Friday, 31 October 2008

KEPELBAGAIAN BUDAYA DAN POTENSI KEKUATAN

Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, saya berasa terpanggil meneruskan pembicaraan selepas terdiam hampir dua minggu. Saya tak mahu menyebut istilah "perpaduan" yang saya anggap sudah menjadi basi, retorik politik yang klise, dan impian muluk semata-mata. Saya lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk. Ingat kita tidak hanya berbicara tentang Melayu, Cina, India sahaja sehingga kita terlupa ada ratusan ribu peribumi Iban, Dayak, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain lagi di Sarawak dan Sabah yang masing-masing mempunyai tradisi, budaya dan malah agamanya yang berbeza dengan Melayu, Banjar, Arab, Jawa, Minangkabau, Mandahiling, Kampar, Aceh, Patani dan sebagainya .

Dalam masyarakat keturunan Cina itu juga ada suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis,etc, dan dalam masyarakat India ada pula Tamil, Jaffna, dan jangan lupa ramai keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. pendek kata Malaysia ini merumahkan aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri( ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan animisme ).

Kita telah hidup sebelah menyebelah , berjauhan atau bersentuhan, dan pada umunya dalam aman dan harmoni baik di daerah-derah kediaman, mahupun dalam institusi-institusi awam dan swasta (sekolah, pejabat, syarikat, dan persatuan ). Kedamaian dan keharmonian ini yang harus dikekalkan, dan dari waktu ke waktu dimantap dan dieratkan. Ini yang realistik , praktikal dan boleh dicapai.
*****
Kepelbagaian yang kaya raya ini sebenarnya mengandungi potensi hebat bagi memperkaya kreativiti, ciptaan, ilmu dan teknologi, penghasilan ekonomi dan kebudayaan negara andainya
tenaga-tenaga kreatif insan di dalam sekalian kaum itu dapat bersinergi dan digembeleng secara
inovatif. Sebenarnya pada hari ini pun kerjasama dan perhubungan antara kaum itu sudah berlangsung demikian banyaknya dalam kehidupan ekonomi dan sosial yang memakmurkan negara ini. Tetapi apabila ada cakap-cakap politik daripada pemimpin yang hendak menunjukkan dia juara kaumnya bagi kepentingan kekuasan politik diri serta suku sakatnya maka terasalah jurang negatif antara kaum itu sedang membebankan perasaan bangsa kita.
Apabila perasaan perkauman dan syak wasangka ini diulang-ulang dan diperbesarkan, janganlah terkejut kalau berlaku lagi pergaduhan sengit dan pembunuhan sesama penduduk. Awaslah! Pemimpin-pemimpin politik dan persatuan yang bermulut besar dan celupar bertanggungjawab: selalu mengungkit dan malah seperti mencabar peruntukan-peruntukan Perlembagaan negara yang selama ini menjadi payung pelindung bagi pelbagai kumpulan rakyat .

Walau apapun masalah yang berbangkit adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang secara berkesan, dalam jangka segera dan panjang, membina sikap membina yang kukuh untuk setiap kaum berusaha hidup aman dengan orang lain. Tidaklah memadai dengan membuat seruan-seruan sahaja. Ini adalah tugas kebudayaan yang rumit, memerlukan penyelidikan sosial-budaya yang saintifik, dan usaha pembangunan yang berpanjangan dalam rangka pembangunan modal insan dan kehidupan bernegara. Ia mengaitkan semua kementerian, tetapi Kementerian yang bertanggungjawab langsung tentang kebudayaan dan perpaduan harus membangunkan satu institut khas bagi tujuan nasional ini.
Institut ini perlu menjalankan penyelidikan ilmiah yang berorientasikan keperluan membina kerjasama dan perhubungan bangsa, dan mencadangkan dasar-dasar dan program tindakan bagi kementerian-kementerian lain .

*****
Pada hari ini sangat banyak kejahilan yang wujud di kalangan pemimpin dan rakyat. Masyrakat Melayu tidak benar-benar memahami struktur sosial dan nilai-nilai masyarakat Cina, India dan pribumi lain, dan demikian juga sebaliknya. Tidak semua orang Cina itu sama . Tentulah orang Cina yang berpendidikan Inggeris berbeza sikapnya dengan mereka yang berpendidikan sekolah Cina dari awal hingga akhir persekolahannya. Orang Cina yang bekerja dengan kerajaan, dalam tentera misalnya, tentu berlainan sikap, stail kehidupan, cita rasa dan impiannya dengan towkay kaya di pasar borong. Demikian juga dalam masyarakat Melayu , wanita Melayu yang bertudung menutup aurat lebih patuh kepada peraturan akhlak Islam, tetapi dia bukanlah misti pembenci penduduk yang beragama Hindu, malahan mungkin lebih toleran daripada wanita Islam yang tak memakai tudung. Bukan sahaja kejahilan, malahan prasangka juga menjadikan banyak syak wasangka yang selalu dieksploit oleh pihak-pihak tertentu.

Sesuatu kaum patut mengetahui sensitiviti, pantang larang, dan kepercayaan kaum yang lain supaya berhati-hati dan tidak menyinggung perasaan orang. Masyarakat bukan Islam wajib mengetahui apa-apa yang dikatakan haram dan halal bagi umat Islam. Bukan sahaja babi dan arak itu haram, makanan lain pun menjadi tidak halal kalau proses penyediaannya tidak bersih , seperti misalnya kilang membuat bihun bersebelahan kandang babi. Orang Islam juga patut faham bahawa orang India penganut Hindu dilarang memakan daging lembu. Hal-hal yang seperti ini patut menjadi sebahagian daripada pendidikan sosial dan budaya bangsa kita, iaitu kefahaman dan pengertian tentang nilai-nilai dan norma yang diamalkan oleh pelbagai kaum dan budaya. Pihak mana dan bagaimanakah ia patut dilaksanakan? Ini memerlukan usaha yang serius, bukan lip service, dan retorik . Ia memerlukan pemikiran yang besar, strategi yang boleh dicapai, dan dana yang bukan sedikit.

Kita harus dapat menikmati dan memanfaatkan bersama kecemerlangan pencapaian daripada setiap kaum dan budaya sebagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India sama-sama berasa bangga dan megah melihat Nicol David, Chong Wei, dan Sheikh Muzaffar mencetak nama masing-masing untuk negaranya di luar sempadan, lautan, dan angkasa . Perlu diingat pencapaian peribadi itu tidak mungkin tanpa sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada kemudahan kebangsaan, dan bangsa kita tak mungkin berbangga tanpa komitmen tinggi daripada peribadi individu yang berkenaan. Kerjasama, persefahaman dan komitmen seperti inil;ah yang harus kita wujudkan antara kaum setiap waktu.



Jadi marilah kita berfikiran positif dan berusaha membina perasaan hormat pada sejarah masing-masing, membina impian perdamaian dalam kepelbagaian . Engkau dengan agama engkau; aku dengan agama aku, dan aku tidak menyembah apa yang engkau sembah; aku akan memelihara kesucian agama aku, dan berlaku adil terhadap orang lain. Semua kita boleh
menuju ke kemuncak impian kita dalam kedaulatan perlembagaan negara yang ada. Sangat luas serta lapang ruang yang berada di sekitar ; dan jangan disempitkan dengan tindakan yang tergesa-gesa dan tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab dalam erti kata: kita tahu apa kesan, akibat atau konsekwensi daripada perbuatan kita.

3 comments:

sham al-Johori said...

salam Dato' Baha,
Saya faham apa yang sedang membelenggu jiwa dan sanubari dato'. Semalam petang ketika saya dan rakan-rakan menjadi tetamu tidak diundang ke rumah dato' banyak perkiraan yang berjungkir balik dan masih belum terungkai. Sebelum inipun saya sudah menulis dalam blog saya tentang hal yang sama. Saya amat bersetuju bahawa konsep 'perpaduan' adalah konsep vertiual yang kabur. Kerana mengejar impian 'perpaduan' itulah makanya hari ini banyak pihak khususnya pemimpin kita yang 'bangang' itu terpaksa mempertikaikan kontrak sosial, agama, dan kebudayaan bangsa peribumi. Sejak balik dari Shanghai, saya tertanya sendiri, di manakah saya boleh melihat satu muzium tamadun Melayu yang hebat? Jika di China, saya boleh melihat kehenatan tamadun bangsa itu di muzium yang membuktikan sejarah 6000 tahun yang lalu. Artifak dan teknobudayanya secara jujur membuka mata kita. Dulu, DBP punya impina seperti ini untuk membina muzium tamadun Melayu tetapi impian itu dimusnahkan oleh pemimpin sendiri yang terlalu taksub dengan budaya dan tamadun barat.

Keresahan dato' adalah juga keresahan saya. Kedukaan dato' adalah juga kedukaan saya. Suara kita masih belum cukup kuat untuk merobohkan logos dan etos pemimpin kita yang jumud dan tidak sedar diri.

Perkiraan tentang bahasa Melayu dan bahasa Malaysia pun tidak mampu dirungkai dengan bitara; apatah lagi ingin bercakap soal kontrak sosial yang kian membarah dalam perjalanan sebauh negara bangsa.

Moga kita diberikan kekuatan yang berterusan untuk mengubah keadaan ini.

Salam rindu.

sham al-Johori said...

salam Dato' Baha,
Saya faham apa yang sedang membelenggu jiwa dan sanubari dato'. Semalam petang ketika saya dan rakan-rakan menjadi tetamu tidak diundang ke rumah dato' banyak perkiraan yang berjungkir balik dan masih belum terungkai. Sebelum inipun saya sudah menulis dalam blog saya tentang hal yang sama. Saya amat bersetuju bahawa konsep 'perpaduan' adalah konsep vertiual yang kabur. Kerana mengejar impian 'perpaduan' itulah makanya hari ini banyak pihak khususnya pemimpin kita yang 'bangang' itu terpaksa mempertikaikan kontrak sosial, agama, dan kebudayaan bangsa peribumi. Sejak balik dari Shanghai, saya tertanya sendiri, di manakah saya boleh melihat satu muzium tamadun Melayu yang hebat? Jika di China, saya boleh melihat kehenatan tamadun bangsa itu di muzium yang membuktikan sejarah 6000 tahun yang lalu. Artifak dan teknobudayanya secara jujur membuka mata kita. Dulu, DBP punya impina seperti ini untuk membina muzium tamadun Melayu tetapi impian itu dimusnahkan oleh pemimpin sendiri yang terlalu taksub dengan budaya dan tamadun barat.

Keresahan dato' adalah juga keresahan saya. Kedukaan dato' adalah juga kedukaan saya. Suara kita masih belum cukup kuat untuk merobohkan logos dan etos pemimpin kita yang jumud dan tidak sedar diri.

Perkiraan tentang bahasa Melayu dan bahasa Malaysia pun tidak mampu dirungkai dengan bitara; apatah lagi ingin bercakap soal kontrak sosial yang kian membarah dalam perjalanan sebauh negara bangsa.

Moga kita diberikan kekuatan yang berterusan untuk mengubah keadaan ini.

Salam rindu.

bahazain said...

ASM Sdr Sham
Pertemuan kita itu singkat sekali kerana banyak isu yg saya ingin bincangkan sesama kita.Bukan saja bincang, tetapi boleh bertindak bersama. Lain kalilah. Saya gembira kembara sdr sekalian mempertajam perasaan serta fikiran tentang masalah budaya kita. Saya pernah melawat muzium di Taipei , Taiwan, yg memamerkan ribuan artifak yg dibawa lari dari tanah besar oleh Chang Kai shek. Tak hairanlah kita diseru belajar sampai ke negeri Cina. Tentang masalah kita, saya memikirkan Malaysia yg dlm perlembagaannya meletakkan Islam sbg agama rasmi, patut mewujudkan Muzium Islan terbesar di ASEAN, mengingat Indon/Brunei/Malaysia didiami umat Islam terbesar di luar negara2 Arab. Melaka pantas menjadi tapaknya. Mari kita gerakkan gagasan ini. Siapa tahu ada pemimpin akan terbuka hatinya dan berani memperjuangkannya. Mari kita perkembangkan idea ini. Angkatan sezaman sdr mesti menjadi artikulator bagi kepentingan Melayu-Islam di negara ini.Kita tidak mengurangi kepentingan kaum lain .Hanya apa yang hak untuk kita , kaum lain jangan permasalahkan.