Monday 30 June 2008

TANAH AIRKU, TANAH TUMPAH CINTAKU

Jam hampir satu malam. Hanya suara cengkerik dan unggas menikam gelap kelam. Ada berita buruk terbang pada waktu siang: tuduhan, tohmahan dan pergelutan politik memanjang; tentang pembunuhan, sodomi, pengambilalihan kekuasaan, pengkhianatan dan cerita penyembelihan keadilan hingga mati, tetapi hidup kembali. Apakah itu sahaja makna tanah air kita ? Apa pun itulah wajah rakyat kita, wajah bumi kita ; suka atau tidak suka.

Apabila Pablo Neruda, penyair besar negara Chile, pemenang Hadiah Nobel, bercakap tentang Perhubungan Penyair dengan Rakyat Negaranya, beliau berkata:

"... sepanjang sejarah tanggungjawab penyair memastikan perhubungan ini . Mengisinya dengan
penuh dedikasi, dengan penderitaan, dengan kebahgiaan.

Peringkat pertama kehidupan penyair dihabiskan untuk menyerapi intipati tanah airnya ; kemudian dia harus memulangkannya kembali. Dia harus mengembalikannya seperti asalnya; dia misti membalasnya. Puisinya dan tindakannya harus menyumbang ke arah kematangan dan pertumbuhan rakyatnya.

Penyair tak boleh diceraikan daripa buminya kecuali dengan paksaan. Walaupun dalam keadaan begitu, akarnya misti merentang menyeberangi lautan dalam, biji benihnya terbang bersama angin, kemudian menjadi darah daging di tanah airnya. Dia misti menjadi nasionalis yang rasional dan berwawasan, patriot yang matang.

Penyair itu bukan seperti batu yang berguling. Dia mempunyai dua tanggungjawab: berangkat dan pulang. "

Demikianlah juga tugas dan tanggungjawab seniman dan pengarang tradisi dan modern di bumi tanah air bangsa kita sejak ratusan tahun dahulu lagi. Dalam kerinduannya dia menulis pantun dan syair cinta. Dalam pengembaraannya dia mencipta puisi yang merindui kampung halamannya. Ribuan puisi dikarang menyuarakan perjuangan kemerdekaan rakyatnya sebelum negara ini disinari cahaya matahari pertama 31 Ogos 57. Pungguk, Afrini Adham, Masuri, Usman Awang dan ratusan yang lain menjadi lidah rakyat yang tertindas. Hari ini kita anak-anak merdeka berebutan menghunus belati dan tohamahan , berusaha dan berkonspirasi menewaskan lawan, atas nama keadilan sosial , demokrasi dan kesamarataan. Apakah kita telah menjadi nasionalis yang rasional dan berwawasan, patriot yang matang.? Apakah yang telah kita ambil daripada negara , yang patut kita kembalikan?

6 comments:

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum Datuk yang saya hormati..

Kemerdekaan kita bukan pada 31 Ogos 1957, itu hanya kemerdekaan atas kertas semata.. Saya bukan pengkaji sejarah (rujuk Buku Hishamuddin Rais yang terbaru - KEGANASAN, PENIPUAN & INTERNET) tapi realitinya itu saya nampak.. Saya baru bertatih, tapi semakin lama semakin saya berdarah dan semakin saya resah.. Keresahan dan kerisauan dengan bumi bertuah Malaysia ini, bangsanya yang semakin hipokrit dan tidak amanah.. Kucar-kacir jadinya sistem kita, peranan penulisan tidak lagi penting tapi yang penting penulisan yang menghentam dan bermotifkan politik semata..

Datuk, mengapa Kemerdekaan kita ini tidak diisi? Adakah sudah tradisi bangsa kita macam ini? Sejak zaman kejatuhan Kota Melaka, mungkinkah kita akan jatuh sekali lagi?

Bangsa kita berpecah dan yang mewah si kapitalis dan tokeh2 kaya?

Perjuangan mereka laungkan keadilan dan saksama tapi adakah perjuangan itu disulami dengan cara kita menuju ke syurga?

Saya sangat takut kerna masa remaja saya kini sudah diisi denga perasaan sangsi.. Astafirullah....

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha: Ketika laman rumahku dicemari najis dan tamanku dikencingi seseorang, mereka menyuruh aku bersabar dan belajar memberi.

Setelah mereka ditolak oleh mereka yang mendatangkan mereka untuk merompak mahsul negeri milikku ini, dan dengan rela kuterima kemudiannya mereka menjadi teman, apa lagi yang mesti aku beri dan serahkan, Pak?

Aku meratap. Aku meraung. Pedulikah mereka hatiku yang luka dan terguris ini?

Satira + Kacau

Web Sutera said...

Assalamualaikum Dato' Baha,

Membaca entri ini membuatkan saya terasa syahdu, hening. Ya, memang benar, inilah wajah bangsa dan negara tercinta ini. Saling bertelingkah, berkonspirasi!

Namun perjuangan hidup dan kehidupan akan diteruskan, selagi ada hayat.

Ilham Ainol said...

salam bahagia datuk...saya hanya mampu menitip sepotong puisi untuk dikongsi...

kembali cinta kepada remaja

kembalikan urna putih di segara cinta
mengajar yakin dan pekerti kepada remaja
leburkan darah dan resah
lepaskan jerutan pada leher demokrasi
isikan dulang rasa dengan kasih sejati

ilham ainol
segamat johor

Unknown said...

Assalamualaikum Dato',

Tahniah atas tampang kulit buku Dato' yang cantik dan "luar biasa" yang diterbitkan oleh DBP. Saya belum memilikinya lagi.Nanti bolehlah saya dapatkan tanda tangan Dato' di buku itu. Boleh kan?

bahazain said...

Sdr izwan,satira, web sutera,& ilham,
Apa yg terjadi hari ini, sebaiknya tidak terjadi.Yang sebaiknya tidak terjadi itu hanya suati keinginan, tetapi kenyataannya berbeza. Saya mengerti kalau saudara sekalian berasa gelisah, kacau dan malah marah. Generasi muda adalah zaman yg sangat indah, berwarna warni pelangi, romantis dan dangat sensisitf.Tetapi kenyataan sekitar boleh jadi sangat tajam. Hanya yg suka saya katakan; bersedialah untuk berhadapan dengan krisis .Apakah itu krisis pribadi, keluaraga, handai taulan, kekasih, atau kemasyarakatan. Krisis menguji watak dan keberanian kita, dan bukan keadaan aman atau normal.Krisis boleh datang beberapa kali dalam hidup kita. Petrcayalah kata saya, tetapi mengadulah kpd Tuhan yg Maha Penyayang.
Sdr Ritah,
Tampang kulit buku saya ilham & jerih payah kriatif sinaganaga.Saya mengalah kpd ketajaman visualnya. Saya sendiri masih merindukan buku itu tiba ke depan saya. InsyAllah.