Saturday 14 May 2011

ISLAM: ISU YANG DIKONTROVERSIKAN

Dari kiri: Raja Ahmad (pengarang), Lat (kartunis), Wakil Civitila Foundation (Itali), Syarifah Zuriah(pelukis), Baha Zain.


Fakta bahawa Islam adalah salah satu faktor yang sangat penting (kalaupun tidak yang terpenting) dalam menentukan ketenteraman dan persefahaman penduduk Malaysia yang majemuk ini, sedang digunakan oleh pihak-pihak politik yang bersaingan untuk mendapat sokongan majoriti pengundi, khususnya Melayu-Islam. Dalam waktu yang sama , bagi tujuan politik yang sama, isu agama Islam digunakan juga untuk mendeskredit atau memburukkan lawan politik.
Perihal Islam semakin memenangi hati dan fikiran masyarakat Melayu, dan semakin mengurangi daya tarikan semangat kebangsaan Melayu (Malay nationalism) sesudah lebih 50 tahun tercapainya kebebasan politik daripada penjajahan ( terutama melalui perjuangan semangat kebangsaan Melayu pada zaman dahulu), Islam sebagai pentadbir kehidupan individu, kelompok, dan negara akan terus mengambil tempat di tengah pentas dalam landskap politik Malaysia.

Namun Islam dalam kenyataan politik tanahair terdedah pula kepada pelbagai perspektif pandangan sehingga ia boleh sahaja dipergunakan untuk mengancam pihak lawan politik--bukan untuk tujuan menegakkan kebenaran dan keadilan Islam dalam tatanegara-- tetapi
untuk kepentingan kekuasaan parti , yakni untuk menguasai pemerintahan, ekonomi, perniagaan, kewangan, dan masa depan.

Baru-baru ini timbul dialog, juga perdebatan yang emosional, tentang Islam sebagai "agama Persekutuan" atau "agama Rasmi"; dan tentang boleh tak bolehnya pemimpin bukan Islam menjadi Perdana Menteri. Memang dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai "agama Persekutuan", dan tidak menetapkan bahawa Perdana Menteri itu misti beragama Islam. Apakah implikasinya "agama Persekutuan " itu; apa bezanya dengan "agama rasmi"?. Kalau diubah pun kepada agama Rasmi bolehkah ia menghalang pemimpin bukan Islam daripada parti majoriti yang menang untuk duduk atas kerusi utama Putra Jaya?Dengan Islam dijadikan agama rasmi apakah bererti juga Malaysia menjadi negara Islam ( Islamic State)?

Semua persoalan, implikasi undang-undang , sepatutnya dibahaskan oleh pakar undang-undang dalam bidang Undang Perlembagaan; bukan orang media biasa atau pemimpin politik yang hendak menangguk sokongan emosi pengundi. Justeru ramainya pemimpin politik, dan merebaknya budaya perebutan kuasa, dengan segala macam juak pecacai
yang tak bertanggungjawab terhadap membangunkan budaya negara yang waras, rasional dan positif, maka semakin merebak pertengkaran yang boleh membawa perkelahian . Islam mengajak umatnya berfikiran waras, bertimbang rasa, bersabar dan menyelidiki kebenaran terlebih dahulu sebelum tuduh menuduh . Inilah indah dan hebatnya Islam untuk semua kaum.

Seorang sahabat mengirim e-mel kepada saya dengan pendapatnya bahawa BN yang telah lama berkuasa dan telah membuktikan kejayaannya, harus melakukan transformasi dengan membersihkan UMNO sebagai parti induk daripada pemimpin2 yang tidak bersih, yang oporcunistik, yang kerjanya hendak mencari habuan dan pengaruh. Inilah jaminan masa depan bangsa, katanya. Saya menjawabnya dengan menyatakan persetujuan, tetapi dengan tambahan UMNO diharap berlumba-lumba dengan PAS untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam; dan kedua-dua parti tak perlu berada di bawah satu bumbung. Bukan hanya satu cara sahaja untuk mentadbir negara berdasarkan ajaran-ajaran Islam. Jadi rakyat (Islam dan bukan Islam) boleh memilih parti politik mana yang lebih adil, UMNO, PAS atau PKR?

Sewaktu diminta melancarkan buku karangan Raja Ahmad Aminullah, Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, di Rumah Universiti UM, pada 9 April, saya menyebut bahawa kita memerlukan ramai cendekiawan Islam untuk berbicara tentang pembangunan negara dalam bidang sains, teknologi, pendidikan, ekonomi, budaya, dan kemodenan. Semoga Malaysia akan lebih kaya dan memberi kekuatan baru untuk membina tamadun manusia di rantau Nusantara ini.

6 comments:

Dila's Art said...

Assalam Dato'

Saya setuju jika UMNO menggunakan pendekatan Islam seperti yg Dato' cadangkan.

ZULKIFLI said...

Salam, Dato',
Saya bersetuju bahawa hal-hal Perlembagaan harus dibicarakan oleh para ariffin dalam bidang perundang-undangan.

Kita tahu mengapakah hal sensitif yang ada dan tidak ada dalam Perlembagaan dibising-bisingkan. Yang kita tidak tahu ialah sampai bilakah hal sensitif ini hendak dimainkan? Jelak sudah....

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Najib Razak berkata, slogan baru PAS untuk mewujudkan negara kebajikan bukan sesuatu yang baru kerana sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak sekian lama... itu Pak najib surahkan...

Sila layari: 'Satu untuk semua dan semua untuk satu' - Gembala Kambing, dalam: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/

raja2u said...

Assalamualaikum,

Jika kita menghayati Al-Qur'an kita akan dapati jawapan kepada semua persoalan atau masalah yang timbul sekarang.Bersabit dengan Ugama Islam sebagai ugama rasmi kita sebagai seorang Islam hendaklah mengamalkan dan memperkasakannya. Jangan banyak soal kerana jika berlaku demikian ianya akan menjadi seperti kisah apabila Allah minta dikorbankan seekor lembu banyak perkara bersabit ciri-ciri lembu yang hendak dikorbankan dibahas hingga kesudahannya sukar untuk mendapat lembu tersebut.Begitu juga jangan banyak dipersoalkan samada Malaysia sebuah negara Islam atau tidak. Laksanakan sahaja undang-undang Islam dan suka tak suka dengan sendirinya negara ini menjadi negara Islam. Masalahnya terdapat pemimpin kita sendiri berat menerima undang-undang Islam.

Bersabit dengan boleh atau tidak bukan Islam dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia jawab sahaja ugama rasmi negara ini adalah Islam dan mengikut convention hanya orang berugama Islam layak menyandang jawatan tersebut. Lagi pun kuasa melantik Perdana Menteri harus didalam bidang kuasa Sri Paduka Yang DiPertuan Agong dan Baginda hendaklah memikul amanah ini hingga keakhir zaman.

Anggerik Kota said...

Islam mungkin tidak jadi isu jika orang Islam tidak berusaha menarik orang lain masuk Islam, dan sebaliknya orang Kristian pula tidak cuba memurtadkan orang Islam dan mengajak orang Islam masuk Kristian.Amalkan saja agama masing-masing.

fadz said...

Lia Suraya, hal "tarik-menarik" itu tetap akan berlaku di mana-mana kerana sifat kehalusannya. Yang dipujuk ini "hati", bukan fizikal sahaja, perlembagaan atau tidak, ia tetap berlaku. Justeru pihak penguatkuasa, di mana-mana negara pun (rujuk mengapa baru-baru ini sebuah sekolah berpengetua Buddha melarang anak murid bertudung di Thailand) perlu menggunakan kuasa atas haknya seperti menarik rambut dari tepung.