Cerita dongeng, Beauty and the Beast, sudah berkurun lamanya; kononnya berasal dari Eropah, tetapi tema yang sama dan watak-watak yang hampir sama terdapat dalam cerita-cerita dongeng Turki, Jepun, Indonesia, Cina , Russia dan lain-lain negara, iaitu perihal seorang Puteri cantik yang tulus penyayang sanggup merelakan tubuh badannya dimiliki oleh Haiwan atau Gergasi ganas bagi menyelamatkan nyawa ayah serta keluarganya.
Puteri yang ikhlas itu akhirnya betul-betul jatuh cinta kepada Sang Haiwan; dan Sang Haiwan yang perkasa serta ganas itu rupanya berhati emas dan halus. Atas kejujuran Puteri yang menyerahkan segala apa yang ada demi kasih sayangnya , Sang Haiwan tidak sanggup berpisah jauh daripada isterinya. Pertautan cinta serta kasih sayang sejati yang terbuhul, dan atas kepercayaan Sang Haiwan bahawa Puteri bukan berpura-pura mengasihi dirinya yang hodoh dan ganas itu, dia akhirnya menginsafi bahawa kehormatan yang penuh serta abadi tidak akan wujud atas ancaman dan ugutan lalu melalui kekuasaan sihirnya dia bertukar menjadi Putera yang tampan. Maka berlipatgandalah berahi dan cinta Puteri kepada kekasihnya, Putera.
Bagaimanakah dongeng yang berzaman-zaman ini mengajar kita menilai politik
kepimpinan ? Ada orang berkata bahawa orang yang terlalu pintar bermain dengan politik lebih pantas dipanggil sebagai political animal atau Beast. Rakyat yang selalu tulus memilih mereka itu dianggap sebagai puteri atau Beauty. Akhirnya yang akan menautkan kasih sayang serta sokongan berkekalan rakyat kepada pemimpin politik itu bukanlah kekuasaan rasmi, tetapi kepercayaan penuh dan hormatnya kepada pemimpin . Demikianlah pengorbanan, kejujuran dan kepercayaan boleh berkesudahan dengan kemenangan yang sejati. Happy ending?
Apa yang berlaku dalam kemelut politik Perak yang seolah-olah tak berkesudahan itu membuat orang rungsing, kecewa dan penuh tanda tanya : siapakah antara Beasts itu Putera yang sebenarnya? Bagaimanakah rakyat boleh menguji untuk menentukannya?
2 comments:
Allah tetap akan bongkarkan segala kebenaran.......
Assalamualaikum...saya bersetuju dengan D'Rimba.Masa bisa jadi penawar,takdir Allah sedang berbicara dengan rakyat Perak.
Post a Comment