Friday 26 September 2008

SERIBU MAKNA DARI SATU KATA

AIDULFITRI

HARI RAYA AIDULFITRI
SALING MEMBERI DAN MEOMOHON MAAF,
SALING MEMPEERAT HUBUNGAN AKRAB .

DAN CINTA KITA KEPADA-NYA
,
BERLINANGAN DALAM AIR MATA ,
SEPERTI MATAHARI DENGAN BULAN ,
SEPERTI AWAN DENGAN HUJAN ,
DI MANAKAH ENGKAU KEKASIH?

(ii)

DI WAJAH BULAN TIDAK MENJELMA ,
DI DALAM AWAN ENGKAU TIADA ,
HANYA BAYANG-BAYANG GUGUR KE BUMI ,
AKU BERTEKA TEKI ,
APAKAH ITU ENGKAU ATAU WAJAHKU?
ALANGKAH MANIS KALAU KITA ,
BERSATU DALAM SUSU DAN MADU.

AKU MENGEMBARA KE KAKI LANGIT,
SEMAKIN KUDEKATI SEMAKIN JAUH ,
TETAPI AKU TAHU ENGKAU ADA ,
MENGHITUNG JEJAK SETIAP LANGKAH,
MEMBILANG LENA DALAM LALAIKU ,
LEKA ALPA DALAM CINTA-MU

( iii)

Kan kucari engkau di segenap penjuru,
Di hujung senja, di ambang fajar,
Hanya daerah yang belum kujelajah,
Belantara rohani yang rimbun liar,
Di dalam hati, di hujung lidah,
Di situ sekian lama menunggu,
Dan aku justeru tak tahu.

(iv)

Angin lembut menyisir daun

Gerimis di serata pohon

Kulihat wajah-Mu di sana

Sedang suaraku berbisik-bisik di telinga-Mu

Dan Engkau sedang membisikkan sesuatu ke hatiku

Air mata yang berlinangan di pipi

Setitik demi setitik adalah air mata-Mu

Tahulah aku engkau masih sayang padaku

Setiap malam dan dini hari aku mahu luluh

Dalam perlindungan yang teduh

Seperti menyusu di tetek ibu dahulu..

Amin.

(V)

Amin, Amin, ya Rabbulalmin,
Aku tidak takut lagi pada gelap malam,
Aku tidak silau lagi pada sinar siang,
Amin, Amin ya Rabbulghafur,
Aku tunduk ke arah-Mu,
Dan aku sujud dengan dahi-Mu,
Setelah aku terlanjur zalim,
Menghina diriku.

Ini aku,
Terimalah,
Dalam kuyup basah,
Air mata,
Saksi setia,
Doa dan pasrah.
Amin.




Baha Zain

















Thursday 25 September 2008

BERWASPADALAH! JANGAN KEMBALIKAN SUASANA KONFLIK MEI 69

Kalau anda sekarang berusia bawah 40 tahun, anda tidak mengalami kegelisahan politik dan sosial yang tajam dengan syak wasangka perkauman, dan perbalahan pandangan tentang apa maknanya kemerdekaan sewaktu baru-baru merdeka dahulu. Kalau anda tidak tinggal di Kuala Lumpur sewaktu 13 Mei tahun 1969, anda tidak tahu tentang kebimbangan untuk berjalan kaki atau bersiar-siar melalui Jalan Petaling, Chow Kit, Jinjang, Sentul, Kampung Baru, Kampung Kerinci atau Gombak. Orang Melayu bimbang ditetak oleh orang Cina , orang Cina khuatir kalau-kalau dipancung oleh orang Melayu, dan orang India berasa tidak aman ke mana-mana.

Ada kegerunan dan pesimisme di merata ceruk dan lorong; ada kesuraman dan kebencian yang memerintah perasaan dan sikap penduduk pelbagai kaum. Bayangkan juga perasaan dendam dan marah serta ingin menuntut bela bagi mereka yang rumahnya dibakar, dan ibu bapa atau adik beradiknya yang dibunuh tanpa dosa dalam perkelahian Mei 1969. Walau bagaimana pun orang Cina dan India yang tinggal terpencil satu atau dua keluarga di kampung-kampung Melayu di luar bandar selamat dan aman.

Suasana kemasyarakatan Kuala Lumpur yang menjadi pusat pentadbiran, perniagaan dan politik dalam dekad 60-an seolah-olah berpetak-petak dan berpuak-puak . Tidak utuh dan hanya nampak aman di permukaan. Saya tidak ingin mengalami sekali lagi kerapuhan hidup yang seperti itu . Ia seolah-olah mengejek segala idealisme tentang kehidupan kemerdekaan yang pada mulanya diimpikan sebagai aman bersatu padu , indah serta romantik. Akhirnya satu dekad kemerdekaan itu menemukan tragedi berdarah 13 Mei 1969 .

Di sini kita tidak mahu mencungkil siapa yang merancang, siapa yang bersalah dan mencetuskan peristiwa berdarah tersebut. Tetapi elok kita imbas peristiwa-peristiwa yang sedikit demi sedikit melonggokkan kebencian antara kaum , keturunan, agama, bahasa dan adat resam. Istilah-istilah agama, bahasa , nilai-nilai dan adat resam pada hari ini sudah menjadi terlalu biasa sehingga kita lupa bahawa pride dan prejudice perkauman itu sangat kuat mempengaruhi perasaan, sikap dan seterusnya tindakan seseorang apabila berhubungan dengan penduduk lain setiap hari; apabila menonton TV atau membaca akhbar. Hari ini sensitiviti ini kembali terasa, dan kita perlu berwaspada. Jangan leka dan lupa akan faktor prasangka perkauman yang boleh menjerumuskan kita sekali lagi.

Beberapa tahun sebelum tragedi berdarah itu, iaitu pada 9 Ogos 1965, Dewan Rakyat Malaysia telah meluluskan pindaan perlembagaan yang membenarkan Singapura keluar daripada Malaysia. Ketetapan ini diambil kerana PAP atau People’s Action Party di Singapura (yang waktu itu berada dalam Persekutuan Malaysia), dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan kaum dengan kempennya “Malaysian Malaysia”. Kempen ini memperjuangkan bahawa semua kaum mempunyai hak yang sama dalam apa jua bidang. Tidak ada keistimewaan bahasa dan keistimewaan hak bagi orang Melayu. Tentulah cakap-cakap dan kempen yang seperti ini mendapat sokongan kuat orang bukan Melayu, dan dalam waktu yang sama sedikit demi sedikit menyemai benih kemarahan penduduk Melayu.

Kempen politik di atas melemahkan sokongan kaum Cina terhadap MCA, dan dalam waktu yang sama menimbulkan kemarahan sesetengah orang Melayu terhadap pemimpin UMNO yang dianggap tidak tegas mempertahankan hak-hak orang Melayu, dan terlalu bertolak ansur dengan masyarakat lain sehingga pulau Singapura yang sangat berharga itu pun akhirnya diserahkan balik kepada orang asing. Para penulis, budayawan serta cendekiawan Melayu juga berkonfrontasi dengan PM dan pemimpin UMNO yang dianggap konservatif, dipengaruhi fahaman kapitalis , tidak membasmi kemiskinan rakyat, dan tidak tegas melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal.

Jadi baik dalam bidang politik, sosial atau kebudayaan zaman sepuluh tahun kemerdekaan itu terlalu banyak fahaman politik yang bercanggahan sehingga kebebasan demokrasi yang baru dimenangi daripada penjajah Inggeris, menjadi sangat bebas mulut dan penuh dengan kempen dan polemik yang belum tentu betul atau bermanfaat bagi penduduk yang pelbagai kaum. Konflik parti politik semakin tajam, perdebatan dan polemik yang berbau perkauman merebak.

Apakah pasca Pilihan Raya Ke-13 hari ini memberi satu milieu yang serupa dengan wujudnya bermacam-macam pengucapan , perbincangan, forum, perdebatan , demonstrasi, dan media , terutama internet dan blog yang sangat bebas dengan pendapat, kritikan , tuduhan malahan tohmahan pun. Di sana sini diadakan perbincangan tentang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, kesamrataan antara kaum, kontrak sosial, dan kedudukan istana.

Topik ‘kontrak sosial’ saja seolah-olah sedang dianalisis di bawah mikroskop undang-undang untuk menilai kepentingannya dengan kehidupan bernegara sekarang. Ada yang menganggap ia tidak wujud, dan ada yang menganggap ia adalah suatu persefahaman yang real antara Tunku Abd Rahman, pemimpin UMNO, dengan Pemimpin MCA sehubungan persetujuan tentang hak keistimewaan Melayu, dan hak kerakyatan jus soli kepada bukan Melayu. Kontrak sosial tersebut sekarang dihujah pula dari perspektif hak-hak asasi manusia, dan kebebasan beragama . Ada niat di satu pihak untuk merungkai amalan yang lama, dan ada reaksi di pihak lain untuk mempertahankannya dalam rangka amalan, adat kebiasaan dan semangat undang-undang ( the spirit of the law ) yang telah berpuluh tahun wujud di negara berbilang kaum ini.

Kalau arus perdebatan atau polemik ini menjadi semakin rancak dalam kebebasan berdialog dan menyalurkan pandangan; kalau tidak diuruskan dengan perasaan tanggungjawab, kematangan, dan kebijaksanaan akal budi , dan ramai pula hendak menjuarakan satu-satu pihak atau kaum, tidak mustahil konflik tajam akan berlaku sekali lagi. Dialog harus berterusan, tetapi jangan menjadi terlalu ghairah dan salah timing. Hari ini pelbagai kesulitan ekonomi dan jenayah sosial sedang menimpa negara; dirumitkan lagi oleh konflik kepemimpinan, dan tergugatnya kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti pegawai-pegawai tinggi kerajaan . Semuanya ini adalah tanah subur bagi tumbuhnya emosi yang ekstrem dan ketidakstabilan.

Kita tidak harus membazirkan peluang-peluang yang luas untuk memupuk keharmonian antara penduduk. Mari kita elakkan tragedi seperti Mei 13 berulang lagi sehingga darurat diisytiharkan, Parlimen digantung, dan demokrasi dinafikan .

Eloklah kita belajar daripada peristiwa masa lalu kerana sejarah mengajar manusia untuk berfikir lebih baik, dan bertindak lebih bijaksana . Mari kita pelihara asas-asas kehidupan masa depan yang indah bagi anak-anak kita semua. Berusahalah menahan lidah dan hati kita daripada melukai lidah dan hati manusia lain.


* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Jun 2008

Monday 22 September 2008

APA SEBENARNYA SIKAP KEMENTERIAN PELAJARAN

"Mixed opinions on English review" New Straits Times, Sabtu , September 20,2008.

Begitulah tajuk laporan berita NST tentang Persidangan Meja Bulat ke-3 yang dianjurkan oleh Kementerian untuk membincangkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang dihadiri oleh guru-guru dan pelajar. Nanti pada 20 Oktober akan diadakan pula persidangan ke-4 untuk pemimpin politik dan komuniti. Ini cara yang sangat luar biasa bagi menentukan dasar apa yang hendak dilaksanakan. Dalam satu aspek bagus kerana nampak lebih demokratik, tidak seperti waktu dilaksanakan PPSMI pada tahun 2003, seperti dirodok ke dalam tekak guru-guru dan murid-murid, satu cara yang lebih luar biasa.

Kalau Kementerian Pelajaran ( KP ) menghitung balik sekalian kritikan, protes , persidangan dan memorandum yang diadakan sejak 2002, oleh pendidik, penulis , dan cendekiawan, baik Melayu dan bukan Melayu, tentulah KP faham bahawa ini adalah satu dasar yang dihujah dan ditentang sedemikian teruknya. Tidak bolehkah pemikir-pemikir dan profesional di KP itu menyelami hakikat yg sebenarnya , baik dari segi sensitiviti di kalangan awam, mahupun dari segi pemikiran yang objektif tentang kekukuhan rationale daripada dasar PPSMI ini? Apakah sampai perlu dipanggil pelajar dan guru ke sidang meja bulat ? Tidakkah KP melakukan penyelidikan yang betul-betul ilmiah dan neutral? Dan memberikan nasihat yang jujur kepada Menteri. Apakah sebenarnya politik di sebalik semua ini.

Dalam NST yang sama disiarkan juga berita bertajuk, "Let's get to work says Hishamuddin." Antara lain kata Menteri Pelajaran, " We must pay attention to work because over the past six months , we have been bogged down by various issues," he said...the people were fed up with the political issues that have dragged leaders , ministers and UMNO supreme council members into altercations.

Betul, betul, memang betul masyarakat, terutama penulis, pendidik, budayawan dan ilmuwan sudah muak dan meluat dengan altercations ini, yakni pertengkaran, perbalahan , perbahasan, dan persidangan seperti dalam isu PPSMI. Rakyat sudah semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan pemimpin yang sepatutnya sensitif terhadap pandangan jujur di bawah dan bertindak cepat supaya kerusakan terhadap bahasa dan budaya tidak terus lebih teruk.

Dalam kes PPSMI ini YB Menteri Pelajaran sendiri tentu sudah cukup maklum, dan telah menerima maklumat yang boleh dipercayai daripada pelbagai pihak, bahawa PPSMI kalau diteruskan akan menghapuskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang modern dalam beberapa tahun akan datang. Ini isu pokoknya.

Masalah guru dan murid yang masih terkial-kial mengajar dan belajar dlm bahasa Inggeris itu soal kedua. Lama kelamaan baik dalam bahasa Penan, Hindi atau Arab pun boleh diajarkan Sains dan Matematik itu.

Tidakkah kita hormat dan sayang pada Bahasa Melayu itu? Tidakkah mengutamakan bahasa Inggeris ( kecuali sebagai bahasa kedua) bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta Pendidikan ? Yang sebenarnya berwewenang untuk memutuskan isu ini adalah Menteri sendiri,
dan tak sepatutnya timbul banyak tarik tali seperti yang berlaku sekarang. Menteri Pelajaran yang harus membuat pendirian tegas , bukan tokoh-tokoh lain di bawahnya.

Keputusan yang bakal berlaku adalah satu ujian dan batu ukur perjuangan UMNO terhadap kepentingan orang Melayu dalam waktu terdekat ini.

Friday 19 September 2008

TAFSIR ISA ATAS BLOGGER

Pemaparan pada blog saya sebelum ini segera mendapat reaksi pengunjung. Memang isu penahanan blogger di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sedang menjadi isu hangat dibincangkan oleh pengamal undang-undang, blogger dan penulis. Pada umumnya perbincangan boleh dibagi kepada dua pihak: setuju dan tidak setuju.

Penahanan blogger MalaysiaToday, Raja Petra, mendapat tentangan parti politik pembangkang, dan juga ramai bloggers lain. Tetapi yang cukup menarik perhatian ialah apabila YB Senator Zaid Ibrahim merangkap Menteri Kabinet menyatakan secara jelas tidak bersetuju ISA digunakan. Pernyataan sebegini cukup luar biasa kerana dia sendiri berada dalam kerajaan dan dalam Kabinet. Dia tidak pula menjelaskan apakah dia setuju atau tidak setuju tindakan mendakwa terhadap Raja Petra. Berdasarkan senarai akta-akta yang diterbitkan dalam blog saya sebelum ini dan ditambah lagi beberapa akta lain seperti Akta Percetakan dan Penerbitan 1984; Kanun Keseksaan, Akta Polis 1967; dan Akta Penyiaran 1988 tidakkah cukup senjata bagi kerajaan menindak atau mendakwa seseorang blogger yang dianggap tidak bertanggungjawab terhadap masyarakat , tanpa menggunakan ISA ?

Justeru itu ada yang menganggap kerajaan bertindak terlalu keras dan overreact. Pemimpin kerajaan tidak menghormati kebebasan bersuara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Di pihak lain ada yang bersetuju supaya kerajaan bertindak tegas serta berani dengan alasan kerajaan bertanggungjawab memelihara kestabilan dan ketenteraman awam.

Walau apa pun peristiwa baru-baru ini mempunyai kesan positif dan negataifnya kepada kedua-dua belah pihak. Kerajaan menjadi lebih tidak populer di kalangan blogger, penulis bebas dan peminat parti pembangkang. Dalam waktu yang sama blogger dan penulis menjadi lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.

Apakah yang kita maksudkan dengan TANGGUNGJAWAB ? Blogger atau penulis yang bertanggungjawab sedar akan kesan atau akibat buruk dan baik daripada kenyataannya.
Demikian juga kerajaan yang bertanggungjawab sedar akan kesan buruk atau baik daripada tindakannya. Dalam hal ini tidak mudah mengukur kesan-kesan yang mungkin terjadi atau membuktikan kesan-kesan yang telah terjadi. Akhirnya perdebatan akan banyak berlegar di sekitar pendapat yang subjektif.

Suatu hal yang membimbangkan ialah kalau kerajaan terus menggunakan ISA
bagi mempertahankan kekuasaannya, rakyat akan melakukan kekangan yang berlebihan daripada bersuara untuk menyatakan kritikan, pandangan alternatif dan idea sehingga pemimpin-pemimpin negara hilang peluang untuk menyelami hati serta perasaan yang sebenarnya . Kerajaan juga tidak memperoleh cadangan-cadangan dan pandangan baru bagi meningkatkan kecekapan sistem atau mengenali kelemahan-kelemahannya sehingga ia boleh menjadi sistem yang klise.

Blog atau internet adalah aset yang sangat penting bagi perhubungan maklumat yang pantas
dan menjadi prasyarat bagi keupayaan negara bersaing dalam dunia tanpa sempadan hari ini.
Blog jangan dimusuhi; dan jangan disalahgunakan.

Thursday 18 September 2008

TERPERANGKAP DALAM KATA-KATA; TAFSIR ISA ATAS MANUSIA

Raja Petra diceraikan daripada blognya dan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 12 September, 2008. Sekarang dia tak mempunyai suara untuk mengulas, memberi pandangan atau mengkritik isu-isu semasa , pemimpin politik atau perkembangan sosial-politik di depan matanya. Saya pernah rapat dengan Pet (nama panggilan orang yg rapat dengannya) , pernah makan bersama di rumah dan di Kelab Lake Garden, pernah ziarah menziarahi. Pet senantiasa ghairah dengan idea, kritikan, pendapat dan sangat lancar berbicara. Jamin berteman dengannya tidak membosankan. Seperti saya bertemankan Allahyarham pelukis-pengkritik Redza Piyasada yang juga sangat kritis dan argumentatif, saya berusaha lebih banyak tekun mendengar daripada berhujah bagi mengelakkan pertengkaran.

Saya termenung: Apakah yang dibincangkan oleh Pet dengan pegawai penyiasat polis? Apakah dia patut dijebloskan ke tengah-tengah dinding tahanan pada waktu Ramadan, penghulu segala bulan? Bagaimana dia berpuasa, bersahur, berbuka dan bersolat? Tidakkah ini bulan yang paling penuh dengan rahmat, nikmat dan berkat; dan doa yang dimakbulkan? Sepengetahuan saya Pet dahulu sangat taat bersolat dan berpuasa , baik yang wajib ataupun yang sunat. Entahlah sejak MalaysiaTodaynya saya hampir tidak berhubungan dengannya kecuali sesekali melalui SMS, dan blognya juga bukan menjadi minat saya.

Kenapa ISA? Barangkali ada kebijaksanaan Menteri yang di luar jangkauan penelitian kita. Walau apapun Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Mengadili. Barangkali tersisip hikmat di sebalik musibah .

Kenapa blog menjadi sangat berkembang di negara ini?Tentulah bukan sekadar fenomena kemajuan teknologi internet yg hebat di Malaysia. Kita telah memberi sangat tinggi keutamaan terhadap kecanggihan tekonologi, peratus pertumbuhan ekonomi, pendapatan per kapita, prasarana fisikal, dan prestasi KPI. Blog adalah salah satu kemajuan teknologi di samping yang lainnya. Apakah kita telah berjaya mengimbanginya dengan kemajuan sosial, akhlak, akal budi, perasaan timbang rasa , kasih sayang, adab sopan dan etika???

Kenapa blog semakin menjadi pusat rujukan bukan sahaja tentang fikiran, idea dan gagasan, malahan maklumat dan berita? Ini harus diteliti masak-masak dan dicarikan jawabannya. Apakah rakyat sudah tidak percaya lagi atau semakin kurang percaya kepada media utama RTM, TV3, Berita Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Times, STAR, dan entah apa lagi surat khabar India dan Cina yang beredar setiap hari? Terutama media elektronik itu harus lebih kreatif, berimbang dan memberi ruang yg sewajarnya bagi pandangan alternatif untuk memenangi semula kredibilitinya. Kreativiti pengisian dan penampilan media terletak pada kemahiran dan bakat profesional di sebaliknya; dan bukan pada birokrat politik di belakang tabir.

Dalam waktu yang sama setiap penulis blog dan pekerja media perlu berpegang kepada
keyakinan akhlak bahawa adalah satu dosa menyebarkan atau bersubahat dengan fitnah, pembohongan , penyelewengan maklumat , terutama dengan tujuan merusakkan masyarakat.
Menyiarkan satu aspek berita, dan menenggelamkan aspek lain yang berkaitan juga adalah satu perbuatan yang tidak beretika. Cuma soal akhlak, moral, dan etika ini sulit untuk dilaksanakan kerana ia sangat berkaitan dengan hati nurani , sikap peribadi seseorang terhadap apakah ertinya kebenaran, dan keyakinan agama masing-masing. Faktor moral , akhlak dan etika ini dengan sendirinya menjadi tapis serta saringan bagi kebebasan pengucapan. Dalam kata lain tidak ada kebebasan pengucapan yang mutlak walaupun tanpa pengawasan undang-undang rasmi negara. Manusia itu tidak senantiasa bertindak bebas walaupun hendak bertindak sebebas-bebasnya kerana dia mempunayi kebebasan moral untuk memilih antara yang baik dan yang buruk. Itulah yang membezakannya daripada binatang. Itulah nikmatnya menjadi manusia. Inilah yang patut diajar dan ditanamkan dalam pendidikan rakyat sejak kecil. Apakah kita gagal melaksana atau tak pernah memikirkannya sepanjang menikmati kemerdekaan 51 tahun? Atau kita asyik merancang kemajuan kebendaan sahaja.

Tanpa nilai-nilai dan norma agama dan sosial di atas pun negara kita telah diperlengkapi dengan bermacam-macam akta untuk mengawal pelanggaran berucap dalam media penulisan, percetakan, elektronik, audio dan visual. Untuk pengingatan kita semua (penulis, blogger, pekerja media, editor, dan penerbit), dan agensi kerajaan yang memantau blog dan media ,
berikut adalah sejumlah akta yang mengatur kewajaran kebebasan bersuara di negara ini:-

AKTA FITNAH 1957; AKTA RAHSIA RASMI 1972; AKTA IKLAN LUCAH 1953; AKTA PERIHAL DAGANGAN 1972; AKTA SURUHANJAYA RASMI KOMUNIKASI DAN MEDIA 1998; AKTA HAKCIPTA 1987; AKTA KESALAHAN KOMPUTER 1997; AKTA PERDAGANGAN ELEKTRONIK ( E-PERDAGANGAN) 2006; AKTA CAP DAGANGAN 1976; AKTA HASUTAN 1948; dan beberapa akta lain lagi . Mak, Banyaknya!

Saturday 13 September 2008

AMARAN 12 SEPTEMBER

12 September ( Jumaat) sebenarnya hari yang memberi amaran. Jangan ambil mudah kerana 12 September mencatatkan dua peristiwa . Satu mempunyai kesan berita berskala besar, iaitu penahanan di bawah kekuasaan ISA; dan satu lagi tidak mempunyai kesan berita yang besar, iaitu kenyataan akhbar kira-kira 40 badan bukan kerajaan yang menyanggah dasar pelajaran yang meneruskan Sains dan Matematik dlm bahasa Inggeris.

Dua tahanan ISA itu dikaitkan dengan sensitiviti agama. Kenyataan akhbar itu berkaitan pendidikan dan Bahasa Melayu. Tidakkah sudah sangat-sangat jelas termaktub dalam Perlembagaan Persektuan itu tentang kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.Tidak juga ada kekaburan tentang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara. Pertanyaannya kenapa timbul keberanian orang menyentuh tentang
amalan penganut Islam di Malaysia ini? Kenapa setelah 51 tahun merdeka timbul protes
dan kemarahan sesetengah orang Melayu ( rakyat dan cerdik pandai) terhadap kerajaan
tentang kedudukan dan peranan Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan kita?

Pertanyaan-pertanyaan mudah ini harus difikirkan dan dijawab dengan jujur dan ikhlas oleh pemimpin politik UMNO, yang Islam dan yang Melayu. Kenapa pemimpin UMNO? Kerana UMNO telah menjadi tulang belakang pemerintahan sejak awal merdeka lagi. Islam sebagai agama rasmi negara harus dengan jelas dan tegas diterjemahkan dalam dasar-dasar kerajaan
dan dilaksanakan, tanpa menidakkan keadilan bagi penganut-penganut agama lain. Penganut-penganut agama lain tidak boleh tidak misti menerima hakikat ini kerana sudah termaktub dalam perlembagaan sejak negara ini meredeka. Tak ada retorik dan permainan politik lagi. Kalau tidak dari tahun ke tahun, dari zaman ke zaman berbangkit isu ini dan kerajaan bertindak reaktif untuk mengamankan rakyat yang bebal dan busuk hati.

Islam tidak pernah tidak adil, dan selama-lamanya tidak berbuat kezaliman kepada agama-agama lain. Kalau majoriti orang Melayu tidak beragama Islam selama ini, maka sudah terjadi banyak kezaliman dan kejahatan terhadap masyarakat bukan Melayu. Justeru kerana mereka berpegang kepada nilai-nilai kejiranan dan kemasyarakatan Islamiah , maka mereka sangat mengawal sikap dan perbuatannya. Tetapi pemimpin Melayu-Islam di Malaysia jangan terlalu banyak bermain politik dengan rakyat tentang soal agama. Hadapi dengan tegas dan berani, dan amalkan. Satu gagasan dan dasar pemerintahan yang jelas tentang Islam, dan mekanisme pelaksanaannya harus perkenalkan tanpa takut-takut terhadap agama lain. Kalau Mei 69 menyaksikan pertumpahan darah antara Melayu bukan Melayu, bayangkan pergaduhan agama akan lebih tragis dan traumatik untuk negara yang kecil ini. Tak ada sesiapa yang lebih untung, kerana seluruh negara akan dirugikan dan tak akan sembuh dengan mudah . Inilah cabaran kalau menjadi pemimpin politik negara; harus berfikir dengan mendalam dan bukan untuk menyadap kesenangan sahaja.

Tentang isu kedua, iaitu bahasa, kenapa sampai terjadi dasar dan amalan yang berlawanan dengan akal sihat dan pertimbangan yang masuk akal. Kenapa pemimpin-pemimpin politik Melayu sampai tidak nampak nilai-nilai baik dan terbukti bermanfaat bukan saja dari segi kebudayaan, tetapi dari segi pembinaan modal insan, sejak Dasar Pendidikan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri yang hebat, Tun Abdul Razak? Kebencian sesetengah orang Melayu ( malah kelompok pendidik Cina dan India juga ) telah menjadi bara dalam sekam sekarang. Jadi salahkah kalau sesetengah orang Melayu , tua dan generasi muda, berkempen diam-diam menentang kerajaan dalam pilihan raya yang sudah, dan akan terus lebih aktif lagi pada masa akan datang. Dalam hal ini bukan tidak ada dasarnya, tetapi dasar pelajaran dan kebahasaan yang sudah ada itu dikoyak-koyak.

Inilah antara isu-isu yang misti dengan terus terang masyarakat Melayu patut perdebatkan
kalau negara ini hendak aman, stabil dan berkembang. Kita telah sampai kepada satu tahap yang tidak miskin lagi, yakni makmur, sehingga kita hendak lebih makmur sampai lupa sejarah, sampai jadi kacang lupakan kulit. Kita telah menjadi kufur nikmat. Nah sekarang jalinan kemasyarakatan kita longgar dan boleh terburai; setiap hari orang ramai mengesyaki sesuatu akan terjadi. Orang ramai seolah-olah taksub dengan tema ketidakpastian dalam perbualan sebelum dan selepas terawih, di surau-surau dan masjid .Sungguh malang.

Nah ! Tahanan ISA; dan Protes NGO's di atas adalah satu signal, satu amaran. Kerajaan kena lebih tegas; dan lebih jelas. PM sebagai pemimpin UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan, kali ini misti menunjukkan dia harimau yang bertaring. Maka tidak boleh tidak bertindak MELAWAN hasutan dan komplotan, dan mesti mengembalikan status dan maruah Bahasa Melayu. Kalau tidak orang Melayu akan mengutuknya sampai bila-bila masa.

Hanya penyapu yang bersih sahaja yang boleh membersihkan rumah. Penyapu yang sudah kotor jangan dipakai lagi.

Monday 8 September 2008

MATINYA SEORANG PATRIOT

ALLAHYARHAM SAMAD ISMAIL
TAFSIR TOKOH ATAS SEJARAH


Saudara Ahmad Azam sewaktu memberi tanggapan terhadap pemaparan saya dalam blog ini tentang A.Samad Ismail berpandangan jenazah patriot ini sewajarnya disemadikan di Makam Pahlawan. Memang itulah juga yang kami bincangkan sewaktu berbuka puasa semalam dengan beberapa orang.Dia patut diberikan pengebumian rasmi oleh negara mengingat bukan main banyak jasanya berjuang sejak 1940 , selepas baru saja meninggalkan bangku sekolah pada umur 16 tahun.

Pada zaman penjajahan Inggeris , dua kali dia dicampakkan dalam penjara. Selepas Tun Razak meninggal, lagi sekali pada tahun 1976 dia dipaksa merengkok dalam tahanan selama empat tahun lebih. Jadi bayangkan dia sepatutnya diberikan sebaik layanan dan kemudahan untuk berfikir dan berkarya mengungkapkan segala macam pengalaman media, politik dan kebudayaan bagi cermin dan contoh tentang apa maknya pergelutan memperjuangkan keadilan rakyat serta kemerdekaan bangsa, dia sebaliknya
pada zaman kemerdekaan itu dijadikan alasan besar untuk kepentingan perebutan politik faksi tertentu.

Dia menulis sejumlah cerpen dan esei sastera dan sebelas buah novel yang sebahagian besar temanya adalah menyuarakan perjuangan yang sangat pro rakyat.Dia menjadi pemikir bagi gerakan-gerakan budaya dan intelektual di Singapura pada zaman pra merdeka, dan di Kuala Lumpur pada zaman awal merdeka. Dia telah memperkukuh tradisi dan institusi persuratkhabaran kebangsaan yang meliputi akhbar-akhbar perdana Utusan Melayu , Berita Harian, dan New Straits Times.

Walaupun pernah menjadi anggota dan Pengerusi Tetap UMNO di Singapura, tetapi kegiatan Samad tidak pernah menonjol dalam politik, meskipun sumbangan fikirannya dalam gerakan-gerakan politik di Singapura dan di negara ini terutama pada zaman Tun Razak bukanlah kecil.

Saya masih ingat baru-baru dia bebas daripada tahanan pada tahun lapan puluhan beliau berkunjung ke rumah saya di Seksyen 11 Petaling Jaya di depan
Hospital Universiti. Dari rumah saya itu dia melihat ke menara telekom tinggi yang kelihatan daripada rumah . Katanya setiap hari dia melihat tiang telepon itu tegak menjulang di udara kerana itulah pemandangan yang bebas daripada tempat tahanannya. Beberapa waktu sebelum dibebaskan dia ditahan dalam sebuah rumah banglo beredekatan sebagai pemulihan sebelum keluar. Di situ namun dia tetap tidak bebas berhubungan dengan orang luar, dan saya juga tidak mengesyaki banglo yang senantiasa berkunci pagarnya, dan tidak pernah kelihatan ada penghuninya, sedang mengawasi kebebasan seorang cendekiawan dan pejuang bangsa kita. Sewaktu bercerita itu , anehnya saya tidak melihat sebarang kesan kegetiran dan kemarahan daripadanya. Sebelum berangkat pulang beliau mempelawa saya dan isteri ke rumahnya , dan katanya dia ingin memasak sendiri sup dan makanan lain untuk kami. Ini suatu bakat dan kegemarannya yang saya belum pernah tahu sebelumnya.

Sebenarnya banyak sekali rahasia politik tanah air yang dibawanya sekali ke pusaranya kerana Samad tidak menceritakan banyak . Dia seorang tokoh yang pelbagai dimensi minat dan fikirannya. Hanya mereka yang rapat dan sering berinteraksi dengannya yang mengetahui tentang sikap, fikiran dan wataknya. Tetapi suatu hal yang nyata ialah dia manusia perjuangan, manusia cita-cita dan tak pernah jemu-jemu mengasah dan mendidik bakat penulis , wartawan dan cendekiawan yang selanjutnya memberikan sumbangan bermakna kepada usaha pengisian kemerdekaan bangsa. Dia seolah-olah menggali emas mentah dari perut bumi untuk dijadikan aset memperkaya khazanah dan jati diri bangsa selepas dikosongkan oleh penjajah. Dia seorang cendekiawan yang melambangkan perjalanan daripada kehinaan menuju kepada keyakinan diri yang besar.Prasarana kejiwaan serta mental ini adalah prasyarat bagi kreativiti dan pembangunan manusia yang patriotik dan merdeka. Merdeka jiwa dan fikirannya daripada penjajahan politik dan budaya asing.


Kenapa dia tidak disemadikan di Makam Pahlawan? Kerana hari ini apa yang dikenal sebagai sejarah itu, sudah tidak penting lagi. Yang bersakti adalah politik dan ekonomi semasa . Politik itu adalah Pahlawan, dan Ekonomi itu Raja. Apakah juga bangsa kita telah menjadi orang yang tak pandai berbudi dan mengenang budi?

Saturday 6 September 2008

SAAT TERAKHIR SEORANG PATRIOT


Dia seorang nasionalis, pejuang kemerdekaan, pejuang bahasa, dan seorang patriot.


Pada jam 3.00 petang, 5 Ramadan (5 September), hari Jumaat, penghulu segala hari, dan pada bulan Ramadan, penghulu segala bulan, jenazah A.Samad Ismail selamat dikebumikan, selepas jenazahnya disembahyangkan di masjid. Apakah hari yang lebih baik untuk jasad dan roh seseorang itu meninggalkan alam dunia dan berziarah ke alam akhirat?

Allahyarham orang perjuangan dan manusia cita-cita. Dia tidak hidup hanya dengan slogan untuk kemerdekaan tanah air, kedaulatan kesusasteraan bahasa Melayu, dan kewartawanan .Dia bekerja dan hidup di dalamnya bukan di atasnya. Dia juga menjadi pemikir untuk kedaulatan politik, budaya dan sosial sehingga kematiannya meninggalkan deretan
peristiwa-peristiwa politik dan persuratan yang bersejarah. Dia membina tokoh-tokoh lain , sasterawan dan wartawan, yang menyambung lidah serta suara kemerdekaan sehingga bergema ke ceruk pelusuk tanah air. Samad sendiri merengkok beberapa kali dalam tahanan bukan sahaja oleh penjajah Inggeris , tetapi juga oleh pemimpin bangsanya sendiri yang menjadikannya sebagai alasan untuk naik ke atas. Jasadnya tak pernah sunyi daripada dideritai
oleh kekuasaan.

***

Hari ini kita sudah 51 tahun merdeka. Ramai yang hanya mengenal namanya, tetapi sedikit yang memahami pergelutannya untuk menegakkan kemerdekaan yang memberikan nikmat ; nikmat yang direbut oleh sejumlah politikus Melayu, Cina dan India yang kufur nikmat kerana jahil sejarah. Ramai rakyat sekarang yang menikmati pelbagai kemudahan pendidikan moden, prasarana ekonomi, keselesaan kediaman dan tempat tinggal, kesihatan yang baik, dan kemakmuran hidup lupa bahawa ini adalah lanjutan daripada perjuangan rakyat dahulu yang hidup dalam kemiskinan, tetapi dengan semangat waja menentang penindasan Barat. Samad adalah antara ribuan jiwa yang telah mengorbankan keselesaan waktu dan keselamatan mereka.
Hari ini ramai yang hidup dengan kerakusan peribadi tanpa mempedulikan nasib budaya, ekonomi, dan pendidikan rakyat terbanyak.

Bacalah karya-karya Samad, sejarahnya dan bagaimana dia mendampingi bakat-bakat intelektual untuk mengajak sama-sama berjuang seperti Keris Mas, Usman Awang, Kassim Ahmad, Omar Hashim, Syed Husin Ali, dan puluhan wartawan lain yang dididiknya untuk menjadi manusia yang pandai dan berguna kepada bangsa. Dia jugalah yang menyumbangkan tenaga fikir di sebalik penubuhan parti politik PAP , dan badan pengarang ASAS 50 di Singapura, dan PENA di Kuala Lumpur

Atas jerih payah, dan niat ikhlasnya untuk mendidik dan membina orang lain, semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal, dan menempatkan rohnya di sisi orang-orang yang dikasihi dan dirahmati Allah.
Al-Fatihah dan Amin.

Wednesday 3 September 2008

MUHASABAH RAMADAN

Assalamualaikum,
Kepada semua sahabat, handai taulan dan kenalan saya mengucapkan ,
" SELAMAT MENUNAIKAN IBADAT PUASA, SOLAT, SEDEKAH, FITRAH DAN MUNAJAT " bagi menyambut perintah-Nya dan membuktikan kesyukuran terhadap segala nikmat yang tak terhingga banyaknya diberikan oleh Tuhan kepada umat manusia.

Seiring dengan itu marilah kita melakukan muhasabah dalam bulan yang kudus dan penuh rahmat ini; menilai kekuatan dan kelemahan diri dalam konteks tasawur Islam yang menyeluruh meliputi perhubungan kita dengan Tuhan, alam, masyarakat, negara dan dunia.
Akhirat itulah yang paling abadi yang hendak dituju, dan sebelum tiba ke situ, kehidupan bermasyarakat, dan bernegara adalah juga menuntut tanggungjawab dan amanah yang sekali gus harus dipikul. Salah satu amanah dan tanggungjawab tersebut ialah memelihara bahasa kita sendiri kerana melalui bahasalah kita mencari kebenaran dan mengucapkan kebenaran .
Tuhan telah menganugerahkan pelbagai bahasa kepada umat manusia seperti dalam firmannya:

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan -keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan"( surah ar-Rum, ayat 22). "And among His Signs is the creation of the heavens and the earth, and the difference of your languages and colours. Verily, in that are indeed signs for men of sound knowledge."


Sebagai orang Melayu dan Islam, Bahasa Melayu itu adalah amanah yang diberikan kepada kita untuk memperkaya jiwa raga , ilmu dan kehidupan masyarakat tak kira apa kaum sekalipun asalkan semua bersetuju bahawa Bahasa Melayu itu adalah bahasa komunikasi negara kita bersama. Ia adalah wahana pembangunan dan kesejahteraan bangsa. Jadi memperjuangkan Bahasa Melayu itu adalah tugas dan tanggungjawab agama kita juga. Ini bukan sekadar tanggungjawab kebangsaan atau tanggungjawab orang-orang nasionalis.

Inilah amanah, tanggungjawab dan perjuangan yang harus kita insafi sewaktu melakukan muhasabah Ramadan ( menilai diri kita dan hubungan kita dengan Allah dan persekitaran hidup) . Ini bukanlah perjuangan sia-sia dan kita mohon restu serta pertolongan daripada-Nya.