Tuesday, 14 July 2009

ANEKA JENIS TANGGAPAN TERHADAP BERAKHIRNYA PPSMI

Menteri pelajaran, Muhyiddin Yassin, telah membuat keputusan. Dia telah menendang bola di kakinya ke pintu gol yang betul. PPSMI akan dimansuhkan pada 2012. Mantan Perdana Menteri, Mahathir, tidak setuju. Tak apa. Tidak semua keputusan akan dipersetujui oleh semua. Itu suara minoriti kecil; tak akan memberi kudis. Anggap sahaja sebagai suatu kenyataan demokratik yang biasa terjadi.

Apa yang penting semuanya dibuat tanpa menggunakan kekerasan atau kedudukan politik seseorang yang memegang kekuasaan sebagaimana PPSMI itu dipaksakan pada tahun 2003. Itu tidak demokratik, tetapi tindakan authoritarian walaupun dikatakan sebagai keputusan kolektif Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet. Pemansuhan PPSMI sekarang ini pun direstui oleh Majlis Tertinggi UMNO serta Kabinet . Justeru itu , ia adalah suatu keputusan kolektif juga. Jadi kenapa Mahathir yang pernah memimpin UMNO dan Kabinet beria-ia membantahnya kalau percaya pada prinsip keputusan bersama kolektif dalam hal ketentuan dasar negara? Prinsip apa sebenarnya yang difahami dan dipegangnya ? Bersaksikan lutut sendiri?

Kita semua jangan bersikap apologetik mempertahankan bahasa Melayu kerana ini bahasa kebangsaan negara yang disemat kemas untuk menjadi salah satu asas pokok Perlembagaan Persekutuan. Lebih daripada itu ia adalah bahasa Melayu daripada bahasa tamadun rumpun Melayu di Nusantara, dan harus dipertahankan bukan sekadar dengan air mata, tetapi dengan darah sekalipun.

Mahathir memang faham akan hal ini sebab itu dia mengumumkannya hanya beberapa bulan sebelum meninggalkan kerusi kepimpinannya kerana dapat membayangkan penentangan gencar daripada penulis dan ilmuwan. Sayangnya dia meneruskan usaha mempertahankan PPSMI setelah mata rakyat terbuka, fikiran rakyat diyakinkan dengan kajian-kajian ilmiah yang bebas, sedangkan hujah-hujahnya sendiri sangat lemah; berasaskan ketaksubannya terhadap bahasa Inggeris . Anggap sahajalah bahawa lebih banyak tanggapan dan sikap yang bertentangan lebih membijaksanakan kita tentang tingkah laku manusia.
*****

Paparan blog ini pada 8 Julai tentang PPSMI telah menerima reaksi yang cukup menarik daripada pembaca . Ada yang mempersoalkan kenapa perlu menunggu 2012 ? Ada yang bimbang, sangsi dan malah berwaspada kalau-kalau kerajaan betul-betul jujur. Ada yang mengistilahkannya PPSMI diteruskan 3 tahun lagi. Pembaca yang lain menyoal apakah pemartabatan bahasa Melayu ini hanya di sekolah rendah sahaja, dan bagaimana peringkat atas sampai ke universiti ? Reaksi yang cukup menarik juga ialah apa yang penting ialah memartabatkan bangsa , bukan bahasa.( Sila lihat komentar pada posting yang lalu).

Pada umumnya dapat dibaca bahawa di dalam masyarakat sekarang kepercayaan orang terhadap kejujuran pemimpin politik sudah goyah. Ramai yang tidak lagi menaruh keyakinan terhadap suara dan janji-janji pemimpin. Harapkan pagar, pagar makan padi. Yang lain pula sudah tidak berasa sabar untuk menunggu BM dinobatkan segera kerana telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada para pelajar mengikuti ilmu pengetahuan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, dan kesulitan ramai guru untuk mengajar dalam bahasa Inggeris.

Hubungan ilmu dengan bahasa ini sangat-sangatlah penting kerana melalui bahasa
yang difahami oleh guru dan pelajar maka baharulah ilmu boleh diperkembangkan. Sebagai contoh konkrit apabila PPSMI dilaksanakan rupa-rupanya sekolah kebangsaan Cina diberi izin khas untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Cina. Hasilnya prestasi kelulusan UPSR (2008), pangkat A dalam sains dan matematik, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina jauh lebih tinggi daripada Sekolah Kebangsaan. Ini membuktikan pengajaran dalam bahasa ibunda , dan menjawab soalan dalam bahasa ibunda jauh lebih baik daripada bahasa Inggeris. Elok juga dipertanyakan kenapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi keistemewaan, dan siapa yang membenarkannya?

*****

Berbalik kepada soal kemajuan bangsa, kiranya perlulah difahami benar-benar apa yang diertikan dengan kemajuan itu (baik untuk bangsa ataupun individu ). Kemajuan itu harus dilihat daripada dimensi rohani dan jasmani; akhlak dan kebendaan; kemahiran dan kebijaksanaan; teknologi dan kemanusiaan; etika dan budaya; dan tentu sekali dunia dan akhirat. Jadi bukan kejayaan material, ekonomi dan teknologi sahaja tanpa akhlak dan budi pekerti atau keperibadian.

Pada suatu waktu dahulu skandal kewangan pertama yang terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku sekitar tahun 80-an ( Skandal Kewangan BMF) sehingga menyebabkan kematian individu yang tak berdosa. Orang-orang yang terlibat adalah mereka yang sangat profesional, berwatak global, berkelulusan tinggi dan sangat hebat berbahasa Inggeris yang canggih. Jadi janganlah kita terlalu taksub dengan bahasa Inggeris sebagai syarat mutlak untuk memajukan umat Melayu dan Satu Malaysia.

Kalau mahir berbahasa Inggeris pun , kalau khianat pada bangsa sendiri, tidak berakhlak dan mata duitan, rasuah dan nepotisme, tidak suka berkorban kepada nasib budaya dan masyarakat, tidak juga ada gunanya. Orang yang berwatak seperti ini sangat berbahaya pula kepada kesejahteraan negara. Terutama kalau dia menjadi pemimpin lagi berbahaya. Demikian juga kalau pasih dan pintar berbahasa Melayu tanpa akhlak yang baik, sama sahaja. Jadi janganlah mempermudah makna kemajuan itu, dan melihat kepada bahasa Inggeris dengan penuh mistik dan ketakjuban.

Ada tokoh politik yang cuba mempertahankan PPSMI dengan rasional mengutip peristiwa kemajuan tamadun Islam dan Jepun.Islam maju ilmu pengetahuan falsafah , sains dan tekonologi pada sekitar 9 abad dahulu dengan menterjemah falsafah dan ilmu pengetahuan asing seperti dari Yunani, tidaklah pula mengajar balik segala ilmu itu dalam bahasa asing. Demikian juga Jepun serta Korea mengkaji ilmu dan teknologi Jerman walaupun melalui bahasa Jerman, tidak pula mengajar sains dan matematik di sekolahnya dalam bahasa Jerman. Kenapa kita cuba mengemukakan hujah dengan kebenaran yang separuh betul?

Pemikiran yang rasional harus berdasarkan fikiran yang rasional dan kejujuran untuk mencari kebaikan, bukan menggunakan lojik untuk memberi justifikasi kepada tujuan yang salah dan fikiran yang dikelabui oleh emosi. Keadaan seperti ini bukan sahaja boleh dianggap tidak rasional ( kelemahan-kelemahan biasa bagi kita manusia biasa), tetapi kalau berterusan menjadi anti-rasional ; sangat menyedihkan kerana ia adalah sikap yang anti-intelektual. Sampai bila pun kita tak akan mahu melihat kebenaran.

***
RUMUSAN Pembicaraan Bahasa Melayu:
GENERASI MUDA HARI INI MESTI MENYAMBUNG SEMULA PERJUANGAN MEMBINA BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU UNTUK SEMUA KAUM. PERJUANGAN BAHASA MELAYU ITU BELUM SELESAI---Dengan Keringat, Air Mata dan Darah.

7 comments:

Faizal said...

Jemput sama-sama memperjuangkan sains dan teknologi dalam bahasa ibunda mengikut kepandaian dan kebolehan masing-masing. Sama-sama kita 'merakyatkan' sains dan teknologi di majalahsains.com

Marniyati said...

Salam, Datuk Baha.

Sememangnya kita tidak dapat mengelak dari terus berasa risau. 2012. Apa sahaja boleh terjadi dengan anjakan masa. Apalah salahnya jika ia dimulakan dengan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 tahun hadapan (2010), bukankah itu lebih menepati konsep 'pemansuhan secara beransur-ansur'?

Kami masih risau. Kita tetap risau. Tidak ada jaminan atas segala janji manis politik.

lutfi said...

Salam Dato.
Mahathir memang anti-intelektual. 20 tahun telah membuktikannya. Harap diberikan hidayah untuknya.

ZULKIFLI said...

Salam, Dato';

Tun Mahathir, semasa hendak melaksanakan PPSMI itu, tidak mengendahkan langsung komen dan tentangan orang. Diteruskannya juga idea songsang itu. Sekarang, beliau hendak menggunakan dapatan undian/bancian di dalam blognya (yang khabarnya lebih 80% membantah pemansuhan PPSMI itu) dengan harapan orang (Menteri Pelajaran dan yang lain) mendengar dan mengambil peduli bantahannya. Aneh manusia itu. Apa-apa yang dilakukan beliau sehingga menggores perasaan rakyat marhaen tampaknya seperti akan dirasai pula oleh beliau. Seperti kata Sdr Lutfi, semoga Allah SWT memberinya hidyah. Amin.

juilis69 said...

Dengan mansuhnya PPSMI,pasti pencapaian pelajar di luar bandar khususnya Sabah akan meningkat disamping memperkasa pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Pelajar di Sabah, akur dengan keputusan bijak itu dan pada masa yang sama mahu juga menguasai Bahasa Inggeris. Hal ini bertitik-tolak dari aspek pedagogi guru BI dan bukan semata-mata ditentukan oleh PPSMI.

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Faizal.
Saya sudah menjenguk halaman sdr, dan sangat menarik serta penting untuk tatapan tentang sains dlm bahasa Melayu. Setinggi tahniah. Saya harap ramai yang akan mengetahuinya.

Sdr Marniyati
Sebenarnya ramai yang menyoal tentang hal ini, takut-takut kerajaan mungkir janji. Kalau itu terjadi saya percaya kerajaan BN akan hilang langsung kepercayaan serta sokongan orang Melayu. Kita tunggu dan terus berdoa.

Sdr Lutfi
Apa yang kita dapat pelajari drpd peristiwa anti intelektual ini? Politik itu matlamatnya kekuasaan, dan apabila menjadi ahli politik keutamaan adalah kekuasaan yang boleh memusuhi intelektual kerana matlamat intelektual adalah kebenaran dan kemanusiaan.Seorang intelektual yang menjadi politikus lebih berbahaya. Seorang politikus yang berubah menjadi intelektual boleh menjadi kawan.

Sdr Zulkifli,
Mudah-mudahan Mahathir akan benar-benar insaf akan segala keterlajurannya pada suatu ketika supaya dia tidak terus diseksa hatinya dalam kealpaannya.Dalam banyak hal dia banyak juga jasanya.
Tuhan Maha Penyayang.

Sdr Julius
Pembangunan mental peribumi di Sabah itu sangat penting kerana kemajuan sosial negara harus berimbang antara semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Semoga dasar baru ini akan memberi impak besar terutama di Sabah itu melalui pemartabatan BM dan pemantapan BI.

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Faizal.
Saya sudah menjenguk halaman sdr, dan sangat menarik serta penting untuk tatapan tentang sains dlm bahasa Melayu. Setinggi tahniah. Saya harap ramai yang akan mengetahuinya.

Sdr Marniyati
Sebenarnya ramai yang menyoal tentang hal ini, takut-takut kerajaan mungkir janji. Kalau itu terjadi saya percaya kerajaan BN akan hilang langsung kepercayaan serta sokongan orang Melayu. Kita tunggu dan terus berdoa.

Sdr Lutfi
Apa yang kita dapat pelajari drpd peristiwa anti intelektual ini? Politik itu matlamatnya kekuasaan, dan apabila menjadi ahli politik keutamaan adalah kekuasaan yang boleh memusuhi intelektual kerana matlamat intelektual adalah kebenaran dan kemanusiaan.Seorang intelektual yang menjadi politikus lebih berbahaya. Seorang politikus yang berubah menjadi intelektual boleh menjadi kawan.

Sdr Zulkifli,
Mudah-mudahan Mahathir akan benar-benar insaf akan segala keterlajurannya pada suatu ketika supaya dia tidak terus diseksa hatinya dalam kealpaannya.Dalam banyak hal dia banyak juga jasanya.
Tuhan Maha Penyayang.

Sdr Julius
Pembangunan mental peribumi di Sabah itu sangat penting kerana kemajuan sosial negara harus berimbang antara semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Semoga dasar baru ini akan memberi impak besar terutama di Sabah itu melalui pemartabatan BM dan pemantapan BI.