Sunday, 22 June 2008

MENCARI AKAL SIHAT DLM KEPIMPINAN POLITIK DAN PEMBANGUNAN SOSIAL

Sabtu 21 Jun tersiar dalam Berita Harian, kenyataan Kamal Shukri Abdullah Sani, Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), tentang penentangan terhadap pengajaran Matematik dan Sains dlm bahasa Inggeris. Antara lain:

"...(PLM) berpendapat , keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 sebagai penanda aras sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diteruskan atau sebaliknya dalam sistem pendidikan , bukan suatu keputusan bijak. Turut dinyatakan hujah terkini bahawa PPSMI bukan bertujuan menguasai bahasa Inggeris tetapi bertujuan menguasai konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Pada awal dulu begitu kuat hujah bahawa langkah PPSMI itu bertujuan membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik sebab ramai pelajar kita lemah bahasa itu. Apabila banyak pihak seperti cendekiawan dan tokoh akademik , termasuk badan bukan kerajaan membantah dengan mengatakan itu bukan cara betul menguasai bahasa Inggeris, tetapi melalui pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri, maka hujah kedua itu pula dikemukakan. Keadaan ini menunjukkan pelaksanaan PPSMI khusunya melalui hanya pandangan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamnad adalah secara ' kelam kabut ' tanpa tujuan yang benar-benar jelas, tanpa sebarang kajian empirikal, tanpa merujuk ahli akademik yang benar-benar berwibawa dan sebab itulah alasan bagi mewajarkan pelaksanaan PPSMI selalu berubah-ubah. ...
Negara besar dan kecil di Eropah Tengah, Utara , Timur dan Selatan seperti Finland, Sweden, Denmark, Jerman , Perancis, China, Jepun, Korea, Luxembourg, Switzerland, Portugal,Sepanyol, Russia juga maju dan terus maju tanpa melaksanakan pengajaran dalam bahasa Inggeris. Negara bekas jajahan atau koloni British di Afrika atau kepulauan (bahasa Inggeris) dan jajahan Perancis yang melaksankan dalam bahasa Perancis tidak juga maju, malah ada yg sangat mundur. "

Komentar saya:
1) Tahniah atas keberanian intelektual sdr Kamal Shukri sebagai pegawai awam, dan PLM sebagai badan ilmuwan linguistik dan pencinta bahasa, kerana mengemukakan pendapat kepada khalayak ramai demi kesedaran orang ramai, kebenaran ilmu , pembangunan pendidikan dan tamadun di negara ini.


2) Isu bahasa ini menunjukkan kecelaruan cara berfikir dan membuat keputusan yang dipengaruhi oleh metos
kepimpinan Mahathir yang dianggap cerdik, bijaksana, bermanfaat dan berpandangan jauh. Ternyata sekarang kekohongan (stinks) kepimpinan authoritariannya dlm bidang pendidikan, kehakiman, media, perniagaan, dan pentadbiran menjadi beban (baggages) yg harus dibersihkan sehingga partinya UMNO, yang dipimpinnya sepanjang 22 tahun, sekarang kesuntukan waktu untuk melakukannya dengan selamat.

3)Kelangsungan PPSMI melarat sehingga 5 tahun (2003-2008) ini juga mencerminkan betapa lemahnya golongan penulis, cendekiawan, tokoh sasterawan, seniman dan budayawan berfikir, membuat pendirian dan menentang isu-isu yang anti-intelektual yg dilakukan oleh pemimpin politik yang tidak bijaksana fikirannya.

4) Penyingkiran Bahasa Melayu dlm PPSMI, dan daripada nama asal batang tubuhnya sehingga dipanggil bahasa Malaysia, menunjukkan betapa tipisnya pemahaman kebudayaan dan pengetahuan sejarah pemimpin apabila tunduk kpd kepentingan politik pragmatik yg sementara sifatnya( iaitu untuk m,engambil hati rakyat bukan Melayu) . Istilah Bahasa Melayu itu merangkumi wilayah yg sangat besar mencakupi penduduk sekitar lebih 250 juta di Nusantara, sedangkan istilah bahasa Malaysia itu terbatas kpd penduduk yang hanya 25 juta jiwa. Penyingkiran ini bukan dilakukan oleh pemimpin India, dan Cina , tetapi pemimpin Melayu sendiri. Kita jangan salahkan masyarakat bukan Melayu, tetapi kita orang Melayu sendiri. Bermuhasabahlah sedalam-dalamnya mulai saat ini.

5) Apakah yang telah kita pelajari drp sekalian persitiwa yg lalu, yg belum jauh meninggalkan kita? Kita harus membaca banyak teori penulisan sejarah dan falsafah sejarah bagi membantu kita mentafsir sejarah supaya kita tidak tetrjebak menilai kehidupan drpd segi ekonomi, kebendaan, kuantitatif, dan pragmatik semata-mata, tetapi apa maknanya bahasa, kebudayaan, nilai-nilai agama, dan tradisi dlm kesejahteraan hidup yang total ( individ dan nasional) dlm konteks umat manusia sejagat.

6) Kita harus meragui kesahihan setiap kenyataan pemimpin politik supaya rakyat tidak mudah terperangkap dalam gembar gembur retorik yang indah wajah daripada isi, terutama kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti politik ( tidak kira yg memerintah atau yang membangkang) yg cenderung disokong atau diperkuatkan oleh pemimpin bawahannya ( spt dlm kes pengajaran Matematik dan Sains) sehingga akibatnya merusakkan proses kemajuan Bahasa Melayu dan perkembangan kognitif ratusan ribu murid sejak 5 tahun yg lalu, yg sukar dipulihkan.

9 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Dato',

Saya setuju dengan pandangan Dato'.

Pengerusi MABOPA, Mr. Law pernah berkata kepada saya bahawa apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa penghantar pendidikan, barulah muncul penerbit-penerbit milik rakyat tempatan.

Sebelum itu, semua buku diterbitkan dan dicetak di London, ataupun diterbitkan oleh cawangan penerbit Britain di Kuala Lumpur. Maklumlah semuanya dalam bahasa Inggeris.

Banyak orang masih tidak sedar bahawa 'bahasa' adalah komoditi yang diperdagangkan. Ia dieksport dan diimport.

Bahasa Inggeris adalah eksport Britain yang terbesar. Ekspot itu menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Britain.

Korakora said...

selamat datang datuk
ke dunia di balik tembok
di sini orang sentiasa muda
katanya sentiasa cergas.

Sham al-Johori said...

Salam Dato',
Inilah yang dikatakan 'tulah' atau 'musibah' yang berlaku daripada kerakusan politik. Kesannya yang terbunuh adalah intelektual dan tamadun Melayu. Perjuangan terhadap bahasa dan bangsa samalah seperti perjuangan seekor 'anjing menyalak bukit'. Kepimpinan kita menganggap orang yang berjuang terhadap tamadun bangsa adalah 'seekor anjing' atau juga seperti 'gunting dalam lipatan' atau juga seperti 'duri dalam daging'. Sebenarnya banyak lagi peribahasa Melayu yang boleh disandarkan kepada hal-hal penting seperti ini.

Kalau dulu kita sering mengandaikan kita adalah mentimun dan mereka adalah durian. Kini mereka lebih daripada itu. Mereka selalu menganggap kita adalah 'anjing' yang ingin merosakkan bangsa dan negara daripada ukuran politik mereka.

Saya amat bersetuju dengan prinsip bahawa ada perkara yang TIDAK BOLEH KITA GADAIKAN untuk menjadi hebat dalam sebuah konsep globalisasi. Saya juga amat menyokong penuh bahawa perjuangan memartabkan Bahasa Melayu ini tidak pernah mengenal noktah.

Amin.

Abdillah SM said...

Assalamualaikum Dato',

Saya amat bersetuju dengan pandangan Dato'.

Ternyata segala perjuangan menegakkan bahasa selamanya telah dimusnahkan oleh cuma seorang manusia yang dipilih oleh rakyat! Jelas bahawa pilihanraya di Malaysia tidak menggambarkan roh demokrasi. Atau memang demokrasi itu cuma slogan komersial seperti iklan-iklan di media massa; memerangkap-memancing dengan kata-kata manis, kosong dan kadang-kadang beracun!

Abdillah SM
http://dillsm.blogspot.com

Abdillah SM said...
This comment has been removed by the author.
bahazain said...
This comment has been removed by the author.
bahazain said...

ASM Sdr Ainon, Nazmi, Sham dan Abdillah,
Percayalah perjuangan mempertahankan kepentingan Melayu dan perpaduan kebangsaan di mana kaum-kaum lain tidak terinaya, kini menjadi semakin sulit dan penuh risiko pada masa depan.Bukan saja kerana faktor politik dalaman , tetapi oleh goncangan global, terutama dari negeri Cina dan Barat.Apa pun orang Melayu tidak boleh menjadi apologetik dan berasa berdosa untuk mempertahankan hak-haknya dlm perlembagaan yang kini sedang digempur secara intelektual .Musuh kita juga adalah terhadap pemimpin2 politik dan budaya kita sendiri yg lemah semangat menghadapi cabaran orang. Tuhan tidak suka pada mereka yg lemah semangat. Kita sekalian sama-sama di balik tembok blog kerana tak punya meriam besar.Perang gerila ada kalanya ada dampaknya juga spt Abu Sayaf dan Taliban. Betul tak Nazmi?

Unknown said...

Datuk yth.,

Gema suara kita dalam memperjuangkan bahasa Melayu yang menjadi sendi tamadun bangsa dan negara memang wajar terus disampaikan, mudah-mudahan masih ada telinga yang mendengar dan mata hati yang terbuka dalam kalangan pihak berwewenang.

[Ulasan saya ini terbit dalam Harakah edisi 1-15 Mei 2008 sebagai ulasan yang diminta oleh editor Harakah terhadap kenyataan Menteri Pelajaran tentang PPSMI yang akan ditentukan penerusan pelaksanaan atau pemansuhannya sesudah keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah]




Kenyataan Menteri Pelajaran bahawa dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik akan disemak semula sudah berulang kali dikeluarkan melalui media. Alasan yang diberikan ialah prestasi keputusan UPSR tahun 2008. Ertinya jika prestasi keputusan UPSR 2008 memperlihatkan prestasi yang meyakinkan dalam kedua-dua mata pelajaran itu, maka kementerian atau lebih tepat kerajaan akan meneruskan dasar itu.

Ternyata bahawa hujah kementerian hanya bertitik tolak pada landasan pragmatis, iaitu semata-mata untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (dan juga bahasa Inggeris) dengan tidak memperhitungkan dasar asal negara dalam penggunaan bahasa kebangsaan sebagai salah satu asas pembinaan negara.

Para pemimpin awal negara telah merancang dasar yang utuh untuk membina negara dalam bidang pendidikan, bahasa, ekonomi, sosial dan politik, kesemuanya dengan berdasarkan jati diri bangsa dan negara, dengan tidak pula menutup keperluan menerima unsur-unsur luar yang berdampak positif. Sekarang tampaknya yang menjadi keutamaan ialah 'matlamat menghalalkan cara’. Apabila diimpikan kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi, maka apa-apa sahaja cara, meskipun bertentangan dengan dasar negara, dianggap sah, tanpa memperhitungkan semangat kebangsaan (yang sesekali dilaungkan pula untuk melempiaskan rasa kecewa atau untuk menarik sokongan massa).

Kerajaan tidak patut menutup mata kepada hakikat bahawa bangsa dan negara maju di dunia menekankan keseiringan kemajuan dalam segala bidang tamadun, termasuk bidang bahasa. Pengalaman negara menghantar wakil negara dalam misi Soyuz negara Rusia tidak lama dahulu sepatutnya membuka mata kita bahawa negara yang kita tumpang kemajuannya dalam bidang sains angkasa itu menggunakan bahasa Rusia dalam hampir semua urusannya, sehingga Dr. Sheikh Muzaphar perlu mempelajari bahasa itu beberapa bulan untuk memungkinkannya menyertai misi itu.

Cita-cita memajukan anak bangsa atau warganegara dalam bidang sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai prasyarat kecemerlangan pada hakikatnya merupakan kefahaman yang silap dan palsu. Keputusan pada tahun 2002 itu tidak pun didasarkan pada mana-mana kajian ilmiah, melainkan tercetus daripada impian Perdana Menteri ketika itu yang memang terkenal dengan idea dan sikap yang controversial dan berpaksi ke dalam ego dirinya. Kerajaan pasca beliau tidak sepatutnya terperangkap oleh idea peribadi yang tidak berlandaskan kajian dan pemikiran yang mendalam itu.

Seperti yang telah berulang kali dijelaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris hendaklah dilaksanakan dalam bentuk peningkatan mutu pengajaran bahasa itu sendiri, bukan melalui penggunaannya dalam pengajaran Sains dan Matematik. Semua negara maju menggunakan kaedah tersebut sehingga mereka maju dalam segenap bidang tamadun,termasuk sains dan teknologi, dan pada waktu yang sama melestarikan aspek-aspek penting tamadun, termasuk bahasa sendiri.

Daripada sudut pandangan agama Islam pula, setiap bangsa secara fitrah dikurniai bahasa masing-masing oleh Allah (al-Rum, 22). Ketentuan Allah itu memberikan isyarat bahawa setiap bangsa seharusnya memajukan bangsanya dengan menggunakan bahasa yang dikurniakan kepadanya, dengan tidak pula menutup pintu kepada usaha memanfaatkan bahasa bangsa-bangsa lain menurut kadar yang munasabah, seperti melalui proses penerjemahan yang dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat apabila mereka mengambil ilmu daripada tamadun Islam. Dalam Surah Ibrahim (ayat 4), Allah dengan jelas menegaskan keperluan para rasul menyampaikan wahyu Allah dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya masing-masing.

Oleh itu, kerajaan perlu kembali kepada dasar asal yang belum pun berubah dalam dokumen sahnya, iaitu Akta Pendidikan 1996 yang menegaskan bahawa bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) ialah bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara.


Profesor Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia – China
Universiti Pengajian Asing Beijing

Hartini Omar said...

dato',
senang membaca tulisan melayu yang sayangkan melayunya.. kata hang tuah "takkan melayu hilang di dunia" - benarkah?

pendapat saya, bahasa melayu kita bukan Quran yg termaktub dipelihara Allah. kalau tiada usaha untuk menjaga dan memartabatkannya, maka ia akan hilang dimakan arus masa

.... dan dalam era serba segala ini, ia mungkin juga boleh hilang di bawah arus 'kuasa'....