RAKYAT PERLU BEBAS DARIPADA WANG POLITIK
BERSIH DAN CERGAS MENJALANI KREATIVITI HIDUPNYA
Petang tadi tak sangka bertemu dengan orang politik. Ahli Parlimen yang punya Ph.D. Duduk semeja dan segera kami menjadi ramah tamah seolah-olah sudah kenal lama. Barangkali dia telah mengenali saya dari jauh dan tahu saya datang dari dunia minat yang sangat berbeza dengan dunia kekuasaan. Jarang -jarang saya menemui orang politik yang bercakap terus terang tentang persepsi golongan terpelajar atau profesional , malahan rakyat biasa, tentang orang seperti dia.
Dia tidak menyembunyikan pandangan negatif orang terhadap pemimpin rakyat seperti dia. Susah hidup kerana ramai yang sangat mudah mengkritik; ada sahaja yang tak kena. Politik sekarang sangat rumit, katanya. Saya memang selalu tidak memandang sangat hormat terhadap sesiapa sahaja yang berebut kekuasaan.Kali ini saya menaruh hormat dan simpati kerana YB nampak insaf akan persekitaran semasa yang kompleks, sangat banyak berubah, dan sulit diagak. Barangkali kerana dia bekas ahli akademik maka sikapnya lebih terbuka dan berani berterus terang. Sambil berterus terang secara tak langsung dia juga menyelar orang yang hiperkritis.
Saya seperti biasa tidak cepat memberi pandangan suka tidak suka, kecuali apabila sudah kenal lama lawan bicara. Saya lebih suka mendengar masalah orang, daripada menceritakan masalah pekerjaan sendiri. Kerana perkenalan singkat itu cepat mesra, saya sebut juga bahawa masyarakat sudah kurang percaya kepada pemimpin politik sekarang. Dahulu pemimpin adalah orang perjuangan yang memang sejak mula memasuki gelanggang bertujuan membela kemiskinan. Saya juga memberitahu YB masyarakat kita sudah jauh terlajak ke depan. Kalau mahu memperbetulkannya yang mungkin adalah terhadap generasi akan datang. Itupun mesti dimulai di peringkat sekolah secara struktural melalui perubahan besar dengan matlamat falsafah untuk membina akal budi manusia, bukan akalnya sahaja. Zaman ini sangat ramai orang yang berakal, cerdik, berpendidikan tinggi, berteknologi canggih, dan mempunyai kekuasaan besar. Tetapi itulah ; akal sahaja yang lebih.
Dia bersetuju. Barangkali dia masih memiliki banyak saki baki ilmu dari kampus, dan belum terlajak jauh berlawan menjatuhkan lawan kerana baru menjadi wakil rakyat. Kalau sudah lama berpengalaman luka, terluka dan melukai barangkali
dia tidak akan menjadi sensitif lagi --seperti sekarang. Dia masih manusia, belum menjadi political animal yang tebal muka, dan tebal telinga.
Sebenarnya tidak semua pemimpin politik itu jahat, mata duitan, rasuah, tidak telus dan penuh kepura-puraan. Masih ada yang bersih. Masih ramai yang kelabu alias separuh hitam. Tetapi kalau semua orang politik pula menyangka bahawa rakyat hanya mengharapkan ganjaran, peluang dan faedah dengan merapati mereka, tak betul juga.
Saya harap YB yang ini kekal menaruh kepercayaan bahawa masih ada orang yang diketemuinya bersikap jujur walaupun berfikiran berbeza.
Saya baru selesai menulis cerpen yang memberi pandangan simpati dan positif
terhadap watak utama yang bergelar YB. Dalam cerpen ini yang menjadi biang keladinya adalah watak-watak tambahan di sekelilingnya. Barangkali untuk menebus dosa saya yang selalu curiga terhadap YB . Jadi saya lepaskan sahaja tempeleng tangan kanan itu ke muka orang-orang kepercayaan di sekelilingnya yang barangkali lebih parah sikapnya berbanding rakyat biasa.
9 comments:
Saya berpendapat persepsi tidak dapat dihalang kerana terbentuk oleh realiti. Sebagai contohnya, banyak orang yang berpersepsi macam-macam terhadap Tun Dr Mahathir susulan daripada tindakannya yang tidak selari dengan kehendak umum.
Orang politik, dalam kelompok pemerintah, begitu juga. Tindakan mereka banyak yang melawan arus popular. Kebaikan yang dicurahkan terpadam oleh keburukan yang dilakukan mereka. Kebetulan kejahatan yang dilakukan memang banyak.
Mereka yang ikhlas dan menjadi sebahagian daripada kelompok itu seperti sosok yang Datuk ceritakan ini, mahu tidak mahu menerima tempiasnya. Inilah yang malangnya apabila kebaikan orang mula tidak dipercayai.
Semoga sosok itu tekal ikhlas dan sensitif akan keadaan ini.
Salam Sdr Zul,
Saya berpendapat apa jua persepsi masyarakat terhadap orang2 politik sekarang tidak bermua satu dua tahun ini, tetapi sejak rancaknya DEB dilaksanakan pada 80-han. DEB itu membuiat ahli politik menjadi lebih berorientasi kepada kebendaan dan mendorong mereka hendaj menjadi kaya sementara mengkayakan masyarakat . Akhirnya kepenting mengkayakan diri didahulukan bukan rakyat. Akhirnya melakukan pilih kasih; dan akhirnya korupsi. Dia bermula sejak zaman Mahathir, tetapi baharu hari ini rakyat menjadi sangat sedar lalu membalas dendam.
Oleh kerana ahli2 politik bersengkokol di bawah bendera kelompok parti, maka orang yang bersih pun tersapu sekali kerana dianggap bersubahat dengan rasuah, pilih kasih,ketidak adilan, pecah amanah dan penipuan.
Generasi pengundi muda sekarang lebih berminat terhadap isu-isu keadilan, ketelusan, integriti,
dan bukan lagi membaiki jalan, jambatan, bumbung rumah, orang luar atau orang tempatan. Bagaimana pun Hulu Bernam akan bercerita lebih banyak tentang
arah masa depan politik, tak kira siapa menang siapa kalah. Proses persaingan itu sendiri, dan cara BN &PKR mengerah tenaga wang ringgit, tenaga manusia, kemudahan agensi awam Persekutuan (BN) dan Negeri (PKR) akan memberi signal tentang apa yang akan berlaku pada pilihanraya akan datang.Menarik.
Sdr Zul,
maaf beberapa kesilapan ejaan pada jawapan saya; tergesa-gesa sangat menaip.
memang susah mahu jd pemimpin tp apabila sudah jd pemimpin kebiasaanya lupa daratan..
Salam, Dato';
Terima kasih, Dato'. Ulasan daripada jawaban Dato' itu tambah membuka mata saya.
Kesalahan ejaan yang tidak sampai mengelirukan fakta dalam wacana begini masih tidak mengapa.
Salam Dato.
Belakangan ini saya melihat politik kita semakin kacau dan terlalu pragmatik. Malah, politik kita, sama ada BN dan PR seperti PAS - tidak lagi begitu endah dengan beberapa isu, yang saya lihat lebih fundamental.
Contoh yang paling baik ialah tentang pengumuman sikap Anwar Ibrahim yang disampaikan dalam forum ekonomi di London. Dalam ucapan itu, jelas Anwar telah menyatakan pendiriannya tentang pluralisme agama. Tetapi lihat, kita tidak dengar pun pemimpin PR mengulas mengenai hal ini. Mungkin sebab pragmatik. Tetapi saya lihat, pemimpin UMNO juga senyap - seolah-olah bersetuju dengan pandangan tersebut.
Malah, jika Pilihanraya HUlu Selangor dijadikan indikator - isu ini langsung tak dibangkitkan. Isu yang lebih remeh, seperti isu minum arak lebih dimainkan. Pada hal, isu yang lebih penting, saya kira ialah isu liberalisme akidah, dan juga sikap liberal Zaid Ibrahim yang begitu sekular.
Jadi, melihat kepada ketiadaan respon itu, kita pun tiba kepada satu persoalan: Apakah isu moral dan akidah tidak lagi diperhitungkan dalam iklim politik kita? Memang isu politik wang, kronisme itu berada pada tahap yang parah - namun dalam hierarkinya - isu akidah adalah lebih utama dan terpenting.
Sebagai pemerhati, saya sangat risau dengan perkembangan dengan politik yang berorientasikan sikap dan kaedah pragmatik ini.
Assalamalaikum sdr Lutfi,
Ramai yg di luar lingkaran parti politik, yakni pemerhati yang berfikir, melihat keadaan politik sedang kacau serta keliru. Pemimpin politik dalam parti mementingkan kemenangan dulu, iaitu masing-masing cuba merebut sokongan pengundi bukan Melayu kerana pengundi majoriti Melayu pecah dua.Jadi pemimpin politik Melayu baik dlm BN atau Pakatan Rakyat mengutamakan sokongan kemenangan lebih dahulu daripada persoalan prinsip, asas atau corak masa depan bangsa. Ini taktik politik pragmatik: mengelirukan strategi dengan taktik.Sebab itu masing-masing tak mahu tegas dengan isu etos nasional, identiti/jati diri sehingga terlanjur melakukan kompromi secara langsung atau tidak yang berkemungkinan untung seringgit rugi seratus ringgit bagi kedaulatan bahasa, agama, ekonomi, dan pendidikan Melayu, yang akan menjuruskan pula kepada ketegangan sosial apabila orang Melayu akhirnya tersedar bahawa poemimpinnya sendiri telah mencampakkannya dalam disadvantge.Pemimpin politik spt Tun Dr Ismail, Tun Abdul Razak, yg tegas memperjuangkan kedudukan Melayu sementara memberi keadilan kpd kaum lain sudah tiada lagi.Jadi orang macam sdr dan juga saya yg bercakap tentang perkara pokok, dan idealisme akan terus mengkritik saja kerana tak masuk berebut kekuasaan dlm politik kepartian. Bagaimana ? Kena fikir masuk gelanggang atau tidak?
Salam dato.
Benar - Tindakan masuk dan berjuang dalam parti ialah satu persoalan yang kadang-kadang membingungkan kita. Lebih-lebih lagi, jika soalan ini ditujukan kepada seniman, sasterawan, intelektual dll.
Masuk berjuang di dalam parti kadang-kadang seperti satu tindakan membunuh diri. Analogi ini mungkin pesimis, tetapi sejarah menyatakan demikian. Lihat sahaja kepada apa yang berlaku terhadap Syed Hussein Al-Attas, atau dari kalangan sasterawan, lihat apa akhirnya berlaku kepada Shahnon Ahmad. Idealisme jarang dapat berpadu dengan gerak kerja parti yang serba pragmatik. Malah, tentunya lebih menakutkan apabila kita menjadikan Anwar Ibrahim sebagai contoh - yang mana, berasal daripada seorang pejuang mahasiswa, masuk ke dalam gerakan dakawah Islamiah dan memunculkan satu momentum - lalu, kemudian perlahan-lahan menadi haiwan politik dalam UMNO dan akhirnya - kita boleh lihat sekarang.
Apabila kita menyertai perjuangan parti juga, kita sebenarnya terpaksa menerima superstruktur parti tersebut. Kita tidak berkemampuan lagi untuk bercakap, dan melihat dalam pandangan alam yang berbeza, selain daripada pandangan alam parti itu. Dalam erti kata yang lain, kita tidak lagi bercakap dan memberikan idea melalui parti - tetapi partilah yang memberikan pandangannya melalui lidah dan akal kita.
Salah satu fitrah golongan cendekiawan etc - ialah mereka mempunyai idealisme sendiri. Jadi, saya melihat, perjuangan yang paling cocok buat mereka ialah dalam bentuk persatuan, yakni NGO. Masalahnya di sini, NGO dan Persatuan kita tidak mempunyai kekuatan, dan masyarakat hanya berharap kepada parti politik - seolah-olah parti politiklah satu-satunya alat yang paling ampuh untuk melakukan perubahan dan dalam masa yang sama, melakukan pembelaan. Namun, hakikatnya jelas bahawa, parti politik sangat mementingkan 'pragmatik' kerana, mereka bergerak dalam negara demokrasi berpelembagaan. Seperti yang kita maklum, akhirnya kekuasaan diberikan melalui pilihanraya.
Dari satu segi, Perkasa yang cuba dihidupkan oleh Ibrahim Ali sebenarnya sangat berpotensi untuk mewujudkan satu momentum yang menguntungkan masyarakat Melayu, dan mempejuangkan perlembagaan - tetapu, isu yang berangkit di sini, kita tidak berapa berani untuk terlalu dekat dengan Perkasa kerana kepekatan partinya dan beberapa pemimpin dalam PERKASA, yang kita boleh persoalkan kredibiliti mereka.
Jadi, saya fikir, cabaran kita yang paling besar ialah menyedarkan masarakat tentang kepentingan mereka berpolitik dalam ngo dan persatuan - agar mereka dapat mewujudkan kuasa penawaran yang besar, terhadap parti-parti politik. Dalam erti kata yang lain, orang Melayu harus mencari persamaan persamaan tertentu, yang mereka kongsi - dan bersatu dalam persatuan-persatuan, seperti yang dilakukan oleh orang Cina misalnya. Dengan wujudnay budaya bepersatuan, dan mengikis fahaman bahawa partilah satu-satunya alat melakukan perubahan dan pembelaan - insya-Allah, saya yakin nasib kita akan lebih berubah dan positif. Namun, masalahnya di sin, kita memerlukan media, dan modal - dua masalah besar yang dihadapi oleh majoriti persatuan dan ngo yang sajti - tidak seperti ngo dan persatuan CIna yang tidak menghadapi masalah ini.
Kerana itu, akhirnya saya hanya meyakini pendidikan tidak rasmi, yang kadang-kadang berlaku bukannya lagi di dalam bilik kuliah - tetapi di luar institusi rasmi, yang berlaku dan rancak di luar superstrukur, seperti perbincangan di rumah-rumah intelektual, perbincangan-perbincangan intelektual yang membincangkan masalah yang timbul dalam bangsa dan agama yang dilakukan secara tersusun.
Sementara itu, dalam masa sekarang, saya masih yakin, masuk ke dalam parti secara rasmi dan berjuang dari dalam parti, hanya tindakan kamikaze. Jadi, sikap yang paling baik saya rasa, ialah kita mesti menyatakan pemikiran dan prinsip kita dengan jujur - yakni, menyebelahi pemikiran dan pihak yang benar. Dalam erti kata yang lain, kita hendaklah berlaku adil terhadap sesetengah pendekatan parti-parti politik ini. Seterusnya, kita juga tidak boleh bersikap responsif semata-mata, tetapi kita juga perlu beada di depan dalam memperkatakan hal ini, terus ke dalam masyarakat.
Post a Comment