Wednesday, 25 June 2008

NASIHAT PENYAIR KEPADA PENULIS MUDA

Ada kalanya kita ingin lari daripada pelbagai kemelut di sekitar untuk bersendirian; mencari jarak dan tidak terlibat dalam persoalan yang rumit; persoalan yang tak mungkin diselesaikan secara mudah oleh kita sendiri. Dan dalam diri kita itu menunggu sekian banyak kerinduan , kerinduan yang mendamba perasaan , yang menunggu pengucapan ; menunggu bahasa kita sendiri menyuarakannya. Apakah ia dinamakan kesenian, keindahan, puisi atau hanya sebuah catatan, terserahlah istilah apa yang hendak kita gunakan. Penulis, pengarca, pelukis, pemusik, eseis, malah penari pun selalu merindukan kesendirian itu sebagai yang paling berharga, iaitu untuk mendengar bisikan hati kita sendiri di tengah-tengah kesibukan dunia.

Sayangnya kata-kata yang tersusun, walaupun menjadi bahasa pengucapan, tak mungkin pula mengungkapkan kerinduan dan keindahan itu, kerana kata-kata begitu ia menjadi sebuah teks ia adalah suatu realiti yang lain. Kata-kata pun bergantung maknanya dengan merujuk kepada kata-kata lain, dan bukan kepada realiti dalaman yang dilambangkannya. Teks puisi dan realiti adalah dua kewujudan yang berbeza, dan pengarang terpaksa membebaskannya untuk ditanggapi pembaca dalam acuan persepsi dan tafsirannya yang merdeka.


Beberapa orang penyair muda meminta nasihat atau pandangan daripada saya tentang karya mereka. Sayalah yang akan sangat bahagia kalau dapat mengajar orang bagaimana menulis puisi yang baik. Memang saya tak terdaya melakukannya sehingga saya harus meminjam nasihat Rainer Maria Rilke, penyair Jerman yang sangat terkenal pada awa abad ke-20. Katanya:

" Tak ada siapa yang boleh menasihati atau menolong anda--tak seorang pun. Hanya satu yang anda patut lakukan. Masuklah ke dalam diri anda. Carilah apa sebab yang menggesa anda menulis; lihat apakah akarnya telah berkembang masuk jauh ke dalam sanubari anda; tanya diri anda apakah anda sanggup mati andainya anda dilarang menulis. Tanyalah terutama pada saat -saat yang sangat sepi pada malam hari: mestikah aku menulis? Selami diri anda untuk mencari jawapan yang mendalam. Kalau anda menemukan suatu jawapan yang sangat mudah, "Aku mesti", maka binalah hidup anda seia-sekata dengan kemestian ini...bebaskan diri anda daripada menulis tema-tema yang umum, dan tulislah tentang apa-apa yang kehidupan berikan setiap hari kepada anda; ceritakan kepedihan dan impian anda; fikiran yang melintasi benak, dan keyakinan anda tentang sesuatu keindahan-- ceritakan semua ini dengan penuh perasaan, kejujuran yang murni, dan bila anda mengungkapkan diri , gunakanlah apa yang wujud di sekitar: citra daripada mimpi anda, dan objek-objek yang anda kenangi. Kalau kehidupan anda miskin, jangan kesalkan diri sendiri, mengakulah anda belum menjadi penyair sepenuh-penuhnya untuk menjadi kaya, kerana bagi si pencipta tak ada kemiskinan dan tak ada kekayaan. .. lahir daripada menyelami ke dalam diri itu, menjelmalah puisi, dan anda tidak perlu bertanya orang sama ada bagus atau tidak. Juga tak usahlah cuba memikat mana-mana majalah untuk menerbitkannya: anda akan melihatnya sebagai milik yang tersayang, sebahagian daripada hidup anda, sebuah suara daripadanya. Sebuah karya seni adalah bermutu andainya ia menjelma daripada kemestian, tak boleh tidak. Itulah cara untuk seseorang menilainya. Oleh itu, Tuan, saya tak boleh memberi apa-apa nasihat, kecuali ini: masuklah ke dalam diri anda dan lihat berapa jauh tempatnya dari mana kehidupan anda mengalir; dari sumbernya anda akan menemui jawapan bagi pertanyaan, sama ada anda mesti mencipta. Terimalah jawapannya tanpa mentafsirnya. Kemungkinan anda akan menemui bahawa anda terpanggil menjadi seniman. Maka terimalah destini itu untuk diri anda, dan tanggunglah, bebannya dan kegemilangannya , tanpa menanyakan apakah hadiah ganjaran yang akan datang dari luar. Bagi setiap pencipta dia adalah sebuah dunia tersendiri dan mesti mencari setiap sesuatu dari dalam dirinya, dan dari alam semula jadi, tempat dia menumpahkan pengorbanannya."

Kalau anda sudah menemui bakat diri sebagai seorang seniman, percayalah itu
adalah anugerah serta amanah daripada Tuhan; jangan dipersia-siakan
.

11 comments:

Sham al-Johori said...

Assalmulaikum wbk, Dato' Baha yang dihormati,

Terima kasih atas ajaran ini. Banyak yang sedang saya bandingkan dengan diri sendiri. Begitu pun, saya selalu berkata-kata dengan diri sendiri bahawa fitrah Allah adalah satu amanah bukannya satu senjata untuk menjadi seorang penipu. Saya sentiasa melihat bahawa dalam diri penyair itu dua unsur itu tidak boleh dipisahkan. Akhirnya mereka menjadi penyair yang punya fitrah tetapi pendusta.

Nah, kerana itu jugalah saya sentiasa melihat penulis muda itu sentiasa marah-marah kerana mereka tidak ingin menjadi seorang penipu.

Doakan supaya penulis muda itu sentiasa berada di landasan yang benar.

Hartini Omar said...

salam dato'

membaca entri ini, hati saya tersentuh.. mengapa? mungkin kerana semakin banyak saya menulis dan membaca, semakin kenal saya kepada diri saya dan Tuhan yang mencipta..

terima kasih dato'.. satu pesanan ikhlas yg amat berguna

Danielle_Corleone said...

Pesanan yang buatkan saya lebih menghargai tangan dan akal yang dikurniakan!

lutfi said...

assalamualaikum Dato.
Penulisan, tidak kira kreatif atau nonkreatif, memerlukan kecintaan. Kerana itu, hanya mereka yang punyai jumlah cinta yang banyak, akan kekal lama.
Namun, makin lama menulis, entah kenapa, terasa makin susah menurunkan kata-kata.

bahazain said...

Assalamualaikum sdr sham, hartini, danielle & lutfi,
Kemarahan, kegetiran, keinsafan dan keraguan adalah perasaan kental yang boleh menjadi gunung berapi yg melonjakkan pengucapan pada saat kesepian dan bersendirian. Sebab itu kesepian boleh menjadi nikmat dan boleh juga menjadi musuh. Bayangkan Pramoedya terperosok berapa tahun dlm penjara. Demikain juga Sako, Samad dan Boestamam, justeru kerana mereka seniman dan menggenggam bara api cita-cita.Bersabarlah menghadapi musuh dlm diri dan kedustaan di luar sementara hidup berkesenian. Lagi saya terpaksa mengutip Rilke dlm suratnya kpd seorang penyair muda yg tak pernah diketemuinya. Katanya: Berdirilah spt sebuah pohon yang dipukul ribut musim bunga,dan tak takut bahawa musim panas tidak datang. Ia datang juga. Tetapi ia datang untuk mereka yang bersabar. Saya telah mengalaminya dengan penuh kegetiran setiap hari. Saya bersyukur kerana: kesabaran adalah segala-galanya.

sinaganaga said...

MASKARA itu entah apa-apa; segan saya untuk mengajak Dato' datang membaca sajak atau apa-apa. Tapi, saya jemput jugalah Dato' dan Datin datang jika ada kelapangan masa. Kalau tidak mahu berlama-lama - kejap pun tak apa. :)

Akmal Hisham Abdul Rahim said...

Salam.

Indah...begitu indah sekali kata-kata Dato Baha.

Walaupun Dato mengaku bahawa,"harus meminjam nasihat Rainer Maria Rilke, penyair Jerman yang sangat terkenal pada awal abad ke-20"

Semuanya terpulang kepada diri sendiri untuk meneruskan atau tidak.

Tetapi Dato, sekadar untuk berkongsi, pengalaman saya untuk menulis ini banyak bergantung kepada emosi diri saya sendiri.

Mood itu perlu ada. Apabila malam tiba, saya rasa itulah waktu yang paling sesuai untuk menulis mahupun bepuisi.

Nasihat dan pengalaman Dato amat kami hargai.

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Seolah kesenian itu datang dari bakat, tapi bakat yang tidak diasah kadangkala juga kurang memberangsangkan.. Saya bersetuju dengan kata-kata datuk, bermula dengan bakatlah kita melahirkan kualiti.. Nasihat datuk begitu bermakna dan intipati dalam nasihat datuk betul kena dengan gaya dan seolah-olah ianya ada kena dengan jiwa setiap penulis.. Terima kasih atas nasihat yang berguna..

Abdillah SM said...

Berbahagia Dato',

Selamanya saya menunggu sesuatu seperti yang Dato sentuhkan ini. Bahagia saya kerana akhirnya Dato' seperti tertangkap telepati penantian itu! Saya memang menunggu ianya terucap lebih-lebih lagi daripada abang penulis yang sedarhana segala. Bukan apa, cuma saya ingin penegasan-penegasan yang dapat digenggam bagi mengapungkan minat berkreativiti setakat yang saya miliki sekarang, hingga ke akhir kemampuan diri, bersama kesabaran dan keimanan di dada.

Memanglah Dato' merujuk nasihat Rainer Maria Rilke kerana Dato sependapat begitu. Dan saya akui itulah yang harus saya dengar kalau saya bertanya Dato secara peribadi tentang hal yang sama.

Terima kasih. Wassallam.

Abdillah SM
http://dillsm.blogspot.com/

Puan Ainon Mohd. said...

Dato',

Entah bilalah agaknya PTS berani menerbitkan karya penyair.

Saya punyai keberanian menerbitkan koleksi puisi Dato', tetapi pegawai-pegawai saya tidak berani.

Saya tidak pula berani menekan mereka supaya mengalah kepada kemahuan saya sebagai Chairman PTS.

Jadi saya mengalah kepada ke-timid-an mereka yang harus memastikan setiap bulan mereka dapat membayar gaji-gaji mereka sendiri dan segala hutang piutang syarikat.

Rekod kewangan PTS yang kemas setiap bulan tidak dapat memenuhi keperluan jiwa saya, disebabkan PTS masih belum berani menerbitkan karya penyair seperti Dato'.

bahazain said...

ASM Sdr Ainon
Genre puisi paling populer dan ramai penulisnya, tetapi paling susah terjual bukunya.Saya faham sangat.Memang bijak PTS tidak mengutamakannya, sampai ketika yg baik, keuntungan berlebihan judul lain boleh subsidi puisi, InsyAllah.Saya kagum lihat judul Melayu terbitan PTS di mana-mana.Ini luar biasa. Tanpa air mata dan kecintaan besar
penerbitan sebagai perniagaan ilmu dan budaya susah bertahan. Tahniah
atas kecekapan team sdr.