Wednesday 28 January 2009

PRESIDEN SASTERA lw PRESIDEN POSTER



Sekarang sudah sah Barrack Hussin Obama dipanggil Presiden Sastera oleh kalangan
pengarang di Amerika. Demikian kata Chicago Tribune. Obama bukan sahaja menggunakan ungkapan bahasa yang cantik di dalam ucapan-ucapannya di depan khalayak ramai, tetapi dia juga menulis buku di dalam kesepiannya. Perihal Presiden Amerika yang mahir menulis tentang idea demokrasi dan kebebasan rakyat di dalam bahasa Inggeris telah pernah juga dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Presiden Roosevelt. Mereka bukan sahaja melahirkan retorik sensasi di atas pentas untuk mempengaruhi pendengar memberikan undi esok atau lusa, tetapi cuba memasuki hati nurani dan kesedaran pendengar tentang permasalahan kehidupan yang asas dan manusiawi dalam bidang keadilan, kebebasan, dan kesejagatan.



Keistemewaan Obama ( sebagai Presiden Sastera) dalam kreativiti ucapannya menjadi semakin menonjol apabila dibandingkan dengan Bush yang dianggap sebagai Presiden Poster, yang hanya membaca ucapan-ucapan bertulis yang dikarang oleh orang lain( speech writer/ghost writer atau penulis hantu/penulis halimunan). Lebih teruk lagi Bush dikatakan tidak membaca buku, malah berbangga tentang perihal tidak membaca buku.



Begitulah kalau orang sudah menyampah (atas perbuatan dan kejahatan sendiri)
macam-macam orang kata apabila sudah terlucut daripada kerusi negara.



Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin kita? Siapa yang boleh dikatakan sebagai Perdana Menteri Sastera ? Jawabnya tak ada. Kalau ada pun yang menulis , bahasanya tidak cantik atau hebat, dan tidak menambat perasaan , apatah lagi untuk diingat dan dihafal. Mereka hanya menulis karangan biasa hari-hari untuk maklumat atau idea tentang peristiwa atau isu semasa yang topikal, dan tidak menghubungkannya dengan makna kewujudan insan, kemasyrakatan dan kenegaraan di pentas kehidupan yang lebih luas serta jauh. Apa yang lebih lucu dan jenaka lagi (sebenarnya tidak lucu dan bukan jenaka), pemimpin-pemimpin , Perdana Menteri ( kecuali allahyarham Tun Razak), dan Menteri-menteri kita tidak berasa perlu memperjuangkan dengan penuh iltizam bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengucapan yang kaya, sebagai bahasa budaya, bahasa ilmu dan intelektual. Juga apabila berucap di depan khalayak atau di depan media bercampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris kerana ramai antara kita telah dilatih berfikir dan mengucapkan fikiran dalam bahasa asing itu sewaktu di sekolah.

Itulah sebabnya bahasa Melayu kita tidak indah, dan tak berdaya menambat fikiran; bahasa Inggeris kita pula tidak halus dan canggih. Kita menjadi serba tanggung, kiri tidak dan kanan pun tidak, kerana menganggap peranan bahasa itu sebagai sepatu yang dipakai setiap hari ke tempat kerja. Mungkin sepatu kita lebih cantik dan mahal daripada bahasa yang kita gunakan.

Bahasa bukan sahaja menyampaikan maklumat dan fikiran, tetapi membentuk idea, mendidik fikiran dan nilai-nilai. Inilah rahsia dan amanah bahasa yang dianugerahkan oleh Tuhan bagi bangsa- bangsa di dunia.

Sewaktu mengirim jawapan terhadap pandangan seorang seniman tentang hakikat puisi, saya memetik fikiran Paulo Coelho, pengarang Brazil yang terkenal, yang mengatakan bahawa setiap insan patut memiliki dua bahasa: bahasa masyarakat, dan bahasa tanda. Satu untuk berkomunikasi dengan orang lain; dan satu lagi untuk membaca pesanan Tuhan.




Catatan: Saya sedang menunggu terjemahan buku Obama ( Audicity of Hope ) yang diusahakan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.











Sunday 25 January 2009

SEBUAH PUISI MALAM


TERMANGU DALAM ARUS WAKTU

Ada waktu-waktunya
manusia menempuh saat-saat aneh:
ada cinta dan rindu sewaktu pagi
ada kesepian dan kesedihan menjelang senja
dan mimpi-mimpi ngeri sebelum fajar tiba.

Bertahun-tahun dahulu segalanya terjadi
kini aku hanya terkenang dengan tiba-tiba
tak sengaja mengeja namamu di atas meja
aku hanya senyum, tak ada apa-apa lagi antara kita
hanya mengenang keterlanjuran zaman muda.

Adakah apa yang dikatakan keindahan
hanya dalam ingatan dan bayangan
yang membikin kita senyum sendirian
seperti tidak siuman?

Kita bukan hanya jasad,
ada sebuah dunia di dalamnya
berlegar seperti bintang-bintang
dalam cakerawala yang gelap dan ghaib.

Kita hanya tahu dunia itu ada
meskipun tak bersuara dan ghaib di mata
yang kita namakan kenangan.

Apakah engkau masih mengingati namaku juga
walaupun tidak lagi menulisnya setiap hari di dalam diari ?


Baha Zain
Jan 25, 2009


Wednesday 21 January 2009

a: SELAMAT TINGGAL BUSH DAN SELAMAT DATANG OBAMA

a: SELAMAT TINGGAL BUSH DAN SELAMAT DATANG OBAMA

GRAKAN MENGEMBALIKAN KEDAULATAN BAHASA KEBANGSAAN

"HAPUSKAN PPSMI:
KEMBALIKAN BAHASA KEBANGSAAN"



Malam tadi khabarnya satu mesyuarat telah diadakan di Shah Alam dengan dipengerusikan oleh Dato' Dr Hassan Ahmad , dan dihadiri banyak Badan Bukan Kerajaan, termasuk badan pendidikan Cina , memutuskan akan diadakan perhimpunan dan penghantaran memorandum kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong, membantah PPSMI ( Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains) di sekolah-sekolah sekarang.

Golongan penulis di bawah naungan GAPENA akan juga mengaturkan satu acara yang bertujuan sama pada bulan Februari dengan menghimpun penulis-penulis dari seluruh negara membantah penerusan PPSMI oleh pihak kerajaan.

Dengarnya ada lagi kumpulan lain yang sedang merancang menentang sikap ketidakpedulian kerajaan terhadap suara-suara rakyat kecil ini.

Sebenarnya semua bantahan, demonstrasi dan protes ini tidak seharusnya terjadi sedemikian rupa kalau pihak kerajaan telah menghadapinya dengan tulus ikhlas dan menunjukkan respons yang jujur terhadap rayuan, permohonan dan pandangan yang rasional serta menasabah daripada ramai pihak. Walaupun mereka tidak mempunyai pengaruh atau kekuasaan politik, tetapi cukup rendah hati dan tegas memberikan kritikan. Patutkah suara-suara budaya yang ikhlas ini dipandang sepi dan cuba ditenggelamkankan pula dengan beberapa usaha politik yang propagandistik
seperti mempengaruhi kelompok -kelompok profesional pendidik, ibu bapa, dan
jentera media untuk mengeluarkan kenyataan bagi melawan suara anti-PPSMI.

Adalah sangat malang suatu isu kebahasaan dan pendidikan dalam rangka pembangunan tamadun bangsa yang sangat penting dan jelas masalahnya tidak segera diselesaikan secara berani dan bijaksana. Seluruh psycholgi dan sikap mental bangsa moden kita seolah-olah terpesona dengan kilauan pembangunan
mega, kebendaan dan teknologi yang nampak pada pandangan, yang tangible dan visible, sehingga memandang remeh unsur-sunsur budaya kerohanian, intelektual dan kreatif , dan warisan sejarah bagi membangunkan satu umat manusia yang yakin akan identiti dirinya, beradab dan teguh jiwa raganya.

Kita tak boleh menyalahkan sesiapa. Destini sejarah masyarakat dan budaya kita begitu terlanjur menyebabkan kita semua terhantar ke dalam satu landskap minda yang superficial dan nipis , tetapi kemelut jiwanya. Walau bagaimana pun pemimpin politik harus berasa bertanggungjawab bahawa di dalam kemelut ini mereka telah mengambil sikap tidak mesra ilmuwan dan cendekaiawan, dan malah memisahkan mereka daripada menjadi sebahagian daripada rakan perbincangan ikhlas dalam dialog serta proses pembinaan negara.

Masakan masa depan kita itu terus kejam kepada sejarah, bahasa dan budayanya?
Tentulah Tuhan senantiasa menyayangi umatnya yang tak patah usaha, sabar dan tawakal. Belajar daripada sejarah juga , tokoh politik boleh datang dan pergi, ilmuwan dan cendekiawan yang di luar lingkaran kekuasaan semasa, akan relatif lebih kekal daripada satu era politik ke era politik yang lain. Dalam situasi inilah ilmuwan dan cendekiawan memiliki pengaruh yang lebih tahan. Jadi jangan berputus asa.





A

Sunday 18 January 2009

GENOSID 2009

Israel menghadiahkan satu bungkusan besar genosid kepada rakyat Palestine sebagai cenderahati untuk tahun baru 2009 melalui kereta kebal, kapal terbang jet, helikopter, dan kapal perangnya.

Kepada bangsa-bangsa Arab , Israel menghadiahkan satu tempelengan di muka; dan kepada dunia dia memberikan jelingan mata sambil memberi isyarat: " Aku dan sekutuku, Amerika, yang memberi takrifan tentang kemanusiaan. Islam, Cina, Jepun , India dan Russia hanya pembaca.


'TANGISAN ANAK KECIL DI BUMI ANBIA"

Ayahku terbunuh
Ibuku luka
Aku tak berdaya.

Aku tak berdaya
Aku haus
Aku tak bermaya.

Aku sejuk
Tolong ! ibuku
Beri kami selimut.

Tolong ! ibuku
Aku takut
Beri aku pelita.

"Kami pun tak berdaya
Hanya suara
Seperti Bangsa-bangsa Bersatu itu
Ribuan batu dari al-Aqsa
Remuk dan luka di dalam
Menangis dalam diam".


Baha Zain
Dusun Permai
18 Januari 2009

Friday 16 January 2009

ISRAEL: DUNIA BOLEH KATA APA SAJA

ISRAEL MAHU BOM IRAN

Menurut New York Times, 14 Januari 2009, wartawan utamanya ( David A.Sanger) yang berpangkalan di Washington menulis bahawa Ehud Olmert, PM Israel, pada tahun lalu megemukakan permohonan untuk mendapatkan bom penggempur kubu ( bunker-busting bomb) dari Amerika bagi menghancurkan kompleks nukliar Iran yang berada di Natanz. Israel akan terbang melalui udara Iraq ke Iran bagi misi pengeboman ini, tetapi diberitahu oleh Bush bahawa rancangan Amerika ialah melakukan sabotag terhadap peralatan komputer, pengiriman bahan dan lain-lainnya, dan akan berkongsi maklumat dengan Israel.

Israel cuba mendapat persetujuan Bush sebelum dia mengakhiri kekuasaannya pada 20 Januari ini. Walau bagaimana pun Bush akan menyampaikan program sabotajnya kepada Obama untuk diteruskan. Adalah jelas bahawa Israel itu sangat bergantung kepada kekuasaan, kekuatan dan pengaruh politik internasional Amerika untuk melaksanakan strategi Zionisme, baik di medan peperangan mahupun di Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Israel juga menjadi lebih berani, agresif dan kejam kerana keengganan negara-negara Arab
bersatu menentang Israel kerana bimbangkan sokongan Amerika. Umat Islam di dunia juga tidak menjadi kuasa besar dan kuat , walaupun ekonominya kaya, selain juga tidak memiliki keberanian moral untuk menentang Amerika walaupun terang-terang membantu Israel menyembelih anak-anak dan ibu Islam. Seorang ibu Islam yang dibunuh hari ini bererti potensi untuk melahirkan 4 atau 5 orang manusia Islam pada masa depan dapat dilumpuhkan. Demikian juga matinya seorang kanak-kanak Islam yang bakal menjadi pejuang atau bapa pada masa depan berjaya dihapuskan lebih awal. Inilah antara pendekatan Israel untuk melemahkan musuhnya walaupun tahu benar-benar bahawa pembunuhan anak-anak dan wanita adalah satu tindakan luar kemanusiaan yang tidak selaras dengan pegangan negara-negara beradab dan adil. Perbuatan ini adalah jenayah perang yang boleh diambil tindakan oleh dunia antarabangsa terhadap tokoh yang bertanggungjawab, tetapi Israel peduli apa pada dunia (selagi Amerika di belakangnya).

Israel mempunyai rancangan dan persediaan persenjataan, strategi, dan politik yang rapi lagi jauh ke depan yang susah disaingi oleh musuh=musuhnya: Palestine, Arab, Islam dan kita.
Dalam waktu yang sama Israel dan Amerika menyemai racun propaganda melalui media , filem, hiburan, kesusasteraan, iklan dan politik budayanya bagi melemahkan sikap serta daya juang dunia lain.

Hari ini lebih seribu nyawa rakyat Palestin dipadamkan; dan beribu-ribu lain luka parah, dan prasarana Gaza dihancurkan. Israel dan Amerika peduli apa.

Umat Islam mesti bangun, berjihad dan melawan. Bermulalah dengan berani bersuara terlebih dahulu, tidak kira terhadap sesiapa pun walaupun orang kita sendiri , pemimpin kita sendiri, kalau mengkhianati warisan dan kebenaran.

Sunday 11 January 2009

AIR MATA DAN DARAH DI BUMI ANBIA

Malam itu (Jumaat 9 Januari 2009) ada bulan tergantung di langit. Ada lampu menyuluh ke pentas. Ramai penyair ( Dr Ibrahim Ghafar, Shamsuddin Othman, Khalid Salleh, Dr Ahmad Razali, Daeng Ramliakel, Dato' Dr Kemala, Puzi Hadi, dan kawan-kawan penyair lain termasuk suara-suara lembut tegas penyair wanita) mendeklamasi puisi yang sendat berisi perasaan getir, marah dan dendam terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Yahudi Zionis terhadap ribuan rakyat Palestin di Gaza. Lebih 35 % kanak-kanak kecil tewas dan cedera. Lama sebelum tragedi ini , Gaza memang dalam krisis : disekat sempadannya, dihadkan makanan, air dan kebebasan. Gaza adalah sebuah kem tahanan manusia yang besar, untuk lebih satu juta jiwa. Dalam kemelaratan itu penduduknya dihentam dengan bom dari langit, tembakan dari lautan , dan bedilan peluru meriam dari kereta kebal di daratan sejak 27 Dis. 08 sehingga hari ini 12 Jan.09. Mereka juga dibom dengan fosforus putih yang boleh membakar kulit hingga ke tualng. Dahsyat dan kejam.

Antara dengar dan tidak dengar suara bacaan puisi dengan jeritan kemarahan, dan juga ayat-ayat al-Quran yang disuarakan, dalam hati saya mengharapkan agar Tuhan mendengar dan menerima doa yang dibaca pada pembukaan Malam Baca Puisi Pena itu oleh Ustaz Azman ( pengarang muda yang prolifik), dan sahutan ameen kami agar rakyat yang tak berdaya terlindung daripada pembunuhan yang ganas tak berperikemanusiaan

Terlintas di kepala juga bagaimana kalau kita rakyat Malaysia di serang oleh Singapura dengan kekuatan yang sehebat itu ? Bolehkah kita degil bertahan dalam suasana kurang makanan, minuman, rawatan , perubatan, dan alat senjata? Bolehkah kita tabah berani melawan sampai ke titisan darah terakhir tanpa menyerah; berhari-hari dan bertubi-tubi diserang dari atas udara, laut dan daratan, dan menyaksikan isteri , suami dan anak-anak kita putus kepala, kaki atau tangan? Bayangkanlah. Janganlah kita leka hidup dalam kesenangan dan keselesaan kerana Tuhan akan menduga orang yang lalai, dan juga alpa kepada-Nya.

Saya juga terbayang bagaimana kalau Masjid al-Aqsa , masjid ketiga mulia bagi umat Islam, dibom dan dibedil hingga ranap oleh Yahudi Israel. Saya masih ingat meletakkan dahi saya , sujud di permaidani yang menutup lantai marmarnya sewaktu menziarah Baitulmuqadis beberapa tahun yang lalu. Berada terpencil diawasi mata tentera Yahudi. Aneh!

Bilakah seluruh masyarakat dan umat Islam benar-benar akan bersatu melawan Israel dan Amerika yang menjadikan Israel ( proksinya ) menjinakkan Arab di Timur Tengah, dan alat menentang Islam ? Marilah kita ajar dan sedarkan anak-anak kita tentang serjarah Islam; apa maknnya masjid al-Aqsa kepada kita , kepada Israk dan Mi'raj, dan suruhan-suruhan Tuhan melalui Nabi-Nabi-Nya.

Di samping melengkapi ilmu dan kepandaian kepada anak-anak dan generasi muda , ibu bapa nampaknya perlu menanamkan sikap berani menentang musuh atau lawan, dan semangat juang yang degil serta gigih kalau bangsa kita akan survive pada masa depan. Pendidikan ilmu dan kemahiran sahaja tidaklah cukup kalau bangsa kita pengecut dan bacul memperjuangkan maruah dan hak bangsa. Mereka akan hanya bagus menjadi manusia yang tamak, dan memikirkan kemewahan dan survival diri sahaja. Soalnya apakah metode dan pendekatan budaya pendidikan yang diperlukan bagi semangat juang itu? Ini bukan kerja individu, tetapi suatu filsafat dan gerakan nasional. Inilah persoalannya yang perlu kita putuskan terlebih dahulu, yakni falsafah kepimpinan nasional.

Ah! saya sudah pergi terlalu jauh dihanyutkan oleh suara-suara garang puisi pada malam hari. Saya pulang hampir jam 12 tengah malam selepas bertukar sembang dan pandangan dengan sekelompok pengarang muda yang masih segar bugar dan kaya dengan impian masa depan.
Hari ini, mereka itu, adalah masa depan kita. Lalu datang sebuah puisi:

DARI TEL AVIV KE WASHINGTON
( untuk para mujahid yang terbunuh berperang)

Dari Tel Aviv ke Washington
Sebuah bisikan:
" Serangan dari udara."
"Silakan ! ".

Dari Tel Aviv ke London
Sebuah pesan:
"Tembakan meriam dari lautan.
"O.K. ! "

Dari Tel Aviv ke Paris
Sehelai nota:
" Bedilan meriam kereta kebal di daratan."
"Oui ! ".

Dari Tel Aviv ke Paris, ke London dan Washington
Seribu konspirasi, pura-pura dan dustaText Colour
Terkeliru dunia, tersihir kita dengan kata-kata.

Kemanusiaan itu unutk yang bersenjata
Kehidupan itu untuk Barat yang perkasa.

Kalau warna kulitmu sawo matang
Kalau kulitmu kuning atau hitam
Darah yang mengalir di bawahnya tak berharga
Warnanya bukan merah, tetapi peduli apa
Lebih murah daripada tinta tanda tangan Presiden Amerika
Untuk membasuh dosa-dosa Zionis Israel
Yang menembak ibu-ibu dan anak-anak di kepala.

Darah yang kering di butir-butir pasir dan permukaan bumi
Jadi saksi manusia waja bertahan di buminya sendiri
Hanya doa dan dinding-dinding batu tempat berkubu
Kematian, bukanlah kekalahan yang abadi
Percayalah,
Di sana ada syurga yang sedang menanti.
Amin ! Amin.

bAHAzAIN
12 jANUARI 2009

Tuesday 6 January 2009

WAJAH MELAYU DI MATA ORANG (iv)

(Sambungan)

Seterusnya mari kita lihat gambaran Melayu dahulu sebagaimana yang dilukis oleh seorang pengembara wanita Inggeris yang telah mengembara di banyak tempat di dunia ( Jepun, Cina, Vietnam, Australia, New Zealand, dan Hawai). Pada tahun 1879 (130 tahun dahulu) Isabella L. Bird mengembara di negeri-negeri Melayu dengan misalnya menaiki perahu di Sungai Linggi, dan menunggang gajah ke Kuala Kangsar, pada usia 47 tahun. Daya pengecamannya yang tajam , dan pandangannya yang kritis diterbitkan dalam bukunya, The Golden Chersonese: Travels in Malaya in 1879, K.L: Oxford in Asia Paperback, 1967. Antara lain katanya:

The Malays proper inhabit the Malay Peninsula, and almost all the coast regions of Borneo dan Sumatra. They all speak more or less purely the Malay language; they all write in the Arabic character. Their colour is a lightish , olive tinted, reddish brown. Their hair is invariably black, straight, and coarse, and their faces and bodies are nearly hairless. They have broad and slightly
flat faces, with high cheek bones, wide mouths , with broad and shapely lips, well formed chins, low foreheads , black eyes, oblique , but not nearly so much so as those of the Chinese, and smallish noses , with broad and very open nostrils. They vary little in their height, which is below that of average European. Their frames are lithe and robust , their chests are broad , their hands are small and are refined , and their feet are thick and short. The man are not handsome , and the women are decidedly ugly. Both sexes look old very early.

The Malays undoubtedly must be numbered among civilised peoples. They live in houses which are more or less tasteful and secluded. They are well clothed in garments of both native and foreign manufacture ; they are a settled and agricultural people; they are skillful in some of the arts, specially in the working of gold and damascening of krises ; the upper classes are to some extent educated ; they have a literature, even though it be an imported one, and they have possessed for centuries systems of government and codes of land and maritime laws which in theory at least, show a considerable degree of enlightenment.

Their religion, laws , customs, and morals are bound up together. They arer strict Mussulmen [Muslims. BZ ], but among the uneducated especially they mix up their own traditons and superstitions with the Koran. The pilgrimage to Mecca is the universal object of Malay ambition..." Hal. 17-18.

Isabella Bird nampaknya bukan pengembara pelancong yang hanya teruja melihat hutan hujan tropika yang kaya menghijau, persekitaran yang lembab dan panas, dan muka serta tubuh badan manusia Melayu, tetapi lebih luas ke alam budaya dan kepercayaan serta sejarahnya. Dia
merenung ke dalam ruang pentas hidup yang lebih lebar; kepada kesenian dan kemahiran pertukangan, kesusasteraan, bahasa dan aksara (huruf), norma dan undang-undang yang mengatur tamadun Melayu. Diakuinya bahawa , " ... they have possessed for centuries systems of government and codes of land and maritime laws...". Ini bererti sudah berabad-abad lamanya
kedaulatan kerajaan Melayu itu terbentuk terbentuk sebagai satu sistem pemerintahan yang berkuasa dan sah sebelum dia mencecahkan kakinya ke bumi Semenanjung Tanah Melayu.
Isabella Bird nampaknya telah mengkaji sejarah dan budaya negeri-negeri Melayu untuk memaknakan pengembaraannya, dan mencatatkannya untuk kita menginsafi makna diri setelah lebih satu abad kemudian.

Sunday 4 January 2009

WAJAH MELAYU DI MATA ORANG (III)

(Sambungan)

Tentu ada yang gusar kenapa wajah negatif Melayu dipaparkan terus. Apakah tidak cukup dengan pelbagai perbuatan membantai Melayu pada zaman sekarang oleh pelbagai pihak termasuk daripada mulut pemimpin Melayu sendiri ( seperti ungkapan "Melayu mudah lupa"). Lebih teruk lagi apabila ada pemimpin dengan kekuasaannya mengurangi hak Melayu kerana hendak mengambil hati dan undi orang bukan Melayu.

Mari kita berhadapan dengan kenyataan-- pandangan baik dan juga pandangan yang buruk. Itu lebih bermanfaat daripada hidup dalam ilusi dan ketaksuban mimpi indah tentang diri sendiri. Orang Melayu mesti insaf akan persepsi orang terhadap dirinya meskipun getir rasanya. Orang Melayu mesti bangun daripada kelekaan dan menggelidah diri yang dinafikan; dan memutuskan jenis watak bangsa yang hendak dibentuk. Ini adalah waktu yang tepat untuk berdiri, menilai situasi sosial, budaya, kepemimpinan dan polititk.

Tentang gambaran Melayu dalam persuratan asing: Inggeris, Perancis, Itali, Cina dan Jepun, Prof. Muhammad Hj. Salleh telah menulis sebuah esei yang sangat menarik untuk diteliti: "Malaysia dlam Kesusasteraan Dunia" dlm. Menyeberang Sejarah (Kumpulan Esei Pilihan), DBP.1999. Dia telah merujuk banyak karya dari Barat dan Timur . Salah sebuah gambaran lukisan novelis terkenal Conrad terhadap seorang Bugis di Sulawesi Selatan seperti yang terdapat dalam esei:

"...bentuk badannya lembut sederhana tinggi dan bidang bahunya yang lebar menunjukkan kekuatannya...wajahnya penuh dengan keazaman dan membayangkan sifat keberanian berjenaka , akan tetapi masih memelihara kemuliaan dirinya. Dagu berbentuk segi empat , merah dan tebal, lubang hidung bergerak-gerak dan cara kepalanya tegak megah memberikan kesan bahawa dia adalah separuh liar , tidak jinak, mungkin kejam , dan mengatasi kelembutan sepasang mata keperempuanan, yang menjadi ciri am bangsa ini " (halaman 498)