Sunday, 8 June 2008

SELANGOR BERDENYUT DENGAN KESENIAN

Apabila saya menulis posting 31 Mei, dan 2 Jun tentang Malam Karyawan II yg dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor, saya seolah-olah mengimpikan suatu idealisme : negeri ini merumahkan pelbagai seniman dan genre seni yg bukan eksklusif Selangor , tetapi yang inklusif sifatnya. Nah! tadi malam melalui ucapan-ucapan Dr Siddiq Fadil, Eddin Khoo, Prof. Muhammad Hj Salleh, Tan Sri Khalid, dan Dato' Seri Anwar Ibrahim terucap idealisme yg lebih besar, yakni kesenian dan kebudayaan menjadi bahagian serta roh bagi pembangunan politik dan ekonomi yang manusiawi. Perihal Bahasa Melayu yang terpinggir di sekolah pula dijanjikan akan dikembalikan kedudukan dan kedaulatannya apabila Parti Pakatan Rakyat memerintah negara . Semuanya ini disambut dengan tepukan bergemuruh di dalam Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Menyelangi sekalian ucapan bernas dan penuh harapan itu, supaya tidak semua berkesudahan sebagai retorik, diumumkan pembentukan suatu badan kebudayaan , dipanggil PAKSI yang menyatakan manifestonya, melaui seorang pembicaranya . Secara konkrit dan cepat maka terbentuk sudah suatu mekanisme yang akan mendenyutkan kehidupan kesenian di negeri ini, yang pada masa yang sudah-sudah tidak menentu kegiatan serta citranya. Menteri Besar pula memperkuat pelawaannya kepada sekalian seniman budayawan, di mana -mana saja untuk berkongsi membangunkan kebudayaan, dan kerajaan negeri bersedia menimbangkan apa-apa yang dapat disokong. Semuanya ini menandakan bermulanya suatu cahaya baru bagi kriativiti dan kegiatan intelektual yang rancak di pusat negara , di negeri yang memiliki kemudahan serta potensi budaya yang sangat kaya berbanding negeri-negeri lain. Dan apakah citra dan fokus budaya yang hendak ditonjolkan oleh Selangor? Apakah suatu budaya kosmopolitan dan pluralis sementara membuat pilihan di dalamnya akan muncul suatu sosok budaya yang kuat sebagai keistemewaan Selangor yang menjadi pintu gerbang bagi kemasukan pelancong, pendatang, peniaga dan eksport import perkhidmatan serta komoditi global?

Walau apa pun milieu atau persekitaran kesenian , dan penghormatan yang dilimpahkan, para seniman dan cendekiawan, tidaklah boleh sampai lupa diri akan panggilan hati nuraninya terhadap perjuangan menegakkan kebudayaan nasional, meningkatkan keadilan, etika serta moral, dan menunjukkan kebenaran di sebalik kenyataan-kenyataan politik dan sosial. Tentang kebebasan menulis, mencipta , berucap, berteater dan mengarca misalnya, seniman jangan mengharapkan terlalu banyak janji kerana dalam mana-mana politik pun apabila suara seniman dan suara politik tidak bersenada, seniman harus diam atau melawan. Di situlah kesenimanannya diuji kerana dia hanya harus takut kepada Tuhan. Barangkali tidaklah meleset kalau menyebut nama Usman Awang dan Chairil Anuar sebagai antara contoh ikon kesenian nasionalis yang berani
melawan gelombang dan deru campur debu politik melalui puisi yang sangat indah, halus dan memukau.
Oleh itu kebebasan bukan dihadiahkan, tetapi harus dimenangi dan diperjuangkan.

Tadi malam 7 Jun 2008, Selangor telah bersuara, seolah-olah berkata : wahai seniman, kusediakan untukmu sebuah rumah yang baru; apakah yang kalian hendak ciptakan?

5 comments:

Ahmad Azam said...

Saya membaca tulisan Dato ini dan merasakan begitu rugi tidak dapat hadir menyempurnakan jemputan YAB Menteri Besar.Kenduri kendara keluarga dan sahabat menjadi penghalang.

Saya yakin Kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat serius untuk mengangkat martabat umat dengan memperkasa budaya bangsa dan Bahasa Melayu.

Memang Budaya dan Bahasa begitu di abaikan sejak satu dekad yang lalu.Yang di utamakan adalah pembangunan ekonomi dan pembangunan koridor. Bahasa Inggeris kembali menjajah kerana penderitaan hina diri yang amat parah dek Sang Pemerintah.

Namun rasanya muncul jua cahaya yang di nantikan.

Ayuh Dato,kesempatan ini tidak harus tinggal retorik.Pengalaman Dato amat di nanti.Gelanggang dah di beri.Ayuh tunggu apa lagi.

Ahmad Azam,TPJ14

SATIRA + KACAU said...

Seronok juga membaca kisah-kisah di sini

Satira + Kacau

sahrunizam abdul talib said...

Dato,

Saya bangga menjadi sebahagian daripada sejarah pada malam itu.

Juga dapat bersalam dengan Dato.

lutfi said...

Assalamualaikum dato. Kerajaan Selangor telah melempar satu agenda besar terhadap cabang kebudayaan yang kelihatan dipinggirkan - dalam satu wacana yang segar. Tentunya, kita mengharapkan mereka menyediakan satu iklim yang lebih kondusif di selangor. Seronok jumpa dato malam tu. Salam

Danielle_Corleone said...

Saya juga impikan perkara serupa! seni, nilai sastera yang penuh tanggungjawab diangkat jadi sebahagian jalan hidup dalam tanah kita! :-) salam singgah pak Baha!