Thursday 4 February 2010

KE MANA BANGSA KITA SEDANG MENUJU ?

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Sains Russia, Kedutaan Besar Russia Membacakan Puisi Russia dan Malaysia di Rumah Pena, Dis.2009

Apakah politik negara sedang menuju kekacauan ?
Parti-parti komponen BN sedang goyah sehingga merosot keyakinan pengundi terhadapnya; dan parti-parti pembangkang dalam PKR juga tidak kurang berantakannya. Kestabilan pemerintahan negara mungkin tidak mantap seperti dahulu, tetapi negara ini sudah kukuh dan memiliki institusi pentadbiran, keselamatan, perundangan, dan kehakimannya yang ditadbirkan oleh kaki tangan bukan politik . Apa pun perubahan terhadap pemain-pemain besar politik di atas, tidak akan menggoncang negara secara traumatik. Di situlah letaknya keindahan atau poetry pemerintahan demokrasi Malaysia kecualilah ( ingat! kecuali) tercetusnya pertentangan kaum dan agama seperti konflik berdarah Mei 1969 yang menyebabkan demokrasi dan Parlimen ditangguhkan.

Ingat Tragedi Mei itu adalah satu pengajaran yang pahit . Ingat juga bahawa sentimen kaum dan agama ( terutama agama) masih menjadi potensi ledakan yang terpendam. Anehnya ramai pula yang berpendapat bahawa tragedi buruk yang berlaku 40 tahun dahulu telah menginsafkan penduduk daripada pelbagai kaum supaya jangan mudah celupar mulut dan terlalu ghairah memperjuangkan isu-isu yang condong untuk kepentingan sempit bangsa dan keturunan sendiri sehingga melupakan kenyataan-kenyataan tradisi, sejarah dan pengorbanan jiwa raga , keringat serta air mata pejuang-pejuang yang bersuara dan bertindak melawan penjajahan. Apakah rakyat Malaysia pada hari ini sudah lupa akan hakikat tersebut kerana ramai aktivis Melayu, Cina dan India adalah orang muda yang masih berhingus hidungnya dan dibersihkan najisnya oleh ibu bapa empat puluh tahun dahulu, iaitu pada tahun 1969 itu ? Berapa usia anda sekarang?

Sekarang ramai yang bersuara menuntut kebebasan sama rata; dan ramai pula pemimpin yang memberi gula-gula bahawa semua rakyat sama hak-hak dan kebebasannya. Mana ada manusia yang dilahirkan ke dunia sama rata ? Lelaki dan perempuan yang sebangsa dan seagama pun tak sama rata dalam hak-hak dan tanggungjawabnya. Apa yang ada ialah kesaksamaan (ekuiti) dan keadilan bukan sama rata. Perlembagaan yang menjadi landasan tata hidup negara juga tidak memberikan kebebasan serta hak-hak yang sama rata bagi semua dan setiap individu dalam semua dan setiap lapangan kehidupan. Tidak ada negara di dunia yang berbuat demikian walaupun peluang untuk berjaya di dalam hidup secara sah terbuka luas di depan.

Rakyat cerdik pandai boleh berdebat berhari-hari tentang hal ini seolah-olah
semua orang rasional, waras, sihat otak dan lupa akan tradisi , sejarah, keturunan dan pegangan agamanya. 1 Malaysia adalah gagasan yang mulia, dan usaha yang baik untuk menempatkan semua orang dalam kedudukan selesa dan terhormat di tanah air ini. Tetapi ia adalah formula yang hanya boleh berjaya apabila jelas memelihara dan tidak meminggirkan bahasa, nilai-nilai , tradisi mulia, dan agama setiap bangsa, terutama majoriti peribumi dan Islam.

Kita misti berterus terang dalam hal ini. Kita tak boleh memulai langkah dari 0 , nol, atau kosong. Kita ada Perlembagaan Persekutuan yang peruntukan-peruntukan fundamentalnya harus dijunjung dan dipatuhi. Kita jangan kelirukan diri sendiri atau orang lain untuk suatu kejayaan yang sementara.

Apa yang sangat penting ialah mari berterus terang dan bergaduh otak sekarang bagi mencipta masa depan anekawarna budaya yang kukuh serta penuh toleransi untuk semua rakyat peribumi, Cina, India, dan lain-lainnya. Hanya perlu diingat bahawa bukan semua adat serta kepercayaan boleh diangkat sebagai etos kebangsaan atau kita sengaja memaksakan sesuatu kepalsuan nasional untuk menunjukkan suatu kesatuan negara yang tulen. Kepalsuan tidak boleh mengambil alih pertumbuhan budaya dan bangsa yang tulen meskipun boleh dipujuk ke arah itu.

Ingat apa yang baru terjadi beberapa tahun ini apabila kerajaan cuba meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam usaha memodenkan pendidikan dan pemikiran generasi akan datang kerana tujuan hendak memajukan negara dalam persaingan dunia antarabangsa--sehingga istilah global menjadi kata-kata sakti pemimpin . Kecerdikan tidak selalu mengiringi kemodenan. Usaha itu telah mengikis kepercayaan ramai orang Melayu terhadap pemimpinnya gara-gara bekas Perdana Menteri overestimate pengaruh kekuasaannya dan gagal membaca emosi dan kepercayaan rakyat jelata. Mari kita jangan ulangi kebodohan ini dalam usaha mewujudkan satu rupa bangsa Malaysia yang modern dan damai.

Masyarakat Melayu sambil mempertahankan kedudukan haknya di sisi sejarah serta agama; dan kedaulatannya dari segi Perlembagaan, harus bersedia untuk berfikiran rasional, bekerja kuat, merebut ilmu dunia dan akhirat serta mengubah strategi . Cara biasa berfikir dan bertindak , suka berhibur dan menaruh kepercayaan bahawa pemimpinnya akan selalu meyelamatkan nasibnya adalah suatu kebodohan modern . Kalau mereka mahu berubah, berubahlah untuk pembaharuan dan kemajuan; bukan untuk kehinaan akhlak, intelektual dan ekonomi di mata orang, lebih-lebih lagi di mata Tuhan yang senantiasa menyeru kepada kebaikan :
"kerahmatan untuk semesta alam ".

8 comments:

SITI ZAINON ISMAIL said...

Datok, saya kecewa, sedih, lara membara...malam Jumaat pesta makan 51,000 di Kelibang. Dua larik puisi tumbuh membara cerita sabda dosa Sultan Mahmud 1 (datok boleh rujuk ke www.senirupasiti.blogspot.com)

Sham al-Johori said...

Salam rindu Dato',
Di tanah Kelibang itu juga, PM mengumumkan bahawa kita perlu membunuh toleran dan mengubahnya kepada 'penerima'. Ini kewalangan yang kian hancur apabila rakyat hanya diminta ssecara lembut untuk menjadi dan berfikiran secara 'penerima' sahaja. Al-Quran ada menjelaskan bahawa sebaik-baik manusia adalah yang bertakwa dan memberi. Tetapi PM telah mengajar kita untuk menjadi penerima yang kemudiannya akan terus dibodohkan tanpa hak bersuara secara toleran.

Saya mencari hikmah di balik kata-kata.

bahazain said...

Dr Siti,
Saya sudah membaca protes puitik dan calar luka pada perasaan sdr.
Mari kita terus tekal bersuara dan datang dengan gagasan budaya yang jujur.

Salam Sdr Sham,
Penerimaan atau acceptance tidak betul. Toleransi lebih rasional dan realistik. Kita boleh tolerate atau mewajarkan orang beragama lain minum arak atau makan
babi walaupun terasa jijik, tetapi kita tak boleh tolerate, lebih-lebih lagi terima bangsa segama berbuat demikian di depan mata kita.

'Terima' atau 'accept' boleh bererti setuju dan sanggup lakukan. Kalau tolerate boleh biarkan walaupun tidak setuju perbuatan itu.Ini semua akibat kekacauan semantik yang berkesudahan dengan kekacauan perbuatan atau juga kedua-duanya sekali kerana kekacauan/krisis prinsip. Kenapalah mudah sangat orang Melayu masuk ke dalam perangkap verbal?

jurukopi said...

'..Kita misti berterus terang dalam hal ini..'

bahagian ini yang paling sukar. ungkapnya mudah, mungkin.

imlan adabi said...

Masalah berlaku apabila kita memiliki pembesar yang salah. Orang yang dikaitkan dengan kes bunuh, dilantik tokoh besar negara. Kes kapal selam hilang menyelam. Orang yang ada salah laku moral luar tabii pun dikatakan ada karisma. Raja pula bersuara macam ahli politik hingga rakyat boleh menyelar secara terbuka

ZULKIFLI said...

Salam, Dato'

Kita, tampaknya, sudah semakin hampir ke takat hampir tidak punya apa-apa. Sudah dekat benar.

LELASARI said...

salam dato...

pertemuaan tempoh hari sungguh sungguh mengujakan ..

salam perkenalan dari saya

Lelasari

NASSURY IBRAHIM said...

Cerita lama - Nabi Nuh penegak agama, tetapi anak dan isteri penentangnya.

Begitukah pemimpin kita?