Tuesday, 16 February 2010

MENCARI JALAN MELALUI WAHYU-NYA

MEMBACA JALAN YANG LURUS

Pagi-pagi lagi, pada 15 Febuari, seorang teman menghantar pesanan ringkas melalui telepon bimbit yang terlepa di sisi katil. Pada mulanya saya menyangka itu ucapan Valentine yang terlambat atau Kong Hi Fa Cai seperti yang diheboh-hebohkan oleh media cetak serta media elektronik negara. Saya tak segera membacanya. Selepas sarapan pagi baru tergerak untuk membaca sms. Rupa-rupanya ucapan "Selamat menyambut Rabiulawal".
Saya segera membalas dengan mengucapkan: "Terima kasih, dan Selamat Menantikan Maulidul Rasul, 12 Rabiulawal /26 Feb".
Demikianlah masih ramai yang tidak terpesona dengan perayaan-perayaan agama orang lain yang semakin menjadi cara hidup yang digalakkan oleh sesetengah tokoh kita .
Dalam kemelut hidup politik dan sosial serta kekaburan arah tujuan hari ini marilah kita membuka hati bagi mencari jalan yang jernih serta lurus yang telah disediakan untuk kita, tetapi tersilau selalu pada pandangan mata. Semoga Tuhan memberikan hikmah kepada pemimpin-pemimpin yang berkuasa agar kita semua tidak beramai-ramai disesatkan semata-mata kerana kepentingan memenangi kekuasaan politik yang segera dan sementara; bukan yang bernilai abadi untuk dunia dan akhirat.
Sambil menaruh harapan kepada mereka , marilah kita sendiri berusaha menuju ke arah itu dengan memburu cahaya hebat yang terpancar dari Kitab Mulia yang diam terbiar di meja. Dengan getar dan rahasia cahayanyalah sekalian kekaburan atau kekalutan di atas akan tersuluh untuk membijaksanakan kita memisahkan yang tulen daripada yang lancung.
Alangkah beruntungnya kita semua kerana melalui Muhammad SAW kita diajar pula contoh teladan yang agung. Baginda telah dilahirkan pada bulan Rabiulawal tatkala sebuah bintang baru tiba-tiba terbit terang di langit, sebagai tanda suatu kebesaran hebat akan diturunkan untuk seluruh umat manusia . Dalam sedikit hari lagi kita akan merayakan peristiwa yang luar biasa itu supaya kita selalu mengingatinya, lebih-lebih lagi makna yang terkandung di dalamnya.

9 comments:

Atan said...

Salam, Dato';
Entah mengapa, nukilan Dato' sekali ini menyentuh hati saya. Sedih menanggapi kebenaran nukilan Dato'. Pemimpin membobokkan kita tentang 1 Malaysia, Perpaduan, Kongsi Raya, dan pelbagai macam hal yang agendanya satu, seperti kata Dato', untuk "kepentingan memenangi kekuasaan politik yang segera dan sementara".

Pada masa yang sama, anak-anak kita sedang tersesat sehingga ada yang tidak tahu bilakah tarikh Junjungan Besar kita diputerakan. Itu belum lagi hal-hal asas, toharah dsb.

Terima kasih kepada sahabat Dato' itu. Dia juga mengingatkan saya akan hal ini, melalui Dato', tentunya. Alhamdulillah.

wardah munirah said...

Assalammualaikum, Dato.

Ya, seperti komentar Atan. Membaca entri Dato' ini memberi kesedaran juga kepada saya. Terlalu banyak perayaan yang diuar-uarkan melalui media sehingga menenggelamkan kesedaran kita terhadap ulang tahun kelahiran junjungan Nabi Muhammad s.a.w

Terima kasih kerana berkongsi sms dan ingatan Dato' ini.

Salam maulidur rasul.

bahazain said...

Assalamualaikum Sdr
Atan, dan
Wardah Munirah.

Saya bersyukur kalau paparan saya itu serba sedikit menyentuh hati dan mengingatkan kita semua tentang
hal-hal yang hakiki ( yang lebih unggul) dalam kesibukan bangsa kerana terpesona dengan perebutan kekuasaan serta kepentingan diri.
Semoga kita selalu saling mengingati supaya tak luluh dalam kealpaan.

bahazain said...
This comment has been removed by the author.
C.I.A said...

Assalamualaikum Dato',
perayaan selalu ditanda dengan pesta dan hiburan,yang sepatutnya diisi dengan acara-acara kerohanian.

Kita lebih mengenal Aidilfitri kerana rancangan TV khas sempena Aidilfitri terisi dengan filem-filem Melayu yang belum tentu mengisi minda penontonnya.

Aidiladha,Awal Muharam,Maulidur Rasul,Isra' Mi'raj dan Nisfu Syaaban semuanya tenggelam kerana tiada perasa hedonisme padanya.

imlan adabi said...

1Malaysia utamakan Taipusam atau berpesta di KLCC menjelang 31 Ogos. Kita makin jauh...

Zolkharnain Abidin said...

Blog bongkarsauh telah berpindah ke alamat baru seperti berikut:

http://sauhdibongkar.blogspot.com/

Pohon update link tuan. Terima kasih.

JHaZKiTaRo said...

salam maulidur Rasul dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking kejap.. rajin2, jemput laa singgah ke my blog, Aku Sebutir Pasir.. :)

bahazain said...

Assalamualaikum

Maaf saya sangat lambat memberi respon.

Sdr C.I.A.( Tentu ini bukan CIA USA)
Kesenian tempatan boleh memikat kalau semua aspek seni ditangani dengan lebih artistik dan cerdik--dari teks hingga ke lakonan dan teknik penggambarannya. Jadi akhirnya kata seorang pengkritik, Malaysia terpaksa menghasilkan kesenian bodoh untuk memenuhi kehendak penonton yang bodoh. Penonton yg cerdik menderita tanpa seni yang bermutu.

Sdr Imlan
Kita jangan men galah kalau 1 Malaysia menjahanamkan jati diri budaya bangsa.

Sdr Zolkharnain
Terima kasih.

Sdr Zakhitaro
Saya sudah jenguk blog sdr yang mengembara jauh. Jangan lupa kembali ke tanah air.