SAMPAI KHABAR ANGIN PPSMI AKAN DIUMUMKAN PEMBATALANNYA melalui satu kenyataan yang akan dikeluarkan esok. Alhamdulillah.
Begitulah pesanan yang tercatat pada skrin telepon bimbit dan juga komputer riba saya. Saya menerimanya dengan perasaan yang gembira bercampur hiba; gembira dan bersyukur kerana apabila benar, Tuhan telah memperkenankan segala doa, perjuangan ikhlas dan pengorbanan banyak pihak yang menentang suatu dasar kerajaan; hiba kerana kesal begitu
banyak dialog, perdebatan, malahan pertengkaran, keji mengeji dan membenci dikeluarkan begitu lama. Sepatutnya waktu 7 tahun itu dimanfaatkan dengan bekerja kuat memodenkan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa ilmu dalam bidang agama, kemanusiaan, sains dan teknologi.
Walau apapun kita patut memberi pujian kepada Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalannya YB Datuk Dr Fuad Zarkashi kerana dengan fikiran yang waras, bijaksana serta cinta kepada tamadun bangsa keturunannya, berani membawa isu ini ke tengah-tengah kelompok pemimpin politik yang bertanggungjawab membuat keputusan pentadbiran negara.
Dalam suatu hal bolehlah kita tafsirkan juga keputusan ini ( kalau betul dan benar seperti yang kita semua kehendaki), berupa suatu perbuatan bertaubat daripada dosa kebudayaan besar yang dilakukan oleh pemimpin politik pada tahun 2002 kerana bersubahat dengan Perdana Menterinya yang menjerumuskan Bahasa Melayu ke lembah penghinaan. Masih lagi diingat nama-nama beberapa Menteri Besar, Ketua Menteri, dan Menteri Kabinet yang melompat menyokong Perdana Menterinya pada waktu itu (Dr. Mahathir) yang bertanggungjawab meminggirkan Bahasa Melayu di sekolah.
Ini adalah suatu peristiwa tragik, luka sejarah berdarah dalam sejarah perkembangan Bahasa Melayu dalam kebebasannya pada zaman merdeka. Ini adalah suatu contoh teladan serta pelajaran bagi bangsa Melayu sendiri bagaimana kebudayaannya boleh bila-bila masa ( kerana leka , lalai dan menyerah segalanya kepada pemimpin) boleh diinjak-injak di depan mukanya sendiri. Sangatlah mengaibkan.
Peristiwa ini juga mengajar kita insaf akan kenyataan hidup manusia, iaitu kemelut atau krisis menguji bukan sahaja keberanian seseorang, tetapi menunjukkan wataknya. Bayangkan apabila bahasa kita mula-mula dijerumuskan pada tahun 2002/2003 hanya segelintir penulis, ilmuwan dan pendidik yang bersuara lantang menentang. Ramai yang lain, yang hidup senang atau terkenal masyhur berkat menggunakan BM dalam pekerjaannya setiap hari, membisu dan mendiamkan diri. Malahan ada yang memuji atau memuja PM pada waktu itu. Hanya apabila gelombang penentangan itu menemukan badai dan ombak besarnya barulah mereka menunjukan muka dan malah menjadi wira pejuang BM. Tak apalah, maafkan saja kerana dalam setiap perjuangan begitulah keadaannya di mana-mana , bukan di Malaysia sahaja. Apa yang penting ialah kita belajar daripada sejarah, kalau tidak mahu dikecewakan lagi oleh sejarah pada masa depan. Jangan sudah terhantuk, baru tengadah.
Pengajaran kepada pemimpin pula yang dapat ditimba daripada peristiwa luka sejarah ini ialah seperti kata peribahasa Melayu: Menengadah membilang kasau, menunduk membilang gelegar. Apabila membuat keputusan itu difikirkanlah masak-masak terlebih dahulu. Jangan kerana kita ada kuasa di atas rakyat, boleh berbuat sesuka hati sahaja. Macam diktator, Firaun atau Sultan zaman kuno.
Bersabarlah kita menunggu hari esok. Sekali terhantuk , dua kali tengadah. Barangkali ada banyak masalah lain lagi yang perlu diperhalusi ekoran daripada keputusan esok.
5 comments:
Salam dato.
Saya juga ada menerima beberapa sms tentang hal ini.
Alhamdulillah, jika akan dihapuskan terus. Selain itu, ada pendapat yang mahukan masa untuk mempelajari bahasa Inggeris ditambah. Saya sebenarnya tidak bersetuju tentang usul itu.
Untuk meningkatkan pengetahuan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, seharusnya Kementerian Pelajaran patut mengkaji kembali silibus dan pedagogi yang diamalkan di sekolah. Selama 12 tahun bahasa Inggeris diajarkan di sekolah, mengapa, majoriti pelajar keluar dengan penguasaan bahasa Igggeris yang minima? Jawapan kepada persoalan ini perlu dicari.
Begitu juga dengan bahasa Melayu. Mengapa, setelah belajar belasan tahun bahasa Melayu, kebanyakan pelajar di bandar lebih selesa dan yakin menggunakan bahasa Inggeris. Ada kecenderungan dalam kalangan pelajar bandar, khususnya yang berasal daripada keluara elit dan golongan pertengahan, berasa malu dan mengelak daripada bercakap dalam bahasa Melayu. Saya yakin, isu ini tidak sahaja menyentuh pedagogi dan silibus bahasa. Ia berkaitan dengan persepsi yang salah, yang bermaharajalela dalam kalangan masyarakat kita, yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, sehingga terlupa, bahawa, yang didukung di negara ini ialah bahasa Melayu.
Salam Dato',
saya setuju dengan pandangan sdra Lufti, saya harap pengumuman esok (kalau jadi) memberikan ruang dan peluang kepada semua pihak terutamanya DBP untuk merangka pelan pemerkasaan BM di peringkat akar umbi hingga ke peringkat global. Sebagai pengguna BM, sudah semestinya, BM didaulatkan..
Assalamualaikum
Sdr Lutfi & Julius
Pengumuman membatalkan PPSMI saya kira bukan penyelesaian yang tuntas. Betul ada banyak masalah lagi pada peringkat pelaksanaan; dan perlu penegasan semula tentang falsafah pengiktirafan BM sebagai bahasa pengantar utama dlm pendidikan kebangsaan.
BM mesti diperjuangkan sebagai bahasa komunikasi kebangsaan yang utama.Selaras dengan itu dan untuk tujuan itu juga BM harus segera menempuh tahap kedua pembinaannya, iaitu ke arah bahasa ilmu. Dengan demikian baru BM dipandang penting, berfungsi sosial dan bernilai ekonomi untuk rakyat
menguasainya.Kita harus sama-sama memikirkan pelbagai pendekatan, metode dan bahan pendidikan di sekolah, dan strategi apa yang perlu dirancang oleh DBP mulai sekarang. Pemimpin juga harus menunjukkan contoh melalui keselesaannya bertutur BM secara penuh. Jadi perjuangan kita belum selesai; dan masih jauh.Mari kita berfikir prokreatif dan kritis.InsyaAllah.
Salam, Dato';
"Pembatalan" PPSMI kelak diharapkan agar dapat memerdekakan kemarahan yang bersarang dalam dada kita yang tergolong sebagai penentang PPSMI dan pelopornya. Cuma, bilakah pembatalan itu akan berkua kuasa - serta-merta atau selepas setahun dua.
Jika dibatalkan dengan semerta, bagaimanakah kelak dengan buku-buku teks kedua-dua mata pelajaran yang bertunjangkan bahasa Inggeris itu? Hm, banyak duit kerajaan (duit kita juga) yang akan telah tertumpah ke longkang hanya kerana idea bodoh membahasainggeriskan kedua-dua mata pelajaran itu.
Jika betul dibatalkan, TAHNIAH saya ucapkan kepada pejuang-penentang dasar PSSMI itu, termasuk Dato' sendiri, Pak Samad Said, Prof Abdullah, dan yang lain-lain.
Kita harapkan realiti ini tidak menjadi igauan yang lain. Kita percaya dan setuju Dato' bahawa telah terlalu banyak masa kerajaan habiskan dengan mencari jawapan kepada "yang mana hujung dan yang mana pangkal" dalam soal ini.
Post a Comment