.... )