Friday 13 June 2008

Cermin dan Pisau Di Mana-mana

Selepas solat Isyak tadi saya bersembang dengan tuan imam masjid , dan bertanyakan teks khutbah Jumaat dua minggu lalu yang cukup menarik : tentang kepemimpinan dan tentang amanah serta tanggungjawab yang sangat berat bagi setiap pemimpin. Saya memohon untuk meminjamnya bagi menelitinya di rumah dan mengembalikannya nanti. Bukankah sekarang sangat ramai yang bercakap tentang politik, dan anehnya orang ramai seolah-olah sedang mencari pemimpin, meskipun bukan kecil jumlah yang berebut-rebut hendak menjadi pemimpin. Apakah rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin yang pernah memimpin
atau kerana terlalu ramai yang menonjolkan diri untuk menjadi pemimpin maka pengikut-pengikut berhadapan dengan masalah memilih. Dalam kata lain rakyat sedang mengalami kekacauan dalam dirinya: tidak tahu untuk membuat pilihan yang tepat.

Bagaimanakah dalam negara yang sekecil ini terlalu ramai yang berasa yakin diri , sangat percaya kepada kemahiran, ilmu, kebijakan, moral dan akhlak dirinya untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin ? Kenapa orang tidak berebut-rebut untuk menjadi pengikut dan rakyat yang baik? Apakah berbuat demikian sudah tidak normal lagi?

Di mana-mana orang bercakap dan berhujjah tentang apa yang sedang berlaku, dan akan terjadi pada bulan Julai, September dan Disember 2008. Perbahasan kecil ada di mana-mana lokasi. Orang bercakap perlahan, bercakap lantang atau berbisik-bisik tentang pemimpin si anu si anu. Seolah-olah ada komplot di sana sini. Orang seolah-olah sedang mengasah pisau untuk mempertahankan diri atau menikam. Sangat tidak tenteram. Harga barang dapur pula sedang menanjak naik dan kesusahan sedang menyeludup masuk ke dalam hati dan fikiran. Jiwa yang sakit akan bertambah sugul dengan peningkatan jenayah serta kejahatan. Kejahatan yang dilakukan oleh orang berpelajaran tinggi atau berharta lebih berbahaya dan kejam.

Ini semua menjadi cermin kehidupan untuk kita melihat diri sendiri, ke dalam diri bangsa kita,
melihat secara dialektik bagi mencari yang unggul dan benar kerana yang unggul-benar selalunya akan menang. Jadi sekalian pisau yang diasah untuk membedah sekalian persoalan yang beraneka warna itu akan mendedahkan kepalsuan dan kedurjanaan. Begitulah kalau kita hendak melihat pergolakan sosial secara positifnya. Menurut kata khutbah Jumaat: Rasullullah
pernah bersabda," Akan wujud kemudian nanti pemerintah yang menjalankan tugas dengan penuh pengetahuan dan melakukan apa-apa yang ditugaskan. Akan tetapi, akan wujud juga nanti pemerintah yang menjalankan tugas tanpa pengetahuan dan membuat apa-apa yang tidak ditugaskan.Sesiapa yang membetulkan pemerintah sedemikaian, bermakna dia telah menjalankan tugasnya dan sesiapa yang menyekat pemerintahan demikian, ia akan selamat."

Jadi apabila ada kawan-kawan yang bertanya kenapa saya memberi judul "KACA DAN BELATI KEHIDUPAN" pada blog ini, itu hanya kebetulan sahaja timbul daripada perasaan yang prihatin terhadap kemelut yang sedang membina momentumnya terhadap kehancuran akhlak dan kesejahteraan rakyat sejak dua dekad yang lalu. Bukan lantaran apa yang terjadi hari ini.

5 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Asalamualaikum, Dato',

Saya setuju benar dengan apa yang Dato' tulis.

Ada masanya saya teruja hendak menulis komen dalam blog-blog politik popular sebagai respon pada apa yang mereka tulis, tetapi kemudian saya batalkan niat saya itu, sebab saya fikir dalam keadaan hari ini sikap diam adalah lebih membantu pemimpin yang saya sokong.

Akmal Hisham Abdul Rahim said...

Salam Dato',

Menjadi pemimpin dan menggalas tanggungjawab amanah bukan satu kerja yang main-main dan boleh dianggap senang.

Sekarang ini saya lihat, banyak yang nak memikul jawatan pemimpin/ketua/presiden tetapi lupa kepada konsep amanah, keadilan dan kejujuran.

Adakalanya kita perlu diam, tetapi ada masa kita perlu bicara. Dan ada ketikanya kita tersekat antara dua.

bahazain said...

ASM Sdr Ainon
Ketaksuban terhadap kekuasaan walaupun tidak merebak masuk ke dalam jiwa majoriti rakyat, tetapi sudah menjadi tidak masuk akal pengaruhnya di kalangan elit bangsa sehingga sangat destruktif terhadap proses kemajuan hidup rakyat, dan perkembangan tamadun.
Kita seolah-olah bergelumang dalam najis. Sebagai pemerhati yang tajam sdr perlu menjadi artikulator bagi menujah kealpaan pelumba-pelumba politik. Ha, ha,Siapa yg sdr sokong ?

Sdr Akmal, ASM
Sdr masih muda dan kami banyak menyerahkan masa depan kpd generasi sdr. Hari itu sdr Omar Jaafar beritahu saya: many know what courage is, but how many are courageous? Saya tambah: krisis bukan sahaja menguji keberanian seseorang, tetapi menunjukkan wataknya. Setuju juga ada kalanya lebih bijaksana diam drpd berkata-kata.


Sdr Akmal

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum.. Akhirnya saya jumpa juga blog Tuan.. Semasa di Universiti buku Tuan merupakan teman sekatil saya.. Berulang-kali saya membaca buku tuan, entah istimewanya pun saya tidak tahu.. Saya juga pernah mendeklamasikan sebuah puisi Tuan semasa di universiti iaitu sempena Bulan Kemerdekaan, saya harap tuan menghalalkan puisi tuan itu.. Terima kasih.. Tuan adalah salah seorang penulis yang saya kagumi..

bahazain said...

ASM Sdr Izwan
T. Kasih melawat ke halaman saya.Dalam sepi dan keseorangan saya berdampingan dengan kata-kata yang ada kalanya membisikkan suara hati kita sendiri. Hanya melalui respon orang lain baru kita terbangun daripada lena.Berbeza dengan saya, sdr ada yang tercinta di sisi.Inilah keindahan zaman muda yang membuat saya merindui masa lalu. Puisi saya , begitu terbit menjadi hak pembaca.Suka hatilah dan terima kasih jua.