Thursday 7 January 2010

HIKMAH DI SEBALIK NAMA -NYA


TIBA-TIBA sejurus bermula hari pertama (1 Januari) tahun masihi 2010, tahun baru Kristian, meletus penentangan terhadap penggunaan istilah ALLAH yang dibenarkan penggunaannya oleh Mahkamah Tinggi kepada penerbitan Kristian, Herald.
Pada malam 31 Disember sebelumnya ribuan orang membanjiri Kuala Lumpur sampai lepas tengah malam untuk bersuka ria , meraikan ketibaan tahun baru Kristian. Anehnya, majoriti pemuda pemudi Melayu Islam yang berpusu-pusu di tempat hiburan itu.
Hari-hari berikutnya bertambah protes dan penentangan terhadap keputusan mahkamah. Kali ini yang berhimpun majoriti Melayu Islam juga, tetapi tentulah yang bukan berhimpit-himpit di konsert tahun baru pada tengah malam itu. Bagus ! ini menandakan bahawa ada tenaga-tenaga yang berlawanan , yang bertentangan, bagi mewujudkan ekuiblirium yang sihat bagi umat Islam.
Peristiwa ini juga diharap dapat mencelikkan mata orang Islam daripada kelalaian hidup dan kealpaan fikirannya bahawa di tanah air ini kewujudan Islam belum tentu selamat, tanpa digugat, pada masa akan datang. Berwaspadalah.
Masyarakat majmuk ini sudah semakin hilang perspektif terhadap keadaan sosio-budaya dan politik Malaysia. Masing-masing semakin gelojoh untuk memperjuangkan kehendaknya , kebebasan fikiran dan warisannya tanpa mempedulikan sensitiviti agama, kebudayaan, bahasa, sejarah dan warisan yang masih kuat mempengaruhi pandangan dunia majoriti penduduk.
Sebenarnya fakta bahawa masyarakat Melayu itu sebahagian besarnya sangat dibentuk oleh nilai-nilai Islam, patuh pada ajaran-ajaran prinsipnya, terutama harus bersikap toleran terhadap manusia lain, pengamal agama lain, asal tidak menentang dieinya, maka penduduk bukan Islam ( Kristian, Hindu, Buddha, animisme etc) berada dalam keadaan aman dan tenteram untuk menjalani kehidupan mereka. Malahan dalam banyak hal mereka lebih berjaya daripada Melayu Islam sendiri, terutama di bandar-bandar dimana berbilion atau ribuan juta ringit berpusing dan berpindah dari saku ke saku. Lihat sahaja bangsa apakah yang penuh sesak membeli bunga, permaidani, pakaian dan lain-lain barangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Siapa ribuan pembeli ini dan siapa majoriti peniaganya pula....................
Semoga semua pengikut agama ( baik Islam dan bukan Islam) jangan lupa daratan, dan jangan lupa diri sehingga meminta berlebih-lebihan daripada yang wajar.
Saya cuba merujuk beberapa kamus Barat untuk memastikan takrifan "Allah" kalau-kalau ada yang jelas menyebut , secara eksplisit, bahawa nama ini juga digunakan dalam pengajaran agama Kristian. Nampaknya tak ada, walaupun ada disebut berasal dari Arab dan digunakan oleh orang Arab. Memang Arab bukan semuanya Islam. Walau bagaimana pun "Allah" itu bukanlah digunakan secara meluas di kalangan pengikut Kristian seluruh dunia atau boleh ditafsirkan bahawa ia sebahagian daripada perbendaharaan kata-kata agama Kristian. Kalau ada di sana sini, ia hanya merupakan kekecualian. Kekecualian itu tidak boleh menghalalkan penggunaannya di kalangan masyarakat Kristian terutama dalam konteks majoriti Islam yang menentang penggunaannya kerana secara universal Allah sudah diakui sebagai Tuhan Yang Maha Esa dalam syahadah ribuan juta penganut Islam di seluruh dunia.
Tidakkah common sense dan kebijaksanaan ini ( di samping semangat Perlembagaan Malaysia) patut menjadi prinsip penting untuk sekalian orang yang berpelajaran membuat keputusan waras, mengizin atau tidak mengizinkan penggunaan Allah oleh Herald, agar kesan sosialnya positif terhadap keseluruhan anggota masyarakat. Tidakkah pihak yang membawa kes ini ke mahkamah dapat anticipate atau menduga reaksi umat Islam di negara ini atau memang beranggapan berdasarkan banyak kejadian masyarakat Melayu Islam sudah merosot daya juangnya. Barangkali memang betul begitu.
Bayangkan di Perancis wanita Islam tidak dibenarkan memakai tudung, dan lelaki Sikh memakai serban apabila berada dalam institusi pendidikan. Selain itu ada negara Eropah yang melarang membina menara masjid; dan di Singapura yang majoriti Cina itu tidak mengizinkan azan dikumandangkan apabila masuk waktu solat kecuali satu-satunya di Kampung Gelam. Itu pun kerana tempat itu dianggap sebagai simbol kewujudan warisan Melayu-Islam Singapura.
Rujukan Kamus:
1. Al-lah, God especially in Islam. [ Arabic Allah.]
-The American Heritage Dictionary of the English Language ( Third Edition), 1992
2. Allah - in Islam, the name of God [ Late 16thC. From Arabic "allah.]
- Encarta World English Dictionary, Bloomsbury Publishing Plc, 1999.
3.Allah--the name of God among Arabs and Muslims.
- The Concise Oxford Dictionary of Current English, Eighth Edition, 1990
4. Allah- the Muslim name for the Supreme Being; God
-Random House Websters Englis Learners Dictionary, 1999
5. Allah [ not after the] the Islamic name for God
-Cambridge International Dictionary of English, Cambridge University Press, 1999
Agaknya sudah tiba waktunya kerajaan membatalkan sebarang perayaan menyambut ketibaan tahun baru Kristian mulai tahun depan. Menjadikan hari Khamis dan Jumaat hari cuti Am menggantikan hari Sabtu dan Ahad; dan meraikan Maal Hijrah, kedatangan tahun baru Hijrah secara besar-besaran di peringkat nasional dengan penuh semangat ukhuwah sesama Islam, dan persahabatan dengan agama-agama lain di negara ini. Amin

7 comments:

Admin said...

Assalamualaikum wbt.

Isu yang dibangkitkan ini umpama kaduk naik junjung. Sedangkan Vatican sendiri pun tidak mengakui kalimah tersebut sebagai tuhan mereka. Sengaja cuba mencari fasal dengan orang Melayu agaknya.

Selain itu, saya memohon jasa baik Dato' untuk membuat kupasan/penjelasan tentang kedudukan tulisan jawi akibat daripada memorandum yang dibuat oleh Asas '50 terhadap tulisan rumi untuk bahasa Melayu. Sebagai generasi muda, banyak persoalan timbul setelah membaca kandungan memorandum tersebut. Sekian, terima kasih.

Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi
wanza348@gmail.com
Institut Bahasa, Kuala Lumpur.

ZULKIFLI said...

Assalamualaikum, Dato'
Sebenarnya isu paling besar bukan permintaan Kristian Katolik itu tetapi ada apa di balik permintaan mereka. Rupa-rupanya kalimat Allah itu untuk menyenangkan mereka "berkhutbah" dalam bahasa Melayu kepada penganutnya. Mengapa bahasa Melayu?

Tentulah ada Melayu Kristian yang mengikuti ibadat mereka di gereja. Bagaimana boleh jadi demikian? Jawabannya - MURTAD. Isu murtad ini lebih besar tetapi hampir tidak ada seekor pemimpin pun menyuarakan hal ini.

SITI ZAINON ISMAIL said...

Dato', hanya Negara kita saja yang begitu lembut hati, memberi bermacam-macam muka, hingga mereka lupakan kulit, lidah, dan jiwa...termasuk orang kita.....sungguh lama bidalan Melayu berperi, sudah terhantuk baru tengadah, beri betis hendak peha........mereka tidak pernah letih menuntut bermacam-macam, sedang bangsa dan penganut agama Islam di negara lain dihina di negeri sendiri yang nsudah ditakluki, terpinggir...hak mutlak...masih lupa jugakah bangsa Melayu....hanya melatah sementara kemudian sunyi senyap....betulkah orang Islam yang melontar bom di gereja atau sudah berse3dia si adu domba dengan batu api penggoda di negera 1 Malaysia ini?

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Muhammad Safwan,
Saya sudah tak ingat lagi kandungan memoranda Asas 50. Tentu maksud sdr tidak diperjuangkan pengajaran/pembelajaran Jawi. Saya kira pandangan pada waktu itu lebih banyak menekankan bagaimana hendak menjadikan BM senang diterima dan dipelajarai bukan Melayu-Islam supaya segera menjadi bahasa kebangsaan untuk semua kaum.Saya percaya isu Jawi ini terlepas pandang di kalangan penggubal memorandum, dan bukan kerana tidak pro Jawi. Setahu saya Keris Mas terdidik kuat dalam bidang agama dan malah menghadiri kolej agama di Sumatera. Usman Awang pula sering mengambil nota dan membuat draf tangan dalam tulisan Jawi.

Sdr Zul,
Kita tak mengetahui angka Melayu-Islam yang murtad. JAKIM patut melakukan penyelidikan bagi pengetahuan masyarakat tentang situasi perkembangan Islam dalam Negara.Mendakwah terhadap pengikut Islam oleh pengembang agama2 lain adalah salah di sisi perlembagaan.
Tentulah bahasa kebangsaan lebih berkesan untuk berkomunikasi dengan rakyat biasa terutama di luar bandar yang tak banyak memahami bahasa Inggeris.

Dr Siti,
Saya masih ragu-ragu siapa sebenarnya yang melakukan vandalisme terhadap rumah-rumah ibadat ini. Saya terfikir ada kemungkinan juga motiv politik di sebaliknya; dan siapa juga tahu mungkin ada juga permainan dari luar. Diharap pihak polis akan segera memperoleh bukti yang boleh diterima .
Dalam waktu yang sama saya juga berpendapat masyarakat Melayu-Islam yang majoriti 60%, yang menguasai pelbagai posisi yang penting (politik, perkhidmatan awam, polis, tentera, istana, undang-undang, perkhidmatan luar negara, dan tak kurang NGO's) patut insaf akan banyak kelalaian dan gagal berfikir secara konstruktif dan proaktif. Umpamanya kita patut mendirikan Muzium Melayu-Islam terbesar di dunia; meluluskan peruntukan undang-undang supaya syarikat perniagaan Islam yang membayar zakat boleh ditolak daripada cukai keuntungan yg perlu di bayar kpd kerajaan; semua syarikat GLC yang menerbitkan diari dan kalendar diarah menyertakan haribulan Hijrah, dan waktu solat; semua gedung-gedung besar beli belah menyediakan surau ( spt di Sogo, Mid Valley, KLCC); setiap pemaju perumahan yang memiliki 200 unit perumahan menyediakan sebuah surau etc)

Sdr norlina,
Sebaiknya mulai dari sekarang pendakwah Kristian menggunakan sahaja istilah Tuhan atau God, dan bukan Allah , bagi menjauhkan daripada perbalahan. Kita tak boleh melarang orang lain daripada mengamalkan kepercayaan atau agama masing-masing asal jangan sampai melukai sensitiviti umat Islam, demikian juga kita orang Islam tak bagus menghina atau melukai perasaan agama lain. Diharap orangMelayu-Islam dapat menunjukkan contoh sebagai umat yang hebat dan yakin diri; dan berani mempertahankan kemuliaannya.

JiwaKosong said...

Helo,nice info n nice blog,jom lawat blog saye ni plak di http://tolongsenyap.blogspot.com ,ok jgn lupe linkkn skli erk blog ni,ok bye

Admin said...

Sekian lama mencari memorandum tersebut untuk dinilai dan difahami, akhirnya saya bernasib baik apabila terjumpa di Perpustakaan Peringatan Za'ba, Universiti Malaya.

Secara peribadi, saya menyokong penuh usaha yang dibuat oleh Asas '50 berhubung isu tersebut. Cuma rasa terkilan terbit apabila tulisan jawi seolah-olah kurang diberi perhatian yang sewajarnya hingga menyebabkan akhbar Utusan Melayu dan tulisan jawi kurang diminati generasi pada hari ini.

Pada pengamatan saya, Perkara 152 menerangkan bahawa tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, situasi pada hari ini tulisan jawi hanya digunakan (jikalau ada) dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Ironinya, tulisan jawi tidak pula menjadi sebahagian daripada sukatan bahasa Melayu yang mengajar tulisan dan sistemnya kepada generasi pada hari ini.

Oleh yang demikian, saya memohon pandangan Dato' sekali lagi tentang perkara ini. Semoga idea bernas daripada Dato' dapat membantu usaha untuk mengangkat semula tulisan jawi ke tahap yang sepatutnya.

Sekian.

Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi
wanza348@gmail.com
Institut Bahasa, Kuala Lumpur.

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Muhammad Safwan
Saya gembira atas keprihatinan sdr terhadap BM dan juga masalah pengajaran/pembelajaran tulisan Jawi yang sejak zaman tradisinya menjadi wahana teks atau bahasa tulisan BM.

Meskipun dlm Perkara 152 BM ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan, tetapi dalam fahaman saya tidak dipastikan bentuk tulisannya.

Memang betul tulisan Jawi hanya diajarkan dalam subjek agama Islam dan tidak dalam subjek BM.Jadi tulisan Jawi itu hanya difahami oleh murid-murid Bumiputera-Islam sahaja. Oleh kerana saya tidak arif tentang kurikulum sekolah saya tak dapat memberi pandangan tepat tentang isu ini.

Pertanyaan yang boleh timbul antara lain: Bagaimana kalau pelajar bukan Islam yang belajar BM mahu juga mempelajari ejaan Jawinya? Tidakkah belajar BM itu akan lebih lengkap apabila pelajar
mengetahui kedua-dua bentuk aksaranya (Rumi&Jawi)?Malahan sebelum kedatangan Inggeris BM itu ditulis dalam Jawi.

Cara yang paling mudah menjawabnya ialah mengajar juga Jawi dalam subjek BM, tetapi dari segi praktiknya hanya pihak KPM sahaja yang dapat memberi jawapan.