Monday, 6 October 2008

IGAUAN-IGAUAN SOSIAL

Salam Syawal yang seikhlasnya kepada semua pengunjung blog saya dan sahabat-sahabat semoga kita semua lebih segar hati dan rohani dan cerah fikiran dan idea setelah menempuh sebulan pengalaman yang rohaniah dan kembali kepada fitrah.

Ketaqwaan kita tidak akan lengkap dan sempurna kalau kita mengabaikan isu-isu sosial yang menjejaskan perhubungan dan kehidupan yang berakhlak, adil, bebas, selamat, bersih dan beradab. Setiap ciri hidup ini saling berkaitan dan yang satu diperlukan bagi yang lainnya. Bagaimana kita boleh selamat, bebas, dan bersih kalau orang tidak berakhlak, tidak adil dan tidak beradab. Demikian juga bagaimana orang boleh hidup berakhlak, adil dan beradab kalau tidak bebas, tidak bersih dan tidak selamat. Jadi klehidupan beragama itu tidak sekadar
akidah dan ibadat kita kepada Tuhan, tetapi menyeluruh mencakupi suruhan-suruhan Tuhan tentang perilaku kita terhadap jiran tetangga, masyarakat, dan negara agar, kezaliman, kejahatan, penyelewengan, tipu helah, pelanggaran akhlak, dan pemusnahan budaya dan alam dicegah demi kesejahteraan rohani dan jasmani manusia . Kita manusia beragama dan bertuhan , dan harus hidup dalam hukum hakam yang betul.

Inilah tugas dan tanggungjawab sosial penulis, seniman, bloggers, pemikir, seniman dan budayawan, iaitu menjadi mata kepala dan lidah yang segar untuk kehidupan seni, budaya dan sosial di sekitarnya. Tuhan merestui anda. Tanam keberanian itu. Tuhan menyelamatkan anda. Jangan takut kepada manusia. Tuhan lebih besar dan Dia Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat. Itulah semangat Ramadhan dan Syawal. Jujur, yakin, dan berani; tawakal, ikhtiar dan pasrah.

@@@

Hujung Ramadhan dan pangkal Syawal ini bertimbun isu politik, sosial dan budaya yang mengapung ke permukaan; ada yang tenggelam timbul, ada yang hanyut seperti sampah sarap, dan ada yang bercokol setiap hari di depan mata. Apa pun jangan lepaskan semuanya tanpa dipedulikan. Terlalu banyak yang rusak dan menjahanamkan kehidupan budaya dan sosial bangsa kita telah berlaku kerana segelintir masyarakat yang berfikir dan berupaya mengucapkan fikirannya telah diperbudakkan oleh pemimpin politik pada masa-masa yang lalu. Agamawan pun ramai yang dicucuk hidungnya seperti ternakan. Ilmuwan pun ramai yang menjadi mesin bebal. Tokoh budayawan dan seniman pun ada yang menjadi kera kongkang. Ramai yang lumpuh atau dilumpuhkan . Sungguh malang bangsa kita.

BN sedang terperangkap dengan kemelut dalamannya. PKR nampak saja kompak solidaritasnya dari luar. Dalam mana-mana parti politik pun mesti ada perebutan kuasa kerana dalam politik keutamaan ialah mempunyai kekuasaan ( ekonomi, pentadbiran, dan pengaruh). Tempiasnya kepada rakyat yang majoritinya tak faham apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tajuk-tajuk besar berita di TV dan akhbar harian yang didalangi oleh manipulator pelbagai pihak. Nasib baik ada blog-blog yang bebas, walaupun pengaruhnya taklah hebat sangat bagi membentuk pandangan awam dan persepsi rakyat terbanyak.

@@@

Satu isu yang saya hendak beri pandangan kali ini ialah ura-ura hendak mengadakan akta
tentang perpaduan atau perhubungan ras. Entah pemimpin politik mana yang mula-mula menonjolkan perkara ini ( GERAKAN atau DAP atau MCA?) kerana seorang Ketua UMNO mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman , iaitu tentang sejarah kedatangan orang Cina, maka dicadangkanlah supaya diadakan akta perhubungan ras bagi mengekang perbuatan yang seumpamanya pada masa depan.

Apakah kita hendak jadikan negara ini berserabut dengan macam-macam akta sehingga menjadikan masyarakat Malaysia ini lemas dengan sangat banyak akta? Apakah tidak ada pendekatan yang lebih cerdik otak dan bijak fikiran untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan? Apakah tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh menindak pesalah laku atau pelanggar yang menjejaskan ketenteraman penduduik berbilang kaum? Apakah wakil rakyat, Ahli Parlimen, dan Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri itu dipilih untuk menggubal undang-undang sahaja kerjanya? Kenapa juga tidak fikirkan juga tentang memansuhkan akta-akta yang ada yang susah hendak dikuatkuasakan? Semakin banyak akta yang memberi kekuasaan kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang semakin banyak peluang untuk melakukan rasuah .

Sudah tiba zamannya bagi setiap pemimpin berfikir dalam-dalam sebelum bercakap tentang urusan rakyat; dan mengkaji dengan teliti pelbagai makna dan implikasi tindakannya bukan sahaja sewaktu mereka berkuasa , tetapi juga kesannya berpuluh tahun akan datang . Kita memerlukan ahli politik yang memiliki tanggungjawab moral yang tinggi, dan berfikir secara halus serta teliti pada zaman ini . Tuan-tuan sekalian harus menunjukkan kredibiliti yang besar. Politik praktis dan pragmatik sahaja akan bengkok dibawah paluan mata fikir rakyat. Pembangunan politik negara yang patriotik dan nasionalistik harus juga dilandasi nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan idealisme besar yang berpandangan jauh ke depan.

Saya akan mengulas lagi tentang perihal akta perhubungan ras di atas pada paparan atau posting akan datang. Ini isu yang mesti kita sama-sama bahas supaya bangsa kita yang berbilang kaum ini berpeluang untuk menyertai perbahasan penting yang menyangkut keharmonian bersama sekalian rakyat dan generasi akan datang.

5 comments:

Hartini Omar said...

pendapat yg tulus lagi bernas, dato'. tahniah.

mewujudkan pelbagai akta bukanlah satu jawapan mutlak pada permasalahan di dalam negara kita. lebih2 lagi bila menyentuh isu perkauman

'unity in diversity' itu satu slogan yg harus dipupuk dari hati, dibajai dengan sifat dan rasa kasih sayang yg murni. bukan dengan akta yg memaksa mahupun undang2 yg menentang

namun kini, kita lebih suka menggubal undang yg 'memerintah' rakyat berbuat itu ini, bukan dengan 'mendidik' mereka supaya menjadi begitu dan begini

saya menanti ulasan dato' yg seterusnya dalam isu ini. dan semoga hendaknya ilmu2 itu membantu kita mengoptimumkan kredibiliti minda

'berfikir sebelum menulis' - itu slogan saya

terima kasih, dato'

sham al-Johori said...

Salam lebaran kpd Dato' yang dihormati,
Sesungguhnya terlalu banyak yang disajikan oleh juak politikus tanah air setelah kita menikmati makna ramadhan dan syawal. Sesekali saya merenung nasib rakyat yang terpaksa menghabiskan masa berbelas-belas jam di atas jalan raya semata-mata untuk merasai kesyahduan syawal. Sesekali juga, saya merenung nasib bangsa Melayu yang telah diinggeriskan hingga pulang ke kampung tanpa baju kurung, baju melayu mahukan merasai juadah asli Melayu. Entahlah, mungkin ini sudah menjadi ketentuan yang dicatur atau diacukan oleh politikus itu. Nah, dan paling pelik ialah di kampung saya, rakyat dari parti lain tidak dibenarkan hadir ke rumah terbuka orang UMNO dengan alasan takut melompat parti (juga melakukan proses jual-beli maruah). Tiba-tiba juga tersebar berita untuk menubuhkan akta perpaduan? Aneh, ajaib dan gila sungguh mereka ini. Mereka nak bercakap soal perpaduan tetapi mereka sendiri tidak faham konsep perpaduan.
Saya pulang ke kampung tradisi dengan satu renungan panjang sambil menarik nafas keresahan yang kian menggila.
Saya sedih apabila merasai kehilangan demi kehilangan tradisi syawal di kampung saya akibat pemikiran politikus yang tamak, rakus dan GILA.

Saya teringatkan sajak Sitor Sitomorang;

Malam lebaran
Bulan di atas kuburan.

Faizal Zakaria's Blog said...

INFO TERKINI:

FAIZAL ZAKARIA TANDING KETUA PEMUDA UMNO - MUKTAMAD

RUJUK >> http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com

Danielle_Corleone said...

Salam Syawal Pak Baha. Peraturan ada tetapi hanya tinggal nama.

bahazain said...

Sdr Hartini,
Peranan pendidikan yg formal dan yg tidak formal , di sekolah dan di luar sekolah, sangat penting bagi membina akal budi dan kestiakawanan rakyat berbilang kaum dan agama.Memang tak ada akta dan undang-undang yg boleh menjadi acuan bagi menyemarakkan hati dan perasaan yg ikhlas terhadap orang lain. Pemimpin kita selalu kehilangan arah apabila tiba pd soal yg bukan politik , teknologi
dan ekonomi.Justeru itu harus selalu diingatkan.

Sdr Sham,
Memang banyak sekali kontradiksi dlm kehidupan bangsa yg selalu sibuk berebut kekuasaan (politik dan ekonomi). Kontradiksi adalah ladang subur konflik dan perbalahan.Apabila asas-asas budaya dan kebudayaan itu sendiri diremehkan, maka tak mungkin manusia boleh hidup dengan sikap perdamaian yg jelas.Bukankah kebudayaan itu ditegakkan atas nilai-nilai yg dihormati bersama oleh pengamalnya. Inilah kekeliruan besar yg mengaburi mata ramai pemimpin di atas.

Sdr danielle,
Peraturan yg tidak dihormati dan tidak diamalkan sama saja seperti tidak ada peraturan. Bukankah lebih mudah menggubal peraturan daripada melaksanakannya?