Saturday 16 May 2009

TERIMA KASIH CIKGU! BAGAIMANA BAHASA MELAYU?





Tadi siang Timbalan Perdana Menteri berucap pada Perhimpunan Hari Guru di Terengganu. Banyak pengumuman penting yang menggembirakan cikgu2. Bagus kerana selepas ibu bapa cikgulah yang cukup berjasa mengasuh keperibadian kita, terutama generasi remaja dan belia. Berulang alik ke bangunan sekolah itu sebenarnya bukan untuk kepentingan persekolahan, tetapi PENDIDIKAN. Kementerian Pelajaran itu patut dinamakan semula sebagai Kementerian Pendidikan. Itu lebih tepat, sebagai pangkal kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Apa yang menarik dalam ucapan TPM merangkap Menteri Pelajaran ialah penegasannya terhadap pentingnya bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa, dan sebagai bahasa ilmu; dan setiap kali dia berucap begitu guru-guru bertepuk kuat sebagai tanda setuju dan menyokong. Bila sebut bahasa Inggeris tak ada tepukan. Apa yang boleh dibaca daripada ucapan dan reaksi tepukan?

Apa yang pasti memang ramai guru tak berkenan dan tak bersetuju dengan PPSMI itu, tetapi berasa susah untuk memprotes. Maklumlah pegawai kerajaan. Hanya ada satu dua pemimpin Kesatuan Guru, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( Melayu pula bangsanya) yang lantang bersuara. Itu pun untuk menyokong menteri dahulu dengan PPSMInya. Tetapi kalau menteri sekarang (Tan Sri Muhyiddin) membatalkan PPSMI dan kembali kepada bahasa penghantar Melayu dalam sains dan matematik, maka mereka yang dulu menyokong PPSMI ini akan awal-awal lagi melompat menyokong menteri sekarang. Demikian juga beberapa pegawai lain, merekalah yang akan beria-ia pula memperjuangkan bahasa Melayu. Bahlul . Seperti dalam ungkapan Inggeris: Everbody has a price on his head. Sebab itulah agaknya ada wakil rakyat yang telah melompat keluar parti . Tetapi ingat cerita seekor katak yang melompat ke luar dari tempurungnya. Dari tempurung yang sempit itu dia terlompat masuk ke dalam tong sampah. Dia lalu berasa hebat kerana dalam dunia barunya itu dia boleh melihat langit di atas yang luas. Malangnya datang lori Alam Flora angkat tong sampah dan humban masuk ke dalam lori bersama-sama sampah2 lain sehingga dia terhimpit mati.

Soalnya sekarang apakah TPM merangkap Menteri Pelajaran akan membatalkan PPSMI, dan mengembalikan darjat dan maruah Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara? Kita tunggulah. Kalau tidak ,memang kita tak boleh harapkan pemimpin politik kerajaan sekarang?

PM, TPM, dan Menteri Pelajaran semua Melayu. Jadi tentu tak jadi masalah. Belum tentu. Yang mula-mula menyingkirkan Bahasa Melayu dahulu bukankah Perdana Menteri Melayu? Harapkan pagar , pagar makan padi. Setelah PM itu turun ,naik pula PM baru. Melayu juga. Tak boleh harap juga. Jadi orang Melayu sekarang jangan percaya dan berharap sangat kepada pemimpin-pemimpinnya yang di atas.

Orang Cina peduli apa . Kalau bahasa Cina tak berkembang di negara ini, ada satu billion lebih yang memelihara Mandarin dan dialek2 Cina di tanah besar China. Boleh pula impot buku dari Taiwan , Hongkong dan Singapura. Tak perlu tulis dan terbitkan di Malaysia. Kalau pelajar Cina tak lulus sekolah , gagal di tengah jalan, ada ribuan kedai, bengkel, syarikat kecil dan besar kepunyaan orang Cina boleh menampung mereka. Pelajar Melayu lebih banyak mengharapkan majikan kerajaan . Anehnya Melayulah yang hebat menjadi pengguna , membeli belah di pasar, di kedai-kedai pakaian dan kasut, dan malah yang paling banyak berkunjung ke kedai nasi kandar mamak, dan ke kedai bunga atau kain di Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah Melayu. Kalau tak ada pembeli Melayu barangkali banyak perniagaan Cina dan India sudah gulung tikar.

Jadi masalah besar sekarang betul-betul dalam masyarakat Melayu dan di kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu yang sedang gilakan undi Cina dan India. Percayalah selagi nasib, dan kepentingan Melayu ini dianggap remeh, bahasa, budaya, ekonomi, agama dan kemasyarakatnya dikompromikan (lebih-lebih lagi tidak dipedulikan kritikan, rungutan, rayuan, dan pandangannya), orang Melayu akan menolak UMNO dan BN.

Mereka yang dalam parti politik pembangkang sudah sememangnya menentang kerajaan pusat. Kalau kerajaan tak berhati-hati mereka yang di atas pagar, yang apolitikal, dan kakitangan awam pun akan secara diam-diam menjauhkan simpatinya daripada kerajaan sekarang.


Jadi berpatahlah balik mencintai dan berkasih sayang dengan orang Melayu kerana di situlah letaknya kestabilan rumah tangga politik negara untuk semua bangsa. Rujuklah sebelum cerai talak tiga kerana untuk kawin balik kena Cina buta. Cina dan India sudah celik semua , tak ada yang buta lagi. Yang buta mata dan hati kebanyakannya orang kita.

14 comments:

Azimah Mima said...

Menarik analogi katak yang dato' utarakan. Sememangnya analogi2 haiwan dato'lah yang sangat menarik hati saya membaca hasil2 penulisan dato'.

Pernah satu ketika, saya menegur anak Cina yang tidur di dalam kelas sedangkan PMR sudah terlalu hampir. Disoalnya berapa tahun saya belajar sehingga berjaya memperolehi ijazah, dan berapa tahun pula saya teah bekerja, dan berapa pula gaji saya ketika itu.

Selepas itu, dia mengatakan, dia tidak perlu lulus PMR - selepas tamat tingkatan 3, dia akan bekerja di mana2 bengkel sebagaimana yang dato' katakan, dengan 5 tahun pengalaman akan dibukanya bengkel sendiri. Dihitungnya pula ketika umurnya sama dengan saya ketika itu, pendapatannya bakal menjadi 10x ganda dari pendapatan saya sebagai guru yang kononnya berpendidikan tinggi.

Aduh! Terasa begitu pahit untuk ditelan - namun apa yg dikatakan olehnya memang ada benarnya... hai...

Atan said...

Salam, Dato';
Sejak diperkenalkan oleh Bapa Pemodenan pada tahun 2003 dahulu, sudah lebih daripada RM3 bilion dibelanjakan untuk PPSMI ini. (Agaknya, RM3 bilion itu untuk anak-anak atau untuk yang berunsurkan 'projek"?) Jadi, dengan cita-cita palsu untuk memahirkan pelajar berbahasa Inggeris melalui Matematik dan Sains itu, serta wang yang telah dibelanjakan, tidak mungkin mereka akan mengundurkan ego mereka itu. Tidak mungkin, Dato'.

yana said...

Salam Dato'
Kita sudah sering disogokkan bahawa kemajuan itu adalah kebendaan,yang besar,yang tinggi,yang berpangkat itulah kemajuan.Makanya apa sahaja dihalalkan oleh mereka demi sebuah KEMAJUAN.Tetapi setiap sesuatu yang segera itu biasanya tidak lama.'Foundation' nya tidak kukuh. Lihat bagaimana bangunan yang tidak kuat asasnya,berjuta ringgit sekalipun dibelanjakan,pasti runtuh dalam sekelip mata.
Kita telah hilang 'jiwa' dalam pendidikan kita. Anak-anak murid belajar hanya semata-mata untuk lulus cemerlang didalam peperiksaan tanpa mendapat ilmu. Itulah bahayanya...bangsa yang maju tanpa ILMU.

D'Rimba said...

Terus terang saya katakan jauh di sudut hati kecil saya kepercayaan kepada mereka semakin menipis dan hampir lenyap kerana merekalah perlaksana tegar acuan barat yang mengikis dan menghakis nilai Islam dan Melayu dalam diri anak bangsa sendiri. Mana mungkin orang sebegini mampu melaksanakan amanah sejujurnya........Harapanku agar ulama tulen diangkat menjadi pemimpin bagi memartabatkan Islam sejati di tanah air kita yang makin membarat dengan cukup melali..

HBM Consultant said...

Salam,

Tulisan Dato' kali ini sangat menarik, terutamanya perihal katak itu.

Dato', apa perkembangan terkini aktiviti GMP agaknya? Saya dan para sahabat seperjuangan sudah tidak boleh lagi menunggu dan ikut telunjuk menteri. Sampai bila kita perlu tunggu?

Farmilla Hamdi said...

Salam Dato',
Banyak benarnya dalam komentar Dato'. Apa masalah Melayu sebenarnya tidak ada, cuma diolah oleh Melayu sendiri. Inilah penyakit paling besar dalam minda Melayu terutamanya pemimpin Melayu sendiri.
Apakah ini budaya Melayu Katak?

Unknown said...

Assalammualikum?

Tuan saya mohon alamat email atau no hp untuk berurusan dengan tuan. Saya Faizal, boleh hubungi saya melalui faizalriduan@gmail.com

Unknown said...

salam dato'

ini lah yang terjadi pada banyak pemimpin kita sekarang,,

sangat meraih undi bukan Melayu sampai sanggup menggadai maruah bangsa sendiri,,tak kira sama ada kerajaan atau pembangkang sebenarnya,

profesion perguruan sekarang lebih mencabar,

sebab nampak gayanya cikgu-cikgulah orang yang antara paling perlu untuk membina bangsa perkasa,,

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Salam Dato,

Saya jadi terkilan yang amat sangat kerana artikal Dato dalam majalah Majalah Dewan Sastera tidak disiarkan di mana-mana blogger. Saya cuba membblogger Dewan Sastera tetapi sekadar melihat cover keluaran baru semata. Sepatutnya DBP sudah menyiarkan semua artikal di dalamnya. Saya tidak faham apa dasar DBP. Bukalah pintu biar angin masuk...

Saya merasa sesuatu bila membacanya begitu juga dengan pembaca lain. Saya mencadangkan semua artikal Dato di Dewan Sastera dimasukkan dalam blogger Desa Kota. Dan buatkan satu window untuk artikal-artikal itu.

Sekarang tak ramai penulis/sasterawan melahirkan penulisan pendik , padat dan puitis. Kebanyakannya menulis berjela-jela dan memakan masa lebih 2 jam memahaminya. Itulah Sasterawan Negara, memahaminya seperti melihat semut di jalanan dan mencari di mana sarangnya... Dunia semakain pantas bergerak dan kita tida masa membaca artikal panjang berjela!.



Lihat Hishamuddin Rais, beliau menyiarkan artikalnya dalam Malaysia Today, Malaysia kini, Suara Keadilan dan dalam bloggernya....http://tukartiub.blogspot.com/


Artikal baru... REPUBLIKAN DARI PERAK

PERAK JADIKAN EMAS

Apa yang sedang berlaku di Perak ini amat baik sekali. Kelam kabut dan kacau bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak ini sekali imbas dilihat tidak mendatang faedah kepada orang ramai. Ini satu pandangan yang salah.

Apa yang berlaku di Perak ini adakah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak....



http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/


Lingkaran Setan merayap ke kebun Getah...

Siri PK (Prihatin Kampung)
Baru-baru ini, saya mendapat call dari Bapak Saudara dari Temerloh....

bahazain said...

Assalamualaikum & Salam Sejahtera kpd semua,

Sdr Mima,
Memang mengikut proses biasa sulit untuk mengejar kejayaan kaum Cina dlm kehidupan ekonomi. Itulah sangat diperlukan perancangan ekonomi-sosial yang jelas spt Dasar Ekonomi Baru yang malangnya tidak dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan yg lalu. Selagi keseimbangan ekonomi ini tidak disempurnakan selama itu akan berlaku ketidakpuasan hati masyarakat peribumi.

Sdr Atan,
Memang untuk keluar drpd keadaan yg terlanjur itu amat susah kecuali dengan keinsafan mendalam bahawa ini adalah satu dosa terhadap tamadun Melayu. Namun dialog dan perjuangan perlu diteruskan, selainnya kuasa Allah.

Sdr Rozana,
Kemajuan yang berpaksikan kebendaan, dan bertujuan kesejahteraan kebendaan memang tak mungkin bertahan lama kerana ilmu serta akhlak perlu terus memajukan dan membersihkan kemajuan yg dicapai dari waktu ke waktu. Ingatlah skandal kewangan yg besar di Bank Bumiputera dahulu dilakukan oleh orang yg berilmu & berkelulusan tinggi, dan sangat hebat berbahasa Inggeris. Mereka musnahkan maruah bank yg dibangunkan melalui suara orang Melayu dlm kongres ekonomi bumiputera pd zaman Razak.

Sdr D'Rimba,
Itulah kesilapan besar pemimpin kita apabila bercakap tentang kemajuan, lebih banyak memikirkan kemajuan ekonomi dan sains , bukan kemajuan agama untuk kehidupan bangsa.Memang sebaiknya ulama juga memainkan peranan penting. Cuma kita minta ulama tersebut juga luas fikirannya terhadap pelbagai masalah kehidupan profesional dan moden yg semakin kompleks sistem dan implikasinya.

Sdr Marniyati,
Baru-baru ini kami berkesempatan bertemu Tim. Perdana Menteri/Menteri Pelajaran, dan antara kami menyampaikan pandangan . Saya sendiri atas nama Presiden Pena menghulurkan surat
tentang issu PPSMI dengan cadangan : mengembalikan BM sebagai bahasa penghantar sains dan matematik di SEKOLAH RENDAH & SEKOLAH MENENGAH; dan MEMPERKUKUH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA INGGERIS. Sudah bermacam-macam cara dilakukan untuk memujuk pemimpin kita. Hanya Tuhan yang Maha Berkuasa.

Sdr Farmilia,
Saya kira pemimpin Melayu yg sudah sangat lama berkuasa sbg pemimpin UMNO terlalu berpuas hati dengan kedudukannya yg bertahun-tahun. Ini menimbulkan kelalaian sehingga berasa apa saja dilakukan tidak akan tergugat.Mereka menjadi tidak sensitif lagi kpd nasib dan kepentingan Melayu. Tetapi keadaan sosial berubah pantas yg menangkap mereka dlm igauan dan kealpaan. Dari segi masyarakat Melayu keseluruhannya , hari ini adalah hari kebangkitan yang positif, dan harus terus diperjuangkan dengan segala kekuatan intelektual, rohani dan jasmani.

Sdr Faizal,
Terima Kasih atas kesudian berhubungan dengan saya. InsyaAllah.

Sdr adila,
Selama-lamanya masyarakat guru itu penting bukan sahaja membina akal budi generasi kanak-kanak, tetapi menanamkan semangat patriotisme dan kesetiaan yang rasional terhadap tanahair dan tamadunnya. Pada zaman sebelum dan baru-baru merdeka merekalah kelompok penduduk yg menentukan corak politik UMNO.

Sdr Sheikh Mustapha,
Terima kasih atas komentar sdr. Malahan saya telah menghubungi pihak Dewan Sastera supaya membaca komentar sdr itu dlm blog ini.
Saya akan cuba fikirkan cadangan sdr yg menarik itu. Saya setuju tulisan yg berjela-jela tak mungkin lagi menangkap perhatian pembaca yg sudah sangat sibuk dan terdedah dengan ribuan maklumat serta imej visual setiap hari.

D'Rimba said...

Terima kasih ayahanda saya amat bahagia dapat bertemu ayahanda di Perhimpunan Penulis Muda.....Semoga saya dapat membantu kalian pejuang bahasa sekalian...Terima kasih ayahandaku yang amat kuhargai sepenuh hati ini....

D'Rimba said...

Izinkan saya membuat pautan blog ayahanda di blog saya pada lambang PENA selaku pemimpin PENA sekarang ini.

bahazain said...

Salam Sdr D'Rimba
Meskipun seketika kita dapat bertukar pandangan. Memperkaya pengalaman berinteraksi dengan generasi muda. Kami sedang melepaskan baton perjuangan untuk yg lebih bertenaga dan optimis. Tahniah

juilis69 said...

Dasar PPSMI membunuh kuasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan negara. Tulisan Dato sepatutnya dibaca oleh ahli-ahli politik negara. Dibahas dan dikupas dengan lebih mendalam. Penguasaan PPSMI dalam kalangan pelajar luar bandar khususnya di Sabah, ternyata jauh panggang dari api namun yang ironisnya PPSMI masih bernyawa sehingga kini.