Monday, 28 July 2008

Surat Kepada Ketua Pengarah Pelajaran

Assalamualaikum

Yang Berbahagia Dato’ Haji Alimuddin bin Mohd Dom.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


ISU BAHASA PENGANTAR DALAM SAINS Dan MATEMATIK


Diucapkan setinggi terima kasih atas kesudian Dato’ mempelawa sesiapa yang berhasrat menyampaikan pandangan tentang soal “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)”, untuk dihantar melalui -(alimuddin.dom@moe.gov.my ), seperti yang tersiar dalam akhbar SUNDAY STAR , 20 Julai 2008.


Ini adalah suatu tindakan demokratik yang sangat baik supaya pihak kerajaan dapat mengetahui pelbagai pendapat untuk nanti membuat keputusan matang dan bijaksana kerana isu ini bukan hanya menyangkut masalah bahasa dan pendidikan sahaja , tetapi agenda negara yang lebih besar , iaitu pembangunan akal budi, tamadun, jati diri dan perpaduan bangsa yang berasaskan tradisi setempat dan sejarah perjuangan kemerdekaan. Selain daripada itu keputusan yang akan dibuat , mahu tidak mahu, akan ada implikasi politiknya.


Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia pada 2002, dan dilaksanakan melalui Menteri Pelajaran, dan Ketua Pengarah Pelajaran (almarhum) pada 2003 sangat bersifat authoritarian, dan tidak menghormati perjuangan kemerdekaan bangsa kerana pendaulatan Bahasa Melayu adalah salah satu landasan perjuangan kemerdekaan. Itulah juga sebabnya Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan perancangan dan pembangunan bahasa, ditubuhkan (1956) setahun lebih awal sebelum kemerdekaan diisytiharkan (1957).


Apa pun alasan dan agenda yang terselindung di sebalik tindakan yang tidak boleh dianggap beretika itu ( kerana rakyat tidak dirunding dahulu dalam soal yang besar ini) ia adalah suatu diskriminasi terhadap orang Melayu sendiri yang telah bermati-matian pada zaman penjajahan memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu. Selain itu sejak tahun 1970-an lagi bahasa ini sudah menjadi bahasa pengantar ilmu pengetahuan dengan jayanya sehingga jutaan ilmuwan, profesional dan cendekiawan dikeluarkan dan menjadi modal insan yang membangunkan pendidikan, pentadbiran , kebudayaan dan ekonomi negara.


Sehingga ini alasan-alasan dan hujah yang dikeluarkan sangatlah kabur dan mengelirukan rakyat. Pada mulanya PPSMI ini dikatakan bertujuan untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris. Ini adalah alasan yang cetek dan telah dikritik kerana ia bukanlah pendekatan yang berkesan dan masuk akal untuk mencapai tujuan tersebut. Kemudian diterangkan bahawa ia bertujuan untuk menerangkan konsep sains dan matematik. Alasan ini lebih lemah kerana untuk tujuan itu mengajar melalui Bahasa Melayu atau bahasa ibunda adalah lebih mesra pelajar, lebih berkesan dan lebih difahami. Setelah demikian ramai individu serta organisasi menyatakan bantahan dengan hujah yang objektif, dan juga beberapa penyelidikan ilmiah dikemukakan untuk membuktikan kesan negatif PPSMI terhadap pelajar , Alhamdulillah, pihak kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa ketetapan akan diputuskan selepas keputusan UPSR 2008. Pengumuman tersebut namun menimbulkan anggapan bahawa keputusan UPSR akan menjadi asas pertimbangan untuk sama ada meneruskan atau menamatkan amalan yang diperkenalkan sejak 2003. Terakhir YB Menteri pelajaran menafikannya kerana yang dimaksudkan ialah hanya selepas ujian itu baru diumumkan keputusan kerana kerajaan memerlukan waktu untuk menyelesaikan sesi rundingan meja bulat tentang isu ini.


Kalau disoroti kembali sekalian keterangan dan kenyataan yang kabur, dan mengelirukan itu jelas bahawa banyak sekali andaian atau premis fikiran yang berubah-ubah sehingga telah berlaku krisis epistemologi dalam usaha menghuraikan kebijaksanaan pendidikan dan kebahasaan yang sangat penting ini.


Saya menerima baik penjelasan Menteri Pelajaran di atas (lihat SUNDAY STAR, 20 July , 2008) bahawa UPSR bukanlah asas untuk memutuskan sama ada PPSMI diteruskan atau tidak kerana ia tidak relevan sama sekali dengan isu Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan akta-akta tertentu.


Isu pokok dan paling dasar ialah amalan yang diperkenalkan mulai 2003 dalam Tahun Satu dan Tingkatan Satu itu sedang menghapuskan status dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan. Apabila sampai ke sekolah menengah lebih 70 peratus mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris. Akibat sangat buruk seterusnya daripada amalan itu ialah akan terbantut perkembangan persuratan, wacana ilmiah dan intelektual, kesenian dan kebudayaan Melayu Islam yang menjadi teras keperibadian dan pola-pola kehidupan umat Melayu Islam di negara ini.


Bahasa Melayu sebagai wadah emosi dan akal, nilai-nilai dan pandangan dunia terhadap kehidupan dan agama tidak boleh dipisahkan, malahan aspek yang sangat penting bagi kebudayaan Melayu. Jadi keputusan menyingkirkan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara sekarang ini adalah satu serangan terhadap kebudayaan Melayu yang sepatutnya menjadi asas kepada kebudayaan kebangsaan. Selain itu ia boleh ditafsirkan sebagai tindakan diskriminasi songsang (reverse discrimination) yang dilakukan oleh pemimpin politik dan pemimpin pendidikan Melayu terhadap bangsanya sendiri.


Perlu juga ditegaskan bahawa pendapat dan pendirian yang dikemukakan di sini tidak sama sekali menentang usaha kementerian untuk meningkatkan kemahiran ( membaca, bertutur, menulis dan menterjemah) melalui bahasa Inggeris atau melalui mana-mana bahasa lain pun. Persoalan ini tidak timbul kerana kebolehan berkomunikasi dalam bahasa-bahasa antarabangsa adalah satu aset penting bagi membina modal insan yang moden. Hanya ia tidak layak mengambil alih tempat bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara sebagaimana juga yang diamalkan di negara-negara maju lain.


Jadi sangatlah penting dipisahkan masalah penguasaan bahasa Inggeris daripada isu status Bahasa Melayu yang terjejas pada hari ini. Maka dengan hormat serta harapan yang tinggi kami memohon masalah yang rumit dan boleh berpanjangan ini akan diselesaikan segera dengan mengembalikan Bahasa Melayu kepada tempatnya yang sah sebagai bahasa pengantar matematik dan sains.

Hanya sekian, dan salam hormat daripada saya


Baha Zain

Timbalan Presiden .

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).


25 Julai 2008/25 Rejab 1429

13 comments:

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha Ydh: Semoga ada hati yang teduh dan jiwa yang tidak dilanda rusuh mempertimbangkan segala harap.

Saya yakin masih ramai yang berada di atas yang tetap menghargai kebijaksanan dan maruah bangsa serta bahasanya.

Wassalam,
Satira + Kacau

sham al-Johori said...

Salam dari tanah rindu,
Dato' Baha yang dikagumi. Saya melihat surat ini bernada harapan yang amat menggunung. Begitupun saya amat berharap juga bahawa penerima surat itu faham benar-benar erti 'jati diri' dan menafikan hak 'menang-menang' demi menjaga hati rakyat yang pelbagai kaum ini. Saya tidak menafikan konsep perpaduan; tetapi yang saya kecewa ialah 'perpaduan' itu telah membunuh dasar pendaulatan bahasa Melayu kita yang jelas diremehkan itu.
Salam rindu.

ainon mohd said...

Dato',

Izinkan saya menyiarkan surat ini di blog saya.

Danielle_Corleone said...

Manusia perlu bersatu dengan penggunaan elemen bahasa. pertimbangan wajar perlu diberikan.

Web Sutera said...

Assalamualaikum Dato' Baha,

Tabik Dato'! Teruskan.

Azree MH said...

Salam Dato' Baha,
Saya memohon izin menyalin surat ini di blog saya.

Semoga bermanfaat.

www.studiomuslim.com

lutfi said...

Datuk, saya lihat kementerian pelajaran seharusnya lebih objektif dan banyak melakukan kajian lapangan. Sekarang ini, ramai guru-guru mengeluh kerana kebijaksanaan yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran, menyukarkan objektif p&p tercapai. Kita tidak tahu apa lagi alasan yang diberikan selepas ini oleh pihak kementerian, dan mungkin - biarpun saya agak pesemis, lebih banyak wang akan dipergunakan bagi menghalalkan bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian ilmu dalam Sains dan Mat.

bahazain said...

[ Lantaran adanya sejumlah permintaan untuk menerbitkan semula surat ini saya mengizinkan sesiapa saja un tuk menyiarkannya semula--BZ]

Enche's said...

Dato'
Mohon untuk memaparkan semula surat ini dalam blog saya bagi manfaat semua.

Terima kasih

aibiwai said...

Assalamualaikum...

Saya bukan tidak setuju dengan pendapat Pak Baha...

sebagai seorang yang berada dalam dunia pendidikan, saya ingin melihatnya dari sudut yang positif, di sini kita bukannya ingin meminggirkan bahasa kebangsaan, tidak sama sekali...tetapi dari segi penguasaan bahasa ilmu dan persaingannya dengan bangsa asing.
Itulah sasaran utama PPSMI, kita tidak mahu anak-anak melayu terus lemah dan dipinggirkan dalam dunia pekerjaan lantaran lemah dalam bahasa inggeris. Saya melihat perkembangan ini dari dekat, anak-anak murid saya yang lebih berkeyakinan dan berkemahiran dalam bahasa inggeris.
Apa salahnya kita meneruskan PPSMI ini, adakah tidak aada kebaikan langsung yang boleh kita angkatkan.
Kita liha kejayaan anak-anak melayu sekarang, mereka ini adalah rata-rata pernah belajar dalam aliran inggeris yang mengambil LCE, MCE, HSC suatu masa dulu. Kita bukannya ingin "menginggeriskan" sistem pengajaran dan pembelajaran kita. Hanya sebahagian mata pelajaran sahaja. Pengajaran dalan bahasa melayu tetap diteruskan.
Ini hanya pandangan peribadi dan ikhlas dari saya seorang guru yang mengakui lemah dalam bahasa inggeris. Saya rasa kerdil bila berada dalam dunia hari ini yang rata-rata mengutamakan bahasa inggeris. saya takut untuk menyambungkan pelajaran kerana takut kepada bahasa inggeris. jesteru itu saya tidak mahu anak-anak saya, amak-anak didik saya mengalami apa yang saya alamai hari ini.
Sekian...

aibiwai said...

Assalamualaikum...

Saya bukan tidak setuju dengan pendapat Pak Baha...

sebagai seorang yang berada dalam dunia pendidikan, saya ingin melihatnya dari sudut yang positif, di sini kita bukannya ingin meminggirkan bahasa kebangsaan, tidak sama sekali...tetapi dari segi penguasaan bahasa ilmu dan persaingannya dengan bangsa asing.
Itulah sasaran utama PPSMI, kita tidak mahu anak-anak melayu terus lemah dan dipinggirkan dalam dunia pekerjaan lantaran lemah dalam bahasa inggeris. Saya melihat perkembangan ini dari dekat, anak-anak murid saya yang lebih berkeyakinan dan berkemahiran dalam bahasa inggeris.
Apa salahnya kita meneruskan PPSMI ini, adakah tidak aada kebaikan langsung yang boleh kita angkatkan.
Kita liha kejayaan anak-anak melayu sekarang, mereka ini adalah rata-rata pernah belajar dalam aliran inggeris yang mengambil LCE, MCE, HSC suatu masa dulu. Kita bukannya ingin "menginggeriskan" sistem pengajaran dan pembelajaran kita. Hanya sebahagian mata pelajaran sahaja. Pengajaran dalan bahasa melayu tetap diteruskan.
Ini hanya pandangan peribadi dan ikhlas dari saya seorang guru yang mengakui lemah dalam bahasa inggeris. Saya rasa kerdil bila berada dalam dunia hari ini yang rata-rata mengutamakan bahasa inggeris. saya takut untuk menyambungkan pelajaran kerana takut kepada bahasa inggeris. jesteru itu saya tidak mahu anak-anak saya, amak-anak didik saya mengalami apa yang saya alamai hari ini.
Sekian...

admin said...

Salam Dato,
Saya baru baca hujah Tun Mahathir mempertahankan Dasar PPMSI dalam blog CheDet.Juga membaca komen yang menyokong.
Saya rasa Tun tidak memahami hasrat sebenar pejuang Bangsa dan Bahasa yang menentang dasar ini.Rata-rata yang sempat saya kenal tidak langsung menentang penguasaan Bahasa Inggeris.Cuma yang ditentang kaedah pelaksanaan PPMSI jangan sampai menjadikan Bahasa Melayu pupus sebagaimana beberapa kajian yang telah dibuat yang malangnya tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib.
Tun cintakan Bangsanya.Begitu juga pejuang-pejuang Bangsa dan Bahasa.Cuma kaedah Tun bersifat zero-sum.Ini yang silap.

TPJ14

bahazain said...

ASM Sdr sekalian
Terima kasih kerana memberi reaksi terhadap isu bahasa yang penting ini. Saya sudah membaca penjelasan Dr Mahathir dlm blognya. Jadi saya semakin yakin bahawa beliau telah melakukan kesilapan berdasarkan apa yang diterangkannya. Tujuannya tidak dibarengi dengan tindakan pelaksanaan yang cerdik dan bijaksana.Ini adalah contoh di mana kekuasaan kalau tanpa kritikan dan teguran orang di bawah akan menjahanamkan bangsa. Saya akan menghujah alasan-alasannya dlm blog ini 2 hari lagi. InsyaAllah.