Wednesday, 4 November 2009

SINGAPURA:DALAM SUKA & BENCI (2)

Beberapa jam sebelum keluar meninggalkan hotel Peninsular Excelsior di Jalan Coleman saya bersembang-sembang di lobi hotel dengan Dr. Liaw Yock Fang ( pengkaji sastera Melayu), dan Encik Goh Choo Keng yang dahulu pernah menjadi penulis di Berita Harian Singapura. Dalam perbualan itu timbul topik politik penduduk Singapura dan Malaysia.

Encik Goh bertanya apa pandangan saya tentang masyarakat Melayu di Singapura. Saya memberitahunya pandangan saya secara sepintas lalu dan pada kulitnya sahaja, orang Melayu adalah penduduk minoriti berbanding jumlah besar penduduk Cina yang kuat ekonominya, dan mendominasi politik pemerintahan,maka tentulah orang Melayu berasa terhimpit dan tak selesa. Mereka hanya ada kira-kira 14 % sahaja, dan diidentifikasi sebagai Jawa, Boyan, India Muslim, etc. Mereka pun tak terkenal menduduki jawatan penting dalam angkatan tentera serta keselamatan, menteri kabinet, perkhidmatan awam dan malah ekonomi Singapura. Setahu saya hanya masjid di kawasan Kampung Gelam sahaja yang diizinkan melaungkan suara azan apabila tiba waktu solat. Saya tak pasti apakah orang Melayu Singapura sudah menerima semua ini sebagai suatu hakikat yang tak ada pilihan lain lagi di bawah pemerintahan pemimpin yang ada.

Beliau terus bertanya tentang masyarakat Cina di Malaysia. Saya beritahu bahawa penduduk Cina di Malaysia adalah penduduk minoriti seperti Melayu di Singapura. Nasib minoriti Cina Malaysia ini tak sama dengan nasib minoriti Melayu yang ada di Singapura. Masyarakat Cina Malaysia tak boleh banyak merungut tentang nasibnya kerana beberapa faktor yang memihak kepadanya. Pertama mereka menguasai kekuatan ekonomi Malaysia. Sudahlah begitu beberapa tokoh mereka menjad menteri kabinet dan timblan menteri. Jadi dalam ekonomi negara mereka kuat, dalam politik nasional pun mereka ada pengaruh besar. Dalam bidang kebudayaan penduduik Cina ada sekolah-sekolahnya dan sejumlah sekolah Cina diberikan bantuan wang kerajaan pula oleh Menteri Pelajaran Melayu. Di mana ada dalam negara-negara ASEAN masyarakat Cina bebas mendirikan sekolahnya dan mengamalkan adat resam , bahasa dan kebudayaannya. Malahan sekarang dengan slogan 1 Malaysia semua unsur budaya etnik menjadi halal dalam upacara atau majlis-majlis kebangsaan. Bandingkanlah situasi ini dengan yang ada di Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, dan malah Singapura sendiri. Di Indonesia dan Thailand nama orang Cina pun diThailandkan dan diIndonesiakan.

Saya juga menerangkan kepada mereka bahawa peniaga-peniaga Cina mengkritik kerana banyak memberi keutamaan kontrak kepada peniaga-peniaga Melayu. Saya beritahu mereka ini pun akhirnya menguntungkan peniaga dan usahawan Cina kerana orang Cina masih menguasai pemborong-pemborong besar, pembekal barang-barang , dan malah eksport import, terutama dari tanah besar Cina yang sedang merempuh pasaran negara. GLC spt Sime Darby, TNB, Telekom, Proton dan banyak lain itu bukan milik orang Melayu. Ia milik kerajaan , dan dalam banyak hal bersaing dengan usahawan-usahawan Melayu sendiri. Mereka telah menjadi kelas elit Melayu baru yang profesional serta pragmatik aka neo-feudal , berpandukan rasional untung rugi bottom line, berapa banyak dividen dan bonus akan diperolehi pada hujung tahun kewangan; bukan mesti memperjuangkan nasib rakyat Melayu yang masih ramai jumlahnya berada dalam keadaan yang ketinggalan atau disadvantage di luar atau di pinggir bandar.

Saya malah memberitahu mereka bagus kalau semua dunia tahu , orang Melayu yang konon menjadi penduduk asal itu , berapa peratus memiliki saham-saham korporat yang tersenarai, menjadi pemilik hartanah di ibu kota, kondominium, apartmen mewah, bangunan kilang, bangunan pejabat dan gedung perniagaan; dan berapa peratus menguasai profesion kedoktoran, kejuruteraan, arkitek, akauntan, peguam, dan pelajar pengajian tinggi di dalam dan di luar negara, supaya orang Melayu sendiri sedar akan kedudukan mereka vis-s-vis
penduduk minoriti.

Saya tidak pasti apakah Dr Liaw dan Encik Goh faham akan kejujuran percakapan saya yang tak berminat bermain politik dalam dialog dan sebarang urusan kehidupan budaya. Sayangnya oleh kerana kesuntukan waktu saya tak berkesempatan memancing fikiran serta reaksi mereka . Malahan dengan pengarang senior Singapura, Robert Yeo, yang saya kenali, tak juga sempat bersua muka untuk berdialog terutama tentang kegelisahan penulis-penulis berbahasa Inggeris di Malaysia dan Singapura.


(Bersambung....)

4 comments:

ZULKIFLI said...

Salam, Dato',
Keseronokan orang Melayu Singapura menjadi warga Singapura, dengan semua senario yang Dato' huraikan itu, agaknya sama seperti keseronokan orang Melayu bekerja di Public Bank, Genting, dan puluhan syarikat Cina lain. Orang-orang Melayu itu hanya mengutip gaji daripada jawatan sebagai kerani, pembantu pejabat, pengurus (seorang dua) sedang pembuat kata putus (COO, CEO, dll) ialah Cina-Cina itu.

Jawaban Dato' untuk pertanyaan Goh Choo Keng itu seharusnya bukan sekadar telah membuka matanya tetapi turut membelah tengkoraknya! Kita di Malaysia telah memberikan segala-galanya kepada mereka (Cina, India, dll)sedang di negara ASEAN lain, seperti kata Dato', mereka hanya beroleh sebahagian kecil daripada yang diperoleh orang seperti mereka di Malaysia.

lutfi said...
This comment has been removed by the author.
lutfi said...

Salam Dato'.

Setahu saya, jika di Amerika, kita senaraikan seratus orang terkaya di sana, agaknya berapakah berbangsa Cina? Cuba kita buat senarai yang sama di negara kita.
Salah satu yang 'tidak disedari' ialah betapa orang Melayu Malaysia ini tidak rasis dalam ekonomi.

Kisah seperti sebuah kedai Cina yang makmur di tengah-tengah kawasan berpenduduk Melayu bukanlah satu kisah menarik, malah sangat klise dalam konteks di negara kita.

Hal ini berbeza dengan sikap rasis ekonomi bangsa lain di Malaysia. Sebagai contoh, jika disenaraikan pengguna Celcom, agaknya berapakah penggunanya berbangsa Cina? Majoritinya pasti Melayu. Mengapa mereka lebih selesa menggunakan Maxis? Kata sesetengah orang, hal ini kerana Celcom yang dilabel sebagai masyarakat yang dikuasai oleh orang Melayu.

Namun, yang lebih malang saya kira bukanlah sikap masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Yang paling tragik ialah sikap pemimpin Melayu sendiri yang begitu sinis terhadap orang Melayu. Mereka menghentam budaya 'subsidi'. Tetapi yang sebenarnya, mereka inilah yang banyak menerima subsidi. Namun kerana mereka ini tergolong dalam golongan elit yang bebal, dan menguasai media-media, maka sudah tentu imej mereka digambarkan sebagai sangat berdikari, merdeka dan seterusnya.

Pola sikap yang sama ditunjukkan oleh pemimpin parti di Malaysia, termasuk parti oposisi. Dengar-dengarnya, sebuah parti 'Islam' di negara ini sendiri sudah tidak mahu lagi menarik undi orang Melayu dan bercakap tentang Melayu dikatakan sangat perkauman sikapnya.

Jadi akhirnya, situasi begini maksud saya, akan menyebabkan soal perbincangan tentang nasib Melayu dan lain-lain bukan sahaja dilihat sebagai sangat perkauman, rasis, tidak liberal, malah akan menjadi subjek taboo dalam masyarakat.

Berbanding isu seks bebas, gay, lesbian, dll - percayalah, satu masa nanti apa sahaja yang dikaiktan dengan frasa 'Melayu' akan menjadi lebih taboo daripada apa yang sudah sedia taboo di negara kita.

Ketika kita berada pada tahap itu, maka subjek taboo yang seterusnya, ialah 'Islam'. Mungkin ketika itu, Parti Islam Semalaysia yang kita kenal sebagai PAS itu, juga akan diharamkan, atau pun, akan menukarkan namanya kepada kata-kata lain, yang tidak dianggap taboo.

Wallahu'alam.

bahazain said...

Assalamualaikum,
Sdr Zul,
Saya mendapat kesan Melayu di Singapura sudah tak ada pilihan lain. Harus melakukan yang terbaik saja dalam situasi yang menyelubungi mereka. Ramai daripada mereka masih sakit hati terhadap pemimpin kita yang memutuskan Singapura ke luar dari Malaysia. Malah ada yg berkata kalau dia ke Malaysia dia hendak kencingkan kubur pemimpin2 Melayu yang dulu menyingkirkan Singapura ke luar.Melayu perlu bersikap adil kepada semua penduduk , tetapi harus tegas mempertahankan kedudukannya serta peruntukan2 perlembagaan dan menterjemahnya dalam dasar dan pelaksanaan pentadbiran negara.Kita mesti terus berani berdialog.

Sdr Lutfi,
Orang Melayu tak boleh apologetik, malu-malu dan berasa berdosa lagi memperjuangkan haknya. Walaupun dia Islam, tetapi dia Melayu. Walaupun dia Melayu, tetapi dia Islam. Bukan Islam-Arab atau Arab-Islam yang pepah seekor kambing panggang bagi 4 atau 5 orang.Melayu Kelantan itu walaupun Islam suka makan buduk, Melayu Melaka selera makan cencaluk, dan yang di Perak itu gulai tempoyak tak habis-habis walaupun bukan musim durian.Tuhan dah jadikan kita Melayu ,jangan was-was. Kita bukan kafir atau atheis. Jadi teruskan bercakap sebagai Melayu-Islam walaupun terhadap pemimpin politik UMNO atau PAS. Bangunkan semangat baru generasi muda yang cekal berdebat; kalau perlu memberontak
terhadap pemimpin politik yang mengkhianati kebudayaan Melayu dan Islam. Bagaimanapun kita tak usah bersikap rasis, menekan dan menindas ras lain; tetapi jangan sampai membisu membicarakan kenyataan ras dan kemajuan negara ini.Perinsipnya keadilan; dan keadilan itu bukan automatik bermakna sama rata.Kehebatan Islam yang dibawa oleh SAW itu ialah keadilan dan akhlak.