Saturday 31 October 2009

SINGAPURA: DALAM SUKA & BENCI (1)

Pulau kota yang kecil itu hanya di seberang selat sahaja; masih kelihatan jelas tebingnya dari Johor. Sudah hampir 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki di buminya. Tak ada apa-apa yang menarik untuk ke sana, kecuali kenangan terhadap sejumlah kawan akrab, dan rasa terhutang budi atas pengaruh persuratan yang berpangkal di kota itu. Majalah Hiburan, Mastika, Mutiara, dan Filem Raya yang terbit sekitar tahun-tahun 50-an di Singapura tiba ke kampung halaman
saya dan menjadi bahan bacaan kegemaran yang barangkali telah menyemaikan benih cinta terhadap persuratan dan penulisan dalam bahasa Melayu.

Dari pulau inilah juga terbitnya filem-filem Melayu yang menayangkan lakonan dan lawak jenaka P.Ramlee, Aziz Sattar, Ibrahim Pendek, Shamsuddin dan beberapa yang lain, serentak dengan lakonan bintang-bintang utama seniman P. Ramlee, Romai Noor,M. Amin, Omar Rojik, Aziz Jaafar, Jins Shamsuddin, Ahmad Mahmud dan Nordin Ahmad di samping seniwati Kasma Booty, Maria Minado, Saadiah, Latifah Omar, Normadiah, Rosnani etc. Mereka semua telah menghiburkan hati jutaan penonton di ceruk rantau semenanjung. Pakaian dan sikat rambut mereka menjadi model membentuk fesyen muda mudi dari Johor Bharu hingga ke Pulau Pinang. Malahan cara mereka berdialog pun menjadi ajukan.

Di atas sempadan dua negara (Singapura dan Malaysia) terentang suatu tradisi dan warisan bersama yang sangat lama , hanya diputuskan ikatannya oleh seorang Perdana Menteri Melayu yang diamanahkan memelihara tradisi, budaya dan kepentingan Melayu , tetapi gagal memenuhi tanggungjawabnya apabila berhadapan dengan cabaran dan penentangan politik. Ada yang berpendapat Kuala Lumpur patut mengerahkan seribu atau dua ribu anggota tentera daripada Rejimen Askar Melayu pada tahun 1965, dan mengenakan perintah berkurung 24 jam terhadap Singapura serta menahan Lee Kuan Yew yang menjadi masalah kepada Tunku Abdul Rahman, PM pada waktu itu. Tetapi Tunku telah mencari jalan ringkas untuk mengelak pergaduhan iaitu dengan menyingkirkan Singapura daripada Malaysia, dan membiarkan Lee Kuan Yew bebas memimpin pulau itu.


Perihal warisan dan kepentingan Melayu dilalaikan malah cuba dikompromikan bukan sahaja berlaku sekali. Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku 40 tahun dahulu pada 1965, tetapi berulang beberapa kali pada zaman semasa., khususnya apabila bahasa Melayu dipinggirkan dalam sistem pendidikan kebangsaan negara. Sejarah itu mengajar kita berwaspada; andainya kita melupai sejarah, sejarah akan berulang dan menistai muka dan maruah kehidupan kita.

II
Meskipun citra negara Singapura itu tidak indah dan manis untuk dihormati oleh pencinta hak-hak asasi manusia, dan pejuang-pejuang civil rights, kerana dihubungkait dengan pemerintahan yang autoritarian, tidak toleran terhadap pembangkang demokratik, sistem kehakimannya memihak dan tidak bebas sehingga dikritik oleh banyak pihak termasuk Laporan Hak -hak Asasi Manusia 2008 oleh US State Department , medianya dicengkam dan dikembiri kebebasannya, penduduk asal Melayunya yang hanya 14% itu diselerakkan dan dipinggir daripada perkhidmatan kerajaan yang penting (seperti angkatan tentera, perkhidmatan awam, angkatan keselamatan, dan politik ), namun banyak yang dapat dipelajari daripada sebuah negara yang senantiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman jiran-jirannya yang lebih ramai penduduknya dan kaya dengan hasil buminya, khususnya Malaysia dan Indonesia.

Singapura telah menjadi negara maju yang kuat ekonomi serta kewangannya. Harga barangnya yang murah bermula dengan $2 Singapura (bersamaan Rm 4.60), dan tak ada wang kertas
bernilai seringgit. Lalu lintasnya teratur, tandas, tempat membeli belah dan taman-tamannya bersih , penembusan komunikasi internet lebih meluas, pengangkutan awamnya tepat dan rapi,
dan landskapnya terjaga dengan baik. Jangan lupa juga institusi pengajian tingginya dihitung lebih tinggi taraf dan mutunya daripada mana-mana universiti di Malaysia.Semuanya ini adalah hasil dan kesan daripada kepemimpinan politik yang tidak korup,pengurusan yang terancang, sistematik, dan disiplin kerja yang ketat.

Apakah ini hasil daripada majoriti penduduk Cina yang kuat bekerja, gigih mengejar kekayaan dan sangat materialistik atau Singapura tidak mempunyai pilihan lain untuk survive selain daripada budaya yang gigih berkhidmat, berniaga, berdisiplin dan menambah nilai dalam segala kegiatannya. Singapura terpaksa bergantung kepada perkhidmatan, profesionalisme, pembuatan, inovasi, dan penciptaan idea bagi terus maju kerana pulau ini miskin hasil bumi, pertanian, malah tanah dan air minum pun. Ia sangat bergantung kepada bahan mentah makanan dan air dari tanah daratan (hinterland) Malaysia dan Indonesia dan negara-negara lain. Ini adalah suatu cerita pergelutan hidup: mesti cerdik, pintar dan kalau perlu kejam.

(Bersambung...)

Thursday 22 October 2009

FESTIVAL PENULIS SINGAPURA 2009A

Akan berlangsung Singapore Writers Festival 2009 di Arts House ( bekas Bangunan Parliament) anjuran bersama National Arts Council, Arts House dan Singapore Press Holdings (SPH), dan SPH Foundation. Festival kali ke-13 ini akan berjalan 24-1 November; meliputi pelbagai bidang penulisan dan akan disertai oleh tokoh penulis dari pelbagai negera.

Tema festival ialah " UNderCovers" yang barangkali maksudnya menumpukan waktu membaca
apa yang ada di antara kulit -kulit buku. Pengarang dari Jepun, Pakistan, Inggeris, Cina, Hong Kong dan negara-negara lain, tidak ketinggalan Malaysia, akan berhimpun di Arts House (Rumah Seni). Dato Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara kita yang baru, kartunis Lat, dan saya juga mendapat undangan dari penganjur.

Singapore Arts Council juga telah mengajak Institut Terjemahan Negara Malaysia menerbitkan bersama antologi puisi Malaysia-Singapura dalam bahasa Melayu dan Inggeris -yang asli tertulis dalam bahasa Inggeris dari penyair Singapura diterjemahkan ke bahasa Melayu, dan yang dalam bahasa Melayu daripada penyair-penyair muda Malaysia di terjemah ke bahasa Inggeris. PENA telah diminta terlibat dalam penerbitan ini dan saudara Shamsuddoin Othman , Timbalan Setiausaha Pena di amanahkan untuk mengumpul puisi Malaysia dan memperkenalkannya.

Nampaknya selama sembilan hari festival padat dengan pembacaan karya, sessi pertemuan penulis, tayangan filem seni, pameran, persembahan seni muzik, dan perbincangan dengan pelajar.

Apakah yang ingin dicapai atau tujuan utama Singapura mengadakan peristiwa penulisan yang besar, dan memakan bukan sedikit belanja kerana semua perjalanan dan penginapan ditanggung
beres. Barangkali Singapura sebagai negara muda ingin membangunkan budayanya bagi turut sama melengkapi kejayaan ekonomi serta kewangannya. Dengan menghimpunkan pelbagai bakat, fikiran, gagasan dan pandangan penyair, novelis, editor, pengkritik, dan cendekiawan
Singapura mahu mendedahkan bakat-bakat negaranya kepada dialog budaya yang berisi pengalaman dan idea supaya Singapura juga tidak boleh hanya dilihat sebagai kota kebendaan, kewangan dan perkhidmatan dagang semata-mata. Ingatlah juga bahawa Singapura percaya kepada keanekawarnaan hidup atau multibudaya yang kolektif sebagai wajah masyarakat negaranya.
Barangkali sudah 20 tahun lebih saya tidak menjejakkan kaki ke pulau itu. Bagaimanakah rupanya pulau itu sekarang? Sejarah persuratan Melayu moden tidak boleh dipisahkan ceritanya daripada Singapura pada zaman kolonial Inggeris, iaitu sejak awal abad ke-20 apabila misalnya majalah Al-Imam (1906), dan novel Faridah Hanom, kedua-duanya ditangani oleh Syed Sheikh al -Hadi, sehinggalah terbitnya akhbar Utusan Melayu (1939), dan tertubuhnya ASAS 50 oleh Ariff Ahmad, Keris Mas , Asraf dll pada 6 Ogos 1950.

Di situlah juga P. Ramlee, Romai Nor, Nordin Ahmad dan bintang-bintang filem lain berhijrah
lalu mengembangkan sejarah seni filem Melayu , dan menghiburkan hati jutaan rakyat. Tetapi apa boleh buat sejarah juga telah mencari jalannya sendiri di luar kehendak kita. Ini semua gara-gara keputusan politik yang di luar daya rakyat biasa untuk menentukannya.

Singapura menjadi negara lain, tetapi kekal sebagai jiran tetangga kita seASEAN; kita boleh berlainan demokrasi dan kepercayaan, tetapi kedua-duanya tak ada pilihan lain daripada melakukan kerjasama mencapai destini wilayah yang saling memanfaatkan serta selamat.

Salam kenagan daripada saya sampai kita berjumpa lagi pada awal November.

Thursday 15 October 2009

LAGI PERHUBUNGAN JIRAN TETANGGA MALAYSIA/INDONESIA

Kelmarin tersiar berita di TV tentang tunjuk perasaan sekumpulan pekerja Indonesia di Johor memprotes kumpulan demonsran Indonesia yang menghina dan membenci negara kita baru-baru ini. Baguslah kalau pihak keselematan tidak membiarkan mereka berlebih-lebihan memanifestasi penentangannya sebagaimana kita mahu pihak pemerintah Indonesia harus menindak mereka yang anti-Malaysia, yang tidak bersopan dan tak berfikir panjang tentang manfaat perhubungan baik antara kedua-dua negara.

Kerajaan Malaysia patut mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia tentang maklumat lengkap kumpulan yang menghina negara kita , dan menyelidik siapa dalang busuk di belakang, dan apa tujuan sebenarnya di sebalik yang disuarakan. Ia tak mungkin berlaku sepontan; tentu dirancang dan diusahakan oleh satu dua pihak tertentu bagi menyebar sikap membenci terhadap Malaysia. Nama-nama dajal yang bertanggungjawab harus direkod dan diharamkan menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia.


Antara Malaysia dan Indonesia, memang tak mungkin sama dan sekata dalam semua hal kerana kita adalah bangsa dan negara yang masing-masing berdaulat dengan falsafah kenegaraan dan pembangunan ekonomi serta sosial-budaya yang berlainan. Namun sebagai negara ASEAN, jiran tetatangga yang bergeseran sempadan, dan diketemukan dalam banyak peristiwa sejarah, konflik antara kedua-duanya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, dan akan merugikan semua. Kita tetap berbeza dalam banyak hal, tetapi tidak membesarkan perbezaan itu, malah harus mempunyai destinasi serantau yang sama, kolaborasi yang menguntungkan walaupun bukan untuk tujuan perpaduan (sesuatu yang mustahil).

*****
Berdasarkan pengalaman yang berlaku baru-baru ini kerajaan Malaysia harus merancang mengurangi potensi pergeseran pada masa depan , terutama dalam soal pengambilan pekerja asing, baik dari Indonesia mahupun dari negara asing lain. Harus disaring dan ditapis dengan ketat siapa yang hendak diberi izin bekerja supaya jangan sampai ada penjenayah yang lolos masuk. Pencegahan pendatang haram misti dilakukan setiap hari kerana kalau mereka tak punya kerja di sini, tetapi mahu makan minum, mereka akan terjebak dengan pekerjaan tak bermoral : pelacuran, penipuan, jenayah pencurian dan perompakan. Kerajaan kita mesti sensitif serta berasa bertanggungjawab; dan inilah antara perkara yang membuat rakyat benci kepada kerajaan kerana dilihat lemah mengawal keselamatan dan keamanan hidup rakyat jelata. Apa guna kita bercakap tentang pembangunan setrta pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran kalau di sekeliling kita merayap kutu-kutu tak bermoral , manusia yang tak beradab akal budinya.


Pekerja-pekerja wanita Islam Indonesia harus dilarang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah-rumah majikan bukan Islam bagi memelihara kehidupan dan kebersihan mereka daripada hal-hal yang haram dan najis. Pemerintah Indonesia juga harus mengharamkan wanita mereka menjadi pembantu rumah di kediaman bukan Islam. Kita semua harus menghormati wanita-wanita Islam kita sendiri. Kalau kita sendiri tak hormat kepada mereka , dan selesa melihat mereka memperhambakan diri di rumah orang kafir, apakah orang beragama lain
berasa bertanggungjawab untuk memelihara ibadat atau menghormati kewanitaan mereka.
Jangan kerana untuk sesuap nasi kita rela membiarkan wanita Islam seagama kita menagih rezeki dan berumah bertangga di bawah bumbung orang bukan Islam. Apakah masyarakat Islam kita di sini daif sangat ?


Suatu jawatankuasa khas tertinggi kerajaan hendaknya segera ditubuhkan bagi mengkaji secara
terperinci setiap masalah, jalan penyelesaian dan strategi sosial-ekonomi jangka panjang bagaimana meminimumkan ketergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ekonomi. Terutama perhatian khas diberikan bagaimana mengatasi penjagaan dan pendidikan anak-anak
kecil bagi kedua-dua ibu bapa yang bekerja supaya generasi anak kecil kita dipelihara sambil dididik dengan kebersihan, budaya yang baik, dan pemeliharaan yang selamat. Kerajaan perlu merancang supaya setiap taman perumahan, setiap pejabat yang ramai pekerjanya diadakan pusat asuhan yang sempurna. Barangkali kerajaan perlu memberi subsidi kepada setiap pusat asuhan rakyat ini. Ini adalah suatu rancangan yang nasional sifatnya yang harus menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan sosial jangka panjang. Bukan sesuatu yang dibuat secara ad hoc dan sekadar reaktif sifatnya. Bagaimana Korea, Jepun dan negara-negara maju lain memberi jawapan penyelesaian terhadap cabaran sosial ini?

Saya kira semua kita harus terus membahaskan isu ini supaya Kementerian yang bertanggungjawab segera celik mata dan celik hati merangka langkah-langkah segera dan tepat kerana ini adalah isu tentang membangunkan bangsa dan isu kemanusiaan yang sama pentingnya dengan pembangunan ekonomi dan kebendaan.

Thursday 1 October 2009

MALAPETAKA dan KEPERIHATINAN KITA

Sudah lama benar rasanya saya tak berbicara kepada saudara-saudara sekalian. Malam ini saya terpanggil untuk berkata sesuatu setelah mengalami perasaan yang berat dan sedih melihat berita di TV tentang anak-anak yang nampak traumatik bersama-sama ibu-ibunya merintih atas kehilangan kesayangan mereka.

Tiba-tiba bencana alam melepaskan tenaga kemusnahannya belum lama Eidulfitri berlangsung, dan kita masih meraikannya. Ribut, gempa dan tsunami seakan-akan berpakat mengehempas alam di sekeliling kita. Apakah rahsianya? Baharu sahaja sebulan kita berpuasa demi mencari takwa, memohon rahmat dan syurga-Nya. Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Tuhan kerana kita di sini tidak menderitai malapetaka alam iu secara langsung walaupun berasa pilu melihat saudara mara dan jiran tetangga kita Indonesia, terutama di Padang dan Jambi , dililit penderitaan, kesakitan dan kepedihan jiwa raga.

Meskipun ramai antara kita baharu saja berasa marah dan kecewa apabila sejumlah penduduk
di Jakarta dan media Indonesia mencerca dan memaki hamun negara kita, tetapi dalam tragedi yang menimpa rakyat biasa di Sumatera itu janganlah sampai kita tidak ambil peduli langsung sebagai melepaskan dendam. Kalau kita tidak dapat menghulurkan bantuan secara langsung , kita boleh berdoa supaya Tuhan mengurangi penderitaan mereka dan segera mencucuri pertolongan dan rahmat kepada yang malang; menenangkan hati dan menyemai kesabaran
dalam kesusahan yang demikian besar.

Mudah-mudahan juga kerajaan serta Palang Merah Malaysia akan segera menghantar apa jua bantuan makanan, pakaian, perubatan, dan rawatan kepada mangsa-mangsa yang ramai. Ini hari mereka, mungkin lain kali hari malang bagi kita pula. Kalau kita tidak mudah membenci orang, malahan berniat baik untuk meringankan kesusahan orang, InsyAllah Tuhan akan melapangkan kesusahan kita .

Bencana atau apa jua malapetaka yang menimpa tetap mengandungi amaran, peringatan dan
pengajaran bagi semua bangsa supaya kita saling hormat menghormati, memahami dan menyayangi manusia lain di atas bumi yang sebenarnya sangat kecil dan rapuh . Marilah kita mendidik diri kita untuk mencintai Tuhan yang selalu sayang dan cinta terhadap umat-Nya.
Marilah kita belajar bijaksana bahawa kita ini sangatlah tak berdaya di dalam kenyataan cakerawala yang hebat ini, kecuali dengan kekuatan doa yang direstui oleh Tuhan yang Maha Pencipta.