Masih saja kampung yang ditinggalkan memaut kerinduan
Hari-hari Ramadhan menggamit dan akhirnya mendakap keceriaannya pada Hari Raya Idilfitri. Menjelang gelombang nada takbir teriring doa restu dan ucapan 'Semoga sdr sekalian selamat beribadat dan menemui keredhaan Allah'.
Kiranya inilah ucapan yang tulus daripada saya kerana Tuhan telah menyeru kita berpuasa agar kita menjadi mukmin yang bertakwa.Apakah makna besar daripada istilah takwa itu? Tidakkah ia mengajak kita membuat kebaikan dan mencegah keburukan dalam hubungan kita secara vertikal dengan Tuhan, dan secara horizontal dengan makhluk lain.
Jalan ke arah itu tak lain tak bukan melalui ketauhidan atau kepercayaan kita terhadap kewujudan Tuhan yang Maha Esa; dan dengan bersenjatakan ketauhidan itu kita menuju ke arah amalan ibadat solat, puasa ,zakat, dan haji. Tentulah ini sahaja tidak mencukupi kalau di sekeliling kita masih meliar ( judi, arak, jenayah, penipuan, dadah, pembunuhan bayi, kezaliman, rasuah, penindasan, ketidak adilan, riba, fitnah, penyeludupan barang dan manusia etc).Tidakkah sekarang masyarakat kita sedang dilanda pelbagai keburukan dan krisis sosial?
Krisis sosial itu berlaku kerana adanya krisis moral. Krisis moral itu berlaku
kerana adanya krisis iman. Maka itu apabila iman kita mengalami krisis, akan menjelmalah krisis moral yang membawa kepada krisis sosial.Apakah penawar dan ubatnya?
Ubatnya ialah dengan memperbetulkan atau memperkuatkan iman individu dan masyarakat.
Maka itulah diseru agar individu dan pemimpin berjihad membangunkan kehidupan yang berlandaskan nilai-nilai dan prinsip Islam melalui kempen, dakwah, tarbiah dan dasar-dasar institusi serta negara.Perlu dilakukan banyak pemikiran yang positif, kritikan yang membina dan imaginasi kreatif bagi membangunkan suatu bangsa yang beragama dan berakhlak.
Amalan yang selama ini hanya memberi kepentingan terhadap pembangunan kebendaan dan teknologi tanpa memberi tekanan yang sama hebat terhadap dimensi budaya, moral dan rohaniah misti diberhentikan segera.Inilah formula bagi mebangunkan suatu bangsa yang maju dan adil -- bukan untuk rakyat Islam sahaja-- , tetapi juga untuk penduduk yang bukan Islam.Islam tidak berlaku zalim kepada manusia beragama lain, dan malah terhadap alam semula jadi pun.
Bukanlah sesuatu yang janggal dan aneh bagi Malaysia untuk bergerak ke arah negara Islam yang lebih bermakna kerana dalam Perlembagaan Malaysia, Islam adalah agama Persekutuan; dan raja-raja Melayu berperanan sebagai memelihara adat istiadat Melayu dan agama Islam.Selain daripada itu telah dibagunkan undang-undang syariah di sisi undang-undang sivil.Telah juga diwujudkan perbankan Islam di neger-negeri. Namun semua ini hanya sebahagian kecil saja daripada keseluruhan kehidupan kebudayaan, ekonomi, pentadbiran, pendidikan, media dan perundangan.
Maka dalam semangat Ramadhan serta Hari Raya Idilfitri ini, marilah kita ( menteri, peguam, doktor, seniman, budayawan, guru, jerurawat, petani, nelayan, pelajar dan tentera serta polis) berjihad membangunkan tasawur (weltanschaung) Islam sedaya yang mampu , paling-paling dengan niat yang baik kerana Allah-- demi suatu zaman gemilang negara, demi ketakwaan kita dan keredhaan Tuhan . Semoga dengan niat serta amalan demikian kita akan memperoleh pahala serta keredhaan-Nya.
"SELAMAT BERHARI RAYA;SELAMAT BERJIHAD SERAYA KITA MEMOHON DAN MEMBERI MAAF "
AMIN!!!
Daripada saya Baha Zain
13 comments:
Salam Bang Cik,
Selamat Hari Raya Eidul Fitri, Maaf Zahir Batin. InsyaAllah, kita bertemu bila berkesempatan.
Salam,
Kalaulah hukuman sebagai satu cara penting untuk mendidik umat, harapan dan saranan Dato' dan saya serta semua orang kelihatan payah untuk direalisasikan.
Krisis iman yang menjadi titik tolak berlakunya segala macam kebobrokan yang Dato' senaraikan itu sukar untuk dibetulkan kalau HUDUD tidak ditegakkan.
Kalau segala macam kebobrokan itu sekadar menjadi peringatan supaya kita membetulkan keadaan, kita masih bernasib baik kalau suatu ketika dapat membetulkannya.
Tetapi kalau segala macam kebobrokan itu menjadi petanda berlakunya musibah besar, kita harus memikirkan persediaan kita.
Kalaulah menegakkan hudud sebagai salah satu prasyarat yang membolehkan kita tergolong sebagai insan bertaqwa, macam tergapai oleh kita taqwa itu.
Salam, Dato'
Pembetulan
Kalaulah menegakkan hudud sebagai salah satu prasyarat yang membolehkan kita tergolong sebagai insan bertaqwa, macam tak tergapai oleh kita taqwa itu.
Dato'
Sebuah entri yang membawa kita kembali mendekatkan dengan Maha Pencipta.
Ada kelapangan sila layari:
http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/2009/10/beraya-dan-dan-kisah-tak-balik-raya.html
SAYA JUGA UCAPKAN SELAMAT EIDIL FITRI DI KAD MAYA UNTUK DATO' DAN KELUARGA. CANTIK RUMAH ITU, DATO' SAYA BERNOSTALGIA SEJENAK MENGIMBAU ZAMAN SILAM SAYA .
Salam Dato' Baha.
Selamat hari raya untuk Dato' dan Datin. Moga kita sama-sama mendapat hidayah dan rahmat ALLAH SWT. Maaf zahir dan batin daripada saya sekeluarga.
Amin.
Salam dato.
Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.
ASSALAMULAIKUM
SDR ARMOURIS,
LUAHFIKIRAN,
ZULKIFLI,
SHEIKH MUSTAPHA,
AJILAH,
SHAM, DAN
LUTFI
MESKIPUN KITA TAK BERTEMU MUKA, TETAPI KITA SALING BERTEMU KATA DI DUNIA MAYA. ITUPUN ADALAH SATU JALINAN SILATURRAHIM JUGA (YG LEBIH-LEBIH LAGI BERLAKU ATAS BAHAN BACAAN SERTA TULISAN, DAN PADA RAMADHAN PULA , WAKTU PERTAMA KALI DITURUNKAN IQRA').SESUNGGUHNYA MEMBACA TULISAN ITU ADALAH ASAS KEBUDAYAAN DAN TAMADUN. MEMBACA SUDAH MEMPERLUAS SEMPADANNYA DARIPADA RUANG BUKU KE RUANG SIBER DENGAN KEHENDAK ALLAH. dAN KITA BERADA DI RUANG YG LEBIH LUAS ITU. ALHAMDULILLAH, KITA ADALAH ANTARA UMAT YANG BERUNTUNG. SELAMAT BERHARI RAYA; MAAF LAHIR BATIN.
Salam Dato',
Ini gambar rumah Dato' di kampung ke? Timbul rasa ketenangan melihatkan rumah kampung ini. Menghimbau berbagai kenangan semasa kecil yg telah dilalui dan akhirnya membentuk diri ini sebegini pd hari ini. Selamat Hari Raya buat Dato' & Auntie, moga terus dalam peliharaan Yg Esa.
Salam adilfitri buat dato' daripada saya.
Assalamualaikum,
Sdr Azlina,
Rumah kayu itu adalah rumah lama berhampiran rumah orang tua saya , tetapi pada tapak rumah saya itu telah dibangunkan rumah penginapan spt rest house.Di rumah dalam gambar inilah gadis yang saya idamkan selalu bermalam atau bertandang sewaktu zaman remaja kami.Kini gadis idaman saya itu telah menjadi ibu kpd putera-putera saya.Jadi apabila balik ke kampung kami akan tetap menjenguk tempat bermain dan jatuh cinta.Itulah pengalaman pedesaan yg selalu menjadi akar kesedaran nasib bangsa.
Sdr blogger kesunyataan,
T. Kasih dan Selamat Berhari raya untuk sdr dan keluarga.
Nampaknya dah pecah rahsia kisah cinta Dato' & Auntie. Sy pernah bertanya pd Auntie tntg zaman percintaannya, waaa....Auntie tukar topik la Dato', mengelak menjawab! Alhamdulillah...bibit2 manis tersebut telah melahirkan putera-putera serta cucu-cucu kebanggaan bersama.
Post a Comment