Thursday, 23 April 2009

GLOBALISASI & LIBERALISASI

Sekembalinya saya ke KL saya bergegas ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada 19 April.
Saya tidak menyangka demikian ramai pelawat sehingga susah untuk bergerak pada sesetengah kawasan. Nampaknya buku dalam bahasa Melayu , tertutama buku agama memperlihatkan perkembangan yang cukup memikat.

Suatu persidangan bertemakan PENGANTARABANGSAAN PENERBITAN ILMIAH MALAYSIA juga diadakan pada 18-19 April, dan pada tanggal 21 buku Keberanian Menggapai Harapan, karya Barack Obama, terjemahan Institut Terjemahan Nasional Malaysia, dilancarkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin. Banyak tanda-tanda perkembangan baru yang sangat positif
dapat diperhatikan pada pesta buku kali ini. Jumlah buku, pengunjung dan gerai serta pembaharuan acara menjanjikan kemajuan literasi dan penerbitan berbahasa Melayu pada waktu mendatang. Mana -mana bangsa yang tidak mengalami kemajuan bahan-bahan bacaan dalam bahasanya sendiri tidaklah dapat dikatakan sebagai bangsa yang maju intelek dan peradabannya. Inilah cabaran serta perjuangan yang menunggu kita setiap hari dan waktu.

Saya diberitahu bahawa pada ucapan Peter Ripken ( pemidato khas yang diundang dari Jerman)
pada hari pertama persidangan penerbitan buku ilmiah di atas, beliau membacakan puisi saya pada pembukaan ucapannya. Puisi tersebut menyuarakan masalah globalisasi dan terbit
dalam kumpulan Postponing Truth and Other Poems (Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain) terbitan DBP. Puisi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris (terjemahan Prof Muhammad Hj Salleh) diterbitkan sekali dlm kumpulan ini.

Ada teman yg menelepon bertanyakan di mana dapat dibaca puisi tentang globalisasi tersebut. Buku ini sebenarnya sedang terjual di DBP atau di gerai DBP di pesta buku sekarang.
Kalau hanya hendakkan sebuah puisi itu saja ; dan kebetulan sehari dua ini heboh tentang liberalisasi sektor perkhidmatan dalam ekonomi negara, maka saya perturunkan di sini
puisi itu dalam BM dan terjemahan Inggerisnya:



Globalisasi dan Liberalisasi

Apakah bezanya teh tarik dengan globalisasi?
Yang satu dibancuh di warung-warung lorong,
Yang lain itu dibancuh di White House, Washington D.C.

Atas nama globalisasi pemimpin berkomplot sesama sendiri,
Atas nama liberalisasi mereka ganyang bahasa sendiri.

Apakah bezanya teh tarik dengan jati diri?
Sama saja -- ditelan dan dikencing oleh liberalisasi.
***

Globalisation and Liberalisation

What's the difference between teh tarik and globalisation?
One is churned in the stall,
The other concocted in the White House in Washington D.C.

In the name of globalisation , leaders meet each other,
In the name of liberalisation, they annihilate their own languages.

What's the difference between teh tarik and identity?
No difference-- both swallowed by and pissed on by liberalisation,

Baha Zain

6 comments:

anakmelayu said...

Assalamualaikum...
Ayahanda Baha Zain, minta pendapat mengenai puisi ini. Saya cuba-cuba membuat sajak, tetapi merasakan sajak saya tidak seperti sajak.

"Suara Bahasa"

Keroyok semua ke satu matlamat
Apa yang ada?
Menarik ribuan manusia
Jalan-jalan jadi sesak
Aku ditengah-tengah mereka!

Satu jam sebelumnya
Sogo seperti biasa
Punya pelanggan dan peniaga
Juga penghuni kaki lima

kemudian tiba gergasi biru
Berperisai menggerunkan
Membuncah hatiku
Bimbang jadi sasaran
Orang sebelah ikut gundah

Entah dari mana
Laungan takbir bergema
Allahuakhbar! Allahuakhbar!
Pelik tapi benar
Pelanggan Sogo jadi pejuang
Sama sama bergerak
Sama-sama sepakat
Ke satu matlamat
Masjid Negara kita berjumpa!

Awalnya aku hanya semut
Kini aku raksasa
Berani mengaplus ketakutan
Pengecut menjadi pahlawan!

Semua gara-gara bahasa
Penentu hidup mahawangsa
Tua, muda, miskin, kaya
Satu suara,seirama, senada
Parasit budaya perlu diseka

Aku? Aku bangga
Aku juga pencipta sejarah bangsa!

yus_anakmelayu (15 April 2009)
Mengimbau kenangan manis 7 Mac 2009
disembur pemedih mata =)

Si Prindu said...

Assalamualaikum ayahanda Baha Zain,

Apakah pandangan ayahanda tentang tahap tingkatan kerja-kerja penterjemahan karya-karya ilmiah dari luar ke dalam bahasa Melayu, adakah kerja-kerja penterjemahan ini telah sampai ke satu peringkat yang sangat baik atau ianya perlu dipertingkatkan lagi supaya perjuangan memertabatkan intelektualiti bangsa dapat dicapai oleh bangsa melayu?

perlukah dan relevenkah sekiranya institusi2 intelektual atau badan2 akademik di Malaysia ini untuk bersifat lebih terbuka di dalam konteks capaian masyarakat awam pada khazanah intelektual mereka supaya proses meng"intelektual"kan masyarakat, bangsa Melayu khususnya dapat tercapai?

sekian

D'Rimba said...

Izinkan saya juga memanggil saudara sebagai Ayahanda juga jauh lebih mesra...Betul apa yang dikata, sama saja itu semua selagi kita tidak kembali sepenuhnya kepada acuan tersendiri berteraskan Islam sejati selagi itulah kita samar sana sini helah sana sini.

Marniyati said...

Assalamualaikum Dato',

Saya mohon kebenaran menyalin puisi ini ke blog saya. Terima kasih.

bahazain said...

ASM
SDR ANAKMELAYU,
SAYA PERCAYA SDR TURUT ADA DLM "PROTES 7 MAC". PUISI INI LUAHAN SPONTAN PERASAAN GERAM SDR. PADAT DAN JELAS MAKSUDNYA. PUISI ITU ADA BERBAGA-BAGAI JENISNYA: PUISI BISIK, PUISI SEPI, DAN PUISI JERIT . APA YG PENTING SDR MENGUASAI BAHASA PENGUCAPAN DAN PERBENDAHARAAN KATA-KATANYA DAN DENGAN ITU SECARA JUJUR LUAHKANLAH PERASAAN SDR DLM BENTUK BEBAS SPT YG ADA. JANGAN KHUATIR.

SDR SI PERINDU
SANGATLAH BANYAK LAGI YG HARUS DITERJEMAHKAN KE DALAM BAHASA KITA BAGI MENYEBAR LUASKAN ILMU DAN MEMBINA INTELEK RAKYAT ( BUKAN KELAS ATASAN DI BANDAR SAHAJA).DEMIKIAN JUGA PUSAT PENGAJIAN TINGGI HARUS MEMPUNYAI MATLAMAT JUGA BAGI MEMIKIRKAN PEMBINAAN ATAU PENYEBARAN ILMU DI TENGAH-TENGAH MASYARAKAT BUKAN UNTUK PARA MAHASISWA DAN PROFESOR SAHAJA. INGATLAH TUJUAN BESAR SEGALA ILMU ADALAH PEMBANGUNAN FIKIRAN SERTA AKHLAK RAKYAT DAN MANUSIA SEJAGAT. JUSTERU ITU TIDAK AKAN PERNAH CUKUP DAN SELESAI USAHA PEMBINAAN INTELEK BANGSA.

SDR D'RIMBA
LIBERALISASI ITU HANYA SEBUAH KATA SAHAJA DAN MAKNANYA TAK MESTI SAMA DI MALAYSIA, AMERIKA, RUSIA DAN JEPUN. SAYA BELUM PASTI APAKAH RANCANGAN-RANCANGHAN LIBERALISASI KITA AKAN BELAKU DALAM ACUAN KEPENTINGAN BANGSA KITA. SERBAGAI CONTOH KITA TAK BOLEH BERSIKAP LIBERAL TERHADAP AGAMA SEHINGGA MENGIZINKAN APA SAJA SIKAP SERTA TINDAKAN RAKYAT TERHADAP ISLAM ATAU AGMA-AGAMA LAIN.LIHAT APA YG TEJADI KEPADA BAHASA MELAYU KERANA BERSIKAP LIBERAL KITA KETEPIKANNYA BAGI DIKUASAI OLEH BAHASA INGGERIS. BUKAN MENGUASAI BAHASA INGGERIS. LIHAT JUGA KEDAI JUDI, KEDAI ARAK, KELAB MALAM ADALAH CONBTOH2 LIBERAL YG TELAH BERLAKU LAMA.

SDR MARNIYATI,
SILAKAN, DAN TERIMA KASIH.

D'Rimba said...

Terima kasih ayahanda....Amat jelas contoh yang diberi. Sekarang ini liberalisasi makin berleluasa hingga merebak ke sistem kewangan dan perbankan Islam itu sendiri.........Seolah-olah Islampun ingin diliberalisasikan. MasyaAllah selamatkan kami........Dua lesen perbankan Islam akan dibuka kepada bank luar bertaraf antarabangsa yang sudah semestinya bukan Muslim tuan empunya. Sejauh manakah pengamatan dan jaminan mereka terhadap Islam...Penasihat penyelidikan IKIM menekankan pentingnya kita memilih produk halal Islam yang dihasilkan oleh Muslim sendiri..Terlalu ramai yang mengambil kesempatan menggunakan Islam pada dasar syariahnya dalam sesuatu produk perbankan khususnya tapi perlaksanaan tetap konvensional...........Tolonglah kami anak bangsa ayahanda.........