Kalau ada satu ungkapan baru yang besar, masih belum jelas makna dan maksudnya, ialah "Satu Malaysia". Setelah YAB PM, Dato' Najib, mengutarakannya, maka berhamburan daripada bibir2 menteri dan ketua-ketua institusi mengulanginya dengan tujuan memperteguhkannya dalam persepsi rakyat.
Tak apalah, bagi waktu supaya dapat dibaca perinciannya, seperti buku kecil Wawasan 2020 yang menghuraikan gagasan tersebut pada zaman Mahathir.
Apa yang hendak diperingatkan di sini ialah jangan berulang lagi ungkapan-ungkapan yang muluk-muluk tentang hendak mensejahterakan kehidupan RAKYAT , tetapi akhirnya berkesudahan dengan kegagalan atau sengaja tidak
dilaksanakan secara tekal dan dengan penuh iltizam oleh kerajaan kerana pemimpin (daripada kerajaan BN yang sama) bertukar tangan seolah-olah bukan tanggungjawab pemimpin baru untuk meneruskan gagasan pemimpin sebelumnya.
Setiap pemimpin baru seolah-olah hendak mengutamakan jenama, slogan dan gimiknya sendiri, dan membayangi gagasan pemimpin yang terdahulu supaya dia dianggap sebagai pencipta sejarah zaman bangsanya.
Apa sudah jadi dengan dasar-dasar berikut yang ada antaranya digubal sejak kepimpinan Tun Razak?
1. DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
2 DASAR PELAJARAN KEBANGSAAN
3 PERNAS
4 UDA
5 WAWASAN 2020
6 ISLAM HADHARI
7 CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG
8 DASAR BAHASA KEBANGSAAN
ETC,ETC,
Banyak yang bermusim-musim; hangat-hangat tahi ayam.
__________II. PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Apa pun yang akan dilakukan demi kedamaian, kestabilan dan kemakmuran bersama bagi masa depan negara, diharap pemimpin-pemimpin politik baik Melayu mahupun bukan Melayu, baik dalam BN ataupun dalam Pakatan Rakyat jangan sampai lupa akan tunggak-tunggak dan landasan Perlembagaan Persekutuan yang jelas-jelas memberi takrifan Melayu di dalamnya ( tidak perkataan Cina atau India); memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan ( tidak Hindu atau Kristian); dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan ( bukan bahasa Inggeris), yang semuanya itu, pada umunya menekankan bahawa faktor Melayu-Islam adalah sangat vital untuk diperhitungkan oleh pemimpin politik dalam segala penggubalan dasar serta program pelaksanaannya.
Pemimpin-pemimpin politik harus jelas dan faham akan perkara dan semangat perlembagaan tersebut, bercakap terus terang kepada kaumnya dan kepada seluruh rakyat. Jangan bersamar-samar, jangan berselindung-selindung dan berlapik-lapik banyak sangat . Pemimpin politik Melayu dalam UMNO, PKR, PAS dan di mana saja jangan menjadi apologetik bila bercakap tentang pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan Melayu dalam hubungan dengan kaum-kaum lain.
Melayu-Islam ini adalah unik di Malaysia seperti Arab-Islam dan Turki-Islam itu unik di Arab dan di Turki. Masing-masing mempunyai bahasa, sejarah dan nilai-nilai serta normanya sendiri yang sudah disesuaikan dengan tasawur Islam. Hakikat bangsa dalam ikatan agama yang sedemikian sangat dominan di Malaysia, Arab dan Turki. Jadi kenapa malu-malu dan segan-segan hendak bercakap secara 'affirmative' tentang kepentingan Melayu-Islam dalam hubungan dasar pembangunan dengan kaum-kaum dan agama lain? Kecualilah kalau ada terselit dalam hati seseorang pemimpin hendak belaku tidak adil, zalim atau hendak mengelirukan orang yang bukan Melayu-Islam kerana kepentingan politik diri atau parti masing-masing.
______________III STATUS EKONOMI MELAYU-ISLAM
Selain faktor perlembagaan itu kenyataan kehidupan Melayu- Islam di Malaysi ini sudah sampai sejauh mana ? Kaji fakta dan angka pemilikan harta tetap ( tanah, rumah, kilang, ruang pejabat, kondominium,apartmen, town house, kedai runcit )
terutama di KL; pemilikan ekuiti korporat; perniagaan borong dan hipermarket; jumlah profesional , pengurus, dan pengarah di syarikat swasta; penyewa ruang perniagaan di KLCC, Pavilion, Mid Valley, Curve, One Utama, Lot 10, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman; Pemilik Kelab Malam, restoran, hotel, dll.
Selain itu sudah berapa puluh tahun kedudukan ekonomi yang tidak sama ini berada dalam keadaan yang demikian ?
Untuk berlaku rasional, objektif dan adil angka-angka jelas harus diselidiki dan didedahkan supaya bangsa kita tidak berada dalam syak wasangka. Apa yang tetrnampak sekarang seolah-olah bangsa Melayu-Islam itu lebih unggul peluang dan kedudukan ekonominya dan semacam hendak mendominasi bangsa lain sehingga kerajaan mengisytiharkan '1 Malaysia' dan 'liberalisasi'. Apakah selama ini kerajaan
berasa ia sangat tertutup dan tidak liberal . Bayangkan berapa banyak kedai nombor ekor, kedai arak, sebuah kasino di Genting, dan kandang-kandang penternakan babi dan ramainya jutawan dan konglomerat bukan Melayu yang tumbuh pada zaman
Malaysia-Incorporated dan Penswastaan Mahathir: YTL, Public Bank, Country Heights, Ananda Krishnan, Goh Tong, Vincent Tan, dan hanya beberapa kerat Melayu. Jadi Liberalisasi itu bukan baru semalam wujud. Pemimpin Cina dan India malah menjadi Menteri dalam kerajaan pusat dan eksko negeri. Nah sekarang sudah ada Ketua Menteri Cina. Jadi dalam sektor politik sudah cukup liberal untuk penyertaan segala kaum di dalamnya , baik sebagai pengundi mahupun sebagai pemimpin sesuai dengan jumlah rakyat yang layak.
Sekarang sudah sampai waktunya untuk kaum bukan Melayu memikirkan secara
konkrit bagaimana mereka harus berkongsi peluang dan kekayaan ekonomi dengan rakyat lain yang terkebelakang, bukan sahaja penyertaan pada tahap kuli, tetapi juga pada tahap pengurusan, pengarah dan malahan pemilikan perniagaan. Pemimpin BN patut mengadakan perundingan dengan Dewan Perniagaan Cina , bagaimana orang Melayu dapat menyertai perniagaan mereka secara real supaya orang Melayu betul -betul berpengalaman dan suatu hari nanti ramai yang berani menjadi entrepreneurs atau usahawan. Sampai hari ini kerajaan gagal untuk membina golongan usahawan Melayu , dan malangnya kementerian untuk tugas itu ditiadakan dalam kabinet sekarang.
__________________III KEBUDAYAAN
Satu persoalan lain yang mesti disebut di sini ialah untuk membangunkan manusia Melayu-Islam harus dibangunkan kebudayaannya. Jangan keliru apabila kita menyebut kebudayaan. Kebudayaan dalam huruf besar K, bukan sekadar kesenian atau hiburan, seperti jom heboh, MENTOR atau AF, tetapi dalam erti yang lebih luas iaitu sistem nilai dan normanya. Nilai-nilai yang membentuk fikiran dan tingkah laku, iaitu apa yang hendak dicapainya dan etika buruk baik apa yang harus diperhatikannya.. juga rupa bentuk dan jati diri apa yang hendak diserlahkannya sebagai identi bersama.
Indonesia. Thailand, Jepun dan Korea barangkali tak perlu bercakap banyak tentang kebudayaan dan identiti kerana masyarakatnya dapat dianggap sebagai berada dalam satu budaya atau mono-budaya sementara penduduk-penduduk migran pendatang, bukan majoriti; terserap atau terasimilasi ke dalam penduduk peribuminya sehingga nama mereka pun diperibumikan dan peluang untuk menyertai politik pun sangat terbatas. Bagi kita di Malaysia isu kebudayaan , bahasa dan jati diri tidak boleh dikebelakangkan dan duduk ditempat nombor dua atau corot di belakang. Inilah kekeliruan pemimpin politik bangsa kita yang tidak faham akan makna dan kepentingan Kebudayaan dalam pembangunan manusia , kemanusiaan, dan falsafah kebangsaannya. Jadi yang juga sangat mendesak sekarang ialah melakukan reformasi dan retooling pada pemikiran pemimpin-pemimpin bangsa kita.
15 comments:
SALAM DATO' BAHA,
Terlalu banyak yang Dato' fikirkan dalam sebuah nostalgia muluk suatu waktu dahulu.
Kata mereka hari ini, "itu semua adalah sejarah yang tidak perlu dipedulikan kembali. Sejarah hanya catatan yang jika difikirkan sangat-sangat akan membunuh kekuasaan hari ini."
Ungkapan ini saya dengar daripada mulut salah seorang pemimpin tertinggi hari ini. Mereka dengan berani menuding jari kepada saya sambil menyifatkan saya golongan kolot yang tidak berwawasan.
Demikianlah egonya mereka menongkat langit. Tanpa rasa malu dan sentiasa rakus mereka menghaburkan janji dan slogan yang entah apa-apa untuk terus mendustai rakyat.
Sejak itu (malah sebelum inipun), rasa kebencian saya terhadap tindak tanduk kepimpinan negara sudah tidak boleh dibendung lagi.
Kadang-kadang merenung nasib diri sambil melihat kerakusan itu menyebabkan saya ingin berdoa agar kebenaran segera muncul.
ya muncullah segera wahai kau KEBENARAN. Ya Allah bongkarkanlah segala KEBENARAN kerana kami amtlah teraniaya dan sentiasa dianiaya oleh bangsanya sendiri perlaksana tegar acuan barat.......
Ewah pergila melawat Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyatakan pendirian ketidakpuasan hatinya tentang kajian PPSMI daripada pihak-pihak berkaitan mungkin sengaja untuk melengahkan perlaksanaan dan mudah untuk agihkan projek dalam PPSMI.....Memang dasar perlaksana tegar acuan barat dulu kini dan selamanya mana mungkin dapat menjamin martabatkan warisan bangsa....
Melayu sebenarnya cukup berani untuk satu proses revolusi. Keberanian kita mengatasi bangsa Eropah. Revolusi 1699 seratus tahun lebih awal daripada Revolusi Perancis dimana Sultan Mahmud dibunuh rakyat dengan diketuai Megat Sri Rama, lalu mengangkat Tun Abdul Jalil Sebagai Raja. Nah! kita punya sejarah betapa orang Melayu berani mengubah tradisi, mengapa untuk perkara sekitar ekonomi, pengekalan bahasa, dan budaya, kita masih lagi dibelenggu ketakutan? Menganggap perkara seperti ini sebagai sesuatu yang sensitif bagi bangsa-bangsa lain bukanlah sesuatu yang wajar. Bak kata pengarah Akademi Pengajian Melayu, Melayu itu sebagai payung yang memayungi bangsa-bangsa lain di bumi bertuah ini. Melayu, yakinlah dengan dirimu! Hamba bangga hamba Melayu!
ada bezanya LIBERALISASI PASARAN/ KEWANGAN dulu dan kini
maksudnya kalau dulu dengan dasar penswastaan dan pensyarikatan Malaysia - ramai tauke Cina dan India kaya,
maka kini ramai pula saudagar2 besar Kapitalis Yahudi Zionis yang akan masuk dan menguasai modal serta perniagaan tempatan buka BANK, rakyat tempatan simpan, bagi pinjam duit, gadai dan pajak harta tanah rakyat tempatan, membanyakkan aset harta dan tanah dalam negara.
baru betul-TERGADAI SEMUA HARTA BENDA!
janganlah kita hanya nampak, kaum cina dan india Malaysia sahaja, merekapun warga Malaysia juga.
Salam, Dato',
Slogan dan gagasan bersilih ganti dan bertindan-tindih memasak telinga dan menyenakkan otak kita. Seperti kata Dato', masih belum jelas maksudnya. "Keranamu Malaysia" yang bertahun-tahun menjadi tema Hari Kebangsaan, apa inti gagasannya? "Malaysia Boleh" apa natijahnya.
"Malaysia Boleh" sepatutnya meremangkan bulu roma lalu menguja semangat anak bangsa untuk merealisasikan "Wawasan 2020". Malangnya, sehingga kini, Wawasan 2020 jauh dari jangkauan.
Seharusnya kita berasa pelik, sehingga kini kita asyik mengingatkan sebilangan rakyat tentang hak kita dalam Perlembagaan. Sewajarnya, selepas 52 tahun, isi Perlembagaan itu sudah dihayati dengan sebenar-benarnya. Saya menentang ISA tetapi jika ISA dapat menjadikan orang hormat kepada isi dan inti Perlembagaan, ayuh, gunakan saja!
Semoga jasad dan upaya fikir Dato' terus sihat dan cerdas. Allahumma amin.
Salam Dato' BAHA.
sememangnya betul apa yang ditulis. Terfikir juga kita apakah kesudahannya kepada dasar2 yang sedemikian banyak.
Mungkin setiap pemimpin tidak mahu dilihat sebagai penerus kepada gagasan bekas pemimpin dan mahu tonjolkan idea sendiri. Mungkin untuk naikkan imej kempimpinannya.
Seharusnya jika dasar itu baik, ia ditersukan sahaja kesinambungannya. Bukannya seperti sekarang, seolah-olah gagasan hanya berlaku dalam era kepimpinan tertentu shj dan dimatikan begitu sahaja...
Maka setiap kali mereka bertukar orang, penggubal dasar terpaksa membuat dasar yang lain pula.
t. ksh.
@Naimisa@TulisanSiber
DASAR HANYA TINGGAL DASAR SAHAJA.
DASAR MENJADI GAH PADA MULANYA..TETAPI LAMA-LAMA IANYA MENJADI SENJATA MAKAN TUAN.
DASAR-DASAR DICIPTA MENGIKUT MASA DAN SUASANA POLITIK NEGARA.
IANYA BUKAN 100% UNTUK RAKYAT TETAPI UNTUK SURVIVAL SATU-SATU POLITIK UNTUK TERUS BERKUASA.
SALAM
Sdr Sham,
Sekarang kita berada dalam satu tahap zaman di mana sejarah dan tradisi sedang disenggol ke tepi untuk memberi laluan kepada kekuasaan. Kebenaran hanya pada pihak yang berkuasa, dan memang lazimnya kebenaran selalu kalah di tangan kekuasaan. Tetapi kebenaran yang kalah itu adalah kebenaran yang relatif , bukan hakiki. Pada detik yang terakhir yang menang adalah kebenaran yang hakiki, yang kalah adalah kekuasaan yang relatif.Rumusannya ialah kita perjuangkan sesuatu dengan niat suci, tanpa sebarang kepentingan peribadi, InsyaAllah matlamat perjuangan seperti itu selalu bersih dan direstui Tuhan. Jangan putus asa kerana Tuhan tidak sayang pada yang cepat putus asa. Bagus kalau sdr berasa marah kerana tanpa emosi dan ghairah kita tak boleh bertahan lama. Tiup api kemarahan itu terus.
Sdr D'Rimba,
Berdoalah dan bertawakal, dan kita perlu terus memprotes. Perlawanan yang paling sakit ialah apabila kita terpaksa berlawan dengan saudara seagama kita sendiri, tetapi demi KEBENARAN bersakit-sakitlah kita dahulu
Sdr anak Melayu
Betul kita mesti yakin akan nilai
kewujudan kita sendiri sebagai Melayu, suatu bangsa yang sangat bertimbang rasa kepada siapa saja di sekelilingnya. Pada saat kaduk naik junjung, dan cacing naik ke mata, kita perlu berdiri tegak dan hadir sebagai anak jantan. Meskipun yang ditantang itu anak Melayu yang lain.
Sdr kondi
Risiko liberalisma ini sulit untuk diukur sekarang, dan yang merungsingkan ialah apakah dasar ini sudah diperinci halus-halus tertuama implikasinya dari segi ekonomi sosial. Kita tak marah kalau bangsa apa pun jadi kaya, tetapi penguasaan ekonomi itu harus tidak memperlebar lebih luas lagi jurang antara kaum--bermakna bertentangan dengan tujuan serampang dua mata DEB, yang selanjutnya akan menimbulkan bukan sahaja jurang antara kelas sebangsa, tetapi juga jurang antara bangsa. Nanti Mei 13 lagi.
Sdr Atan,
Kita kena sama-sama bersuara dan terus bersuara. Hanya itu yang kita ada.Dalam satu hal ada juga hikmatnya tanpa kuasa apa-apa. Mana tahu kalau kita ada kuasa , mungkin kita juga diduga teruk sampai lupa bangsa lalu menindas nasib masyarakat sendiri. Perlembagaan itu sebenarnya kata-kata di atas kertas, dan hanya otak yang cerdik serta hati yang lurus sahaja yang tidak takut mentafsir dan melaksanakannya.
Sdr Naim,
Pelajaran yang diperolehi terhadap 52 tahun merdeka ialah masyarakat Melayu terlalu percaya kepada pemimpinnya sehingga tidak begitu kritis menilai tindak tanduknya.Apa sahaja yang dikatakannya kita akur dan percaya sehingga buah-buahan yg dihidangkan itu spt mempelam masak di luar mentah di dalam. Kita makan juga, tanpa bertanya.
Sdr orang kampung
Mudah-mudahan dasar2 yang diperkenalkan akan menguntungkan. Dasar satu hal, pelaksanaan satu hal yang lain. Tetapi akan lebih parah lagi kalau memang bukan untuk rakyat, tetapi untuk keuntungan pihak tertentu. "Kepercayaan" rakyat sekarang menjadi faktor penting untuk menang atau kalah seseorang pemimpin. Tidak lagi seperti 15 tahun dahulu.
Dato', izinkan saya link ke http://universitipts.com
Dato', izinkan saya link ke http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/
Daripada pusing kepala memikirkan dunia Malaysia elok kita melarikan diri ke Pruket. Sila layari http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/
dengan cerita Good guy goes to heaven, bad guy goes to Patong
Desperate Man
Siri 1 - Power&Play vs girls hunter
Anak Borneo memang jantan. Dapat gadis Pruket PERCUMA. Entah macam-mana 'ayat' kita tak tau...
dan
Menyelak bikini Natthaweeranuch Thongmee di pantai Patong, Phuket
* Tajuk sengaja dieksploitasikan sebagai daya penarik. Aktres Thai ini memang wujud dan cantik. Tak percaya, tengok filem "Shutter" (2004) lakonan bersama Ananda Everingham.*...
baru mlm td khatam membaca novel tulisan keris mas - saudagar besar dari kuala lumpur.skg,baru selesai membaca tulisan Dato'..
rangkai tulisan dato' dan SN Keris Mas nmpk sejalur,saya kira tuan berdua berkongsi pendapat dan lautan pengalaman yg serupa juga.
jati diri Melayu kita wajib didinding kubu syahadah Islam yg tebal dan kebal,supaya dapat tetap kita melawan arus rakus pembangunan,pemodenan yg garang mengganyang.
merisaukan saya juga,bila memikirkan di suatu ketika, anak cucu saya di tika itu,di tika pencetus Islam Hadhari, SatuMalaysia dan Wawasan2020 sudah lama lunyai dimamah ulat2 tanah,menuding telunjuk terus ke muka saya lalu meninggi suara...
"ini semua salah all your generations dulu.now we anak cucu can not anymore bercakap sebaik mungkin berbahasa melayu.tulisan jawi only terhias di kaca muzium.Islam yg we all know hanya mengaji,solat 5waktu yg belum tentu termampu!!"
saya juga kala itu akan menangis,sebagaimana pakcik2 dan pejuang bahasa,bangsa dan agama hari ini,dan waktu dulu,menangis..titik.
Pity da malayz..
no entrepreneur minisstry, more bad newz!
Sdr Ainon,
Silakan. Saya beri izin untuk siapa saja ingin terbitkan semula paparan blog.
Sdr Skheikh Mustapaha,
Saya tak keberatan untuk link ke blog sdr.
Good guys too can go to Phuket.Then bad gals can marry good guys to go to heaven.
Sdr BecaBerkarat
Keris pernah jadi bos saya, dan saya ambil alih kerusi beliau selepas dia berasara. Dia angkatan 50-an , dan saya angkatan sesudahnya, tetapi pra merdeka dan pasca merdeka menjadi zaman yang menemukan pengalaman kami.Jadi dari segi falsafah atau kefahaman pembangunan dan pemodenan bangsa kami berkongsi kepercayaan bahawa Melayu-Islam adalah asas yg ampuh untuk memperkukuh dinamika politik dan sosial negara.Melayu-Islam bukan sekadar asas, tetapi visi. Kalau tidak pragmatisme, dan sekarang globalisasi dan liberalisasi akan
mengaburkan penglihatan kita ke arah masa depan yang apa?
Post a Comment