Friday 31 October 2008

KEPELBAGAIAN BUDAYA DAN POTENSI KEKUATAN

Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, saya berasa terpanggil meneruskan pembicaraan selepas terdiam hampir dua minggu. Saya tak mahu menyebut istilah "perpaduan" yang saya anggap sudah menjadi basi, retorik politik yang klise, dan impian muluk semata-mata. Saya lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk. Ingat kita tidak hanya berbicara tentang Melayu, Cina, India sahaja sehingga kita terlupa ada ratusan ribu peribumi Iban, Dayak, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain lagi di Sarawak dan Sabah yang masing-masing mempunyai tradisi, budaya dan malah agamanya yang berbeza dengan Melayu, Banjar, Arab, Jawa, Minangkabau, Mandahiling, Kampar, Aceh, Patani dan sebagainya .

Dalam masyarakat keturunan Cina itu juga ada suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis,etc, dan dalam masyarakat India ada pula Tamil, Jaffna, dan jangan lupa ramai keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. pendek kata Malaysia ini merumahkan aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri( ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan animisme ).

Kita telah hidup sebelah menyebelah , berjauhan atau bersentuhan, dan pada umunya dalam aman dan harmoni baik di daerah-derah kediaman, mahupun dalam institusi-institusi awam dan swasta (sekolah, pejabat, syarikat, dan persatuan ). Kedamaian dan keharmonian ini yang harus dikekalkan, dan dari waktu ke waktu dimantap dan dieratkan. Ini yang realistik , praktikal dan boleh dicapai.
*****
Kepelbagaian yang kaya raya ini sebenarnya mengandungi potensi hebat bagi memperkaya kreativiti, ciptaan, ilmu dan teknologi, penghasilan ekonomi dan kebudayaan negara andainya
tenaga-tenaga kreatif insan di dalam sekalian kaum itu dapat bersinergi dan digembeleng secara
inovatif. Sebenarnya pada hari ini pun kerjasama dan perhubungan antara kaum itu sudah berlangsung demikian banyaknya dalam kehidupan ekonomi dan sosial yang memakmurkan negara ini. Tetapi apabila ada cakap-cakap politik daripada pemimpin yang hendak menunjukkan dia juara kaumnya bagi kepentingan kekuasan politik diri serta suku sakatnya maka terasalah jurang negatif antara kaum itu sedang membebankan perasaan bangsa kita.
Apabila perasaan perkauman dan syak wasangka ini diulang-ulang dan diperbesarkan, janganlah terkejut kalau berlaku lagi pergaduhan sengit dan pembunuhan sesama penduduk. Awaslah! Pemimpin-pemimpin politik dan persatuan yang bermulut besar dan celupar bertanggungjawab: selalu mengungkit dan malah seperti mencabar peruntukan-peruntukan Perlembagaan negara yang selama ini menjadi payung pelindung bagi pelbagai kumpulan rakyat .

Walau apapun masalah yang berbangkit adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang secara berkesan, dalam jangka segera dan panjang, membina sikap membina yang kukuh untuk setiap kaum berusaha hidup aman dengan orang lain. Tidaklah memadai dengan membuat seruan-seruan sahaja. Ini adalah tugas kebudayaan yang rumit, memerlukan penyelidikan sosial-budaya yang saintifik, dan usaha pembangunan yang berpanjangan dalam rangka pembangunan modal insan dan kehidupan bernegara. Ia mengaitkan semua kementerian, tetapi Kementerian yang bertanggungjawab langsung tentang kebudayaan dan perpaduan harus membangunkan satu institut khas bagi tujuan nasional ini.
Institut ini perlu menjalankan penyelidikan ilmiah yang berorientasikan keperluan membina kerjasama dan perhubungan bangsa, dan mencadangkan dasar-dasar dan program tindakan bagi kementerian-kementerian lain .

*****
Pada hari ini sangat banyak kejahilan yang wujud di kalangan pemimpin dan rakyat. Masyrakat Melayu tidak benar-benar memahami struktur sosial dan nilai-nilai masyarakat Cina, India dan pribumi lain, dan demikian juga sebaliknya. Tidak semua orang Cina itu sama . Tentulah orang Cina yang berpendidikan Inggeris berbeza sikapnya dengan mereka yang berpendidikan sekolah Cina dari awal hingga akhir persekolahannya. Orang Cina yang bekerja dengan kerajaan, dalam tentera misalnya, tentu berlainan sikap, stail kehidupan, cita rasa dan impiannya dengan towkay kaya di pasar borong. Demikian juga dalam masyarakat Melayu , wanita Melayu yang bertudung menutup aurat lebih patuh kepada peraturan akhlak Islam, tetapi dia bukanlah misti pembenci penduduk yang beragama Hindu, malahan mungkin lebih toleran daripada wanita Islam yang tak memakai tudung. Bukan sahaja kejahilan, malahan prasangka juga menjadikan banyak syak wasangka yang selalu dieksploit oleh pihak-pihak tertentu.

Sesuatu kaum patut mengetahui sensitiviti, pantang larang, dan kepercayaan kaum yang lain supaya berhati-hati dan tidak menyinggung perasaan orang. Masyarakat bukan Islam wajib mengetahui apa-apa yang dikatakan haram dan halal bagi umat Islam. Bukan sahaja babi dan arak itu haram, makanan lain pun menjadi tidak halal kalau proses penyediaannya tidak bersih , seperti misalnya kilang membuat bihun bersebelahan kandang babi. Orang Islam juga patut faham bahawa orang India penganut Hindu dilarang memakan daging lembu. Hal-hal yang seperti ini patut menjadi sebahagian daripada pendidikan sosial dan budaya bangsa kita, iaitu kefahaman dan pengertian tentang nilai-nilai dan norma yang diamalkan oleh pelbagai kaum dan budaya. Pihak mana dan bagaimanakah ia patut dilaksanakan? Ini memerlukan usaha yang serius, bukan lip service, dan retorik . Ia memerlukan pemikiran yang besar, strategi yang boleh dicapai, dan dana yang bukan sedikit.

Kita harus dapat menikmati dan memanfaatkan bersama kecemerlangan pencapaian daripada setiap kaum dan budaya sebagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India sama-sama berasa bangga dan megah melihat Nicol David, Chong Wei, dan Sheikh Muzaffar mencetak nama masing-masing untuk negaranya di luar sempadan, lautan, dan angkasa . Perlu diingat pencapaian peribadi itu tidak mungkin tanpa sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada kemudahan kebangsaan, dan bangsa kita tak mungkin berbangga tanpa komitmen tinggi daripada peribadi individu yang berkenaan. Kerjasama, persefahaman dan komitmen seperti inil;ah yang harus kita wujudkan antara kaum setiap waktu.



Jadi marilah kita berfikiran positif dan berusaha membina perasaan hormat pada sejarah masing-masing, membina impian perdamaian dalam kepelbagaian . Engkau dengan agama engkau; aku dengan agama aku, dan aku tidak menyembah apa yang engkau sembah; aku akan memelihara kesucian agama aku, dan berlaku adil terhadap orang lain. Semua kita boleh
menuju ke kemuncak impian kita dalam kedaulatan perlembagaan negara yang ada. Sangat luas serta lapang ruang yang berada di sekitar ; dan jangan disempitkan dengan tindakan yang tergesa-gesa dan tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab dalam erti kata: kita tahu apa kesan, akibat atau konsekwensi daripada perbuatan kita.

Monday 13 October 2008

PERPADUAN: DARIPADA METOS KEPADA KENYATAAN

Bolehkah kita mewujudkan perpaduan bangsa di kalangan Melayu, Cina , India dan lain-lain keturunan? Tetapi sebelum itu apakah ada perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri, masyarakat Cina atau masyarakat India ?



Apakah maknanya perpaduan? Bergabung menjadi satu dan bersebati; bersatu hati dan sehidup semati apabila menghadapi setiap masalah; bersetiakawan dan searah sehaluan? Menyeragamkan pelbagai kebudayaan kebendaan dan rohaniah menjadi sama untuk semua? Kalau ini yang kita maksudkan, maka perpaduan bangsa itu adalah satu angan-angan, satu idealisme tinggi yang tak tercapai, dan satu metos. Jangan kelirukan fikiran dan lidah kita.



Kalau kita memandu kereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Plus dan berhenti di tempat istirihat di Tapah, kita akan melihat kereta-kereta Produa, BMW, Mercedes, VW, Toyota, Honda, KIA dan lain-lainnya. Semua jenis kereta ini baik di bawah 2000 cc, atau yang berkuasa lebih tinggi di miliki oleh pelbagai kaum baik Melayu, Jawa, Hakka, Jaffna atau lain-lainnya, dan tak ada satu-satu keturunan memonopoli sesuatu jenis kenderaan atau sesuatu kelas kereta. Jadi dalam setiap kaum ( Melayu, Cina atau India) terdapat beberapa lapisan, kumpulan, dan profesion yang berbeza-beza: miskin kaya , berpendidikan tinggi dan rendah; yang tradisi atau yang moden, dan dari bandar atau luar bandar. Kalau pun ada yang sama pekerjaan profesionalnya ( seperti peguam, doktor, dan ilmuwan), tetapi dari segi adat resam budaya, agama dan stail kehidupan , tidak mesti sama. Pendek kata kira-kira 26 juta penduduk Malaysia
ini hidup dalam pelbagai kebudayaan.

Inilah hakikat kaum dan kebudayaan Malaysia: ada bangsa Melayu dengan kebudayaan dan agamanya, ada bangsa Cina dengan kebudayaan dan kepercayaannya, ada bangsa India dengan kepercayaan dan agama Hindunya, dan ada kaum-kaum lain lagi yang menganut agama Buddha, Kristian ,Sikh, animisme etc. Tentu ada juga anggota masyarakat yang atheis dan tak percaya kepada tuhan atau mana-mana agama. Dalam masing-masing bangsa juga ada kumpulan-kumpulan mempunyai keutamaan terhadap falsafah, ideologi, aliran, fahaman,
dan rukun tertentu yang berbeza daripada anggota masyarakat sebangsanya. Latarbelakang kemasyarakatan, kepecayaan, dan intelektual yang berbeza ini , diperkuatkan pula dalam beberapa hal oleh jarak atau sempadan alam seperti antara Kelantan dengan Johor, dan Timur Malaysia dengan Semenanjung Malaysia, maka semakin beragam dan pelbagailah nilai-nilai, unsur-unsur dan amalan sosial-budaya di negara persekutuan ini.

Kepelbagaian di atas barangkali jelas ditunjukkan oleh adanya sangat banyak parti politik baik di kalangan Bumiputera, Cina atau India seperti PBS, UMNO, PAS, Keadilan, DAP, MCA, Gerakan, SAPP, MIC , Progresif, dan banyak lagi.

Penduduk kita kena menerima hakikat ini, dan hidup dalam kepelbagaian ini, dan situasi yang bernama perpaduan itu adalah satu konsep yang idealis, satu metos, dan bukan kenyataan.
Ini fakta kehidupan yang harus kita hadapi dengan objektif dan rasional, dan jangan dikelirukan
oleh retorik politik yang tidak berdiri tegak di atas muka bumi yang nyata.

Kalau kita berani menghadapi kenyataan itu, selanjutnya kita harus dengan fikiran yang jelas memahami masalah-masalah dan cabarannya bagi memupuk kehidupan yang sivil, adil, berakal budi dan harmoni. Kita harus sedar dan insaf akan sejarah masa lalu, dan memeta kehidupan bernegara masa depan. Dialog dan perbincangan ini harus terbuka kepada rakyat yang bertanggungjawab, dan bukan diarah , dipaksa, diakta dan diperundangkan sebagai jalan pintas ke depan. [ BERSAMBUNG ]

Monday 6 October 2008

IGAUAN-IGAUAN SOSIAL

Salam Syawal yang seikhlasnya kepada semua pengunjung blog saya dan sahabat-sahabat semoga kita semua lebih segar hati dan rohani dan cerah fikiran dan idea setelah menempuh sebulan pengalaman yang rohaniah dan kembali kepada fitrah.

Ketaqwaan kita tidak akan lengkap dan sempurna kalau kita mengabaikan isu-isu sosial yang menjejaskan perhubungan dan kehidupan yang berakhlak, adil, bebas, selamat, bersih dan beradab. Setiap ciri hidup ini saling berkaitan dan yang satu diperlukan bagi yang lainnya. Bagaimana kita boleh selamat, bebas, dan bersih kalau orang tidak berakhlak, tidak adil dan tidak beradab. Demikian juga bagaimana orang boleh hidup berakhlak, adil dan beradab kalau tidak bebas, tidak bersih dan tidak selamat. Jadi klehidupan beragama itu tidak sekadar
akidah dan ibadat kita kepada Tuhan, tetapi menyeluruh mencakupi suruhan-suruhan Tuhan tentang perilaku kita terhadap jiran tetangga, masyarakat, dan negara agar, kezaliman, kejahatan, penyelewengan, tipu helah, pelanggaran akhlak, dan pemusnahan budaya dan alam dicegah demi kesejahteraan rohani dan jasmani manusia . Kita manusia beragama dan bertuhan , dan harus hidup dalam hukum hakam yang betul.

Inilah tugas dan tanggungjawab sosial penulis, seniman, bloggers, pemikir, seniman dan budayawan, iaitu menjadi mata kepala dan lidah yang segar untuk kehidupan seni, budaya dan sosial di sekitarnya. Tuhan merestui anda. Tanam keberanian itu. Tuhan menyelamatkan anda. Jangan takut kepada manusia. Tuhan lebih besar dan Dia Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat. Itulah semangat Ramadhan dan Syawal. Jujur, yakin, dan berani; tawakal, ikhtiar dan pasrah.

@@@

Hujung Ramadhan dan pangkal Syawal ini bertimbun isu politik, sosial dan budaya yang mengapung ke permukaan; ada yang tenggelam timbul, ada yang hanyut seperti sampah sarap, dan ada yang bercokol setiap hari di depan mata. Apa pun jangan lepaskan semuanya tanpa dipedulikan. Terlalu banyak yang rusak dan menjahanamkan kehidupan budaya dan sosial bangsa kita telah berlaku kerana segelintir masyarakat yang berfikir dan berupaya mengucapkan fikirannya telah diperbudakkan oleh pemimpin politik pada masa-masa yang lalu. Agamawan pun ramai yang dicucuk hidungnya seperti ternakan. Ilmuwan pun ramai yang menjadi mesin bebal. Tokoh budayawan dan seniman pun ada yang menjadi kera kongkang. Ramai yang lumpuh atau dilumpuhkan . Sungguh malang bangsa kita.

BN sedang terperangkap dengan kemelut dalamannya. PKR nampak saja kompak solidaritasnya dari luar. Dalam mana-mana parti politik pun mesti ada perebutan kuasa kerana dalam politik keutamaan ialah mempunyai kekuasaan ( ekonomi, pentadbiran, dan pengaruh). Tempiasnya kepada rakyat yang majoritinya tak faham apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tajuk-tajuk besar berita di TV dan akhbar harian yang didalangi oleh manipulator pelbagai pihak. Nasib baik ada blog-blog yang bebas, walaupun pengaruhnya taklah hebat sangat bagi membentuk pandangan awam dan persepsi rakyat terbanyak.

@@@

Satu isu yang saya hendak beri pandangan kali ini ialah ura-ura hendak mengadakan akta
tentang perpaduan atau perhubungan ras. Entah pemimpin politik mana yang mula-mula menonjolkan perkara ini ( GERAKAN atau DAP atau MCA?) kerana seorang Ketua UMNO mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman , iaitu tentang sejarah kedatangan orang Cina, maka dicadangkanlah supaya diadakan akta perhubungan ras bagi mengekang perbuatan yang seumpamanya pada masa depan.

Apakah kita hendak jadikan negara ini berserabut dengan macam-macam akta sehingga menjadikan masyarakat Malaysia ini lemas dengan sangat banyak akta? Apakah tidak ada pendekatan yang lebih cerdik otak dan bijak fikiran untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan? Apakah tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh menindak pesalah laku atau pelanggar yang menjejaskan ketenteraman penduduik berbilang kaum? Apakah wakil rakyat, Ahli Parlimen, dan Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri itu dipilih untuk menggubal undang-undang sahaja kerjanya? Kenapa juga tidak fikirkan juga tentang memansuhkan akta-akta yang ada yang susah hendak dikuatkuasakan? Semakin banyak akta yang memberi kekuasaan kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang semakin banyak peluang untuk melakukan rasuah .

Sudah tiba zamannya bagi setiap pemimpin berfikir dalam-dalam sebelum bercakap tentang urusan rakyat; dan mengkaji dengan teliti pelbagai makna dan implikasi tindakannya bukan sahaja sewaktu mereka berkuasa , tetapi juga kesannya berpuluh tahun akan datang . Kita memerlukan ahli politik yang memiliki tanggungjawab moral yang tinggi, dan berfikir secara halus serta teliti pada zaman ini . Tuan-tuan sekalian harus menunjukkan kredibiliti yang besar. Politik praktis dan pragmatik sahaja akan bengkok dibawah paluan mata fikir rakyat. Pembangunan politik negara yang patriotik dan nasionalistik harus juga dilandasi nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan idealisme besar yang berpandangan jauh ke depan.

Saya akan mengulas lagi tentang perihal akta perhubungan ras di atas pada paparan atau posting akan datang. Ini isu yang mesti kita sama-sama bahas supaya bangsa kita yang berbilang kaum ini berpeluang untuk menyertai perbahasan penting yang menyangkut keharmonian bersama sekalian rakyat dan generasi akan datang.