Saturday, 14 June 2008

Nasihat Untuk Segala Pemimpin

Siapa penasihat anda? Apakah anda memerlukan penasihat ? Setiap tokoh pemimpin biasanya dikelilingi oleh penasihat, baik individu yang terdiri daripada sahabat rapat atau orang yang dipercayai atau kumpulan pemikir( think tank ). Sewaktu Malik bin Al-Haris Al-Ashtar dilantik menjadi Gabenor Mesir, Khalifah Islam Keempat, Ali bin Abi Talib , memberitahu beliau kalau mencari Penasihat atau mendengar nasihat :
" Jangan sekali-kali kamu mendengar nasihat orang yang kedekut kerana dia akan merosakkan keluhuran budi kamu dan menakut-nakutkan kamu tentang kemiskinan.Dan janganlah kamu mendengar nasihat si pengecut kerana dia akan membuat kamu lekas hilang sermangat. Dan janganlah kamu mendengar nasihat orang yang tamak kerana dia akan menanamkan rasa tamak haloba dalam diri kamu dan membuat kamu menjadi orang yang zalim.Sifat-sifat kedekut, pengecut dan tamak membuat manusia tidak yakin kepada Allah.

Penasihat yang paling keji ialah orang yang pernah menjadi penasihat kepada pemimpin-pemimpin yang tidak adil dan turut sama bersubahat melakukan kemungkaran. Janganlah kamu mengambil sebagai penasihat orang-orang yang pernah menjadi sahabat raja [ pemimpin politik--pen.] yang zalim atau bersubahat melakukan kejahatan. Kamu boleh mendapat orang lain yang jauh lebih baik daripada itu, yang pintar, berpandangan jauh dan berhati suci, orang yang tidak pernah membantu raja [pemimpin politik--pen.] yang zalim melakukan kezaliman atau menolong seorang penjahat melakukan kejahatan. Orang-orang yang mempunyai sifat seperti ini tidak akan sekali-kali menjadi beban kepada kamu. Sebaliknya pula, merekalah sumber bantuan dan kekuatan kamu pada setiap masa. Mereka akan menjadi sahabat kamu dan menjadi orang asing kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang-orang yang seperti itu sahaja menjadi sahabatmu--sebagai teman biasa dan teman seperjuangan. Malah di kalangan mereka ini pun, hendaklah kamu mengutamakan mereka yang sentiasa menyanjung kebenaran , walaupun kadang-kadang sukar bagi kamu untuk membuat pilihan itu, dan seterusnya pilihlah orang-orang yang tidak suka menunjuk-nunjuk kelembutan hatinya kerana sifat itu tidak diredhai Allah.

Berdamping rapatlah dengan orang-orang yang jujur dan bertakwa dan beritahulah kepada mereka bahawa kamu sekali-kali tidak gemar mereka memuji-muji kamu dan menyanjung kamu demi kebaikan yang tidak kamu lakukan kerana pujian yang berlebih-lebihan dan sanjungan yang tidak kena pada tempatnya membuat manusia menjadi bongkak dan sombong."

Jadi apakah PM, Pak Lah, Dato. Najib, Menteri- Menteri Besar, Menteri, Presiden-presiden sekalian parti politik, Datin Seri Azizah, Dato' Seri Anwar, Dato. Hj.Hadi Awang, YAB Dato. Hj Nik Aziz dan lain-lainnya ada di kalangan penasihat mereka orang-orang yang kedekut, tamak, pengecut, bersubahat melakukan kezaliman dan kejahatan, yang suka memuji-muji atau bercakap apa yang pemimpin suka dengar bukannya apa yang dia patut dengar, yang tidak bertakwa atau tidak jujur ? Bukan senang hendak menyelami hati dan nawaitu setiap orang di sekitar. Harap-harap mereka yang memiliki watak dan ciri-ciri negatif ini mengubah sikapnya atau dengan sukarela menarik diri daripada menjadi penasihat demi kesejahteraan rakyat.

6 comments:

lutfi said...

Assalamualaikum Datuk. Suatu ketika dahulu, salah satu perkara yang dilaksanakan oleh para ulama dan intelektual Muslim ialah menulis nasihat kepada para pemerintah. Salah satu kitab yang terkenal ialah Nasihat al-Muluk, kalau tidak silap saya hasil fikir Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali. Hari ini, kita lihat, para intelektual dan ulama kita kurang menulis buku sebegitu. Hal ini sangat penting kerana kita berada pada suatu zaman yang berbeza, jadi, keterlibatan para ulama dan intelektual muslim dalam memberikan pandangan, nasihat dan teguran yang ikhlas dan membina juga ilmiah, merupakan satu keperluan. Kepada sesetengah pemimpin kita pula, biasanya, mereka sentiasa memandang sesuatu nasihat itu cuma pada jenama. Maksud saya, jika datang daripada kumpulannya, maka nasihat dan pandangan itu akan diteliti. Kalau tidak, ia hanya dipandang sepi...Betul Datuk, saya bersetuju, para pemimpin harus memastikan penasihat mereka ialah manusia terbaik yang boleh memberikan nasihat terbaik..bukannya ular-ular, belut-belut, moluska-moluska...salam

Puan Ainon Mohd. said...

Assalamualaikum, Dato',

Saya ini bukan politikus, namun saya melantik dua orang ahli agama menjadi penasihat rasmi saya dalam perkara-perkara penerbitan yang ada kaitan dengan hukum-hakam agama.

Atas nasihat mereka berdualah saya menggunakan konsep buku-buku "syariah-compliant" sebagai panduan menerima ataupun menolak manuskrip.

Mudah-mudahan saya telah memilih penasihat yang betul. Amin.

Kadang-kadang ingin pula jadi politikus....

Unknown said...

Assalamualaikum Dato',
Terkadang, ulama' kita yang takut untuk menegur.
Namun, kita doa kan agar ulama yang tidak membisu akan tetap lahir di bumi Malaysia dan dunia amnya..Ameen

muhammadridwanto.wordpress.com

Anonymous said...

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang genius telah lama menunjukkan kepada kita tentang peranan Tuan Penasihat melalui filem, Tiga Abdul, yang relevan sehingga kini. Kerjanya nak per sen sahaja.

Nasihat Tuan Penasihat jarang-jarang dan kadang-kadang untuk bertambah baik, tetapi banyak yang untuk melingkup.

bahazain said...

ASM Sdr Lutfi, Ainon, Muhammad dan Ritah,
T.Kasih kerana memandang penting terhadap peranan Penasihat kpd pemimpin. Mereka sebenarnya mempunyai pengaruh terhadap arah serta mutu keputusan yang dibuat oleh orang yang berkuasa. Tuan-tuan Penasihat ini sangat penting atau boleh juga sangat merusakkan dan tidak selalu kelihatan spt yang dilucukan oleh P Ramli.
Dlm posting saya yg terbaru ini diharap kita semua sama-sama mengemelkan nasihat kpd PM terutama tentang isu B.Melayu sebagai yang termampu kita lakukan. Diharap lebih ramai kawan2 akan menghantar e-mel untuk mendapat perhatiannya.

Shahrul Peshawar said...

Bahasa Melayu berada dalam keadaan yang cukup getir. Kita berhadapan dengan anak bangsa yang mengkhianati bangsanya sendiri. Menidakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan menafikan martabat bahasa ini adalah satu konspirasi jahat yang disengajakan. Tulisan Jawi sebagai nyawa kepada Bahasa Melayu perlu dipulihkan dan dikembalikan kedalam setiap batang tubuh bangsa Melayu. Kerja tuan amat berat dan saya akan bersama pertahankannya.