Thursday 15 October 2009

LAGI PERHUBUNGAN JIRAN TETANGGA MALAYSIA/INDONESIA

Kelmarin tersiar berita di TV tentang tunjuk perasaan sekumpulan pekerja Indonesia di Johor memprotes kumpulan demonsran Indonesia yang menghina dan membenci negara kita baru-baru ini. Baguslah kalau pihak keselematan tidak membiarkan mereka berlebih-lebihan memanifestasi penentangannya sebagaimana kita mahu pihak pemerintah Indonesia harus menindak mereka yang anti-Malaysia, yang tidak bersopan dan tak berfikir panjang tentang manfaat perhubungan baik antara kedua-dua negara.

Kerajaan Malaysia patut mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia tentang maklumat lengkap kumpulan yang menghina negara kita , dan menyelidik siapa dalang busuk di belakang, dan apa tujuan sebenarnya di sebalik yang disuarakan. Ia tak mungkin berlaku sepontan; tentu dirancang dan diusahakan oleh satu dua pihak tertentu bagi menyebar sikap membenci terhadap Malaysia. Nama-nama dajal yang bertanggungjawab harus direkod dan diharamkan menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia.


Antara Malaysia dan Indonesia, memang tak mungkin sama dan sekata dalam semua hal kerana kita adalah bangsa dan negara yang masing-masing berdaulat dengan falsafah kenegaraan dan pembangunan ekonomi serta sosial-budaya yang berlainan. Namun sebagai negara ASEAN, jiran tetatangga yang bergeseran sempadan, dan diketemukan dalam banyak peristiwa sejarah, konflik antara kedua-duanya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, dan akan merugikan semua. Kita tetap berbeza dalam banyak hal, tetapi tidak membesarkan perbezaan itu, malah harus mempunyai destinasi serantau yang sama, kolaborasi yang menguntungkan walaupun bukan untuk tujuan perpaduan (sesuatu yang mustahil).

*****
Berdasarkan pengalaman yang berlaku baru-baru ini kerajaan Malaysia harus merancang mengurangi potensi pergeseran pada masa depan , terutama dalam soal pengambilan pekerja asing, baik dari Indonesia mahupun dari negara asing lain. Harus disaring dan ditapis dengan ketat siapa yang hendak diberi izin bekerja supaya jangan sampai ada penjenayah yang lolos masuk. Pencegahan pendatang haram misti dilakukan setiap hari kerana kalau mereka tak punya kerja di sini, tetapi mahu makan minum, mereka akan terjebak dengan pekerjaan tak bermoral : pelacuran, penipuan, jenayah pencurian dan perompakan. Kerajaan kita mesti sensitif serta berasa bertanggungjawab; dan inilah antara perkara yang membuat rakyat benci kepada kerajaan kerana dilihat lemah mengawal keselamatan dan keamanan hidup rakyat jelata. Apa guna kita bercakap tentang pembangunan setrta pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran kalau di sekeliling kita merayap kutu-kutu tak bermoral , manusia yang tak beradab akal budinya.


Pekerja-pekerja wanita Islam Indonesia harus dilarang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah-rumah majikan bukan Islam bagi memelihara kehidupan dan kebersihan mereka daripada hal-hal yang haram dan najis. Pemerintah Indonesia juga harus mengharamkan wanita mereka menjadi pembantu rumah di kediaman bukan Islam. Kita semua harus menghormati wanita-wanita Islam kita sendiri. Kalau kita sendiri tak hormat kepada mereka , dan selesa melihat mereka memperhambakan diri di rumah orang kafir, apakah orang beragama lain
berasa bertanggungjawab untuk memelihara ibadat atau menghormati kewanitaan mereka.
Jangan kerana untuk sesuap nasi kita rela membiarkan wanita Islam seagama kita menagih rezeki dan berumah bertangga di bawah bumbung orang bukan Islam. Apakah masyarakat Islam kita di sini daif sangat ?


Suatu jawatankuasa khas tertinggi kerajaan hendaknya segera ditubuhkan bagi mengkaji secara
terperinci setiap masalah, jalan penyelesaian dan strategi sosial-ekonomi jangka panjang bagaimana meminimumkan ketergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ekonomi. Terutama perhatian khas diberikan bagaimana mengatasi penjagaan dan pendidikan anak-anak
kecil bagi kedua-dua ibu bapa yang bekerja supaya generasi anak kecil kita dipelihara sambil dididik dengan kebersihan, budaya yang baik, dan pemeliharaan yang selamat. Kerajaan perlu merancang supaya setiap taman perumahan, setiap pejabat yang ramai pekerjanya diadakan pusat asuhan yang sempurna. Barangkali kerajaan perlu memberi subsidi kepada setiap pusat asuhan rakyat ini. Ini adalah suatu rancangan yang nasional sifatnya yang harus menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan sosial jangka panjang. Bukan sesuatu yang dibuat secara ad hoc dan sekadar reaktif sifatnya. Bagaimana Korea, Jepun dan negara-negara maju lain memberi jawapan penyelesaian terhadap cabaran sosial ini?

Saya kira semua kita harus terus membahaskan isu ini supaya Kementerian yang bertanggungjawab segera celik mata dan celik hati merangka langkah-langkah segera dan tepat kerana ini adalah isu tentang membangunkan bangsa dan isu kemanusiaan yang sama pentingnya dengan pembangunan ekonomi dan kebendaan.

3 comments:

ZULKIFLI said...

Saya sangat bersetuju dengan pandangan bernas Dato'.

Tetapi, pada pandangan saya, lambakan kemasukan "saudara-saudara" kita dari seberang tidak mungkin dapat disekat kerana banyak "penyangak" yang menggantungkan pendapatan daripada kemasukan mereka itu.

Malaysia (pemerintahnya) dalam hal-hal tertentu sangat "sombong". Mereka enggan meniru kaedah yang diguna pakai oleh negara tertentu dalam mengawal pergerakan rakyat asing di negara ini. Kalau tidak salah, beberapa buah negara Timur Tengah lebih bijak dalam menguruskan hal ini.

Memang sikap pemerintah, agaknya, hanya akan meniru sesuatu "yang ada masyuknya" (meminjam bahasa slanga).

NASSURY IBRAHIM said...

Kalau bukan tabiat begitu orang Indonesia, mesti ada dalang, dan dalang itu mesti orang bermasalah. Saya tulis cerpen (lihat blog) sebagai meneka dalangnya.

bahazain said...

Assalamualaikum Sdr Zul
Kita semua perlu selalu membahaskan masalah ini, keselamatan sosial dan korupsi pegawai kerajaan , dan kelalaian pemimpin politik.Mudah-mudahan ada kesannya untuk merubah sikap buruk yg sudah lama melanda bangsa kita.