Saturday, 26 July 2008

K E I N D A H A N ITU B A G A I M A N A ?

Nampaknya percakapan di mana-mana sangat serius. Semakin serius apakala yang dibicarakan hal-hal yang tragik, pertentangan kelompok, jenayah, korupsi, pelanggaran akhlak, skandal , itu dan ini.Jadi mari kita bercakap tentang " k e i n d a h a n". Semoga kita ceria, tidak murung, pesimis dan positif memandang dunia . Subjek ini pun sebenarnya sangat serius; bukan main-main. Tuhan mencipta keindahan , dan suka pada keindahan. Tetapi apa, dan bagaimana?

Keindahan ditakrif sebagai kecantikan. Indah itu cantik, elok dan molek. Keindahan itu katanya kualiti yang menimbulkan rasa keseronokan, menggembirakan , terutama apabila melihatnya. Tun Teja ( Hikayat Hang Tuah), Helen of Troy ( lagenda Yunani), Puteri Gunung Ledang (Sejarah Melayu) antara wanita yang dianggap sangat cantik dalam kesusasteraan dunia. Apakah ada kualiti yang tertentu sehingga sesuatu yang cantik itu semua yang menatapnya sama-sama bersetuju? Bagaimana tentang alam, seperti pemandangan atau bunga mawar, tanjung, cempaka, kasidang, anggerik, melur, dan teratai? Ramai yang seia sekata barangkali.

Kalaulah keindahan atau kecantikan hanya terletak pada ciri-ciri fisikal yang konkrit dan objektif ( bentuk, warna, bau, dan bunyi) dan semua manusia mempunyai tanggapan yang sama tentulah ia akan menimbulkanbanyak perbalahan antara seniman, penulis, pahlawan dan raja-raja kerana semua merebut objek yang sama.

Keindahan pun tidak abadi kerana ia juga sangat bergantung kepada hati serta perasaan yang mengaguminya. Malahan kecantikan seorang kekasih akan bertukar menjadi cemburu, dendam dan permusuhan sekiranya
tidak setia, berkhianat dan curang. Keindahan yang membawa perasaan rindu, berahi, bahagia, ceria, aman dan tenteram bila-bila masa saja boleh menimbulkan kerusuhan, kesedihan ,kesepian, dan perang. Justeru itu alangkah banyaknya ungkapan, kiasan, metafora , pantun, lukisan, arca dan puisi yang terbangun daripada keindahan. Keindahan sangat erat hubungannya dengan kemuliaan, keikhlasan, kejujuran, pengorbanan, kasih sayang, dan akhlak; tak terpisahkan. Entah berapa juta ciptaan sastera , muzik, gambar, arca dan drama dalam sejarah dunia telah didedikasikan kepada kata KEINDAHAN yang sangat subjektif. Marilah kita melupakan segala yang buruk, dan memujuk hati kita untuk berasa indah dan mimpikan yang indah-indah saja dalam tidur pada malam ini.Semoga esok pagi kita akan bangun sebagai seorang yang dirahmati oleh Tuhan



Yang baik budi, yang indah bahasa (Pantun Melayu)
*
Keindahan itu kebenaran, kebenaran itu keindahan ( John Keats)
A thing of beauty is a joy for ever ( John Keats)
*
Keindahan adalah pemberian tuhan ( Aristotle)
*
Keindahan adalah bahagian daripada bahasa yang sempurna yang berbicara tentang kebaikan (George Eliot)
*
Keindahan adalah sekuntum bunga ( Shakespeare)
*
Mawar itu paling harum apabila dimandi embun pagi
Dan paling indah apabila digenangi air mata ( Walter Scott)
*
Mawar di taman cantik dan wangi
Sekuntum di hati tidak berduri
Tidakkah itu yang terindah? ( Baha Zain)

Percayalah Tuhan senantiasa dengan kita andainya kita percaya kepada kudrat- Nya yang selalu ingin menaburkan keindahan alam dan kehidupan ini untuk kita tafsir dan terjemahkan.
____________________________________________________________________

9 comments:

Danielle_Corleone said...

saya suka pendapat dato dan aristotle. :-)

IZWAN said...

Assalamualaikum Datuk yang sahaya senantiasa kagumi..

Aduh.. Indahnya, ciptaan yang Esa tidak tertanding keindahannya..

Entahlah, saya kurang gemar menceritakan keindahan kerna apabila kerna terlalu indah nanti takut melekakan.. Keindahan itu suatu yang mulia dan bahagia, tapi dek kerna keindahan juga manusia menjadi lewa dan alpa..

Kadang-kadang dek kerna keindahan dengan kuasa dan status quo kita menjadi hamba kepada indah itu, kerna dek keindahan bangsa Melayu, bangsa kita telah tewas pada zaman kota Melaka dan zaman pemerintahan kerajaan tanah-tanah Melayu lainnya.. Dek kerna keindahan zaman modenisasi dan kota menyebabkan kita kehilangan nilai harga diri dan maruah yang sering kita agungi..

Bahasa kita sudah dicabuli, hak-hak kita sudah dianaktiri, perjuangan kita tidak lagi menjadi asas hakiki..

Bukan saya tidak mempercayai keindahan, sesungguhnya indah itu bererti.. Tapi erti indah itu diinterpretasi dengan serong seringkali, keindahan itu perlukan emansipasi berteraskan naluri murni dan reformasi dari dalam sudut hati.. Indah itu harus diinterpretasi berasaskan jati diri dan kesaksamaan sejagat. Ianya bukan untuk kepentingan diri untuk menjadi idealis yang berkarat..

Sekadar 'Reaksi Muda Mudi' membesar di lembah yang semakin ditakuti dan berduri.. Saya bukan menidakkan keindahan, cuma gusar indah itu mengganggu gugat asas remaja di rantau globalisasi ini..

Terimas..

bahazain said...

Sdr Danielle
Tak ada mawar yg tak berduri. Ada duri adalah mawarnya. No pain no gain. Yang terlarang sering paling manis.

bahazain said...

Sdr izwan,
Jangan takut pada keindahan selagi sdr sedar ia mengandungi risiko.Ciptakanlah keindahan untuk semua bangsa sebagaimana bahasa Inggeris dirujuk kerana melaluinya
kita dapat menemukan banyak ilmu dan keindahan kesusasteraan. Inilah yang harus kita sekalian perjuangkan : mengisi Bahasa Melayu itu dengan keindahan dan kebijaksanaan yg kita pupuk daripada pengalaman unik serta keinsafan akan ajaran-ajaran-Nya.

jiwafaham said...

Assalamualaikum Dato'

Saya terkenang arwah nenek mengatakan keindahan itu suci, murni dan tulus. Katanya lagi tiga unsur ini Allah SWT suka, Rasulullah SAW suka dan alim ulamak pun suka.

Saya tanya nenek: nenek suka tak? Jawab nenek, nenek pun suka, lebih-lebih lagi kalau kunci keindahan itu ada dalam hati dan jiwa cucu nenek!

Tahun 1984 saya selalu berkunjung ke National Art Gallery, Jalan Ampang (kini Saloma Bistro di situ), menyaksikan lukisan-lukisan pelukis tempatan yang dipamerkan di situ. Suatu hari Y.M. Tuan Syed Ahmad Jamal (Pengarah Balai Seni Lukis Negara ketika itu) bertanya, saya sakit ke?
Saya jawab, kepala saya pening tengok beberapa lukisan tu, ia karya orang-orang hebat. Semakin direnung semakin kacau fikiran jadinya!
Oh.. itulah seni, keindahan yang tak terjangkau oleh mata dan akal fikiran, jawab Tuan Syed Ahmad Jamal.
Kami sama-sama ketawa...

Terkenang Dato', kisah-kisah lalu itu sangat indah...

Hartini Omar said...

dato' yg dihormati,

apabila helen of spartan dirampas dan dijadikan helen of troy, adakah keindahan jadi alasan??

apabila puteri gunung ledang mendamba 7 dulang barang-barangan, adakah keindahan jadi taruhan??

apabila Teja menjadi korban kehendak hati seorang sultan, adakah keindahan jadi buruan??

-melihat dari kaca mata nafsu, yg indah hanya untuk memuaskan kalbu
-melihat dari kaca mata akal, yg indah itu adalah "ilmu" yg kekal

terima kasih, Dato'

fatinazmin said...

salam, yang indah itulah harus kita pelihara dan kekalkan, bukan?

lutfi said...

Dalam faham saya, keindahan bukanlah satu mekanisme yang terpisah daripada 2 lagi saudaranya; etika dan kebenaran. Hal ini kerana, jika kita melihat para ahli falsafah khasnya Barat membincankan makna dan hakikah 'keindahan' dan 'kecantikan', biasanya mereka bertolak dan meletakkan keindahan dan kecantikan itu dalam entiti yang tersendiri. Akibatnya, kita lihat makna kecantikan dan keindahan itu tidak mempunyai apa-apa fungsi selain untuk kegunaan pancaindera (keseronokan), dan tidak kebahagiaan (saudah) - seperti yang keluar daripada mauduk perbicangan ahli hikmah dan falsafah Islam. Kerana itu, kebiasaannya, ahli falsafah dan pemikir sekular - akhirnya menjustifikan keindahan dan kecantikan itu mempunyai taraf yang rendah, berbanding ilmu-ilmu yang santifik, yang tunduk pada kerangkan epstemologi barat moden. Malah, banyak daripada mereka meremehkan fungsi keindahan dan makna kecantikan, sehingga melihat apa sahaja ilmu yang membincangkan ttg keindahan (estetika) sebenarnya tidak bermakna dan bukannya ilmu. Jadi, dalam pandangan saya, keindahan, kecantikan atau estetika itu, harus dibincangakn bersama-sama dua saudara kembarnya iaitu 'kebenaran' dan 'etika'. Barulah, makna keindahan dan estetika mendapat makna yang besar dan suci sifatnya. Salam datuk.

liyana said...

Assalamualaikum Datuk...

saya tertarik dengan post tentang keindahan. sememangnya keindahan itu sangat subjektif dan sukar ditafsirkan.

izinkan saya untuk quote kata-kata dato' dalam post ini? terima kasih~