Saya baru pulang drpd menghadiri Perhimpunan Penulis Muda di Melaka. Orang muda yg penuh cita-cita , tidak selalu sabar mengejar mimpinya, dan sering pula meringkaskan halangan-halangan cabaran. Mereka bukan sahaja diharapkan untuk melakukan perubahan, tetapi juga bertanggungjawab atas apa jua risiko . Selalunya masalah risiko itu dilalaikan atau dianggap peduli apa. Antara generasi senior dengan mereka tetap terentang kesenjangan dalam cara bersikap dan bertindak.
Walau bagaimanapun dalam hal berfikir secara rasional tentang ilmu atau kebenaran, tentang
kenyataan sosial dan etik, tidak dimaafkan perbezaan yang tidak rasional, lebih-lebih lagi yang anti-rasional. Kesenjangan atau jurang itu berlaku kerana kedua-dua pihak tidak sependapat tentang hal yang sama. Jadi salah satu pihak mesti benar, dan yang satu lagi itu tidak benar.
Pada perhimpunan kali ini nyata ternampak fikiran pemimpin senior yang berkuasa dalam pemerintahan berada jauh di seberang lautan fikiran generasi muda. Meskipun ia tak menggambarkan semua rakan pemimpinnya berfikiran sama, tetapi di depan sekumpulan anak muda yang datang dari seluruh tanah air , pola-pola fikirannya itu seolah-olah mewakili pendirian establishment, khususnya dalam pertikaian bahasa di sekolah, tepatnya PPSMI.
Bagaimanakah pemimpin2 yang berkuasa sekarang boleh berfikiran sangat berlainan. Ada sejumlah sebab musababnya:
Satu, pemimpin sudah hilang sentuhan dengan kenyataan atau rialiti di bawah.
Kedua, cuba mempertahankan keputusan kolektif kelompoknya.
Ketiga, tidak menguasai alias jahil tentang pelbagai aspek dan implikasi sesuatu isu.
Keempat, sudah terbelenggu dengan sikap selesa dan ambil mudah terhadap setiap pertikaian kerana sudah terlalu lama berkuasa sehingga menjadi terlalu yakin diri atau overconfident.
Kelima, sudah menjadi mekanikal dalam cara menghadapi khalayak dengan sikap menggurui atau patronising seolah-olah khalayak itu mentah atau bodoh.
Keenam, pemimpin tidak boleh mengubah atau menyesuaikan lagi watak serta stailnya meskipun sudah diminta mereka berubah untuk mempengaruhi generasi muda.
Ringkasnya mereka harus berubah untuk mengubah zamannya. Menghadapi generasi muda dengan kekuatan hujah dalam satu pertembungan intelektual yang dilektikal. Demikian juga generasi muda mesti berhujah dengan fakta dan analisis dan bukan dengan impian yang muluk-muluk dan idea yang liar. Ini dunia dan kehidupan untuk semua makhluk alam, haiwan dan manusia, bukan untuk didominasi oleh satu-satu puak dengan fahamannya yang sempit .
Ini adalah zaman yang sedang merungkai kesombongan politik gelap yang selalu dihubungkan dengan gila kuasa, tidak beretika, dan memperbudak fikiran rakyat.
12 comments:
Salam.
Memang hakikat bahawa anak muda penuh semangat dan cita-cita. Ingin saja cepat mencapai sesuatu sebelum 'matang' dan ada saja soalan dan pandangan yang ingin disampaikan. Anak muda memang penuh tenaga dan kudrat yang ingin disalurkan demi kebenaran dan keadilan. Namun anak muda mempunyai satu kelemahan; iaitu tiada pengalaman.
Pengalaman itu hanya ada pada mereka yang veteran/senior. Namun di pihak veteran/senior pula, kekuatan dan kudrat itu sudah berkurangan. Mereka memerlukan anak muda untuk menggerakkan atau meneruskan perjuangan mereka terdahulu.
Namun apa yang lebih penting, mereka yang veteran/senior ini cukup banyak kesabaran. Kesabaran inilah yang anak muda sering kali terlupa...Nak saja cepat dan tidak sabar.
Dalam konteks PPSMI dan kerajaan pula, saya lihat generasi muda yang mahukan PPSMI ini adalah mereka yang tidak 'kritikal dan kritis'. Tidak ada kajian yang menunjukkan bahawa PPSMI ini berjaya.
Hujah yang mereka gunakan adalah bahawa bahasa Inggeris ini bahasa dunia dan kalau kita tak dapat menguasai bahasa Inggeris maka tak dapat pekerjaan. Dangkal sungguh mereka ini.
Mereka adalah generasi minda penjajah dan kapitalis.
kegagalan pihak senior dalam menyediakan ruang dan peluang kepada golongan pemuda akan memusnahkan tamadun yang hendak dibina. masa terus berlalu tetapi apa gunanya jika golongan muda tiada pedoman untuk meneruskan apa yang telah golongan senior telah lakukan.
tiadanya proses yang berterusan akan memusnahkan satu-satu tamadun itu sendiri.
Ayahanhdaku yang dikasihi, sekarang anakanda sedang bereksperimentasi dengan adik-adik yang dikasihi sekolah menengah berhampiran dalam latihan lagu dan puisi. Anakanda sedang mengorak langkah dalam penulisan sajak. Sila tunjuk ajar ayahandaku yang tercinta. Ayahanda, ada perkataan di muka utama ayahanda tertaip perkataan dengan ejaan ringkas di permulaan catatan.
Terima Dato' kerana dapat hadir bersama-sama kami di PPMN 2009.
taring dan cakar
harimau boleh menakutkan orang dan binatang kerana taring dan cakarnya
tapi tidak boleh kalau tidak memilikinya
kekuasaan menghukum adalah taring dan cakar raja
raja yang menyerahkan kekuasaannya seperti harimau yang menyerahkan pada orang yang menangkapnya
raja yang menyerahkan terlalu banyak kekuasaann pada bawahnya sering berakhir dengan tragis dan kerajaannya hancur.
Assalamu'alaikum
Salam ukhuwah dan salam ziarah. Saya membaca tulisan bapak di berita harian, melihat situs blognya, saya langsung berkunjung ke sini.
Semoga disini saya menemukan silaturrahmi. Tentunya ilmu kepenulisan yang ingin saya pelajari. Sedilah kiranya bapak selalu berkongsi tentang dunia kepenulisan :)
“Rakyat itu diam
tapi ia pencatat tidak pernah lupa
Rakyat itu seperti naga
Melingkar dengan berat badan
dan diam dalam keheningan sendiri
Pancainderanya tajam
Luat intuisinya dengan akal budi
Lalu jangan sekali-kali melukakannya,
Jangan melukakannya berkali-kali
Kerana sekali ia bangkit
Rosaklah segala apa-apa
Rakyat itu mampu sabar
Seperti ular besar yang perutnya berisi
Tapi kalau ia kelaparan
Bumi lingkarannya akan bergegar
Rakyat itu seperti binatang purba
Tidak berasa sakit meski diinjak.
Jangan biarkan rakyat lapar
Jangan bodohkan rakyat jelata
Jangan tindas rakyat
Kerana sifat diamnya akan hilang
Kesabaran akan lupus
Bijaksananya menjadi gila
Disebarnya air dendam yang tidak memilih siapa.
Rakyat yang lapar mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang ditindas mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang diam mahunya satu,
Saksama!
Rakyat yang bergerak mahunya satu,
Kebebasan!
Rakyat yang bantah mahunya satu,
Ketelusan!
(Harga Sebuah Maruah, Azizi Abdullah, halaman 324 – 325)
Dato Baha,
Ruang dan peluang yang diberikan kepada anak-anak muda memperlihatkan mereka bukan bersandiwara. Iltizam dan komited mereka terhadap perjuangan bangsa dan bahasa amat tegar dan berpaksi.
Inilah gerakan yang perlu diperhatikan oleh para kuasawan tamak dan dunggu terhadap sejarah bangsa mereka sendiri.
PENA yang menyediakan ruang dan bumbung sewajarnya diberikan kekuatan yang lain untuk bertahan.
Salam, Datuk
Mengedepankan anak muda yang seidea dengan yang senior dalam hal pemartaban bahasa tidak akan mengendurkan keangkuhan sang pemimpin. Apatah lagi kelompok senior sendiri, sudah berkali-kali berdepan, mengkritik, bermusyawarah dengan sang pemimpin tamak kuasa yang angkuh itu, namun hasilnya kabur. Namun, mereka harus dilibatkan dan mereka sendiri haruslah bersedia untuk melibatkan diri. Yang sealiran dengan sang pemimpin itu, jangan disisihkan tetapi disumbat dengan data dan fakta. Bahasa kita sedang dilacurkan, diperjudikan.
Hanya kerana pemimpin jahil, kita terpaksa bercakap bertele-tele tentang hal bahasa ini sedangkan kita sepatutnya sedang bercakap tentang 1Malaysia. Ha, 1Malaysia? Bagaimanakah sosoknya?
Salam Dato'
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dibumi ini masih ada lagi generasi muda yang masih lagi mahu memikirkan permasalahan yang terbit disekeliling mereka. PPMN di Melaka tempohari jelas menunjukkan semangat dan kesungguhan mereka untuk sama-sama berganding bahu membangunkan bangsa dan agama mereka biarpun hanya menerusi pena. Namun begitu, jumlah mereka itu teramatlah kecil jika mahu dibandingkan dengan mereka yang pergi ke konser Jom Heboh, mereka yang berpeleseran di mall-mall, mereka yang merempit di jalan raya dan sebagainya.
Tidak perlu pergi jauh, rakan-rakan saya sendiri yang kebanyakannya lulusan universiti lebih gemar menulis dan berbicara tentang perkara yang remeh temeh yang langsung tidak membina minda mereka itu sendiri. Mereka suka memperkata tentang pakaian terkini, cerita paling hangat di pawagam, buku yang terlaris (tetapi hanya tertumpu kepada novel 'bestseller' cinta/buku yang bernilai komersil) dan juga berbahas tentang gosip murahan sama ada didalam bidang hiburan mahupun sukan. Itu mungkin kesan daripada sikap gemar membaca suratkhabar dengan membaca berita sukan dahulu(bagi lelaki) dan ruangan hiburan dahulu (perempuan), membuatkan mereka alpa tentang struktur sosial masyarakat mereka yang sudah semakin rapuh itu. Jika ditanya mengapa mereka tidak bersungguh berbincang tentang keadaan semasa ini. Jawapan yang diberi lebih kurang sama sahaja, iaitu 'malas hendak fikir' / 'sudah selesa dengan keadaan sekarang'(walaupun pada hakikatnya ramai yang menderita kesan kenaikan kos) dan juga 'bukan masalah mereka'.
Mengapakah semua ini boleh berlaku? Ada banyak jawapan untuk persoalan ini. Salah satunya ialah kurangnya membaca bahan yang berilmiah. Ada yang gemar membaca, tetapi tidak lebih daripada menatap Cleo, Women's Weekly, dan majalah lain yang seangkatan dengannya. Keduanya budaya memerhati itu sendiri telah lenyap daripada kamus generasi muda. Zaman teknologi maklumat ini telah menyebabkan aktiviti manusia lebih tertumpu kepada gajet-gajet terkini apabila mereka berada didalam keadaan diam. Apabila menunggu di stesyen pengangkutan awam, kebanyakannya lebih gemar menatap handphone canggih mereka yang dikatakan mampu menghubungkan mereka ke seluruh dunia. Ya, teknologi itu diperlukan, tetapi perlu ada had dan batasannya. Kurangnya mereka membiarkan mata mereka menjelajah ke seluruh pelosok persekitaran mereka boleh menyebabkan mereka tidak mampu melihat erti sebenar kehidupan. Minda mereka akan terjajah dan adalah satu kerugian apabila manusia tidak lagi mampu melihat, menilai dan kemudiannya membuat kesimpulan daripada keadaan disekeliling mereka sendiri, lebih tepat lagi, mereka kini sudah selesa dengan sikap individualistik!
Datuk,
Ada nampak lighter saya? (Ha ha).
SALAM Sdr Akmal
Untuk satu revolusi atau transformnasi sosial, ia harus terlebih dahulu matang dalam fikiran. Jadi apa yg penting antara dua generasi itu , ialah persamaan nilai, iaitu yg sama dlm fikiran.Seterusnya masing-masing menyumbangkan kekuatannya: yg satu tenaga da keberanian, yg satu lagi pengalaman dan kewaspadaan. Jadi yg membezakan generasi bukan sangat usia, tetapi nilai. Hari ini nampaknya, dalam isu PPSMI perpaduan generasi baru/lama ini sudah hebat, boleh melanda pemimpin yg bodoh-sombong dan orang muda yg pintar-dangkal. Awas2 ranjau!
Sdr orang kampung,
Saya kira sudah ada sekelompok orang muda yg berjiwa besar, dan sedang mempersiapkan diri bukan sahaja meneruskan tamadun, tetapi membangunkannya, selain drpd mat rempit, penagih dadah dan gian hiburan itu.Saya yakin.
Sdr D'Rimba
Ucapkanlah perasaan dan fikiran yg jujur dengan kata-kata sdr sendiri. Ketulenan rohani itu akan membina bahasanya menjadi puisi.Jangan ragu-ragu.
Sdr Saifullizan.
Saya bangga kumpulan sdr gigih dan tak kenal kalah mengatur PPM. Percayalah akhirnya suara orang muda akan menjadi perhitungan . Pelihara taring dan cakar itu, meskipun berbisa gunakan tepat pada waktu dan pada musuhnya. Hari ini kita sudah mengenal musuh tertentu, sepuluh tahun akan datang kita tak tahu siapa pula pengkhianat budaya bangsa. Ingat perjuangan itu bukan sudah selesai dengan satu resolusi. Saya tak pernah terbayang langsung bahawa setelah 50 tahun bangsa kita merdeka, terpaksa menjerit lagi utk memajukan Bahasa Kebangsaan. Ini bangsa yg aneh betul.
Sdr Anazkia,
Salam silaturahmi daripada saya. InsyaAllah saya ingin berkongsi pengalaman tentang selok belok penulisan. Hanya hari ini ada sesuatu yg sangat terbuku di hati
yg sering menggoda fikiran.
Sdr Naim,
Terpijak ular sawa yg kenyang taklah berbahaya, tetapi ular yg lapar akan segera membelit; rasmi ular berbisa biasanya sangat pemalu dan akan beredar lari kecuali kalau nalurinya mengesan bahawa manusia berniat membunuhnya.
Sdr Sham,
PENA itu akhirnya manusianya. Dan PENA itu juga sebenarnya sekumpulan yg aktif dan tekal memburu mimpinya. Biasalah ada yang kecundang, dan ada yg akan terus percaya dengan kejujuran mimpinya. Semakin lama sdr akan semakin dibijaksanakan oleh pengalaman-tentang manusia dan tentang perjuangannya.
Sdr Atan.
Apa yg berlaku sekarang cukup meletihkan. Pejuang bahasa hanya ada kata-kata sahaja. Cuma yg anehnya kata-kata itu sudah menjadi ucapan perjuangan pencinta bahasa, dan juga menjadi alat propaganda antara pihak yg berkuasa menjatuhkan pesaingnya.
Dalam sejarah selalu terjadi pertentangan dua pihak akan menimbulkan keributan yg teruk sehingga tak jelas lagi siapa yg lawan siapa.Ini sedang berlaku sekarang. Itulah kalau masyarakat terlalu tunduk kepada seorang pemimpin dan mengiakan segala perbuatannya, inilah yg terjadi pada orang Melayu.Cendekiawan kita pun patut dipersalahkan kerana terlalu lambat untuk berkata tidak kepada tirani terhadap bahasa.
Sdr Rozana.
Saya berasa lega apabila sdr cukup tajam akan perhatian tentang berlakunya disorientasi sosial yg teruk di kalangan ramai muda mudi kita.Ini adalah akibat drpd pembangunan kebendaan yg pesat sehingga kita menjadi macam masyarakat Amerika yang mimpinya untuk terkenal jadi seleberiti, bebas menikmati hiburan dan berkelakuan ,dan menguasai wang (The American Dream). Yg buruk itu menguasai kita , bukan ilmu dan prestasi teknologi yg inovatif. Walau bagaimana pun sedang bergerak juga arus perlawanan yg mewujudkan kelom[pok yang berpaksikan agama dan kesedaran kebangsaan. Di kalanngan penulis nampak nyata, entahlah di kalangan penyanyi, pelakon,penari, dan pemusik. Saya menaruh harapan tinggi terhadap kelompok penulis , walaupun ada juga yg sedang dilamun cinta --satu transisi ke arah kedewasaan.
Sdr Sinaganaga
Lighter tak nampak. Korek api ada tertinggal di Rumah Pena.Tapi hisap rokok di luar saja.
Salam Dato'..
Nanti saya pun nak mintak autograf bersama sebaris wasiat kata nasihat.. buat azimat pembakar semangat.. perjuangan ini sungguh penuh onak liku dan berduri.. syukur pada Allah, ramai rakan seperjuangan seangkatan dengan tunjuk ajar, bimbingan dan sokongan pahlawan terbilang..
Kedaulatan Bahasa, kita pertahan.. kita jaga.. walaupun ada sang rajuna tapa.. cuba membuka pintu kota.. menderhaka..
wassalam.
Post a Comment