Peribahasa Inggeris menyebut ( new broom sweeps clean ). Memanglah penyapu baru masih
kuat, mantap dan belum ada yang serpih, patah, atau longgar ikatannya. Jadi kalau menggunakannya untuk membuat kerja menyapu habuk, membuang sawang, atau membersihkan rumah memang penyapu baru cukup berkesan. Biasanya orang menggunakan peribahasa ini untuk mengatakan keraguan, sinisme, memerli atau menyindir pekerja atau pegawai atasan yang baru dilantik. Jadi tak usahlah kita berkata begitu kepada PM, TPM, dan pasukan Menteri Kabinet yang baru dinamakan pada hari ini.
Kita ucapkan tahniah dan berdoa mudah-mudahan kumpulan pemimpin baru kerajaan ini akan gigih berkhidmat kepada rakyat semua ( bukan untuk BN sahaja), dan lebih penting lagi mereka betul-betul berhati bersih, bermoral bersih dan bertindak bersih sepanjang menduduki kursi Menteri dan Timbalan Menteri. Cukuplah apa yang terjadi pada masa-masa lalu kerana rakyat tidak buta hati perut untuk memerhati apa yang dikatakan oleh Lord Acton: Power corrupts; absolute power corrupts absolutely.
Bukit Selambau dan Bukit Gantang telah bercerita serba sedikit atau secupak dua bahawa rakyat pengundi tidak mudah lagi ditarik hidungnya seperti lembu ternakan. Mereka tidak mudah pula dikategorikan dalam warna itu dan warni ini sebagaimana begitu mudah dianalisis oleh penganalisis politik di TV. Kalau dahulu sangatlah sukar bagi pembangkang untuk menang pilihan raya kecil bila berhadapan dengan jentera-jentera besar parti yang berkuasa, tetapi hari ini ceritanya sedikit lain. Jadi bukan lagi soal duit, kedudukan rasmi, dan berapa banyak bendera yang menjadi penentu. Ada isu-isu moral, idealisme, dan nilai-nilai baru yang sedang berkembang turut memainkan peranan memepengaruhi keputusan rakyat. Kita serahkanlah kepada orang politik untuk menyelesaikan perjuangan parti masing-masing.
Seperti yang pernah saya sebut dalam paparan blog beberapa waktu yang lalu, setiap PM dan Menteri akan keluar dengan jenama baru bagi kepemimpinan masing-masing. Dulu ada "Bersih, Cekap dan Amanah":, dan kemudian ada "Islam Hadhari"; kedua-duanya kata orang kalau tak pupus pun , tinggal nama sajalah. Gajah meninggalkan tulang, harimau meninggalkan belang, pemimpin agaknya meninggalkan slogan.
YAB Dato Najib , sebagai PM baru, baru saja melaungkan "Satu Malaysia" atau "One Malaysia". Ungkapan ini tidak berbelit-belit lidah menyebutnya, ringkas dan padat, tetapi apa maknanya.Apa matlamatnya ? Bagaimana hendak mencapainya? Kita tunggulah, dan kalau baik rakyat mesti sokong. Bercakap tentang rakyat kita menjadi kabur kerana yang dikatakan rakyat itu ialah penduduk Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina, India, Sikh, Jafna, Eurasian dan lain-lain lagi. Ada yang Islam, animisme, Kristian, Hindu dan fahaman-fahaman lain Budha, Bahai etc.
Kalau untuk menyatukan rakyat berasaskan penyelesaian ekonomi, perumahan, makanan dan pakaian, kerajaan tentu tidak berhadapan banyak masalah. Tetapi apabila berkait dengan soal agama, kebudayaan, bahasa, dan warisan, maka di sinilah kerumitan besar akan timbul seperti apa yang telah berlaku dengan usaha kerajaan untuk memaksakan bahasa Inggeris dengan menyingkirkan kedudukan bahasa Melayu dalam PPSMI.Mampukah YB Mahyuddin Yassin, Menteri Pelajaran baru mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu ke tempatnya yang sah?
Walaupun konsep dan tatacara " Satu Malaysia' itu belum difahami oleh ramai, tetapi apabila ia bertujuan besar untuk mewujudkan keharmonian dan kestabilan masyarakat pelbagai kaum, gagasan ini patut disokong dengan syarat jangan sampai menjejaskan semangat besar Perlembagaan Persekutuan dalam perkara yang berkaitan Bahasa Melayu, agama Islam, Hak keistemewaan Orang Melayu, dan kedudukan Raja-raja Melayu. Perkara-perkara ini adalah tiang seri atau asas bagi Perlembagaan negara ini. Semua perkara in bukanlah meletakkan rakyat keturunan bukan Melayu dalam keadaan kelas kedua, malah kestabilam penduduk Melayu Islam yang majoriti dan kaitannya dengan sejarah, akan menjamin kehidupan penduduk lain , terutama berdasarkan tasawur Islam yang menjanjikan keadilan bagi semua orang. Satu Malaysia tersebut, justeru harus dibangunkan berlandaskan prinsip-prinsip Islam sebagaimana masyarakat Madinah dibentuk oleh Muhammad SAW dengan Piagam Madinah, perlembagaan yang pertama ditulis dalam sejarah dunia.Tidaklah dimaksudkan kita harus kembali kepada piagam itu, tetapi harus menimba insprirasi dan pengajaran daripadanya untuk menyelesaikan kehidupan zaman.
7 comments:
subhanallah...
satu entri yang ringkas tetapi lengkap isinya...
Dato Baha,
Lama rasanya Dato' menyepikan diri. Tak mengapalah, ada hikmah di balik kesepian yang diam. Membisu tidak bermakna tewas.
Begitulah sebuah episod baharu tentang siasah tanah air. Yang tidak berkerusi akan menjadi Burung Kakak Tua. Yang tidak terpilih akan mendendangkan lagu 'Bangau Oh Bangau', dan yang terwas akan menjadi gunting di dalam lipatan.
Itu semua sejarah yang akan berulang. Apa yang paling merisaukan kita ialah sang ular yang terus menyusup akar dan menyimpan/ mengumpul bisa.
Saya sentiasa berfikir, kenapakah burung kakak tua, bangau dan ular tidak pernah bersatu hati? Atau adakah kita sedang dipertontonkan dengan cerita binatang di sebuah zoo negara? Jika itu yang sedang berlaku, malang sekali hidup kita kerana kita bukan sahaja sedang 'Berguru dengan Binatang' tetapi kita juga sedang 'Berpemimpinkan Binatang.'
Bayangkan, apakah yang bakal terjadi jika manusia sedang ditadbir urus oleh bintang?
Setelah penat berlari memanjat bukit, sang binatang akan meniti batang sungai berair deras. Setelah itu mabuk di darat dan mabuk di laut. Seterusnya akan makan sahaja apa-apa yang membujur lalu melintang patah; termasuklah yang halal mahupun yang haram.
Sehina-hina babi pun mereka tetap berbahasa babi tidak berbahasa lembu atau teringin berbahasa angsa bertelur emas.
Salam.
Cikgu perasan tak sebuah kementerian yang dianggap penting memangkin ekonomi bumiputera telah lenyap begitu saja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi..........Dulu kini dan selamanya terus kehilangan tanpa disedari.........tergadai negeri, hilangnya jawi, tergadai maruah bahasa sendiri dan amat payah menegecapi ekonomi sehingga kini....
Salam Dato.
Dalam beberapa kes, saya lihat, cara ini mempunyai kesan negatifnya. Setiap pemimpin mempunyai agendanya yang tersendiri. Apabila Tun naik, dia membawa dasar Pandang ke Asia. Bila Pak Lah naik, Islam hadhari. Bila D.S Najib naik, Satu Malaysia.
Oleh itu, rakyat yang marhaen seperti saya, hanya melihat itu semua slogan yang bersifat 'menanam tebu di mulut' dan bersifat sementara. Apabila masuk bab memanifestasikannya, kita lihat, jauh panggang dari api.
Sebab itu, saya rasa, peribahasa datuk, tentang 'Pemimpin mati meninggalkan slogan' ada ketepatanya, biarpun berbaur sinikal. Saya, rasa hal ini timbul apabila para pemimpin kita tidak bergerak dalam kerangka perlembagaan. Jika mereka bergerak dan berfikir dalam kerangka perlembagaan, maka, yang berubah hanyalah 'gaya' pelaksanaan. Tetapi intisari kepada pelaksanaan tersebut masih bergulat pada benda yang sama.
Apapun, kita berdoa agar kepimpinan yang baru, berjaya menjadi barisan kepimpinan yang adil, amanah dan tidak menzalimi rakyat. Kerana itu, saya berdoa agar PPSMI dimansuhkan dan Bahasa Melayu dikukuh dan diletakkan pada tempatnya kembali.
Salam Dato.
SALAM
Sdr DAMAI
Saya hanya melontarkan idea dan meminta kita semua berhujah dan memikirkan kesejahteraan umat supaya kita tidak menyerahkan segalanya tanpa saringan kpd pemimpin.Kadang-kadang rakyat lebih punya banyak kewarasan tentang nasib dirinya drpd orang yg terlalu sibuk memikirkan kekuasaannya.
Sdr Sham,
Status quo kumupulan kekuasaan sudah berubah (Abdullah-Najib). Dalam waktu seiring perubahan di tengah-tengah masyarakat juga berlaku dan lebih susah dibaca.Jadi biasanya dalm senario yg nyata/kabur itu boleh menyelinap jin dan ular, terutama jin yang menyamar ular. Jin sangat suka pada tempat-tempat yg kotor & najis. Nasehat orang kalau jumpa ular, tanya dia haiwan atau jin, kalau jin minta dia pergi. Kalau tak mahu juga pergi pukul dengan buluh , bukan dengan tukul besi. Buluh yang lentur dan meliuk lebih bisa drpd besi (spt memecahkan belon dengan hujung jarum). Sdr menyebut tentang babi. Kata orang keistemewaan babi berbanding binatang lain, ia tidak pandai cemburu.Kucing sangat cemburu; dia lawan habis-habisan kalau kucing lain beri perhatian kpd kekasihnya. Sebab itu kucing kencing pada bahagian-bahagian tertentu rumah untuk memberi amaran kpd kucing lain bahawa itu kawasannya.Jangan kacaulah. Barangkali kalau kita amanahkan bahasa Melayu kpd kucing lebih terkawal kedudukannya. Dia cakar terus musuhnya.Babi tak punya perasaan halus itu. Agaknya sebab itu nabi sayangkan kucing dan Tuhan haramkan babi. Wallahualam.
Sdr D,Rimba
Salah satu kelemahan masyarakat Melayu ialah kurangnya kumpulan peniaga yg inovatif dan bebas yg dipanggil usahawan. Usahawan adalah peniaga yang kreatif dan mempunyai visi jauh untuk membina masa depan yang hebat dan bebas. Sayangnya pembangunan perniagaan Melayu pada masa lalu tidak mengutamakan pembangunan peniaga2 kecil dan usahawan, tetapi peniaga-peniaga korporat yg makan gaji atas modal kerajaan sehingga mereka tidak menginsafi atau takut pada risiko gagal kerana bukan kekayaan yg dibina drpd modalnya sendiri. Ini kesilapan besar pembangunan Melayu dlm DEB.Usahawan harus gigih, jujur, dan beretika , berhemat dan berani menghadapi risiko.Bukan untuk kaya sbg matlamat utama sehingga menghalalkan apa jua cara.
Sdr Lutfi,
Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan itu sangat hebat dlm pertimbangan kemasyarakatn , dan keadilan sejarahnya. Dari Perkara yg memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan jelas tidak menghalang amalan agama-gama lain.Dari peruntukan agama Islam itu sendiri sangat banyak dasar dan pelaksanaan yg boleh dilakukan untuk memperhebatkan umat dari segi ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan kebudayaan, dan jangan lupa media massa. Tetapi mimpi kita mimpi Amerika (American Dream) yg mengimpikan kebebasan individu, kekayaan, hiburan dan seleberiti yg tak berbatas. Jadi Jom Hebah bukan Jom Beramal sbg contoh kerana nilai-nilai itu yg ditonjolkan. Sdr menyebut PPSMI, saya kira ini adalah salah satu ujian apakah bangsa Melayu suatu bangsa yg degil memperjuangkan haknya di tanah air kita. Sudah tiba masanya semua angkatan penulis membaca dan menghayati Perlembagaan Persekutuan, dan mendapatkan ahli membantu mentafsirkan seluk beloknya. Zaman para penulis muda mempersiapkan diri sekarang mesti diperkukuhkan dan menentang setiap tindakan autoritatif dan tirani melalui kegiatan fikiran, intelek, dan pengaruh penulisan. Kita akan berhadapan dengan situasi intelektual yg lebih sengit drpd pelbagai tenaga dalam dan luar.Kita juga perlu memperkukuhkan kefahaman Islam supaya kita lebih yakin berani dan tidak berlaku zalim terhadap tamadun umat.
Pak Baha: Apa sebenarnya yang mereka sapu.
Marsli N.O
Sdr Marsli
Tepuk dada, tanya selera. Sekurang-kurangnya bahasa Melayu dah kena sapu.
Post a Comment