Saturday 31 May 2008

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT dan KARYAWAN

Saya menenerima kad undangan dari YAB Menteri Besar Selangor untuk Malam Karyawan II pada 7 Jun nanti. Antara aturcaranya ialah sejumlah ucapan daripada: Menteri Besar; wakil karyawan ( Sdr Eddin Khoo, Dato' Dr Siddiq Fadhil, SN Prof. Dr Muhammad Hj.Salleh); dan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ini semua nama-nama besar dalam politik dan kebudayaan negara.

Majlis seni budaya yang seperti ini memang biasa , tetapi sangat menarik kerana ia dianjurkan oleh kerajaan negeri yang baru, daripada parti politik yang baru memerintah Selangor. Cukup menarik juga, dalam kesibukan menyusun dasar pentadbiran negeri, menguruskan hal ehwal ekonomi , kewangan dan sosial, pemimpinnya masih punya ruang waktu untuk kegiatan kreatif dan intelektual. Tetapi kalau menelusuri masa lalu Tan Sri Khalid dan Dato Seri Anwar hal ini tidaklah aneh. Selain itu seni-budaya adalah sebahagian daripada kehidupan yang harus diuruskan oleh politik; dan politik bukan sekadar kekuasaan untuk memerintah. Walaupun ada yang berpendapat bahawa kepentingan politik itu kekuasaan; dan kepentingan kesenian itu kebenaran; tetapi untuk kekuasaan boleh bertahan lama ia harus ditunjangi oleh kebenaran. Bagaimana pun yang paling manusiawi ialah orang politik dan karyawan harus saling menunjangi untuk mencipta kehidupan yang indah dan sejahtera. Barangkali itulah maknanya majlis 7 Jun yang menemukan tokoh politik dengan karyawan.

Thursday 29 May 2008

DARI BATU PUTIH KE PEDRA BRANCA : Ada Pertanyaan Tanpa Jawapan

Ini peristiwa yang sedang dalam proses sejarah kerana pertikaian yang berkaitan dengan tuntutan Pulau Batu Putih belum seluruhnya selesai walaupun pulau itu telah menjadi Pedra Branca . Kenapa kita harus terus mengambil tahu? Isu ini menyangkut sejarah dan kedaulatan
bangsa kita. Kita patut dibijakkan oleh sejarah supaya kita tidak terus diperbudakkan. Sejarah bukan sekadar kisah lalu, tetapi apa yang berlaku dalam fikiran manusia yang bertanggungjawab pada masa lalu, dan sikapnya terhadap darjat bangsanya. Peristiwa sejarah akan memberi kesan terhadap nasib anak cucu yang akan memerintah masa depan.
Perftanyaan: (1) Bagaimanakah kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri Johor ( Dato Seth ?) boleh begitu saja menyerahkan pulau itu kpd Inggeris . Siapa telah memberi izin kepadanya untuk memutuskan demikian? (2) Kenapa Tun Mahathir tidak memberi komen apa-apa keputusan ICJ ini sedangkan keputusan menyerahkan kes ini dibuat sewaktu beliau menjadi PM ? Apa rationale kerajaan BN dan kebijakan beliau untuk berbuat demikian? Apakah kerajaan tidak mendapat nasihat yang tepat daripada Peguam Negara, dan Wisma Putra? Semua ini harus difahamkan kpd rakyat supaya kita insaf akan kelemahan kepemimpinan dan agensi awam kita.
Imuwan sejarah harus menyelidik pelbagai aspek kes ini untuk kebijaksanaan bangsa bagi menghadapi kelicikan perebutan kuasa dan tanah seperti yang dilakukan oleh Yahudi-Zionis.

Sunday 25 May 2008

Pulau Putih Mata, "ADIOS TANAH AIRKU"

Pada tahun 1965 Pulau Singapura hanyut ke tangan bangsa asing yang diserah tanpa referendum atau izin rakyat. Pada 2008 Pulau Batu Putih dan perairannya hanyut lagi kepada orang lain melalui mahkamah yang bukan bertapak di bumi dan tanah air kita. Apakah ini kemenangan maknanya? Apa hendak jadi kepada orang Melayu sekarang? Dulu selama lebih 400 tahun kita tertindas & terhina di bawah Portugis, Belanda dan Inggeris, dan pada abad 20, kemudian abad 21 kita terhina lagi-- demi hendak menunjukkan kita orang Melayu ini bertimbang rasa kepada manusia pelbagai bangsa dan kaum. Yang nyata juga ialah kerana kita lemah semangat dan tidak memiliki kekuatan alat untuk melawan. Nah! kita pikullah beban kehinaan yang berrentetan abad demi abad.

Ada satu dua pertanyaan: 1. Adakah Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Muzium Negara atau sesiapa menyimpan dokumen2 sejarah ( spt surat izin daripada Setiausaha Kerajaan Johor kepada Singapura) untuk dipamerkan bagi tatapan dan keinsafan masyarakat ?

2. Apa rationale kerajaan merujuk kes tuntutan bertindih ini ke ICJ ? Apakah kita menjadi overconfident selepas kes Sipadan?

3. Apakah penyelesaian ini akan menimbulkan satu pertikaian baru atau peperangan dengan Singapura kalau soal sempadan, perairan, dan sebuah lagi batu di selatan itu tidak dapat diselesaikan dan dituntut keras oleh Singapura?

Saturday 24 May 2008

ADIEUS PEDRA BRANCA ( Belasungkawa 23 Mei, 2008)

Pada mulanya Singapura
kemudian Pedra Branca
selamat pergi Singapura
selamat jalan Pedra Branca.

Apalah ertinya Pulau Batu Putih
nun jauh ke bawah
luas sekangkang kera,
di sisi Singapura
di depan mata
luas dan kaya raya.

Semuanya telah menjadi sejarah
seperti sejarah bangsa kita
sebuah pulau yang terra nullius
siapa saja bebas mengapa-apakannya
untuk diinjak atau dinista.

Adieus Singapura
Adieus Pedra Branca
Adieus Lingua Franca .

Semuanya sejarah berputih mata
pulau, tanah, air dan bahasa dijual beli
dicagar dan tergadai
seperti kita mempercaturkan lidah dan hati nurani
seperti kita melacurkan roh dan harga diri.

Adieus ! bangsaku,
apa lagi yang ada padamu?
Melayu?


Monday 19 May 2008

MAHATHIR PATUT MEMINTA MAAF KEPADA BANGSA MELAYU

Sekitar jam 1.20 seseorang mengirim SMS memberitahu Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO. Saya kira dia telah mendapat apa yang dia kehendaki , cuma dia tak dapat terus apa yang dia hendak selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden dan PM. Demikianlah hebatnya kesetiaan Mahathir terhadap UMNO; tidak seperti allahyarham Tun Ghafar Baba , ahli UMNO tulen, yang meskipun disaingi keluar daripada jawatan tertingginya dalam parti, dia masih redza. Seperti kata Mat Salleh: no one is indispensable . Kita yang di luar parti janganlah masuk campur urusan perebutan kuasa dlm UMNO kalau tak melukai hati nurani, sandang pangan, budaya dan agama kita. Cuma dalam hal Mahathir ini, dia patut meminta maaf kepada bangsa Melayu kerana telah merusakkan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan sewaktu dia menjadi PM dahulu. Masalah ini masih menjadi masalah yang terus dipergunjingkan; dan melibatkan jutaan pelajar Melayu, dan memudaratkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan.
Dia telah melakukan kerosakan terhadap tamadun Melayu. Ini bukan kesalahan kecil. Bolehkan tamadun Melayu memaafkannya? Kalau kesalahan terhadap individu barangkali boleh, tetapi terhadap peradaban atau tamadun bagaimana? Dalam jangka 30 tahun dari sekarang B. Melayu itu dijangka akan menjadi bahasa dunia yang keempat di dunia selepas Mandarin dan Sepanyol meletakkan bahasa Inggeris pada tempat ketiga.
Perbuatan meminggirkan BM ini satu dosa tamadun yang sukar dilupakan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab besar bagi PM sekarang, YAB Datuk Abdullah Ahmad Badawi memperbetulkan balik kesalahan Mahathir kerana dia yang mengambil alih Presiden parti dan PM. Kalau tidak UMNO dan sejumlah tokohnya akan terseret sekali ke dalam sejarah yang sekarang sedang dikumpul dokumen serta sumber-sumber penulisannya.

Saturday 17 May 2008

SELAMAT PAGI CIK GU (Untuk Cik Gu Suffian Sahuri dan sekalian para guru)

aku dengar engkau terlantar
sudah lama tak berdaya di kamar
usia dan hari tak berhenti di pintu
engkau semakin tak berdaya
aku pun semakin tua.

aku masih ingat dan sesekali terkenang
engkau membacakan Shakespeare dan Tun Seri Lanang
suaramu jelas mengajar kami bagaimana menyelami
imaginasi silam yang tersirat dalam kata-kata,
katamu, " Bacalah bagaimana menjadi bijaksana."

"Selamat pagi Cik Gu", kami berdiri beramai-ramai
air mukamu tenang setenang telaga di tepi sekolah
tak adalah lain yang kami cintai bersama ibu dan ayah
engkau sebuah syurga berisi ilmu yang indah-indah
mengajar supaya berhati-hati bila menggunakan lidah
berjimat dengan kata, dan berhemat dengan fikiran
pandai memilih, dan menimbang dengan kebijakan.

Cik Gu! aku tak bisa melupakan
pesanmu sebelum engkau berpindah, dan aku tamat sekolah:
"Sayangilah bahasamu seperti engkau sedang bercinta
tak habis-habis dilamun rindu meski berada di depan mata
bahasamu adalah watan, gunung, lautan dan cakerawala
di situ engkau bernafas, berteka teki dengan nasib
di situlah juga jiwa dan maruahmu tertawan
apabila bahasamu dipinggirkan."

Terima kasih Cik Gu kerana berdiri di depan kami
engkau dermawan yang membekalkan akal budi
sebaris kalimat selautan nikmat
sepatah kata berkembang jadi mutiara
engkau adalah pelita, menyuluh jalan malam
kami yang duduk di bangku, kini berdiri menaksir alam

16 Mei 2008

Thursday 15 May 2008

MELAYU PINGGIRAN

Ada yang mengutus pesanan ringkas bertanya kenapa dalam blog saya sangat percaya terhadap penulis generasi muda. Saya hanya menaruh kepercayaan dan mengajak mereka yang berusia sekitar 25-40 tahun sekarang berfikir dan berjuang secara asasi, bukan serpih-serpihan, tentang apa maknanya menjadi Melayu. Generasi yang selepas usia 40 tahun ke atas sudah ramai terperap dalam budaya pinggiran: Melayu tidak Barat tidak, tradisi tidak modern tidak, bahasa Inggerisnya bahasa komunikasi pejabat, bahasa Melayunya tidak canggih. Pokoknya dari segi budaya dan intelektual mereka serba tanggung walaupun dari segi pangkat, kemewahan kebendaan, dan pendapatan bulanan cukup lumayan, berkat manfaat Dasar Ekonomi Baru. Apa yang mereka utamakan ialah lambang-lambang status material-visual yang dipujuk oleh propaganda iklan media tanpa cita rasa yang asli dan kriatif. Mereka sudah tidak sensitif lagi kepada nasib dan masa depan tradisi, warisan dan budaya etnik sendiri akibat proses modernisasi sosial yang sangat berpaksikan kebendaan dan bukan intelektual dan nilai-nilai yang unggul. Sebab itulah juga timbul perlawanan seperti yang dilahirkan melalui pelbagai gerakan Islam.
Inilah adalah hasil kejayaan pembangunan yang tak seimbang, dan telah menjadi sejarah. Sejarah itu bukan sekadar keterangan tentang sebab-sebab terjadi peristiwa , tetapi satu naratif tentang apa yang berkembang dalam sikap dan fikiran manusia. Dalam hal kita,ialah, kisah Manusia Melayu Pinggiran yang seba tanggung; seperti selimut singkat di tubuh kita: tarik ke atas kaki terjulur; tarik ke bawah kepala terdedah.

Wednesday 14 May 2008

Melampau

Seorang teman yang sangat bertimbang rasa, selepas membaca posting 12 Mei 2008, berasa khuatir dan bertanya kepada saya tidakkah tulisan saya itu bernada ekstrem dan bertentangan dengan kerajaan. Saya akur dengan pandangannya lalu melakukan sedikit penyuntingan. Memang betul ramai yang menganggap negatif terhadap orang yang menegakkan Bahasa Melayu (BM).
Bagaimana pendapat yang memperjuangkan kedudukan dan kedaulatan BM boleh dianggap melampau dan menentang kerajaan? Justeru perbuatan sebaliknyalah yang boleh dianggap berniat jahat dan menentang kerajaan kerana kerajaan mendukung Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf BM menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.
Selain daripada itu adalah menjadi tanggungjawab kebudayaan dan moral bagi semua orang Melayu mendaulatkan bahasa ibundanya yang tumbuh di bumi Nusantara ini sejak ratusan tahun sebagai lingua franca antara pedagang dunia , sebagai wahana ilmu serta dakwah, dan kini menjadi bahasa kebangsaan bagi hampir 300 juta manusia, yakni bahasa kelima terbesar dari segi jumlah penuturnya. Memperjuangkan kedudukan dan fungsi BM tidak pula boleh dianggap sebagai cauvinis, berfikiran sempit dan perkauman kerana orang yang waras atau sihat akalnya tidak menolak kepentingan menguasai bahasa-bahasa lain; dan BM sebagai bahasa kebangsaan serta rasmi bukanlah eksklusif untuk sesuatu kaum, tetapi inklusif untuk semua rakyat pelbagai keturunan dalam negara ini. Jadi tidak timbul soal meminta maaf kepada sesiapa pun dalam hal mengutamakan BM.
Kenapa orang Melayu begitu lemah dan lambat bercakap tentang isu ini? Lihat Karpal Singh yang bergerak atas kerusi roda seperti OKU berani mengkritik Raja Melayu berdasarkan keyakinannya walaupun puluhan laporan polis dibuat. Dia berdegil tidak meminta maaf walaupun sedar gelombang kemarahan di sekelilingnya . Lihat HINDRAF berani menunjuk perasaan di jalan-jalan raya dan berhimpun secara haram beberapa kali untuk memperjuangkan kepentingan kaum India. Lihat orang Melayu berhimpun ratusan dan ribuan orang dalam bilik berhawa dingin dengan retoriknya. Apabila Dr. Mahathir (sekarang TUN) sebagai Perdana Menteri menyingkirkan BM daripada Matematik dan Sains pada 2003, mana NGO Melayu,mana GPMS, mana Gapena, mana persatuan guru-guru Melayu, Sasterawan Negara dan tokoh yang hebat-hebat? Mana? Sebab itu saya menyeru kepada penulis, seniman dan aktivis muda untuk menjadi lidah perjuangan masa depan . Berperang sebagai penulis dan budayawan, berperang secara intelektual melalui karya dan prasarana maklumat yang berada di hujung jari. Di situlah harapan disandarkan. Ayuh! Tanpa maaf , tanpa apologi.

Monday 12 May 2008

BANGUNLAH GENERASI MUDA: BERPERANG HUJAH

Assalamualaikum saudara2 dan sahabat generasi penulis muda,
Nampaknya penghentaman Melayu (Malay bashing) sudah menjadi-jadi sehingga kedaulatan Melayu (bukan ketuanan Melayu-- istilah ini saya tak setuju) yang berpaksikan kekuasaan istana sedang diserang secara profesional dan intelektual sehingga ke lantai-lantai Parlimen; jadi bukan sekadar melalui puluhan blog di luar dewan yang mulia itu.

Kita bukan politikus dan pengamal undang-undang. Biarkan mereka yang berdebat dan berhujjah tentang isu ini, terutama dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan. Kita ikuti, kaji dan belajar daripada pertembungan dialog atau debat mereka. Yang menjadi keutamaan dalam kegiatan kreatif kita ialah kesihatan dan kegagahan Bahasa Melayu sebagai wahana artikulasi dan wadah intelektual bangsa kita. Bab ini kita misti gembeleng tenaga seraya secara peribadi masing-masing memperhebat propaganda mengembalikan kedaulatan BM (sdr tentu faham maksudnya). Gunakan blog masing-masing untuk menyerang , dan jangan tunggu pilihan raya 2012. Generasi muda sekarang harus mempersiapkan diri menjadi gelombang Tsunami atau badai Nagris untuk meranapkan siapa sahaja Melayu atau bukan Melayu yang mengkhianati Bahasa Melayu
.lebih lanjut

Friday 9 May 2008

BUMI MAKLUMAT BERUBAH HEBAT

Pasaran bebas maklumat sedang berubah dengan hebatnya, terutama dalam waktu dua bulan ini;blog bercambah bagai cendawan tumbuh. Nampaknya tak sesiapa yang dapat menahan air terjun kata-kata mencurah dengan tenaga terpendamnya. Ia telah meninggalkan kesan terhadap politik, dan akan menentukan reputasi individu, organisasi, institusi, dan malahan kredibiliti kerajaan. Tunggu! akan berlaku peperangan media yang lebih gencar, menarik dan lebih mencabar.
Pada tahap peribadi, saya mendapat cakerawala baru untuk terbang jauh , dan sekali gus membuka cakerawala itu untuk dijelajahi oleh teman-teman penulis yang selama ini hanya saya fahami dengan menduga air muka mereka sahaja , tetapi tidak menerima reaksi terbuka terhadap kata-kata saya. Ini pengalaman yang sangat memikat -- memberi dan menerima persepsi atau fikiran. Pengalaman itu semakin mengejutkan apabila pesan dan reaksi datang tiba-tiba dari nama-nama yang tak dikenali di antara yang saya kenal:sham al-johori, amiene rev, marsli n.o., Nisah Haron,sinaganaga, lutfi said, wan nor azriq, jiwa rasa, tok janggut,rhuss,anonim etc.,etc. Apakah kita sedang menempuh zaman penuh kesepian, keyakinan diri, kecurigaan, sinis atau reason? Tetapi jangan lupa kita juga menaksir zaman dengan perasaan serta hati , sebab kita manusia yang berjalan ke depan dengan pancaindera dan bahasa.

Semoga kita berbicara lagi esok siang, dan selamat malam.

Tuesday 6 May 2008

LEWAT MALAM

Wahai! malam
pujuklah hatiku
dengan lidah lembut
mendakap tidurku

Hadiahkanlah aku
sebuah mimpi
dengan suara merdu
lenakanlah tidurku

Hingga pagi

Monday 5 May 2008

MELAWAT KEMBALI KE DASAR DIRI MELAYU

Kehebatan menjadi warga alamblog, antara lain: Kita menjadi seperti si anak kecil yang bermain-main seorang diri dengan barang permainan elektronik; dan sekali gus kita menjadi Raja kepada perasaan dan fikiran kita sendiri. Siapa saja memasuki prasarana maklumat modern yang bernama blog ini berada dalam situasi blogsphere yang sama : saya dan bekas PM dan Bekas Menteri Besar Selangor setaraf . Sama-sama berada dalam kekesalan, dendam, kritis; dan berusaha membersihkan diri, menghalalkan perbuatan, atau mungkin menyerang -- dalam kesepian dan monolog. Setiap hari kita boleh mencurahkan tegang perasaan atau semak otak seperti siang tadi kawan-kawan bertanya bagaimana tentang perhimpunan Melayu di Johor. Mana saya tahu, dan kenapa tanya saya seolah-olah nama Gapena itu mengekori belakang saya.
Selanjutnya saya bilang, baguslah kalau ada yang berusaha ke arah kebaikan orang Melayu asalkan kita jangan terperangkap dalam" fikiran terbelenggu". Kita jangan menyalahkan kaum lain saja. Melayu juga perlu memahami kaum lain, kekuatan serta kelemahannya. Dan kita misti tunjukkan Melayu ini bangsa yang berkualiti serta berakal budi, bersedia bergaul dan berhujah dengan orang asing, menghargai budi bahasa orang lain, bersedia meminjam kekuatan kebudayaan Cina, India, Sikh, Jepun, Perancis atau Korea sepanjang tidak menodai agama dan jati diri Melayu . Kalau mereka kurang ajar terhadap bahasa, kebudayaan, dan maruah Melayu, memang patut kita bertindak kasar, walaupun kepada pemimpin Melayu sendiri.

Terima kasih blog kerana menampung resah dan belasah otak saya pada malam ini.

Sunday 4 May 2008

KEMBALILAH KE DALAM DIRIMU

Kegoncangan politik menimbulkan kegoncangan sosial, dan boleh juga berlaku sebaliknya. Tidak habis-habis nampaknya keputusan pilihan raya 2008 merunsingkan cendekiawan dan budayawan Melayu; kadang-kadang lebih teruk lagi daripada apa yang dirasakan oleh orang politik dan aktivis parti sendiri. Walau bagaimana pun, dan apa pun motiv di belakang semua kegiatan kemelayuan ini, kita tak usahlah menambahkan lagi perasaan tidak selamat dan pesimisme , dan berharap kebaikan akan lahir daripada usaha-usaha untuk memperkukuh masa depan masyarakat Melayu. Yang penting kita harus kembali kepada akar dan akal, jujur dan ikhlas, berniat baik dan tidak menangguk di air yang keruh--air yang sudah lama keruh, tetapi seolah-olah baru hari ini mata kita melihatnya, dan suara kita berani menyebutnya.

Sebahagian daripada puisi saya , "Duka di Ranjang (Kenangan buat kekasih yang terluka) ", yang terbit dalam Dewan Sastera , Mei 2008, berkata begini:
Kembalilah ke dalam dakapanku
setelah engkau bersih
kerana kekasih itu bukan yang berpura-pura
tetapi Melayu yang berkata benar
selalu pulang kepada akarnya
dan tidak mengkhianati kepercayaan.

Thursday 1 May 2008

SALAM PENYAIR KEPADA PETANI

setitik keringat
jatuh ke bumi
menjadi tasik

setitik darah
gugur ke bumi
menjadi gurun

setitik air matamu
jatuh ke bumi
membanjiri kalbu

keringat, darah dan air matamu
kuntum-kuntum bunga
harum ditimbusi debu