Wednesday 16 September 2009

PEMIMPIN MELAYU BERTINDAK BERLEBIHAN

SELAMAT BERHARI RAYA ; DOA RESTU UNTUK SAUDARA PEMBACA
Assalamualaikum

SATU DUA HARI yang lalu pada hujung Ramadan yang mulia dan kudus ini beberapa pemimpin politik Melayu, dan sejumlah NGO mengecam hebat ucapan buruk ahli MIC yang mencela nama baik Tun Mahathir dengan mencadangkan mengenakan kalung sepatu pada gambar Mahathir.

Setuju, ini adalah pebuatan yang buruk ( seperti pada waktu lalu Menteri Besar Selangor menghadiahkan penyapu secara terang-terangan kepada Pegawai Awam yang dinilai tidak cekap). Presiden MIC juga setuju lalu bertindak menggantung keahlian yang berkenaan.

Soalnya kenapa pemimpin-pemimpin kita , malah sampai ada berdemonstrasi, membuat kecaman, seolah-olah satu krisis sedang melanda keselamatan negara atau maruah semua umat Melayu Islam. Dahulu apabila bahasa Melayu dipinggirkan di sekolah kenapa tokoh-tokoh yang berkenaan ini membisu seribu bahasa ( seperti ramai yang lain juga kecuali pada tahap akhir apabila protes sudah merebak benar ).

Kalau pemimpin-pemimpin kita overreact pada hal-hal yang tak sepatutnya sampai seperti itu,
sedangkan banyak isu-isu kritikal yang besar yang sedang melilit kehidupan rakyat ( jenayah, selesema babi, pencemaran alam dan bunyi, kemalangan jalan raya, pengangguran, kegoncangan politik, kelembapan ekonomi, dadah, arak, judi , maksiat pelacuran, pendatang haram dan rasuah etc. etc) yang patut diutamakan penyelesaiannya, bagaimanakah rakyat boleh menaruh kepercayaan kepada pemimpin politik Melayu bagi menangani isu-isu kebangsaan.

Apakah orang Melayu dalam kemodenannya sudah berkembang kepada tahap pemikiran feudal baru: memuja ketokohan individu sehingga tak boleh dikritik atau disentuh pun? Barangkali ada masalah lain iaitu rasa cemas yang berlebihan atau fobia disebabkan tempo pergerakan politik yang biasa kita alami , kini tak selancar dahulu lagi; tersenggut-senggut
perjalanannya sehingga membimbangkan ramai ( seperti kita sudah biasa meluncur laju dalam motokar, tiba-tiba terasa enjinnya tersekat-sekat di simpang lampu isyarat ). Pernahkah saudara mengalaminya ? Kalau saudara guna kereta lama, pasti sdr pernah mengalaminya , terutama apabila tidak di rawat beberapa bahagian penting enjinnya ( tak cukup minyak hitam, penapis angin serta minyak kotor, air bateri dan radiator kering, minyak setering, gear bocor etc ).

Pada bulan baik dan hari bertuah Ramadan & Syawal ini marilah kita umat Islam bermuhasabah diri, dan belajar berfikir fundamental ; dan insaf akan sejarah , supaya kita dapat mengejar visi masa depan dengan lebih jelas dan pantas. Tak usahlah besar-besarkan perkara-perkara yang remeh temeh yang membuang banyak masa orang Melayu Islam dalam keadaan sosial yang kacau sekarang.

Ilmuwan-ilmuwan Islam menemukan banyak ilmu dan teori, tetapi berjaya dimajukan oleh ilmuwan bukan Islam. Ingatlah al-Quran yang Maha Mulia dan sendat dengan pentunjuk untuk umatnya itu, pertama kali dicetak dengan jumlah naskhah yang besar ialah di Jerman apabila mesin cetak bergerak Gutenberg diciptakan.

MOHON MAAF JUA.

3 comments:

ZULKIFLI said...

Salam hormat, Dato';
Jika dengan hanya mencampuri urusan parti bangsa lain sudah menimbulkan rasa amarah ahli parti itu sehingga hendak dikalungkan selipar pada gambarnya, apakah layanan yang layak diberikan kepada seorang manusia yang dengan sengaja meletakkan bahasa yang menjadi bahasa kebangsaan negara yang dipimpinnya di tahap kelas kedua? Kesan perbuatannya masih berbekas hingga kini, bukan kepada kita sahaja tetapi pada bahasa kebangsaan itu sendiri.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Salam Syawal Dato',
Masih tidak terlalu lewat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya.

Terima kasih atas ilmu yang Dato' kongsikan di sini. Moga Allah berikan Dato' kekuatan untuk menulis. Sesungguhnya Nasihat dan kritikan itu adalah sunnah Rasulullah.

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Zul,
Semoga sihat-sihat dan sibuk pula mengisi Syawal. Memang kesan negatif terhadap BM masih sangat memerlukan pembaikan yang lebih rapi serta merata. Apa boleh buat, kita tanggung bersama keterlanjuran yang dilakukan oleh pemim[pin yg tak bertanggungjawab dan tak amanah.Ini pelajaran untuk masa depan kita.

Sdr ustaz ibnu Ahmad al-Kurauwi,
Kita sama-samalah nasihat menasihati menghadapi pelbagai masalah di sekitar.Kehidupan sosial
budaya nampaknya menjadi semakin rumit dan semakin banyak masalahnya.
Ini adalah juga hasil drpd kemajuan
negara; selalu timbul juga kesan-kesan buruk di luar dugaan.Sebagai penulis kita tak boleh lari drpd membahas dan memikirkannya.