Thursday 1 October 2009

MALAPETAKA dan KEPERIHATINAN KITA

Sudah lama benar rasanya saya tak berbicara kepada saudara-saudara sekalian. Malam ini saya terpanggil untuk berkata sesuatu setelah mengalami perasaan yang berat dan sedih melihat berita di TV tentang anak-anak yang nampak traumatik bersama-sama ibu-ibunya merintih atas kehilangan kesayangan mereka.

Tiba-tiba bencana alam melepaskan tenaga kemusnahannya belum lama Eidulfitri berlangsung, dan kita masih meraikannya. Ribut, gempa dan tsunami seakan-akan berpakat mengehempas alam di sekeliling kita. Apakah rahsianya? Baharu sahaja sebulan kita berpuasa demi mencari takwa, memohon rahmat dan syurga-Nya. Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Tuhan kerana kita di sini tidak menderitai malapetaka alam iu secara langsung walaupun berasa pilu melihat saudara mara dan jiran tetangga kita Indonesia, terutama di Padang dan Jambi , dililit penderitaan, kesakitan dan kepedihan jiwa raga.

Meskipun ramai antara kita baharu saja berasa marah dan kecewa apabila sejumlah penduduk
di Jakarta dan media Indonesia mencerca dan memaki hamun negara kita, tetapi dalam tragedi yang menimpa rakyat biasa di Sumatera itu janganlah sampai kita tidak ambil peduli langsung sebagai melepaskan dendam. Kalau kita tidak dapat menghulurkan bantuan secara langsung , kita boleh berdoa supaya Tuhan mengurangi penderitaan mereka dan segera mencucuri pertolongan dan rahmat kepada yang malang; menenangkan hati dan menyemai kesabaran
dalam kesusahan yang demikian besar.

Mudah-mudahan juga kerajaan serta Palang Merah Malaysia akan segera menghantar apa jua bantuan makanan, pakaian, perubatan, dan rawatan kepada mangsa-mangsa yang ramai. Ini hari mereka, mungkin lain kali hari malang bagi kita pula. Kalau kita tidak mudah membenci orang, malahan berniat baik untuk meringankan kesusahan orang, InsyAllah Tuhan akan melapangkan kesusahan kita .

Bencana atau apa jua malapetaka yang menimpa tetap mengandungi amaran, peringatan dan
pengajaran bagi semua bangsa supaya kita saling hormat menghormati, memahami dan menyayangi manusia lain di atas bumi yang sebenarnya sangat kecil dan rapuh . Marilah kita mendidik diri kita untuk mencintai Tuhan yang selalu sayang dan cinta terhadap umat-Nya.
Marilah kita belajar bijaksana bahawa kita ini sangatlah tak berdaya di dalam kenyataan cakerawala yang hebat ini, kecuali dengan kekuatan doa yang direstui oleh Tuhan yang Maha Pencipta.

7 comments:

Ampuan Awang said...

Assalamu'alaikum...

salam raya dari saya. tentang malapetaka dan keprihatinan kita memang sukar nak diulaskan. keduanya saling menjalar dan mungkin akan berpaut sama. tapi sememangnya ada hikmah atas segala kejadian Allah SWT sudah tentukan. Cuma kita harap kesedaran itu datang sebaik saja musibah melanda. peliknya kita, hanya menunggu bala sampai barulah mengaduh memohon pada Tuhan.

Di sana kena ribut, di sana kena gempa tapi orang kita masih leka. tak semua melapangkan deria telinga mendengar perkhabaran berita tentang ribut dan gempa. bertambah pelik apabila, ramai tiba-tiba berhimpun ke halaman masjid apabila amaran Tsunami dibunyikan. ditanya mengapa? jawab mereka; "di sini selamat, sebab masjid di Aceh dulu tak masuk air masa Tsunami dulu...". bukan setakat kelompok kita saja. eh tiba-tiba pula ada cina dekat perkarangan masjid. aduh, pelik sungguh. mereka tak pelik tapi kita yang merasa pelik...

Amin-MASSA said...

Salam,,,

Amin... Semoga Allah mengurangkan penderitaan kepada diri mereka...

DANGAU HIJAU said...

Menjadi manusia melayu malaysia memang diduga dengan ujian. selalu menghadapi dakwaan mencuri kebudayaan orang lain sehingga membawa kepada kekhuatiran keselamatan diri. namun menjadi manusia melayu malaysia juga selalu mudah merasa kasihan kepada orang lain.sanggup melupakan perkara lama dan menghulurkan bantuan walaupun baru luka baru sembuh.

ZULKIFLI said...

Salam, Dato';
Sesungguhnyalah, "petaka" itu memang "mala" sifatnya dan dengan yang demikian, kita sering berdoa ke hadrat Allah agar dijauhi "malapetaka". Tetapi yang sedar dan berdoa agar dijauhi malapetaka itu berapakah jumlahnya berbanding dengan yang secara sedar dan tidak sedar mengundang petaka-Nya. Aduh, seperti bahasa Melayu, yang mendoakan keberterusan dan kedaulatannya berapa kerat?

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Maha kuasa Allah. tiadalah daya upaya hamba-hambanya untuk menyekat dan menghalangnya.... Semoga Allah mengurangkan penderitaan kepada diri mereka... Amin


sila layari: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/
Beraya dan dan kisah tak balik raya...

bahazain said...

Assalamualaikum,
Sdr Ampuan Awang
Akhir-akhir ini ribut, banjir dan gempa seolah-olah berpakat membalas dendam terhadap penduduk Asean.Kajian alam ada penerangannya, tetapi semunya dengan kehendak Tuhan jua.Dan semuanya juga mengejutkan kita daripada kelalaian terhadap memuji Allah yang Maha Suci setiap hari.Jadi di situpun terpendan hikmahnya.

Sdr Amin,
Memang tak rugi kita memberi sedikit waktu untuk dari jauh mendoakan keringanan terhadap mangsa yang sedang menderita.

Sdr DANGAU HIJAU
Melayu memang bangsa yang baik hati, selalu kompromi dan memberi. Cuma kita kena ingatkan : ada batas tertentu. Kalau tidak kita akan diambil kesempatan oleh orang yang tamak haloba dan tak reti berterima kasih.

Sdr Zulkifli,
Saya kira yang insaf dan bertindak memang tak ramai dalam sesuatu peristiwa.Tak ramai, tapi kalau terus bersuara hasilnya akan ada juga, seperti yang sdr sebutkan tentang bahasa Melayu kita. Alhamdullillah bergerak juga kalau pun masih belum memuaskan. Masih perlu kita diperjuangkan lagi.

sinaganaga said...

Baki buluh buat lemang masih ada lagi ni. Saya ingat nak sedekah ke Jakarta-lah Dato'.

Eh lupa, Selamat Hari Raya kepada Dato' dan Datin. Dengan ucapan, Hari Raya ni saya tak dapat balik ke Malaysia kerana masih bertugas di perbatasan. :)