Thursday 31 December 2009

KENAPA PENERBITAN BERBAHASA KEBANGSAAN?



Seorang teman selepas membaca beberapa paparan blog saya mengirim e-mel bertanya kenapa saya menekankan sangat penerbitan dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Katanya untuk kepentingan ilmu pengetahuan bukankah sudah ada ribuan judul buku dalam bahasa Inggeris di kedai-kedai besar MPH, Borders, Kinokuniya, Populer Books,dan lain-lainnya. Saya memberitahunya memang betul, apa ilmu yang tak ada dalam buku-buku Inggeris di Malaysia. Bukan itu sahaja buku-buku berbahasa Cina pun penuh di kedai-kedai besar ini. Justeru kerana itulah saya menekankan perlu juga ada buku dalam bahasa Melayu diusahakan oleh negara ini , kerana buku-buku dalam bahasa Inggeris ditulis di serata dunia (USA, England, Australia, Singapura, New Zealand, Canada) dan kita import sahaja. Buku-buku dalam bahasa Cina dikaranag di Republik Cina (1 billion lebih umat manusia) , Taiwan,dan Hongkong.Jadi tak perlu sangat Malaysia menerbitkan buku berbahasa Inggeris atau Cina kerana mudah sahaja diperolehi dari luar negara. Perlu diingati bahawa di negara Cina sahaja ada lebih 8000 jurnal tentang sains. Buku-buku berbahasa Melayu paling-paling dari Indonesia sahaja. Itupun tidak sehebat apa yang sepatutnya mengingat ramainya ilmuwan serta cendekiawan Indonesia.

Selanjutnya kenapa dalam bahasa Melayu? Supaya bahasa Melayu itu menjadi kuat dengan isi kandungan ilmu modern ( kimia, matematik, geologi, perubatan, falsafah,petrolium, agama,ekonomi, perakaunan, robotik etc. etc); supaya ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dibaca dan diresapi oleh rakyat kota dan desa, petani dan nelayan; dan jiwa, sikap, fikiran dan perpaduan rakyat dibangunkan dalam suatu bahasa yang dapat memesrakan emosi serta persefahaman mendalam melalui makna, bunyi dan muzik bahasa, metafora dan nilai-nilai budaya serta akhlak yang tersisip serta tersirat di dalamnya.

Timbul juga pertanyaan bahawa tidakkah keutamaan terhadap pembangunan ekonomi, kewangan, jalan, jambatan dan perumahan itu lebih penting. Memang itu kepentingan yang asas, dan bila bercakap pembangunan perbukuan dan ilmu tidak bererti mengenepikan pembangunan ekonomi dan kebendaan. Percakapan tentang pembinaan penerbitan dalam bahasa Melayu adalah permintaan yang tidak melebehi atau mengatasi pembangunan lain. Cuma ia tetrus dibangunkan dalam sekala yang wajar bagi melengkapi pembangunan material. Kalau tidak pembangunan material itu tak boleh bertahan lama kalau rakyat bersikap sangat materialistik, suka bermewah-mewah dan bermegah-megah, tidak bermoral serta rasuah; dan tidak kreatif,tidak berperasaan adil dan manusiawi, lebih-lebih lagi tidak takut pada Tuhan alias godless. Bahan bacaan , tarbiyah atau pendidikan, bahasa yang baik dan berisi ilmu, sangat penting untuk memelihara kestabilan moral dan sosial, dan membangunkan tamadun besar pada masa depan. Bangunan yang tinggi serta mewah, Putra Jaya yang gagah, KLIA yang canggih apa gunanya kalau hanya menguntungkan jutawan berniaga, pemimpin menindas, dan orang kaya terbang ke sana sini sedangkan rakyat semakin lama semakin jahat, berpoya-poya, tahu hendak dapat wang dengan mudah , meragut dan hisap dadah, berhibur di depan TV pagi petang, dan keluar minum lama-lama sewaktu pejabat?.

Apabila rasul kita Muhammad SAW mengembangkan Islam terlebih dahulu dibangunkannya akhlak serta ilmunya. Masjid awal pun dibina daripada pelepah-pelepah kurma. Jadi pembangunan mental, moral, kreativiti, dan kepandaian itu bukan pilihan kedua.

Apabila penulis-penulis pramerdeka menulis , baik puisi atau cerita rekaan ( seperti Kajai, Ishak Haji Muhamad, Keris Mas, dan Boestamam ) pesan dan isi karangannya adalah perjuangan: melawan penipuan kafir, penjahan asing, penindasan kapitalis. Mereka berjuang menghapuskan khurafat dan tahayul,dan menegakkan kemakmuran serta darjat rakyat. Ini tradisi penerbitan berbahasa Melayu. Tradisi penerbitan berbahasa Melayu itu misti diperjuangkan dengan lebih gencar lagi , dan kali ini menuju ke arah pemodernan dan ketamadunan besar bangsa kita untuk semua kaum (Melayu, Cina, Kadazan, Iban, Bajau, Jawa , Bugis dan semuanya).

Monday 28 December 2009

PERJUANGAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MELALUI PENERBITAN

Sesudah kempen menghapuskan PPSMI itu, apa yang patut dilakukan oleh pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan ?

Perjuangan selanjutnya ialah memperhebat kewujudan bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang mampu memberikan pelbagai ilmu pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang . Bagaimanakah caranya? Salah satu caranya ialah dengan menerbitkan bermacam-macam bahan bacaan dan rujukan ( buku, kamus, ensiklopedia, glosari dan lain-lainnya) dalam lapangan sains, teknologi, ekonomi, agama, geografi, matematik dan ribuan disiplin yang lain. Inilah cabaran yang sangat- sangat besar dan penting bagi para penulis, ilmuwan, penerbit dan cendekiawan nasionalis . Mahu tidak mahu visi ini misti diperjuangkan kalau bahasa Melayu hendak dijadikan bahasa modern dan digunakan oleh rakyat.

DBP, ITNM, dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia berada tepat di bawah kekuasaan Kementerian Pelajaran. DBP dan ITNM telah menyumbang banyak hasil,tetapi dalam keadaan yang telah menimpa nasib bahasa Melayu beberapa tahun ini, dan untuk menebus kelemahan-kelemahan penerbitan dalam negara , perlu ada visi , strategi dan pelan tindakan radikal bagi melipatgandakan penulisan, penterjemahan, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan bacaan baik dalam bentuk buku cetakan biasa atau e-buku.

Bukan sahaja satu sikap profesonal dan intelektual baru harus dibangunkan, tetapi juga peruntukan kewangan ribuan juta ringgit perlu dibelanjakan oleh kerajaan bagi membangunkan ilmu, fikiran, imaginasi dan kepandaian rakyat melalui bahasanya sendiri. Kalau kerajaan bersedia membelanjakan ribuan juta ringgit untuk meningkatkan bahasa Inggeris, kerajaan patut membelanjakan banyak bilion ringgit untuk memartabat dan memperkaya bahasa Melayu yang telah dikacau perkembangannya oleh bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Pendekatan yang lama, cara bekerja yang konvensional, sikap yang lembab dan tidak imaginatif di kalangan petugas perbukuan ( editor, pengurus, pegawai, pengedar dan penjual)yang terlibat dalam penerbitan berbahasa Melayu, patut berubah mulai tahun hijrah 1431 ini.

Marilah kita sama-sama menghebahkan peri pentingnya masalah penerbitan berbahasa Melayu ini supaya semua pihak, terutama pihak kerajaan yang berkuasa, mengambil tindakan positif dan cergas melaksanakan segera budaya perbukuan kebangsaan. Kalau tidak isu ini akan tenggelam dalam hiruk pikuk politik nasional yang kacau dan asyik bergelumang dalam perdebatan serta perebutan kekuasaan. Persaingan ini merugikan kehidupan rakyat sahaja. Hal-hal penting membangunkan jiwa, fikiran, intelek dan tamadun bangsa terpinggir dan terabai. Rakyat misti melawan arus negatif dalam politik sekarang. Ini adalah tanggungjawab masyarakat sivil. Pemikir , penulis dan aktivis budaya serta guru misti membangunkan literasi sivik ini.Jangan terleka dengan berita media yang sengja memancing perhatian penonton serta pembaca dengan berita-berita sensasi, kempen dan propaganda yang berat sebelah dan tidak bermoral.Rakyat awam misti menunjukkan kekuasaan suaranya sekarang.

Sunday 20 December 2009

KRISIS PEMBANGUNAN PENERBITAN BERBAHASA MELAYU

Ahad 3 Muharam/ 20 Disember 2009: PENA(Persatuan Penulis Nasional Malaysia) mengadakan Mesyuarat Agung ke-46, di Rumah PENA. Sebagai Presiden saya memberi ucapan tahunan, dan kali ini saya memusatkan pembicaraan terhadap kemelut penerbitan buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu (BM). Antara lain saya berkata:

" Kalau saudara-saudara masih ingat, salah satu sebab PENA menentang PPSMI ialah kekhuatiran besar akan BM pupus sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Dalam konteks ini saya ingin membahaskan sedikit tentang pentingnya usaha membangunkan penerbitan dalam BM.Salah satu ciri bahasa yang kaya dengan maklumat dan ilmu pengetahuan pada zaman ini ialah terdapatnya himpunan tulisan, majalah, buku, bahan rujukan-- bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk orang awam dan pakar bidang tertentu.
Sebab itu ada orang mengukur kemajuan penerbitan sesuatu bangsa itu berdasarkan jumlah judul penerbitannya setahun dalam bahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya, iaitu dengan mengambil kira setiap sejuta penduduk terbit 1000 judul buku baru setiap tahun.

Kalau ini diambil sebagai penanda aras , Malaysia yang sepatutnya menerbitkan sejumlah 25 ribu judul buku, hanya berada pada aras prestasi 30% berbanding negara-negara maju seperti Jepun dan Eropah walaupun kita sudah ada bangunan tinggi 88 tingkat dan sedang diura-urakan tak lama lagi ada bangunan 100 tingkat.

Apakah kenyataan-kenyataan semacam ini membayangkan bahawa keutamaan terhadap pembangunan sosial ( rohaniah, intelek, bahasa, seni dan warisan budaya) tidak diberikan pemikiran yang menasabah dan saksama berbanding pembangunan material, teknologi dan ekonomi? "

Wednesday 9 December 2009

1 MALAYSIA DAN PINTU TERBUKA

Idea dan laungan 1 Malaysia yang disebarkan oleh kerajaan nampaknya semakin membuka pintu yang luas untuk kaum bukan Melayu mendesak kerajaan memberi peluang sama rata
kepada orang bukan Melayu dalam segala bidang kehidupan di Malaysia. Berdasarkan pandangan: peluang sama untuk semua,hak sama rata untuk Melayu, Cina dan India, maka telah timbul tindakan menghujah hak-hak keistemewaan orang Melayu sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin politik bukan Melayu ( M. Kulasegaran, DAP) sehingga menimbulkan protes serta demonstrasi segolongan orang Melayu di Shah Alam.

Soalnya tidakkah perbuatan pemimpin bukan Melayu itu satu lanjutan yang logikal daripada konsep 1 Malaysia? Kalau sudah dibuka peluang untuk semua tentulah tak ada hak-hak keistemewaan lagi bagi orang Melayu. Kita tak boleh salahkan mereka kalau beranggapan demikian walaupun jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak-hak keistemewaan orang Melayu.

Kalau orang Melayu sudah yakin bahawa kedudukan dan kekuatan ekonominya sudah sama kuat; pemilikan harta(tanah, rumah, gedung, kedai, kilang, pejabat,apartment, kondomonium)sama banyak kalau pun tidak lebih; pemilikan syarikat perniagaan (runcit dan borong, eksport dan import, pengangkutan dan pembuatan, pemasaran dan pengedaran)sudah setara ; dan kedudukan di bidang profersional ( doktor, jerutera, arkitek, peguam, akauntan, doktor gigi etc)sudah sama hebat dengan bukan Melayu apa hendak dibimbangkan. Tapi kalau masih ada bumiputera yang minum air telaga, jalan kaki berbatu-batu ke sekolah atau naik perahu, bila banjir dinding rumahnya basah, siapa yang hendak kita salahkan.Hampir 90% jabatan kerajaan, polis dan tentera itu penuh padat dengan pekerja serta pegawai Melayu, tetapi kenapa Melayu masih macam merempat minta sedekah setelah 50 tahun merdeka. Lihat berapa ramai yang berpangkat jusa dan yang menjadi pengarah dalam badan-badan berkanun atau agensi kerajaan, apa yang mereka rancangkan secara strategik untuk memebela Melayu? Nah' beberapa tahun ini Bahasa Melayu pun dihumban dalam longkang pendidikan Matematik dan Sains.Kenapa orang Melayu tak bersuara lantang, berani dan bersedia mati untuk mempertahankkannya. Malah yang menghina bahasa Melayu itu pemimpin politik Melayu dalam kerajaan.

Jadi siapakah yang bersalah dan patut menderita kehinaan?

Pemimpin kerajaan Melayu kena berterus terang dan jelas memberitahu di mana letaknya kedudukan masyarakat Melayu di sisi masyarakat Cina dan India dalam 1 Malaysia ini; bukannya bercakap banyak tentang peluang dan kedudukan orang Cina dan India sahaja. Di mana letaknya kedudukan bahasa dalam amalan rasmi di semua tempat,jati diri dan tradisi seni budaya dalam upacara-upacara budaya nasional; dan
Islam sebagai agama Persekutuan dalam urusan kehidupan bernegara. Apa pun 1 Malaysia tak boleh mengkromikan asas-asas sejarah,prinsip-prinsip perlembagaan, dan tasawur Islam sebagai identiti atau jati diri 1 Malaysia itu.

Saturday 28 November 2009

MELAYU-ISLAM DI MANA KITA ?

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, sedang disiasat tentang keputusannya melibatkan kerajaan dan tentera Inggeris bersubahat dengan bekas Presiden Amerika, Bush, menghancurkan Iraq atas tuduhan memiliki senjata pembunuhan massa. Tuduhan tersebut akhirnya tak terbukti , tetapi dua kerajaan Islam: Iraq, dan kemudian Afghanistan dimusnahkan oleh keganasan Amerika dan Britain yang dikepalai oleh Bush dan Blair.

Pada Hari Raya Aiduladha,Hari Raya Korban (1430) yang mengajak umat Islam bertaqwa, marilah kita semua menginsafi nasib dan masa depan masyarakat Islam di Malaysia,khasnya, dan di dunia antarabangsa selanjutnya.

Selepas peristiwa September 11, 2001,yang memusnahkan World Trade Center, New York, Islam dan pengikut-pengikutnya yang keseluruhannya ada sekitar 1/5 umat manusia di dunia ini, tiba-tiba menjadi pusat pembicaraan dan liputan media sehingga hari ini. Islam dituduh agama ganas dan ekstremis, dan dengan kekuatan senjata darat, laut dan udara, dan dengan kekuatan ekonomi serta teknologi, kafir Amerika dan Britain bersama-sama dengan sekutunya yang lain menyerang Iraq, dan Afghanistan yang dianggap melindungi pengganas. Lantas apa jua kejahatan yang dilakukan oleh orang Islam mereka dicap sebagai pelampau Islam. Mereka tidak menuduh Timothy McVey sebagai pengganas atau pelampau Kristian walaupun telah meletupkan bangunan kerajaan Amerika di Oklahoma ( mengakibatkan 168 orang mangsa terbunuh) sebelum berlakunya tragedi Sept.11, 2001.

Propaganda Barat yang besar kemungkinan didalangi oleh Yahudi sedang meruntuhkan imej Islam dan orang yang beragama Islam. Pertentangan dan permusuhan mungkin bertambah sengit.Masjid Al-Aqsa yang dimuliakan oleh seluruh umat Islam masih
tidak bebas daripada gangguan kafir Yahudi. Kita di Malaysia, negara yang terang-terang menjadikan Islam sebagai agama rasminya, apa yang sedang kita lakukan untuk memberi makna kepada Islam dan nasib umatnya di negara ini ?

Pemimpin politik yang beragama Islam, tidak kira dalam parti apa pun, harus mengkaji secara rapi apa-apa strategi, tindakan dan program untuk membangunkan sistem pendidikan, pentadbiran,kewangan, ekonomi dan sosial menurut prinsip Islam tanpa berlaku zalim terhadap penganut kepercayaan lain. Tidakkah langkah pertama yang mudah ialah dengan mengharamkan sama sekali judi, arak, pelacuran, dan jenayah sosial? Tidak ada sesiapa baik Islam atau bukan Islam yang akan memprotes sekiranya "tindakan" tegas membersihkan bandar-bandar dan kampung kita daripada kekotoran ini dilakukan oleh pihak polis, majlis tempatan, jabatan imigrasi, dan Kementerian Dalam Negeri mulai Januari 2010 ini. Kurangkanlah bermain politik dan retorik. Rakyat sudah bosan dan muak dengan pergaduhan pemimpin-pemimpin parti politik dan cakap-cakap yang tuduh menuduh antara politikus; membuang dan membazirkan waktu negara yang berharga,dan masa rakyat sahaja.

Janganlah fikir bahawa semua rakyat ini bodoh, memekakkan telinga dan memejamkan matanya terhadap persekitarannya.Malahan Perdana Menteri dan anggota kabinetnya pun sedang diletakkan dibawah kaca teropong untuk dianalisis ucapan dan perbuatannya.

Monday 16 November 2009

KELAKAR KEJAM DARI SELATAN

Ini sebuah kelakar yang brutal yang dikirimkan kepada saya dari seberang sempadan:

Musharraf, Gloria Aroyo, Mahathir dan Lee Kuan Yew sedang mengembara menuju ke suatu destinasi dalam keretapi. Musharraf duduk berdepan denganAroyo, dan Mahathir berdepan dengan Lee Kuan Yew. Apabila keretapi melintas sebuah terowong, gerabak keretapi menjadi gelap gelita, dan terdengar bunyi ciuman dan kucupan yang kuat dan kemudian bunyi tamparan.

Sejurus keretapi keluar daripada terowong gerabak kembali terang. Keempat-empat mereka nampak semacm bingung, tetapi bersikap diplomatik tak memberi komentar apa-apa.

Musharraf berfikir: Kenapalah orang Malaysia syok sangat kepada Aroyo; menciiumnya dan kena penampar. Rasakanlah.

Aroyo pula berfikir: Barangkali Mahathir cuba mencium aku, tetapi terciumkan Musharaf, dan kena penampar. Padankan mukanya.

Mahathir sambil tunduk melihat ke lantai dan memegang pipinya yang merah pula berfikir: Agaknya Musharraf cuba mencium Aroyo, tetapi Aroyo ingat aku yang mahu menciumnya lalu menampar mukaku. Taik kucing betul.

Lee Kuan Yew sambil memerhatikan Mahathir berfikir dalam hatinya: Kalau keretapi ini sekali lagi masuk terowong aku akan buat bunyi ciuman kuat dan tampar lagi muka Mahathir.

___________________

Apakah kelakar ini cuba menghina orang Melayu yang seolah-olah bodoh, lemah dan selalu menjadi mangsa walaupun jujur. Atau hendak menunjukkan bahawa antara Lee dan Mahathir memang ada permusuhan yang diam . Barangkali juga menyampaikan maksud bahawa orang Cina itu selalu merancang sesuatu untuk mengelirukan atau mengenakan orang lain; bukan sekali, tetapi banyak kali. Kelakar ini telah menimbulkan perselisihan pendapat antara sekumpulan rakan-rakan di Singapura. Lihat juga 2 sketsa kelakar dalam blog kebuncipta.



Monday 9 November 2009

SUKA DAN BENCI DI SINGAPURA (3)

(Sambungan)

Seminggu sebelum berangkat ke Singapura pada 23 Oktober 2009, seorang sahabat bekas Duta Besar mengirim kepada saya melalui e-mel tulisan Karim Raslan ( Malaysian Insider, 28 September, 2009) yang meluahkan fikiran kritis dan juga perasaan tidak senangnya terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Baginya kejadian-kejadian politik dan perkembangan sosial serta kegiatan agama di negara ini semakin mencerut kebebasan terutama lapisan kelas menengah yang profesional, berfikiran terbuka dan berpendidikan tinggi. Kalau dahulu kelas menengah bukan Melayu yang berhijrah ke luar negara, tetapi sekarang ada golongan menengah Melayu yang cerdik dan berpelajaran tinggi yang berkira-kira untuk meninggalkjan tanah air ini, katanya.

Karim Raslan seorang kolumnis yang sangat pemerhati orangnya , dan sangat menarik gaya tulisannya ,terhadap perkembangan semasa politik, seni-budaya, dan kemasyarakatan Malaysia, Indonesia dan negara-negara di rantau ini. Dia berkelulusan undang-undang dari Cambridge, separuh Melayu dan Inggeris, berusia sekitar 46 tahun dan telah menerbitkan tiga kumpulan tulisannya dalam bahasa Inggeris dengan judul Ceritalah. Almarhum ayahnya ialah Mohamad Raslan Toh Muda Abdullah (Ketua Akauntan Negara yang pertama, dan perintis Bank Bumiputera ) yang telah meninggal dunia dalam kemalangan kereta sewaktu masih muda.

Pada minggu berada di Singapura, saya membaca The Straits Times, Okt. 27, 2009 ( akhbar Singapura yang setiap pagi disorongkan di bawah pintu kamar hotel), dan tersiar wawancara Cheong Suk-Wai ( Senior Writer) dengan Karim Raslan yang berjudul "The view from middle Malaysia". Karim sangat lantang dan berterus terang mengkritik kepimpinan Mahathir dan politik UMNO sekarang yang membuat fikiran orang Melayu tidak berkembang. Katanya antara lain:
" This is a logical conclusion of 22 years of Malaysia Boleh under Dr Mahathir, Melayu Boleh and Melayu Baru. It's a kind of a crass nationalism that Dr Mahathir mediated himself. Also, we are not being well -served by our mainstream Malay language media , which has taken an aggressively extreme path. That is a reflectioin of how outdated Umno's way of thinking is."

Pada suatu waktu yang sudah agak lama juga, dalam penerbangan ke Jakarta, Karim meninggalkan tempat duduknya; datang duduk di kerusi sebelah saya yang kebetulan
kosong. Dia memang selalu berulang alik ke Jakarta dan Jogjakarta dalam urusan perniagaannya. Kami bercakap banyak hal , terutama tentang sastera dan kesenian. Ternyata dia sangat banyak mengikuti perkembangan sastera dan seni rupa kedua-dua negara; dan lebih daripada itu mampu melihat isu kebudayaan dalam konteks persekitaran sosial-politiknya. Ini bererti dia jenis kelas menengah Melayu yang berfikir kritis , tergolong intelektual dan sangat lancar menampilkan idea, khasnya dalam bahasa Inggeris.

Membaca satu dua fikiran Karim akhir-akhir ini, pandangan negatifnya terhadap kejadian semasa, saya kira dia memang mewakili satu kelompok kelas menengah Melayu kota yang terdidik Inggeris, yang kebetulan sama dengan sikap kelas menengah bukan Melayu yang berasa terpinggir, dikesampingkan atau tidak dipedulikan dalam arus pembangunan kebangsaan .

Cuma saya berpendapat bahawa jenis kelas menengah yang canggih ini -- dalam beberapa hal sangat hiperkritikal-- tidaklah mewakili keseluruhan kelas menengah negara yang beraneka macam terdiri daripada kelas menengah berorientasi Islam, kelas menengah Melayu profesional, dan jumlah besar kelas menengah Melayu pegawai-pegawai awam dan swasta. Namun kita tak usah mengnyahkan atau tidak ambil peduli langsung kritikan, idea alternatif, serta persepsi Karim dan kawan-kawannya kerana mereka adalah sebahagian daripada kenyataan sosial bangsa yang wujud dalam proses kemajuan dan transformasi masyarakat yang pelbagai budaya . Fikiran mereka boleh diambil kira mana-mana yang relavan serta daya artikulasi mereka yang canggih boleh dimanfaatkan untuk komunikasi antarabangsa dan persaingan global yang semakin hari semakin rancak dalam bidang ekonomi, budaya dan diplomasi.


( Bersambung ...)

Wednesday 4 November 2009

SINGAPURA:DALAM SUKA & BENCI (2)

Beberapa jam sebelum keluar meninggalkan hotel Peninsular Excelsior di Jalan Coleman saya bersembang-sembang di lobi hotel dengan Dr. Liaw Yock Fang ( pengkaji sastera Melayu), dan Encik Goh Choo Keng yang dahulu pernah menjadi penulis di Berita Harian Singapura. Dalam perbualan itu timbul topik politik penduduk Singapura dan Malaysia.

Encik Goh bertanya apa pandangan saya tentang masyarakat Melayu di Singapura. Saya memberitahunya pandangan saya secara sepintas lalu dan pada kulitnya sahaja, orang Melayu adalah penduduk minoriti berbanding jumlah besar penduduk Cina yang kuat ekonominya, dan mendominasi politik pemerintahan,maka tentulah orang Melayu berasa terhimpit dan tak selesa. Mereka hanya ada kira-kira 14 % sahaja, dan diidentifikasi sebagai Jawa, Boyan, India Muslim, etc. Mereka pun tak terkenal menduduki jawatan penting dalam angkatan tentera serta keselamatan, menteri kabinet, perkhidmatan awam dan malah ekonomi Singapura. Setahu saya hanya masjid di kawasan Kampung Gelam sahaja yang diizinkan melaungkan suara azan apabila tiba waktu solat. Saya tak pasti apakah orang Melayu Singapura sudah menerima semua ini sebagai suatu hakikat yang tak ada pilihan lain lagi di bawah pemerintahan pemimpin yang ada.

Beliau terus bertanya tentang masyarakat Cina di Malaysia. Saya beritahu bahawa penduduk Cina di Malaysia adalah penduduk minoriti seperti Melayu di Singapura. Nasib minoriti Cina Malaysia ini tak sama dengan nasib minoriti Melayu yang ada di Singapura. Masyarakat Cina Malaysia tak boleh banyak merungut tentang nasibnya kerana beberapa faktor yang memihak kepadanya. Pertama mereka menguasai kekuatan ekonomi Malaysia. Sudahlah begitu beberapa tokoh mereka menjad menteri kabinet dan timblan menteri. Jadi dalam ekonomi negara mereka kuat, dalam politik nasional pun mereka ada pengaruh besar. Dalam bidang kebudayaan penduduik Cina ada sekolah-sekolahnya dan sejumlah sekolah Cina diberikan bantuan wang kerajaan pula oleh Menteri Pelajaran Melayu. Di mana ada dalam negara-negara ASEAN masyarakat Cina bebas mendirikan sekolahnya dan mengamalkan adat resam , bahasa dan kebudayaannya. Malahan sekarang dengan slogan 1 Malaysia semua unsur budaya etnik menjadi halal dalam upacara atau majlis-majlis kebangsaan. Bandingkanlah situasi ini dengan yang ada di Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, dan malah Singapura sendiri. Di Indonesia dan Thailand nama orang Cina pun diThailandkan dan diIndonesiakan.

Saya juga menerangkan kepada mereka bahawa peniaga-peniaga Cina mengkritik kerana banyak memberi keutamaan kontrak kepada peniaga-peniaga Melayu. Saya beritahu mereka ini pun akhirnya menguntungkan peniaga dan usahawan Cina kerana orang Cina masih menguasai pemborong-pemborong besar, pembekal barang-barang , dan malah eksport import, terutama dari tanah besar Cina yang sedang merempuh pasaran negara. GLC spt Sime Darby, TNB, Telekom, Proton dan banyak lain itu bukan milik orang Melayu. Ia milik kerajaan , dan dalam banyak hal bersaing dengan usahawan-usahawan Melayu sendiri. Mereka telah menjadi kelas elit Melayu baru yang profesional serta pragmatik aka neo-feudal , berpandukan rasional untung rugi bottom line, berapa banyak dividen dan bonus akan diperolehi pada hujung tahun kewangan; bukan mesti memperjuangkan nasib rakyat Melayu yang masih ramai jumlahnya berada dalam keadaan yang ketinggalan atau disadvantage di luar atau di pinggir bandar.

Saya malah memberitahu mereka bagus kalau semua dunia tahu , orang Melayu yang konon menjadi penduduk asal itu , berapa peratus memiliki saham-saham korporat yang tersenarai, menjadi pemilik hartanah di ibu kota, kondominium, apartmen mewah, bangunan kilang, bangunan pejabat dan gedung perniagaan; dan berapa peratus menguasai profesion kedoktoran, kejuruteraan, arkitek, akauntan, peguam, dan pelajar pengajian tinggi di dalam dan di luar negara, supaya orang Melayu sendiri sedar akan kedudukan mereka vis-s-vis
penduduk minoriti.

Saya tidak pasti apakah Dr Liaw dan Encik Goh faham akan kejujuran percakapan saya yang tak berminat bermain politik dalam dialog dan sebarang urusan kehidupan budaya. Sayangnya oleh kerana kesuntukan waktu saya tak berkesempatan memancing fikiran serta reaksi mereka . Malahan dengan pengarang senior Singapura, Robert Yeo, yang saya kenali, tak juga sempat bersua muka untuk berdialog terutama tentang kegelisahan penulis-penulis berbahasa Inggeris di Malaysia dan Singapura.


(Bersambung....)

Saturday 31 October 2009

SINGAPURA: DALAM SUKA & BENCI (1)

Pulau kota yang kecil itu hanya di seberang selat sahaja; masih kelihatan jelas tebingnya dari Johor. Sudah hampir 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki di buminya. Tak ada apa-apa yang menarik untuk ke sana, kecuali kenangan terhadap sejumlah kawan akrab, dan rasa terhutang budi atas pengaruh persuratan yang berpangkal di kota itu. Majalah Hiburan, Mastika, Mutiara, dan Filem Raya yang terbit sekitar tahun-tahun 50-an di Singapura tiba ke kampung halaman
saya dan menjadi bahan bacaan kegemaran yang barangkali telah menyemaikan benih cinta terhadap persuratan dan penulisan dalam bahasa Melayu.

Dari pulau inilah juga terbitnya filem-filem Melayu yang menayangkan lakonan dan lawak jenaka P.Ramlee, Aziz Sattar, Ibrahim Pendek, Shamsuddin dan beberapa yang lain, serentak dengan lakonan bintang-bintang utama seniman P. Ramlee, Romai Noor,M. Amin, Omar Rojik, Aziz Jaafar, Jins Shamsuddin, Ahmad Mahmud dan Nordin Ahmad di samping seniwati Kasma Booty, Maria Minado, Saadiah, Latifah Omar, Normadiah, Rosnani etc. Mereka semua telah menghiburkan hati jutaan penonton di ceruk rantau semenanjung. Pakaian dan sikat rambut mereka menjadi model membentuk fesyen muda mudi dari Johor Bharu hingga ke Pulau Pinang. Malahan cara mereka berdialog pun menjadi ajukan.

Di atas sempadan dua negara (Singapura dan Malaysia) terentang suatu tradisi dan warisan bersama yang sangat lama , hanya diputuskan ikatannya oleh seorang Perdana Menteri Melayu yang diamanahkan memelihara tradisi, budaya dan kepentingan Melayu , tetapi gagal memenuhi tanggungjawabnya apabila berhadapan dengan cabaran dan penentangan politik. Ada yang berpendapat Kuala Lumpur patut mengerahkan seribu atau dua ribu anggota tentera daripada Rejimen Askar Melayu pada tahun 1965, dan mengenakan perintah berkurung 24 jam terhadap Singapura serta menahan Lee Kuan Yew yang menjadi masalah kepada Tunku Abdul Rahman, PM pada waktu itu. Tetapi Tunku telah mencari jalan ringkas untuk mengelak pergaduhan iaitu dengan menyingkirkan Singapura daripada Malaysia, dan membiarkan Lee Kuan Yew bebas memimpin pulau itu.


Perihal warisan dan kepentingan Melayu dilalaikan malah cuba dikompromikan bukan sahaja berlaku sekali. Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku 40 tahun dahulu pada 1965, tetapi berulang beberapa kali pada zaman semasa., khususnya apabila bahasa Melayu dipinggirkan dalam sistem pendidikan kebangsaan negara. Sejarah itu mengajar kita berwaspada; andainya kita melupai sejarah, sejarah akan berulang dan menistai muka dan maruah kehidupan kita.

II
Meskipun citra negara Singapura itu tidak indah dan manis untuk dihormati oleh pencinta hak-hak asasi manusia, dan pejuang-pejuang civil rights, kerana dihubungkait dengan pemerintahan yang autoritarian, tidak toleran terhadap pembangkang demokratik, sistem kehakimannya memihak dan tidak bebas sehingga dikritik oleh banyak pihak termasuk Laporan Hak -hak Asasi Manusia 2008 oleh US State Department , medianya dicengkam dan dikembiri kebebasannya, penduduk asal Melayunya yang hanya 14% itu diselerakkan dan dipinggir daripada perkhidmatan kerajaan yang penting (seperti angkatan tentera, perkhidmatan awam, angkatan keselamatan, dan politik ), namun banyak yang dapat dipelajari daripada sebuah negara yang senantiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman jiran-jirannya yang lebih ramai penduduknya dan kaya dengan hasil buminya, khususnya Malaysia dan Indonesia.

Singapura telah menjadi negara maju yang kuat ekonomi serta kewangannya. Harga barangnya yang murah bermula dengan $2 Singapura (bersamaan Rm 4.60), dan tak ada wang kertas
bernilai seringgit. Lalu lintasnya teratur, tandas, tempat membeli belah dan taman-tamannya bersih , penembusan komunikasi internet lebih meluas, pengangkutan awamnya tepat dan rapi,
dan landskapnya terjaga dengan baik. Jangan lupa juga institusi pengajian tingginya dihitung lebih tinggi taraf dan mutunya daripada mana-mana universiti di Malaysia.Semuanya ini adalah hasil dan kesan daripada kepemimpinan politik yang tidak korup,pengurusan yang terancang, sistematik, dan disiplin kerja yang ketat.

Apakah ini hasil daripada majoriti penduduk Cina yang kuat bekerja, gigih mengejar kekayaan dan sangat materialistik atau Singapura tidak mempunyai pilihan lain untuk survive selain daripada budaya yang gigih berkhidmat, berniaga, berdisiplin dan menambah nilai dalam segala kegiatannya. Singapura terpaksa bergantung kepada perkhidmatan, profesionalisme, pembuatan, inovasi, dan penciptaan idea bagi terus maju kerana pulau ini miskin hasil bumi, pertanian, malah tanah dan air minum pun. Ia sangat bergantung kepada bahan mentah makanan dan air dari tanah daratan (hinterland) Malaysia dan Indonesia dan negara-negara lain. Ini adalah suatu cerita pergelutan hidup: mesti cerdik, pintar dan kalau perlu kejam.

(Bersambung...)

Thursday 22 October 2009

FESTIVAL PENULIS SINGAPURA 2009A

Akan berlangsung Singapore Writers Festival 2009 di Arts House ( bekas Bangunan Parliament) anjuran bersama National Arts Council, Arts House dan Singapore Press Holdings (SPH), dan SPH Foundation. Festival kali ke-13 ini akan berjalan 24-1 November; meliputi pelbagai bidang penulisan dan akan disertai oleh tokoh penulis dari pelbagai negera.

Tema festival ialah " UNderCovers" yang barangkali maksudnya menumpukan waktu membaca
apa yang ada di antara kulit -kulit buku. Pengarang dari Jepun, Pakistan, Inggeris, Cina, Hong Kong dan negara-negara lain, tidak ketinggalan Malaysia, akan berhimpun di Arts House (Rumah Seni). Dato Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara kita yang baru, kartunis Lat, dan saya juga mendapat undangan dari penganjur.

Singapore Arts Council juga telah mengajak Institut Terjemahan Negara Malaysia menerbitkan bersama antologi puisi Malaysia-Singapura dalam bahasa Melayu dan Inggeris -yang asli tertulis dalam bahasa Inggeris dari penyair Singapura diterjemahkan ke bahasa Melayu, dan yang dalam bahasa Melayu daripada penyair-penyair muda Malaysia di terjemah ke bahasa Inggeris. PENA telah diminta terlibat dalam penerbitan ini dan saudara Shamsuddoin Othman , Timbalan Setiausaha Pena di amanahkan untuk mengumpul puisi Malaysia dan memperkenalkannya.

Nampaknya selama sembilan hari festival padat dengan pembacaan karya, sessi pertemuan penulis, tayangan filem seni, pameran, persembahan seni muzik, dan perbincangan dengan pelajar.

Apakah yang ingin dicapai atau tujuan utama Singapura mengadakan peristiwa penulisan yang besar, dan memakan bukan sedikit belanja kerana semua perjalanan dan penginapan ditanggung
beres. Barangkali Singapura sebagai negara muda ingin membangunkan budayanya bagi turut sama melengkapi kejayaan ekonomi serta kewangannya. Dengan menghimpunkan pelbagai bakat, fikiran, gagasan dan pandangan penyair, novelis, editor, pengkritik, dan cendekiawan
Singapura mahu mendedahkan bakat-bakat negaranya kepada dialog budaya yang berisi pengalaman dan idea supaya Singapura juga tidak boleh hanya dilihat sebagai kota kebendaan, kewangan dan perkhidmatan dagang semata-mata. Ingatlah juga bahawa Singapura percaya kepada keanekawarnaan hidup atau multibudaya yang kolektif sebagai wajah masyarakat negaranya.
Barangkali sudah 20 tahun lebih saya tidak menjejakkan kaki ke pulau itu. Bagaimanakah rupanya pulau itu sekarang? Sejarah persuratan Melayu moden tidak boleh dipisahkan ceritanya daripada Singapura pada zaman kolonial Inggeris, iaitu sejak awal abad ke-20 apabila misalnya majalah Al-Imam (1906), dan novel Faridah Hanom, kedua-duanya ditangani oleh Syed Sheikh al -Hadi, sehinggalah terbitnya akhbar Utusan Melayu (1939), dan tertubuhnya ASAS 50 oleh Ariff Ahmad, Keris Mas , Asraf dll pada 6 Ogos 1950.

Di situlah juga P. Ramlee, Romai Nor, Nordin Ahmad dan bintang-bintang filem lain berhijrah
lalu mengembangkan sejarah seni filem Melayu , dan menghiburkan hati jutaan rakyat. Tetapi apa boleh buat sejarah juga telah mencari jalannya sendiri di luar kehendak kita. Ini semua gara-gara keputusan politik yang di luar daya rakyat biasa untuk menentukannya.

Singapura menjadi negara lain, tetapi kekal sebagai jiran tetangga kita seASEAN; kita boleh berlainan demokrasi dan kepercayaan, tetapi kedua-duanya tak ada pilihan lain daripada melakukan kerjasama mencapai destini wilayah yang saling memanfaatkan serta selamat.

Salam kenagan daripada saya sampai kita berjumpa lagi pada awal November.

Thursday 15 October 2009

LAGI PERHUBUNGAN JIRAN TETANGGA MALAYSIA/INDONESIA

Kelmarin tersiar berita di TV tentang tunjuk perasaan sekumpulan pekerja Indonesia di Johor memprotes kumpulan demonsran Indonesia yang menghina dan membenci negara kita baru-baru ini. Baguslah kalau pihak keselematan tidak membiarkan mereka berlebih-lebihan memanifestasi penentangannya sebagaimana kita mahu pihak pemerintah Indonesia harus menindak mereka yang anti-Malaysia, yang tidak bersopan dan tak berfikir panjang tentang manfaat perhubungan baik antara kedua-dua negara.

Kerajaan Malaysia patut mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia tentang maklumat lengkap kumpulan yang menghina negara kita , dan menyelidik siapa dalang busuk di belakang, dan apa tujuan sebenarnya di sebalik yang disuarakan. Ia tak mungkin berlaku sepontan; tentu dirancang dan diusahakan oleh satu dua pihak tertentu bagi menyebar sikap membenci terhadap Malaysia. Nama-nama dajal yang bertanggungjawab harus direkod dan diharamkan menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia.


Antara Malaysia dan Indonesia, memang tak mungkin sama dan sekata dalam semua hal kerana kita adalah bangsa dan negara yang masing-masing berdaulat dengan falsafah kenegaraan dan pembangunan ekonomi serta sosial-budaya yang berlainan. Namun sebagai negara ASEAN, jiran tetatangga yang bergeseran sempadan, dan diketemukan dalam banyak peristiwa sejarah, konflik antara kedua-duanya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, dan akan merugikan semua. Kita tetap berbeza dalam banyak hal, tetapi tidak membesarkan perbezaan itu, malah harus mempunyai destinasi serantau yang sama, kolaborasi yang menguntungkan walaupun bukan untuk tujuan perpaduan (sesuatu yang mustahil).

*****
Berdasarkan pengalaman yang berlaku baru-baru ini kerajaan Malaysia harus merancang mengurangi potensi pergeseran pada masa depan , terutama dalam soal pengambilan pekerja asing, baik dari Indonesia mahupun dari negara asing lain. Harus disaring dan ditapis dengan ketat siapa yang hendak diberi izin bekerja supaya jangan sampai ada penjenayah yang lolos masuk. Pencegahan pendatang haram misti dilakukan setiap hari kerana kalau mereka tak punya kerja di sini, tetapi mahu makan minum, mereka akan terjebak dengan pekerjaan tak bermoral : pelacuran, penipuan, jenayah pencurian dan perompakan. Kerajaan kita mesti sensitif serta berasa bertanggungjawab; dan inilah antara perkara yang membuat rakyat benci kepada kerajaan kerana dilihat lemah mengawal keselamatan dan keamanan hidup rakyat jelata. Apa guna kita bercakap tentang pembangunan setrta pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran kalau di sekeliling kita merayap kutu-kutu tak bermoral , manusia yang tak beradab akal budinya.


Pekerja-pekerja wanita Islam Indonesia harus dilarang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah-rumah majikan bukan Islam bagi memelihara kehidupan dan kebersihan mereka daripada hal-hal yang haram dan najis. Pemerintah Indonesia juga harus mengharamkan wanita mereka menjadi pembantu rumah di kediaman bukan Islam. Kita semua harus menghormati wanita-wanita Islam kita sendiri. Kalau kita sendiri tak hormat kepada mereka , dan selesa melihat mereka memperhambakan diri di rumah orang kafir, apakah orang beragama lain
berasa bertanggungjawab untuk memelihara ibadat atau menghormati kewanitaan mereka.
Jangan kerana untuk sesuap nasi kita rela membiarkan wanita Islam seagama kita menagih rezeki dan berumah bertangga di bawah bumbung orang bukan Islam. Apakah masyarakat Islam kita di sini daif sangat ?


Suatu jawatankuasa khas tertinggi kerajaan hendaknya segera ditubuhkan bagi mengkaji secara
terperinci setiap masalah, jalan penyelesaian dan strategi sosial-ekonomi jangka panjang bagaimana meminimumkan ketergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ekonomi. Terutama perhatian khas diberikan bagaimana mengatasi penjagaan dan pendidikan anak-anak
kecil bagi kedua-dua ibu bapa yang bekerja supaya generasi anak kecil kita dipelihara sambil dididik dengan kebersihan, budaya yang baik, dan pemeliharaan yang selamat. Kerajaan perlu merancang supaya setiap taman perumahan, setiap pejabat yang ramai pekerjanya diadakan pusat asuhan yang sempurna. Barangkali kerajaan perlu memberi subsidi kepada setiap pusat asuhan rakyat ini. Ini adalah suatu rancangan yang nasional sifatnya yang harus menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan sosial jangka panjang. Bukan sesuatu yang dibuat secara ad hoc dan sekadar reaktif sifatnya. Bagaimana Korea, Jepun dan negara-negara maju lain memberi jawapan penyelesaian terhadap cabaran sosial ini?

Saya kira semua kita harus terus membahaskan isu ini supaya Kementerian yang bertanggungjawab segera celik mata dan celik hati merangka langkah-langkah segera dan tepat kerana ini adalah isu tentang membangunkan bangsa dan isu kemanusiaan yang sama pentingnya dengan pembangunan ekonomi dan kebendaan.

Thursday 1 October 2009

MALAPETAKA dan KEPERIHATINAN KITA

Sudah lama benar rasanya saya tak berbicara kepada saudara-saudara sekalian. Malam ini saya terpanggil untuk berkata sesuatu setelah mengalami perasaan yang berat dan sedih melihat berita di TV tentang anak-anak yang nampak traumatik bersama-sama ibu-ibunya merintih atas kehilangan kesayangan mereka.

Tiba-tiba bencana alam melepaskan tenaga kemusnahannya belum lama Eidulfitri berlangsung, dan kita masih meraikannya. Ribut, gempa dan tsunami seakan-akan berpakat mengehempas alam di sekeliling kita. Apakah rahsianya? Baharu sahaja sebulan kita berpuasa demi mencari takwa, memohon rahmat dan syurga-Nya. Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Tuhan kerana kita di sini tidak menderitai malapetaka alam iu secara langsung walaupun berasa pilu melihat saudara mara dan jiran tetangga kita Indonesia, terutama di Padang dan Jambi , dililit penderitaan, kesakitan dan kepedihan jiwa raga.

Meskipun ramai antara kita baharu saja berasa marah dan kecewa apabila sejumlah penduduk
di Jakarta dan media Indonesia mencerca dan memaki hamun negara kita, tetapi dalam tragedi yang menimpa rakyat biasa di Sumatera itu janganlah sampai kita tidak ambil peduli langsung sebagai melepaskan dendam. Kalau kita tidak dapat menghulurkan bantuan secara langsung , kita boleh berdoa supaya Tuhan mengurangi penderitaan mereka dan segera mencucuri pertolongan dan rahmat kepada yang malang; menenangkan hati dan menyemai kesabaran
dalam kesusahan yang demikian besar.

Mudah-mudahan juga kerajaan serta Palang Merah Malaysia akan segera menghantar apa jua bantuan makanan, pakaian, perubatan, dan rawatan kepada mangsa-mangsa yang ramai. Ini hari mereka, mungkin lain kali hari malang bagi kita pula. Kalau kita tidak mudah membenci orang, malahan berniat baik untuk meringankan kesusahan orang, InsyAllah Tuhan akan melapangkan kesusahan kita .

Bencana atau apa jua malapetaka yang menimpa tetap mengandungi amaran, peringatan dan
pengajaran bagi semua bangsa supaya kita saling hormat menghormati, memahami dan menyayangi manusia lain di atas bumi yang sebenarnya sangat kecil dan rapuh . Marilah kita mendidik diri kita untuk mencintai Tuhan yang selalu sayang dan cinta terhadap umat-Nya.
Marilah kita belajar bijaksana bahawa kita ini sangatlah tak berdaya di dalam kenyataan cakerawala yang hebat ini, kecuali dengan kekuatan doa yang direstui oleh Tuhan yang Maha Pencipta.

Wednesday 16 September 2009

PEMIMPIN MELAYU BERTINDAK BERLEBIHAN

SELAMAT BERHARI RAYA ; DOA RESTU UNTUK SAUDARA PEMBACA
Assalamualaikum

SATU DUA HARI yang lalu pada hujung Ramadan yang mulia dan kudus ini beberapa pemimpin politik Melayu, dan sejumlah NGO mengecam hebat ucapan buruk ahli MIC yang mencela nama baik Tun Mahathir dengan mencadangkan mengenakan kalung sepatu pada gambar Mahathir.

Setuju, ini adalah pebuatan yang buruk ( seperti pada waktu lalu Menteri Besar Selangor menghadiahkan penyapu secara terang-terangan kepada Pegawai Awam yang dinilai tidak cekap). Presiden MIC juga setuju lalu bertindak menggantung keahlian yang berkenaan.

Soalnya kenapa pemimpin-pemimpin kita , malah sampai ada berdemonstrasi, membuat kecaman, seolah-olah satu krisis sedang melanda keselamatan negara atau maruah semua umat Melayu Islam. Dahulu apabila bahasa Melayu dipinggirkan di sekolah kenapa tokoh-tokoh yang berkenaan ini membisu seribu bahasa ( seperti ramai yang lain juga kecuali pada tahap akhir apabila protes sudah merebak benar ).

Kalau pemimpin-pemimpin kita overreact pada hal-hal yang tak sepatutnya sampai seperti itu,
sedangkan banyak isu-isu kritikal yang besar yang sedang melilit kehidupan rakyat ( jenayah, selesema babi, pencemaran alam dan bunyi, kemalangan jalan raya, pengangguran, kegoncangan politik, kelembapan ekonomi, dadah, arak, judi , maksiat pelacuran, pendatang haram dan rasuah etc. etc) yang patut diutamakan penyelesaiannya, bagaimanakah rakyat boleh menaruh kepercayaan kepada pemimpin politik Melayu bagi menangani isu-isu kebangsaan.

Apakah orang Melayu dalam kemodenannya sudah berkembang kepada tahap pemikiran feudal baru: memuja ketokohan individu sehingga tak boleh dikritik atau disentuh pun? Barangkali ada masalah lain iaitu rasa cemas yang berlebihan atau fobia disebabkan tempo pergerakan politik yang biasa kita alami , kini tak selancar dahulu lagi; tersenggut-senggut
perjalanannya sehingga membimbangkan ramai ( seperti kita sudah biasa meluncur laju dalam motokar, tiba-tiba terasa enjinnya tersekat-sekat di simpang lampu isyarat ). Pernahkah saudara mengalaminya ? Kalau saudara guna kereta lama, pasti sdr pernah mengalaminya , terutama apabila tidak di rawat beberapa bahagian penting enjinnya ( tak cukup minyak hitam, penapis angin serta minyak kotor, air bateri dan radiator kering, minyak setering, gear bocor etc ).

Pada bulan baik dan hari bertuah Ramadan & Syawal ini marilah kita umat Islam bermuhasabah diri, dan belajar berfikir fundamental ; dan insaf akan sejarah , supaya kita dapat mengejar visi masa depan dengan lebih jelas dan pantas. Tak usahlah besar-besarkan perkara-perkara yang remeh temeh yang membuang banyak masa orang Melayu Islam dalam keadaan sosial yang kacau sekarang.

Ilmuwan-ilmuwan Islam menemukan banyak ilmu dan teori, tetapi berjaya dimajukan oleh ilmuwan bukan Islam. Ingatlah al-Quran yang Maha Mulia dan sendat dengan pentunjuk untuk umatnya itu, pertama kali dicetak dengan jumlah naskhah yang besar ialah di Jerman apabila mesin cetak bergerak Gutenberg diciptakan.

MOHON MAAF JUA.

Sunday 13 September 2009

SALAM RAMADAN & IDILFITRI YANG MANIS

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA,

Kepada setiap pengikut/follower yang saya ingati, dan kepada sekalian pembaca
yang mengunjungi DESAKOTA , dengan penuh perasaan terima kasih dan hormat , saya mengucapkan selamat Ramadan dan bergembiralah dengan kesyukuran menikmati kemanisan Hari Raya Idilfitri.

Biarpun kita tak berhubungan secara langsung, tetapi diam-diam terjalin komunikasi kreatif dan intelektual yang saling memberi pengertian. Setiap komentar atau ulasan yang tiba saya baca dengan tekun dan berterima kasih meskipun tak berdaya menjawab setiap satunya. Semuanya memperkaya pengalaman dan membuat saya lebih mengerti bahawa kita tidak misti seia sekata dalam semua hal walaupun sama-sama prihatin dalam hal yang sama.Inilah nikmat perhubungan dan dialog antara manusia.

Semoga saudara sekalian sihat-sihat selalu sampai ke Ramadan akan datang, dan sehingga waktu itu mari kita saling berdoa; memberi dan memohon maaf; mudah-mudahan kemanisan Ramadan& Idilfitri yang kudus memekarkan fikiran serta daya cipta hidup kita untuk masa depan yang lebih kaya.

Saya akan terus menulis di blog DESAKOTA ini, dan juga di blog KEBUNCIPTA ( Khas untuk tulisan Seni dan Sastera) sebagai wadah pengucapan untuk menemui saudara di mana-mana saja. InsyaAllah.

Sekali lagi saya menghulurkan jari sepuluh menyambung salam ingat, dan tak jemu-jemu memohon kemaafan atas apa jua keterlanjuran kata-kata, dan suka menyatakan sedalam penghargaan atas kunjungan saudara sekalian ke DESAKOTA.

Sampai Kita Berjumpa Lagi.

Monday 7 September 2009

MALAYSIA/INDONESIA JIRAN TETANGGA SERUMPUN SENUSANTARA

Sangatlah menggembirakan apabila mendengar berita mahasiswa perubatan Malaysia berusaha untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Jawa Barat, meskipun baru saja terbit peristiwa membakar Jalur Gemilang gara-gara protes tarian Pendet Bali.

Kebaikan dan kemuliaan budi pekerti harus mengatasi provokasi liar yang irrasional. Bersabar dan menunjukkan sikap yang lebih matang adalah jawapan mendalam bagi segelintir manusia yang emosional dan bermasalah. Di mana-mana pun memang ada kelompok rakyat yang tidak memikirkan kepentingan dan persahabatan yang lebih besar antara Malaysia dan Indonesia. Jadi kita patut bersyukur kalau tokoh-tokoh kemasyarakatan, cendekiawan, dan tokoh politik nasional kedua-dua negara tidak terjebak ke dalam kancah perasaan yang boleh menjadikan perhubungan terluka dan parah.

Bulan Ramadan ini adalah bulan bagi Muslimin dan Muslimat membersihkan hati nurani, fikiran dan rohaninya daripada kekeruhan sebagaimana puasa itu satu proses detoksifikasi atau pengenyahan racun pada tubuh badan; demikianlah juga ia harus menjadi detoksifikasi atau reformasi terhadap kekeruhan rohani kita, dan terhadap kebobrokan sosial serta politik. Serentak dengan itu jangan lupa TUHAN MAHA BERKUASA dan malaikat-malaikat-NYA senantiasa memerhatikan buruk baik perbuatan kita. Berdoalah kepada-Nya untuk pedoman mencari jalan yang benar.

" Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang-orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran" (2:186)

Saturday 29 August 2009

PERGESERAN MALAYSIA-INDONESIA

Pada bulan Ramadan yang mulia, bulan yang diturunkan al-Quran dan kitab-kitab besar lain, dan satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran; bulan yang menyeru kepada kebaikan , kesabaran dan ketakwaan, sangatlah mendukacitakan apabila timbul sekali lagi protes dari sekelompok jiran tetangga di Indonesia terhadap Malaysia kerana dikatakan mengaku tarian "Pendet" Bali itu sebagai tarian Malaysia. Ia berpunca daripada tayangan iklan Pelancongan Malaysia.

Ini merupakan kes paling akhir; dan sebelumnya ada rentetan peristiwa lain seperti isu Batik, Keris, Sepadan, Ambalat dan malahan Nordin Mat Top. Nampaknya jahat sungguh Malaysia. Ada kira-kira tiga juta pendatang dari Indonesia di sini dan belum ada hotel diletupkan. Seorang Dr Azhari, dan kemudian Nordin menimbulkan huru hara yang tragis. Nah, akhbar Jakarta Post , 26 Ogos di Indonesia menyiarkan kontoversi dengan beberapa reaksi yang negatif daripada pembacanya. Berita Harian (Jumaat 28 Ogos) membawa berita tentang sebuah universiti di Indonesia enggan lagi menerima pelajar Malaysia kerana gara-gara tidak hormat terhadap kebudayaan kebangsaan Indonesia. Kenapa sampai begitu jauh sensitiviti dan reaksinya?

Kalau betul Malaysia menciplak dan mengaku apa yang bukan haknya, memang ini perbuatan yang tidak beretika dan harus minta maaf atas kesilapan. Hanya saya berasa dukacita kedua-dua jiran tetangga yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara masing-masing, dan duduk di khatulistiwa yang sama-sama lembab dan dipukul terik matahari, menjunjung Islam sebagai agama utama majoriti rakyatnya; dan tentu sekali sama-sama dicabar oleh globalisasi
selain daripada asakan budaya Barat yang hemogenistik; kita patut saling memperkukuh dan membina kekuatan budaya kita atas semangat Nusantara dan ASEAN.

Semoga akal waras dan bijaksana daripada pemimpin di atas dapat meredakan pergeseran, terutama pada bulan Ramadan ini (penghulu segala bulan). Ingatlah Ramadan mencatatkan
sejarah besar peperangan Islam menawan kemungkaran seperti yang berlaku pada Perang Badar, Perang menakluk Sepanyol (Andalusia diperintah oleh Islam selama 800 tahun), dan Perang Ramadan atau Perang Yom Kipur pada zaman modern, antara Arab dengan Israel pada 1973.

Kalau Malaysia dan Indonesia melakukan kerjasama atau kolaborasi yang produktif, kita boleh sama-sama mengangkat maruah Nusantara di tengah-tengah dunia yang memandang rendah terhadap rakyat berkulit sawo matang yang menjadi penduduk asli Tenggara Asia ini. Ayuh! mari kita sama-sama duduk semeja, berbuka puasa, dan bersolat di depan Tuhan.

Saya sendiri mengharapkan teman-teman baik saya seperti bapak Goenawan Muhammad
dapat melebarkan pengaruh kata-kata intelektual dengan penawarnya di kalangan pembaca media di Indonesia, dan bapak Emha Ainun Najib yang menjelajah ke pelusuk hati dan daerah rakyat melalui saluran dakwah Kiai Kanjengnya dapat menyejukkan hati yang dipedihkan oleh mereka yang marah. InsyaAllah. Amin

Tuesday 25 August 2009

PENYELESAIAN PPSMI YANG MERAGUKAN

Kenapa PPSMI tidak dihapuskan lebih awal?

Kenapa guru yang hendak mengajar Sains dan Matematik dlm Bahasa Melayu dari sekarang mahu ditindak?

Kenapa darjah satu pada tahun 2o11 tidak boleh diajar dalam Bahasa Melayu?

Apakah Ketua Pengarah Pelajaran telah memberi nasihat yang betul kepada Timbalan Perdana Menteri?

Cukuplah sekali dahulu rakyat dipermainkan sehingga akibatnya cerdik pandai dan ramai rakyat biasa hilang kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu dan birokerat kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin selaku TPM/Menteri Pelajaran nampaknya perlu menilai semula strategi
pelaksanaan. Ini hanya masalah pendekatan sahaja, bukan soal dasar kerana pada dasar dan prinsipnya sudah ditetapkan memansuhkan PPSMI.

Kalau dulu pada 2003 PM dengan mudah mengarahkan Kementerian Pelajaran mencampak Bahasa Melayu ke longkang dengan tak bertangguh-tangguh lagi kenapa hendak memperbetulkan balik kesalahan besar itu sampai memakan banyak tahun? Berapa ratus ribu lagi pelajar mahu dibiarkan menjadi mangsa sistem yang kucar kacir ini?

Kita belum lagi membahaskan isu memartabatkan BM di tingkatan 6 dan di pusat-pusat pengajian tinggi. Diharap Tan Sri Muhyiddin menghimpunkan ketegasannya sekali lagi menyelesaikan semua isu sensitif kebahasaan ini secara tuntas.

[ Ulasan tentang proses perubahan PPSMI kepada PPSM-BahasaMelayu lihat blog MARNI]

Friday 21 August 2009

Berpuasa, Beribadat Demi Bertakwa

Assalamualaikum kepada semua sahabat, pembaca blog yang dihormati, kenalan jauh dan dekat,
dan saudara-saudara Musliminin dan Muslimat,

Dengan tulus ikhlas saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa yang wajib pada Ramadhan ini semoga kita menyahut seruan Allah supaya bertakwa. Alangkah manis dan cantiknya Ramdhan, penghulu segala bulan, yang datang dengan penuh kasih sayang, keampunan dan pahala yang berlipat ganda.
Inilah bulan--Ramadhan- yang disebut namanya di dalam al_Quran.

Salam dan semoga di rahmati , diberkati dan dimurahkan rezeki oleh Allah jua.

Baha Zain

Tuesday 18 August 2009

IKHTIAR MENGHINDAR SELSEMA BABI

Sahabat baik saya sejak sekolah dahulu telah bersusah payah menyampaikan petua untuk menjauhkan diri daripada dihinggapi Selsema Babi (Swine Flu):

1. Sedut bau minyak cengkih (Lavanga oil)--2 titik minyak atas sapu tangan dan hidu-hidu selalu.

2. Kunyah sekurang-kurangnya satu bunga cengkih sehari

3. Makan sedikit bawang putih mentah, bawang dan juga halia.

4. Minum susu panas bercampur 2 gm kunyit.

5. Makan banyak buah-buahan mengandungi vitamin C ( limau, beri, jambu etc).



Maklumat daripada Times of India . Agaknya itulah sebabnya India belum begitu teruk kena Selsema Babi.

Berdoalah juga minta Tuhan pelihara keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan masyarakat Islam kita yang tak makan babi dan tak ternak babi agar terselamat. Masjid-masjid dekat kediaman kami sudah beberapa kali selepas solat Jumaat mengadakan solat hajat mohon perlindungan Allah.

Berikhtiar, berdoa dan bertawakallah dengan keinsafan terhadap Yang Maha Penyayang.

Thursday 13 August 2009

HANYA TULISAN YANG TINGGAL DIBACA

Dalam waktu seminggu ini empat berita kematian orang kenalan disampaikan melalui pesanan telepon. Mula-mula berita kematian Allahyarham penyair Sabar Bohari yang berasal dari satu daerah dengan saya ; kemudian W.S.Rendra penyair Indonesia; sesudah itu Hajah Halimah, Pegawai Perancang Bahasa, di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kelmarin 12 Ogos Dharmala N.S
penulis cerpen, esei dan novel yang telah berkarya sejak 70-an. Kerana tidak jauh dari rumah ,saya sempat turut bersama sembahayang jenazahnya di masjid Sri Gombak sesudah usai solat zohor.

Baru sahaja selesai membaca sajak Sabar Bohari, "Satu Malaysia" dalam keluaran Dewan Sastera , Ogos, tiba pula berita kematiannya. Tentang Rendra, sepatutnya kami sama-sama berhimpun , pada minggu pertama Julai, di Korea Selatan, tetapi akhirnya dia tidak datang kerana uzur. Apa yang sampai hanya sajak-sajaknya, dan itupun tidak dibacakan pada malam 'Poetry Night". Saya mulai mengenal Rendra pada awal tahun 70-an sewaktu tinggal di Jakarta, dan sering menonton teater serta persembahan-persembahan puisinya di Taman Ismail Marzuki. Dia sangat memikat di atas pentas kerana bakat teaternya yang hebat. Hajah Halimah walaupun bukan penulis, tetapi sangat berjasa dalam pembinaan istilah teknikal yang menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata-kata ilmu pengetahuan di dalam bahasa kita . Bahasa kebangsaan masih sangat memerlukan keahlian dan pengalamannya , terutama pada saat ini setelah 6 tahun bahasa sains dan matematik dinyahkan. Dia pergi terlalu awal, tetapi seruan Tuhan lebih mengetahui dan adil terhadap hamba-hamba- Nya. Karya Dharmala pernah saya baca sejak lama dahulu, terutama apabila menjadi panel hakim bagi memilih cerpen-cerpen yang baik untuk memenangi hadiah. Memang dia sangat berbakat, dan turut memperkaya khazanah persuratan moden bangsa kita.

Sekalian yang telah memperkaya bahasa Melayu dengan imaginasi , sensitiviti seni dan inteleknya tiba-tiba meninggalkan lapangannya. Hanya hasil jerih payah: puisi, esei,cerpen, makalah dan istilah dalam majalah dan buku yang menjadi kesaksian tentang kehadiran mereka pada suatu waktu yang lalu. Mereka telah pergi meninggalkan buku-buku. Peristiwa ini menginsafkan bahawa kita jangan alpa setiap hari tentang berniat dan berusaha untuk meninggalkan kebaikan. Hanya itulah yang akan menjadi kenangan orang di dunia, dan bantuan
meringankan roh kita di akhirat. InsyaAllah.

Jadi menulislah dengan sebab dan tujuan yang betul; bukan dengan niat yang salah.

Persoalan ini mengingatkan kita kepada ratusan pengarang dahulu yang telah mempertaruhkan jiwa raganya dalam dunia karang mengarang dan perjuangan menentang kezaliman dan penindasan seperti Zaaba, Kajai, Ishak Haji Muhamad dan Samad Ismail. Kedua-dua pengarang Ishak dan Samad Ismail meninggalkan cerpen dan novel yang sangat komited kepada masyarakatnya; dan bertahun-tahun dihumban ke dalam penjara. Hanya pada larut usianya baru diberi perhatian yang besar setelah kemerdekaan rakyat menjadi kenyataan.

Barangkali sudah tibalah saatnya kerajaan melalui agensi tertentu mengabadikan nama kedua-dua tokoh besar persuratan, politik dan kewartawanan ini pada ruang-ruang tertentu di mana terpamer secara visual imej , karya dan pembicaraan tentang mereka bagi mendidik perasaan dan fikiran generasi anak-anak kemerdekaan tentang apa ertinya perjuangan dan pengorbanan. Institusi yang paling tepat tentulah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan ruangan khas bergelar " Kamar Kemuliaan " untuk Pak Sako dan Samad Ismail. Kedua-dua tokoh ini telah melalui kehidupan yang sangat berwarna warni dan aneh dalam denyut-denyut nafas bahasa, sastera, kewartawanan dan politik kebangsaan. Mereka sangat wajar dan berhak untuk dikenang ketokohannya.

Saturday 8 August 2009

Selamat Datang Ke Kebuncipta

Apabila dunia terlalu hiruk pikuk dengan pelbagai peristiwa kita perlu bertenang dan duduk merenung ke dalam diri supaya tidak hanyut daripada dasar kehidupan yang hakiki. Ini bukan pelarian , tetapi tempat berteduh sementara dan mencari diri sendiri yang telah terbawa-bawa oleh peristiwa di sekitar, entah benar ataupun tidak.

Di kebuncipta kita mendengar panggilan hati nurani, dan belajar mendengar perasaan orang lain.
Kesenian bukan sekadar untuk menikmati keindahan, tetapi mencari kebenaran. Datanglah berkunjung untuk kita berdialog .

Pintu ke kebuncipta menunggu di sebelah atas kanan blog desakota
:
Blog Seni & Sastera
kebuncipta

Tuesday 4 August 2009

MEMBACA SEMULA CIPTAAN SILAM

Mengembalikan Semula Dunia yang Hilang

Gerakan pembebasan dan revolusi di Indonesia dahulu telah menjadi inspirasi membangkitkan
semangat perjuangan di Semenanjung Tanah Melayu. Revolusi Indonesia tercetus menjadi kenyataan sesudah gagasan pemberontakan itu matang dalam fikiran rakyatnya. Fikiran itu dipersiapkan dan dimatangkan oleh penulis, budayawan, wartawan dan aktivis agama serta politik. Sesudah itu barulah rakyatnya bersedia bertumpah darah menebus kedaulatan dan maruahnya: Merdeka.

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia, para penulis dan pengarang telah menulis cerpen serta novel yang menceritakan pertentangan antara adat resam, nilai-nilai dan falsafah Timur dengan yang dibawa oleh penjajah Barat. Kesusasteraan menjadi suara perlawanan yang halus , tetapi menginsafkan kerana ia mempengaruhi bukan sekadar fikiran tetapi juga emosi dan sikap.

Lahirlah pelbagai karya yang ditulis dalam bahasa Indonesia bagi bacaan di Sumatera, Jawa, dan di pulau-pulau sekitarnya. Bahasa Indonesia lalu menjadi bahasa baru, bahasa pemersatuan, dan suara perjuangan nasional bagi ratusan suku-bangsa: Sunda, Jawa, Minangkabau, Batak, Bali, Minado, Madura, Aceh, Melayu etc,etc. yang menuntut keadilan.

Baru-baru ini , Balai Pustaka, penerbit yang wujud sebelum merdeka, kabarnya menerbitkan semula novel-novel klasik modern Indonesia yang telah menunjukan keistemewaan bakat kreatif dan pemikiran intelektual bangsa Indonesia zaman pra-merdeka.

Penerbitan disempurnakan dalam bentuk kumpulan khas yang setiap satu terdiri daripada 8 judul dengan nombor sirinya:
1. Azab dan Sangsara, Merari Siregar
2. Salah Pilih, Nur Sutan Iskandar
3. Siti Nurbaya, Marah Rusli
4. Dari Ave Maria ke Jalan Lain ke Roma, Idrus
5. Layar Terkembang, Sutan Takdir Alisjahbana
6. Atheis, Achdiat K Mihardja
7. Salah Asuhan, Abdoel Muis
8. Habis Gelap Terbitlah Terang, R.A. Kartini

Projek penerbitan ini dikelolakan oleh sekumpulan lapan pengarang yang diketuai oleh penyair Tufik Ismail.

Demikianlah bagaimana Indonesia melalui kesusasteraan mengembalikan dunia yang hilang supaya bangsanya sedar bahawa zaman yang merdeka ini telah diwujudkan oleh keringat dan darah sejarah yang lalu.

Bagaimana Malaysia menaksir sejarahnya ?

Wednesday 22 July 2009

CABARAN PASCA PPSMI

Kenyataan rasmi kerajaan ( 8 Julai 2009) yang diungkapkan melalui TPM/Menteri Pelajaran telah jelas memberitahu penduduk Malaysia bahawa BM dimartabatkan [ sebenarnya dimartabatkan kembali] ; dan BI dimantapkan [ sebenarnya dimantapkan lagi ] dengan memansuhkan PPSMI. Pada dasarnya kita semua sokong kerana ini keputusan yang menasabah
dan adil walaupun tidak mampu memuaskan perasaan dan fikiran semua pihak.

Ramai pula ibu bapa, dan rakyat biasa yang tidak mendalami isu PPSMI ini bimbang akan berlakunya kemerosotan berbahasa Inggeris apabila PPSMI bertukar menjadi PPSMM (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalan bahasa Melayu). Kebimbangan ini wajar kerana ramai rakyat percaya bahawa untuk maju dalam pelajaran dan dapat pekerjaan sebagai pegawai tinggi kerajaan atau berjaya dalam perniagaan mesti lulus dan pandai berbahasa Inggeris.

Jadi tidak hairanlah ramai yang beranggapan bahawa pejuang yang menentang PPSMI ini anti-BI. Ini suatu persepsi yang salah sama sekali; dan ia diperkuatkan oleh propagandis yang menyokong apa saja yang diputuskan oleh pemimpin-pemimpin politik yang disokongnya. Pejuang dan rakyat pencinta BM janganlah pula mengulangi sikap dan perbuatan yang keliru itu dengan menuduh mereka yang tak setuju dengan pemansuhan PPSMI ini anti-BM walaupun ada individu serta pihak tertentu yang berfikiran buruk seperti itu.

Sangatlah kena pada tempatnya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memikirkan pelbagai pendekatan serta metode untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran BI, terutama di kampung-kampung yang ketinggalan pembangunan sejak merdeka. Demokrasi dan keadilan pendidikan harus diterjemahkan dalam keadilan sosial; keadilan sosial harus mencerminkan keadilan tradisi dan kebudayaan. Hasrat kerajaan untuk memperluas peluang dan meningkatkan mutu penguasaan BI di sekolah akan dapat mententeramkan kebimbangan ibu bapa; dan sekali gus menyelesaikan metode PPSMI yang tidak rasional yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara sejak 2003.

*****

Bagaimana pula masa depan BM? Apakah dengan memansuhkan PPSMI segala masalah kemajuannya sebagai bahasa ilmu terselesai dengan sendirinya ? Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan " memartabatkan BM"? Perkataan " martabat" membawa erti kedudukannya pada pandangan orang berada pada tempat yang tinggi, ada pangkat atau darjatnya. Biasanya ia membawa sekali nilai-nilai maruah dan kehormatan kerana ada sifat-sifat amanah, berguna, berani atau memiliki nilai-nilai yang disukai masyarakat.

Apakah BM ini mempunyai martabat? Dalam sejarah, kebudayaan dan tradisi memang ia mempunyAi kedudukan, tempat dan darjat yang hebat. Itu dahulu, dan hari ini ia termaktub pula dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia (Perkara 152). Jadi dari segi martabat atau status rasminya tak ada persoalan lagi.

Bagaimana pula maruahnya? Ada orang yang berpangkat besar dan bergelar itu dan ini, tetapi tak amanah, perasuah, pemeras, penipu atau tak guna pada orang ramai sehingga dia tak dihormati; tak ada maruah kata orang. Jadi inilah kekhuatiran kita terhadap BM: ada status, tetapi mungkin orang tak pandang tinggi dan tak hormat kerana tak banyak manfaatnya bagi menghadapi zaman moden, zaman industri dan global.

Jadi marilah kita sama-sama berfikir apa selanjutnya mesti diperjuangkan untuk memberi maruah kepada martabatnya yang rasmi . TIDAK GUNA HANYA MENYEBUT UNTUK MEMARTABATKANNYA SAHAJA. ANDAINYA SAUDARA MEMPUNYAI APA-APA CADANGAN MOHONLAH SAMPAIKAN. KITA CUBA HIMPUNKAN DAN SAMPAIKAN KEPADA PIHAK BERKENAAN UNTUK DIPERTIMBANGKAN-- TERIMA KASIH JUA.

Friday 17 July 2009

PRESIDEN MCA MASIH TAK FAHAM PPSMI

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, mahu PPSMI diteruskan bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 dalam aliran sains. Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas memberi jawapan bahawa yang boleh dibincangkan adalah strategi dan pendekatan, bukan merubah dasar lagi sehingga menjadi tidak konsisten. Ini jawapan yang tegas, dan Menteri Pelajaran diminta terus tegas. Jangan mempermainkan soal bahasa Melayu, pendidikan dan kebudayaan ini. Dia jangan menjadi seperti , harapkan pagar, pagar makan padi. Berkhianat kepada bangsanya walau atas alasan apa sekalipun.

Kenapa Ong Tee Keat tidak faham-faham lagi isu PPSMI yang hodoh itu? Apakah dia tak tahu sekurang-kurangnya ada empat kajian ilmiah yang bebas yang memberi laporan negatif terhadap pembelajaran sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apakah dia tidak sensitif terhadap perasaan terluka orang Melayu apabila selepas 30 tahun BM dimartabatkan, ia dipinggirkan sebagai bahasa pengantar?
Masyarakat Cina tak perlulah bimbang sangat kerana di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina masih terus dibolehkan mengajar sains dan matematik dlm Mandarin. Bahasa Cina pun tak perlu dibina di Malaysia kerana tapak pembinaannya berpangkal di Beijing, Hongkong, Taipei dan Singapura; ribuan judul buku boleh diimpot bila-bila masa sahaja dari luar untuk keperluan penggunannya di negara ini.

Apa rationale dan hujjah-hujjah besar Ong Tee Keat untuk mengungkit perkara ini lagi setelah direstui oleh Kabinet di mana dia tentu duduk di dalamnya sekali? Kalau tak ada hujjah yang lebih hebat dan besar daripada sekalian hujjah penolakan PPSMI yang telah dihantar oleh kumpulan NGO , tindakan Ong Tee Keat ini boleh saja ditafsirkan sebagai picik dan sempit walaupun tidak berbau perkauman.

Tahukah beliau bahawa antara penentangan pokok terhadap PPSMI oleh orang Melayu ialah ia akan membantut kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dasar PPSMI ini diistilahkan oleh orang Melayu sebagai pengkhianatan terhadap bahasa dan kebudayaannya. Apakah Datuk Seri Ong Tee Keat buat-buat tak tahu faktor ini?

Pperistiwa PPSMI ini adalah suatu pengajaran dan contoh besar sejarah, iaitu apabila ada pemimpin Melayu sendiri yang memperlekeh bahasa dan kebudayaan bangsanya, orang lain pun tidak akan hormat kepada orang Melayu.

Memang dalam beberapa hal orang Melayu , terutama yang sudah senang lenang dan menjadi kelas menengah, berkat Dasar Ekonomi Baru, tak ambil pusing lagi maruah bahasa dan bangsanya. Mereka tidak cepat berasa terhina kalau diperlekehkan . Sampai beribu-ribu orang turun ke jalan raya menunjuk perasaan baru mereka buka mata, seolah-olah terkejut terpinga-pinga daripada mimpinya yang nikmat.

Betulkah bangsa Melayu ini sudah tak ada harga diri lagi, dan buta terhadap apa ertinya kemajuan ?

Tuesday 14 July 2009

ANEKA JENIS TANGGAPAN TERHADAP BERAKHIRNYA PPSMI

Menteri pelajaran, Muhyiddin Yassin, telah membuat keputusan. Dia telah menendang bola di kakinya ke pintu gol yang betul. PPSMI akan dimansuhkan pada 2012. Mantan Perdana Menteri, Mahathir, tidak setuju. Tak apa. Tidak semua keputusan akan dipersetujui oleh semua. Itu suara minoriti kecil; tak akan memberi kudis. Anggap sahaja sebagai suatu kenyataan demokratik yang biasa terjadi.

Apa yang penting semuanya dibuat tanpa menggunakan kekerasan atau kedudukan politik seseorang yang memegang kekuasaan sebagaimana PPSMI itu dipaksakan pada tahun 2003. Itu tidak demokratik, tetapi tindakan authoritarian walaupun dikatakan sebagai keputusan kolektif Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet. Pemansuhan PPSMI sekarang ini pun direstui oleh Majlis Tertinggi UMNO serta Kabinet . Justeru itu , ia adalah suatu keputusan kolektif juga. Jadi kenapa Mahathir yang pernah memimpin UMNO dan Kabinet beria-ia membantahnya kalau percaya pada prinsip keputusan bersama kolektif dalam hal ketentuan dasar negara? Prinsip apa sebenarnya yang difahami dan dipegangnya ? Bersaksikan lutut sendiri?

Kita semua jangan bersikap apologetik mempertahankan bahasa Melayu kerana ini bahasa kebangsaan negara yang disemat kemas untuk menjadi salah satu asas pokok Perlembagaan Persekutuan. Lebih daripada itu ia adalah bahasa Melayu daripada bahasa tamadun rumpun Melayu di Nusantara, dan harus dipertahankan bukan sekadar dengan air mata, tetapi dengan darah sekalipun.

Mahathir memang faham akan hal ini sebab itu dia mengumumkannya hanya beberapa bulan sebelum meninggalkan kerusi kepimpinannya kerana dapat membayangkan penentangan gencar daripada penulis dan ilmuwan. Sayangnya dia meneruskan usaha mempertahankan PPSMI setelah mata rakyat terbuka, fikiran rakyat diyakinkan dengan kajian-kajian ilmiah yang bebas, sedangkan hujah-hujahnya sendiri sangat lemah; berasaskan ketaksubannya terhadap bahasa Inggeris . Anggap sahajalah bahawa lebih banyak tanggapan dan sikap yang bertentangan lebih membijaksanakan kita tentang tingkah laku manusia.
*****

Paparan blog ini pada 8 Julai tentang PPSMI telah menerima reaksi yang cukup menarik daripada pembaca . Ada yang mempersoalkan kenapa perlu menunggu 2012 ? Ada yang bimbang, sangsi dan malah berwaspada kalau-kalau kerajaan betul-betul jujur. Ada yang mengistilahkannya PPSMI diteruskan 3 tahun lagi. Pembaca yang lain menyoal apakah pemartabatan bahasa Melayu ini hanya di sekolah rendah sahaja, dan bagaimana peringkat atas sampai ke universiti ? Reaksi yang cukup menarik juga ialah apa yang penting ialah memartabatkan bangsa , bukan bahasa.( Sila lihat komentar pada posting yang lalu).

Pada umumnya dapat dibaca bahawa di dalam masyarakat sekarang kepercayaan orang terhadap kejujuran pemimpin politik sudah goyah. Ramai yang tidak lagi menaruh keyakinan terhadap suara dan janji-janji pemimpin. Harapkan pagar, pagar makan padi. Yang lain pula sudah tidak berasa sabar untuk menunggu BM dinobatkan segera kerana telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada para pelajar mengikuti ilmu pengetahuan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, dan kesulitan ramai guru untuk mengajar dalam bahasa Inggeris.

Hubungan ilmu dengan bahasa ini sangat-sangatlah penting kerana melalui bahasa
yang difahami oleh guru dan pelajar maka baharulah ilmu boleh diperkembangkan. Sebagai contoh konkrit apabila PPSMI dilaksanakan rupa-rupanya sekolah kebangsaan Cina diberi izin khas untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Cina. Hasilnya prestasi kelulusan UPSR (2008), pangkat A dalam sains dan matematik, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina jauh lebih tinggi daripada Sekolah Kebangsaan. Ini membuktikan pengajaran dalam bahasa ibunda , dan menjawab soalan dalam bahasa ibunda jauh lebih baik daripada bahasa Inggeris. Elok juga dipertanyakan kenapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi keistemewaan, dan siapa yang membenarkannya?

*****

Berbalik kepada soal kemajuan bangsa, kiranya perlulah difahami benar-benar apa yang diertikan dengan kemajuan itu (baik untuk bangsa ataupun individu ). Kemajuan itu harus dilihat daripada dimensi rohani dan jasmani; akhlak dan kebendaan; kemahiran dan kebijaksanaan; teknologi dan kemanusiaan; etika dan budaya; dan tentu sekali dunia dan akhirat. Jadi bukan kejayaan material, ekonomi dan teknologi sahaja tanpa akhlak dan budi pekerti atau keperibadian.

Pada suatu waktu dahulu skandal kewangan pertama yang terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku sekitar tahun 80-an ( Skandal Kewangan BMF) sehingga menyebabkan kematian individu yang tak berdosa. Orang-orang yang terlibat adalah mereka yang sangat profesional, berwatak global, berkelulusan tinggi dan sangat hebat berbahasa Inggeris yang canggih. Jadi janganlah kita terlalu taksub dengan bahasa Inggeris sebagai syarat mutlak untuk memajukan umat Melayu dan Satu Malaysia.

Kalau mahir berbahasa Inggeris pun , kalau khianat pada bangsa sendiri, tidak berakhlak dan mata duitan, rasuah dan nepotisme, tidak suka berkorban kepada nasib budaya dan masyarakat, tidak juga ada gunanya. Orang yang berwatak seperti ini sangat berbahaya pula kepada kesejahteraan negara. Terutama kalau dia menjadi pemimpin lagi berbahaya. Demikian juga kalau pasih dan pintar berbahasa Melayu tanpa akhlak yang baik, sama sahaja. Jadi janganlah mempermudah makna kemajuan itu, dan melihat kepada bahasa Inggeris dengan penuh mistik dan ketakjuban.

Ada tokoh politik yang cuba mempertahankan PPSMI dengan rasional mengutip peristiwa kemajuan tamadun Islam dan Jepun.Islam maju ilmu pengetahuan falsafah , sains dan tekonologi pada sekitar 9 abad dahulu dengan menterjemah falsafah dan ilmu pengetahuan asing seperti dari Yunani, tidaklah pula mengajar balik segala ilmu itu dalam bahasa asing. Demikian juga Jepun serta Korea mengkaji ilmu dan teknologi Jerman walaupun melalui bahasa Jerman, tidak pula mengajar sains dan matematik di sekolahnya dalam bahasa Jerman. Kenapa kita cuba mengemukakan hujah dengan kebenaran yang separuh betul?

Pemikiran yang rasional harus berdasarkan fikiran yang rasional dan kejujuran untuk mencari kebaikan, bukan menggunakan lojik untuk memberi justifikasi kepada tujuan yang salah dan fikiran yang dikelabui oleh emosi. Keadaan seperti ini bukan sahaja boleh dianggap tidak rasional ( kelemahan-kelemahan biasa bagi kita manusia biasa), tetapi kalau berterusan menjadi anti-rasional ; sangat menyedihkan kerana ia adalah sikap yang anti-intelektual. Sampai bila pun kita tak akan mahu melihat kebenaran.

***
RUMUSAN Pembicaraan Bahasa Melayu:
GENERASI MUDA HARI INI MESTI MENYAMBUNG SEMULA PERJUANGAN MEMBINA BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU UNTUK SEMUA KAUM. PERJUANGAN BAHASA MELAYU ITU BELUM SELESAI---Dengan Keringat, Air Mata dan Darah.

Wednesday 8 July 2009

BAHASA MELAYU MELAWAN BALIK; HARI INI HARI KEMENANGAN ?

8 jULAI 2009 (RABU) ADALAH HARI BERUNTUNG BAGI BAHASA MELAYU KERANA KEDAULATNNYA DALAM MATA PELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN DIPULIHKAN SELEPAS DIJERUT NAFASNYA SELAMA LEBIH ENAM TAHUN.

BERSYUKUR KITA KE HADHARAT ALLAH SUBHANAHUWATAALA KERANA DENGAN KEHENDAK DAN IZINNYA APA-APA SAHAJA BOLEH TERJADI. YAKINLAH. BERIKHTIAR DAN TAWAKAL
.


Tahniah kepada Yang Berkhidmat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran baru , merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dan terima kasih juga kepada Timbalan Menteri Pelajaran , Datuk Mohd Puad Zarkashi kerana sejak dahulu lagi menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap PPSMI- satu hal yang agak luar biasa.

Ini semua adalah kemenangan bagi semua pejuang, baik orang perseorangan atau organisasi.
Tanpa sekalian suara dan sumbangan barangkali sampai hari ini BM itu terus terhina di atas bumi tanah airnya sendiri. Alhamdulillah . Berwaspadalah terus, dan jangan lalai dan berasa selesa seperti pada masa lalu.

***

Menonton berita di TV pada malam ini, nampaknya masih ramai yang dibayangi kerinduan dan kekhuatiran terhadap bahasa Inggeris . Kita tidak berbalah dengan bahasa Inggeris. Kalau lebih ramai yang bagus berbahasa Inggeris negara kita juga akan untung. Malahan elok kita galakkan rakyat kita bukan sahaja mahir dalam BI, tetapi juga dalam bahasa-bahasa lain. Cuma yang menjadi pemikiran ialah bagaimana hendak memperhebat pengembangan BM .

Hampir tak ada sesiapa yang bersuara dengan gagasan bernas untuk memperkuat penguasaan bahasa Melayu seolah-olah dengan mengajar kembali Sains dan Matematik semua masalah dan urusan bahasa Melayu selesai. Masihlah sangat banyak yang harus disempurnakan bagi menjadikan bahasa Melayu itu sebagai wadah dan wahana ilmu pengetahuan. Inilah langkah perjuangan seterusnya.

Sangatlah menyedihkan melihat betapa terjajahnya jiwa raga masyarakat Melayu kita, dan terlupa akan nasib masa depan kebudayaan kerana berasa terpukau dengan berita pembatalan PPSMI. Diharap pencinta bahasa Melayu selepas ini akan insaf dan terus menaksir kedudukan serta pengaruh bahasa Melayu dalam senario politik, ekonomi dan pendidikan masa depan . Dengan perasaan yang bersyukur dan ceria , mari kita rebut kembali rasa keperihatinan yang segar untuk membina bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, dan menjadi wahana pembangunan tamadun yang besar.

***
Saya telah diminta menulis untuk mengisi kolum Berita Minggu, Ahad ini, dan semoga sdr akan
membacanya dan memberikan pandangan/kritikan terhadap buah fikiran yang diturunkan.

Saya ingin tidur nyenyak malam ini . Aduh! bertahun-tahun sudah perasaan saya luka terhiris oleh PPSMI.

Tuesday 7 July 2009

KHABAR ANGIN MENDAULATKAN MARTABAT BAHASA MELAYU

SAMPAI KHABAR ANGIN PPSMI AKAN DIUMUMKAN PEMBATALANNYA melalui satu kenyataan yang akan dikeluarkan esok. Alhamdulillah.

Begitulah pesanan yang tercatat pada skrin telepon bimbit dan juga komputer riba saya. Saya menerimanya dengan perasaan yang gembira bercampur hiba; gembira dan bersyukur kerana apabila benar, Tuhan telah memperkenankan segala doa, perjuangan ikhlas dan pengorbanan banyak pihak yang menentang suatu dasar kerajaan; hiba kerana kesal begitu
banyak dialog, perdebatan, malahan pertengkaran, keji mengeji dan membenci dikeluarkan begitu lama. Sepatutnya waktu 7 tahun itu dimanfaatkan dengan bekerja kuat memodenkan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa ilmu dalam bidang agama, kemanusiaan, sains dan teknologi.

Walau apapun kita patut memberi pujian kepada Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalannya YB Datuk Dr Fuad Zarkashi kerana dengan fikiran yang waras, bijaksana serta cinta kepada tamadun bangsa keturunannya, berani membawa isu ini ke tengah-tengah kelompok pemimpin politik yang bertanggungjawab membuat keputusan pentadbiran negara.

Dalam suatu hal bolehlah kita tafsirkan juga keputusan ini ( kalau betul dan benar seperti yang kita semua kehendaki), berupa suatu perbuatan bertaubat daripada dosa kebudayaan besar yang dilakukan oleh pemimpin politik pada tahun 2002 kerana bersubahat dengan Perdana Menterinya yang menjerumuskan Bahasa Melayu ke lembah penghinaan. Masih lagi diingat nama-nama beberapa Menteri Besar, Ketua Menteri, dan Menteri Kabinet yang melompat menyokong Perdana Menterinya pada waktu itu (Dr. Mahathir) yang bertanggungjawab meminggirkan Bahasa Melayu di sekolah.

Ini adalah suatu peristiwa tragik, luka sejarah berdarah dalam sejarah perkembangan Bahasa Melayu dalam kebebasannya pada zaman merdeka. Ini adalah suatu contoh teladan serta pelajaran bagi bangsa Melayu sendiri bagaimana kebudayaannya boleh bila-bila masa ( kerana leka , lalai dan menyerah segalanya kepada pemimpin) boleh diinjak-injak di depan mukanya sendiri. Sangatlah mengaibkan.

Peristiwa ini juga mengajar kita insaf akan kenyataan hidup manusia, iaitu kemelut atau krisis menguji bukan sahaja keberanian seseorang, tetapi menunjukkan wataknya. Bayangkan apabila bahasa kita mula-mula dijerumuskan pada tahun 2002/2003 hanya segelintir penulis, ilmuwan dan pendidik yang bersuara lantang menentang. Ramai yang lain, yang hidup senang atau terkenal masyhur berkat menggunakan BM dalam pekerjaannya setiap hari, membisu dan mendiamkan diri. Malahan ada yang memuji atau memuja PM pada waktu itu. Hanya apabila gelombang penentangan itu menemukan badai dan ombak besarnya barulah mereka menunjukan muka dan malah menjadi wira pejuang BM. Tak apalah, maafkan saja kerana dalam setiap perjuangan begitulah keadaannya di mana-mana , bukan di Malaysia sahaja. Apa yang penting ialah kita belajar daripada sejarah, kalau tidak mahu dikecewakan lagi oleh sejarah pada masa depan. Jangan sudah terhantuk, baru tengadah.

Pengajaran kepada pemimpin pula yang dapat ditimba daripada peristiwa luka sejarah ini ialah seperti kata peribahasa Melayu: Menengadah membilang kasau, menunduk membilang gelegar. Apabila membuat keputusan itu difikirkanlah masak-masak terlebih dahulu. Jangan kerana kita ada kuasa di atas rakyat, boleh berbuat sesuka hati sahaja. Macam diktator, Firaun atau Sultan zaman kuno.

Bersabarlah kita menunggu hari esok. Sekali terhantuk , dua kali tengadah. Barangkali ada banyak masalah lain lagi yang perlu diperhalusi ekoran daripada keputusan esok
.

Monday 6 July 2009

BERTEMU KITA DI KEBUNCIPTA

Sebuah kebun sedang menunggu kunjungan anda; alam yang mencerminkan sukma manusia - bagai bayu lembut atau taufan liar - dengan tumbuhannya sesaujana mata memandang di KEBUNCIPTA

Saturday 4 July 2009

GAPENA BERDENYUT DENGAN NAFAS BARU ?

Siang tadi telah disempurnakan Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 di rumah pejabatnya yang baru di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Apakah ruangan baru dan suasana baru membangkitkan keghairahan perwakilan untuk berucap secara bebas dan terbuka? Seolah-olah begitulah.

Dalam dialog yang lantang dan terbuka begitu tentulah ada yang terguris hati atau berasa tidak enak terutama apabila ucapan demikian menjadi satu macam kritikan. Walau bgaimanapun apa yang terhasil , ialah berlakunya anti-tesis yang memberi manfaat bagi memperkemas organisasi dan menyediakan Gapena supaya lebih bertenaga memeta masa depanmnya . Berlakunya pertembungan fikiran antara yang senior dengan yang lebih muda tentulah membawa satu keinsafan dan keghairahan baru bagi Gapena menghadapi situasi sosial dan budaya yang bukan sekadar kompleks, tetapi 'complicated' pada era politik hari ini.

Gapena mempunyai potensi yang sangat besar sebagai kelompok pemikir budaya, dan pandangannya haruslah pula bernas dan relevan dalam konteks isu semasa dan kepentingan masa depan negara. Gapena juga mempunyai 23 badan gabungan yang bertaburan di wilayah-wailayah negara ini , dan ini bererti Gapena memiliki jentera untuk melebarkan pengaruh atau idealismnya apabila antara pusat dan jenteranya memiliki sinergi yang dinamik.

Mesyuarat Agung yang berlangsung hari ini menunjukkan adanya harapan perubahan yang besar di kalangan perwakilan yang muda-muda untuk melihat Gapena itu lebih bertenaga dan dinamik kehidupan organisasi dan intelekualnya bagi kepentingan perjuangan kebudayaan kebangsaan.

Hasrat ini perlu disambut oleh kelompok pimpinan pusat dengan melihat di mana organisasi serta pentadbiran perlu diketatkan atau dimantapkan . Tetapi yang lebih penting lagi ialah melakukan perubahan-perubahan pendekatan di sana sini bagi menampung keperluan badan-badan gabungan yang menasabah. Dari segi integriti dan keikhlasan kerja di pusat memang badan kerabat tidak melihat adanya masalah kerana kredibiliti tokoh-tokoh yang ada di pejabat Gapena cukup dipercayai. Ini faktor yang selama ini menjadi kekuatan Gapena.

Bertolak daripada pengertian di atas, tidaklah cukup hanya orang meminta supaya di pusat itu ada sikap dinamik dan berkesan dalam sekalian tindak tanduknya, kerana yang bernama Gapena itu adalah seluruh struktur dan jaringannya dari KL hingga ke Pulau Pinang serta Perlis, dan seterusnya ke tanah Borneo di selatan. Badan-badan kerabat juga harus menilai kedinamikan kepimpinan, dan keberkesanan organisasi, pentadbiran dan kegiatan budayanya , dari waktu ke waktu sejajar dengan keupayaan dan persekitaran di daerah masing-masing. Peranannya sebagai suatu badan yang apolitikal, yang tidak diperalatkan oleh mana-mana tokoh atau puak tertentu, tetapi terus menjadi suara hati nurani rakyat terbanyak, sura kepentingan nasional, di daerah masing-masing juga akan terus memberi sumbangan positif dan kepercayaan rakyat kepada Gapena .

Demikianlah antara Kuala Lumpur dan kerabatnya harus saling memperkukuh; dan melihat ke dalam kelemahan serta kekuatan masing-masing untuk bekerjasama.

Wednesday 1 July 2009

LUPUS KEPERCAYAAN TERHADAP BUDAYA POLITIK

Kira-kira tengah hari tadi sedang mengais-ngais tanah, mencabut rumput di pekarangan , telefon bimbit di saku berbunyi. Selepas menyambut salam daripada sdr Azizi, Timbalan Pengerusi ABIM, Perak, dia mengundang saya ke seminar tentang PPSMI pada 12 Julai di Perak. Saya memohon maaf kerana pada hari berkenaan sudah ada acara lain dipersetujui.

Sdr Azizi bertanyakan bagaimana perkembangan PPSMI, terutama selepas ada beberapa pernyataan daripada TPM/Menteri Pelajaran yang akan membuat pernyataan pada Julai ini. Saya beritahu beliau, tunggu sampai betul-betul diputuskan apa buah butirnya. Janganlah percaya sangat terhadap apa jua bayangan keputusan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik bangsa kita. Peristiwa PPSMI ini sudah membuktikan banyak
sekali fikiran karut marut, dan juga janji-janji penyelesaian yang diucapkan oleh menteri , dan sokongan pemimpin tertentu terhadap penentangan PPSMI di belakang-belakang yang tak boleh dipercayai .

Ini pengajaran yang besar bagi penulis, budayawan dan cendekiawan. Jangan mudah terpesona, terkeliru dan teruja akan cakap-cakap pemimpin politik. Hanya angka dan fakta yang boleh dipegang mulai hari ini. Kalau sekali kita tertipu itu wajar; kalau dua kali bererti kita leka dan lalai; kalau sampai tiga kali kita ini badut bodoh ( bloody fool ). Jadi benarlah seperti kata orang: politik itu seni serba mungkin, termasuk seni penipuan.

Apabila PPSMI itu dilaksanakan pada tahun 2003 itu adalah penipuan yang blak-blakan dilakukan di depan mata rakyat. Seluruh negara tertipu oleh kegelojohan dan keangkuhan politik.Mujurlah segelintir penulis, ilmuwan dan cendekiawan cepat-cepat bingkas bangun mendedahkan kebodohan keputusan politik nasional itu. Jadi sekurang-kurangnya walaupun belum dibatalkan, mata kita semua sudah celik; celik terhadap serangan politik terhadap tradisi, jati diri dan budaya bangsa. BERWASPADALAH DARI SEKARANG.
Jangan mudah menggadaikan kepercayaan. Ini adalah zaman budaya politik itu direnung dengan fikiran yang kritis-kreatif, ditapis, diragui kebenaran ucapannya, dan diteliti daripada setiap sudut, diperdebatkan sebelum diangguk. Jangan mudah terpesona dengan ketokohan.

Thursday 25 June 2009

Catatan Tulus Tentang PPSMI Untuk YAB Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran

Assalamualaikum ,

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kiranya tidaklah terlalu lambat untuk mengucapkan setinggi tahniah dan doa semoga Allah merestui Tan Sri atas sekalian kejayaan serta pekerjaan yang baik untuk rakyat dan negara.

Pada kesempatan pertemuan pertama antara YAB Tan Sri dengan kumpulan sasterawan tanah air, kami dengan hormat takzim menyampaikan pandangan tentang PPSMI kepada YAB selaku Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran.


  1. Isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) seperti yang Tan Sri maklumi, sudah berlarutan begitu lama. Pelbagai ucapan, dialog, debat, kajian , memorandum dan malahan protes baik dalam majlis tertutup, dalam persidangan terbuka, mahupun dalam tunjuk perasaan di jalan raya telah diadakan, terutama di kalangan masyarakat Melayu-Islam.

  2. Sebelum PPSMI dilaksanakan pada 2003, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), telah mengeluarkan kenyataan akhbar , tepatnya pada 20 Jun 2002, menentang keputusan kerajaan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, sebagai bahasa pengantar sains dan matematik. Jadi ini bukan perkara yang hanya baru-baru ini sahaja dibangkitkan. Penentangan PENA ini dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan, Dasar Kebudayaan Negara , Perlembagaan Persekutuan, dan demokrasi pendidikan. Tidaklah perlu dihuraikan di sini betapa dekatnya bahasa Melayu ini dengan hati orang Melayu dalam sejarah perjuangan kebangsaan sehingga Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri ditubuhkan setahun lebih awal sebelum negara merdeka pada tahun 1957 dengan harapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi akan menjadi landasan pembinaan bangsa dan jati diri negara yang merdeka. Akan tetapi lebih daripada itu adalah menjadi visi para pejuang agar bahasa kebangsaan kita menjadi wahana pembangunan fikiran yang saintifik dan pembentukan emosi serta rohani yang mulia dan patriotik di kalangan rakyat pelbagai kaum dan budaya. Kepada pemimpin UMNO terutamanya diberikan kepercayaan besar untuk menjadi pemelihara atau custodian bagi kesejahteraan martabat dan kemajuan bahasa. Malangnya setelah 47 tahun kita menikmati kemerdekaan dan mencapai kemajuan ekonomi serta kebendaan, bahasa itu dianggap tidak penting lagi dan dengan gopoh serta tergesa-gesa ditolak ke tepi dalam sistem pendidikan negara oleh kerajaan.Pihak kerajaan, terutama Kementerian Pelajaran, tidak memberi alasan-alasan yang kuat, rationale yang meyakinkan di sebalik dasar PPSMI, dan malah dari waktu ke waktu mengeluarkan premis atau andaian hujahan yang berubah-ubah yang sekaliannya menandakan tidak ada pemikiran yang mendalam, jelas dan teliti untuk mengganti bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik yang telah diamalkan sejak 1971, dan telah berjaya melahirkan jutaan graduan, profesional dan ilmuwan.

  3. Apa yang selalu didengar ialah alasan untuk memperkuat penguasaan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar bagi kepentingan ilmu pengetahuan, kerjaya dan keupayaan negara untuk bersaing dalam zaman global. Tidak ada mana-mana pihak yang menentang tujuan dan usaha ke arah ini, tetapi jangan sampai meminggirkan kedudukan dan fungsi penting bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan menghalang perkembangannya menjadi bahasa ilmu moden pada masa akan datang. Penafian bahasa seperti ini boleh ditafsirkan sebagai melakukan diskriminasi songsang (reverse discrimination) dan pembunuhan bahasa (linguicide) bukan sahaja terhadap bahasa kebangsaan negara, tetapi juga terhadap tradisi dan tamadun orang Melayu yang telah berzaman-zaman lamanya berkembang melalui bahasa Melayu. Malahan agama Islam pun berkembang hebat di Nusantara melalui dakwah, khutbah, tarbiah serta kitab-kitab yang menggunakan bahasa Melayu sehingga hari ini. Apakah hanya dengan cara yang ada sekarang, iaitu melalui PPSMI, dan tidak ada cara lain lagi yang mampu difikirkan untuk mencapai tujuan memaju dan meningkatkan daya saing Malaysia?

  4. Adalah sangat mendukacitakan apabila pihak kementerian tidak memberi layanan wajar dan mesra terhadap pelbagai pendapat, kritikan dan kajian yang dikemukakan seolah-olah pihak yang memberi pandangan yang kontra ini tidak bertujuan jujur dan berfikiran munasabah. Hanya pada penghujung 2008 baru diadakan Persidangan Meja Bulat yang pula mengandungi banyak tanda tanya tentang cara pengendalian dan rumusan keputusannya. Malahan ada usaha-usaha untuk mengimbangi atau melawan pandangan yang menentang PPSMI dengan mengatur tindakan-tindakan daripada kelompok-kelompok tertentu seolah-olah ini suatu permainan politik, bukan suatu persoalan pendidikan dan kebudayaan yang dasar. Kesan daripada keadaan yang seperti ini ialah, pada pandangan penulis dan ilmuwan: kerajaan tidak sensitif kepada suara ikhlas rakyat, dan mahu terus menunjukkan kekuasaan serta ketegasannya dalam apa saja yang telah diputuskan. Tidaklah jelas apakah sikap pendirian yang seperti ini adalah kerana pihak YB Menteri tidak diberi pandangan yang jujur oleh pegawai-pegawai dalam kementerian atau diberikan maklumat yang salah oleh penasihat-penasihatnya.Walau apa pun sebabnya sangatlah merugikan masyarakat apabila tidak ada kerjasama yang akrab, malahan kecurigaan serta pertentangan, antara pihak pemimpin politik kerajaan dengan budayawan serta ilmuwan, pada saat negara kita harus menjadi stabil dan kompetitif dalam kemelut politik dalaman, dan ketidaktentuan ekonomi serta kewangan dunia hari ini.

  5. Harapan besar dan tinggi kaum penulis dan ilmuwan sekarang ialah pucuk pimpinan negara yang baru, khususnya kepada YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran:

    (i)
    mengembalikan dengan serta merta pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ( di sekolah rendah dan juga di sekolah menengah) sebelum berlaku lebih banyak lagi kesan buruk terhadap perkembangan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dan pendidikan murid-murid terutama anak-anak Melayu di luar bandar dan di pinggir-pinggir bandar; dan

    (ii)
    memperkemas kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, meningkatkan kemahiran guru , dan memperbaiki kemudahan kepustakaan serta teknologi pendidikan bahasa di sekolah.

    Tindakan serampang dua mata inilah yang boleh menyelesaikan pertikaian PPSMI, dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat authoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu-bapa , dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.


    H
    anya sekian dahulu, dan kami berharap pintu musyawarah dengan Tan Sri akan terus terbuka, dan anggaplah pandangan kami ini sebagai pernyataan yang tulus ikhlas demi kepentingan masa depan pendidikan, tamadun, bahasa, serta negara kita; dan tak ada niat yang lain daripada itu.

    W
    assalam

    Baha Zain

    Presiden,

    Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).