Tuesday 17 June 2008

WARKAH BULAN JUN

WARKAH BULAN JUN
( Surat Terbuka Kepada YAB Perdana Menteri)

.
Assalamualaikum YAB Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia, semoga dalam perlindungan dan limpahan rahmat-Nya.

Ini bukanlah kali pertama saya menyampaikan permintaan dan harapan tentang soal mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kepada YAB Pak Lah, baik dalam suatu pertemuan yang khas di Putra Jaya mahupun melalui dua e-mel kepada http://www.warkahuntukpm.com.my/ Walaupun saya mengenali Pak Lah, dan juga sebaliknya, tetapi surat ini disampaikan sebagai seorang penulis rakyat biasa yang setia kepada negara dan sangat prihatin terhadap Bahasa Melayu (BM) sebagai Bahasa Kebangsaan tanah air yang satu-satunya ini.

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Muhammad ( sekarang Tun) telah memberhentikan BM sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains dalam sistem pendidikan kebangsaan pada 2003. Ini memberi akibat sangat buruk terhadap status dan fungsi BM sebagai bahasa ilmu dan juga jati diri negara. Bagi saya ini adalah satu dosa besar yang dilakukan oleh seseorang pemimpin negara terhadap warisan, tamadun serta jati diri bangsanya. Semua bangsa maju (Cina, Jepun, Jerman, Perancis, dan Korea) membina kemajuan, ilmu, dan tamadunnya melalui bahasa kebangsaan masing-masing, dengan tidak menafikan sumbangan bahasa-bahasa antarabangsa sebagai sokongan. Tidak ada hujah yang rasional dan alasan yang kuat untuk menyingkirkan peranan Bahasa Melayu itu dalam sistem pendidikan negara setelah dilaksanakan dengan jayanya selama lebih 30 tahun.

Saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab YAB Pak Lah sebagai Perdana Menteri yang berkuasa sekarang, memperbetulkan balik apa jua kerosakan atau kesalahan dasar serta pelaksanaan yang memberi kesan buruk terhadap nasib dan masa depan tamadun negara. Apabila generasi baru masa depan menjadi dewasa dan maju dalam budaya bahasa Inggeris dan kemudian berasa rendah diri kerana tidak memiliki bahasa kebangsaan yang bernilai ekonomi serta tidak menjadi wahana ilmu dan teknologi, kerajaan dan pimpinan negara dekad inilah yang patut dikecam. Apabila generasi masa depan itu menjadi maju dan bangga dengan bahasa, tamadun serta jati diri bangsanya , pemimpin hari inilah yang patut dipuji dan dihormati. Terlalu banyak wajah dan semangat masa depan itu perlu YAB Pak Lah rancang dan lakar secara berani pada hari ini juga.

Saya tidak mewakili mana-mana pihak, tetapi percayalah suara saya ini dikongsi bersama oleh ribuan individu lain terutama golongan penulis yang berasa sangat marah terhadap jenayah dan dosa terhadap Bahasa Melayu ini.

Akhirnya dengan rendah hati saya memohon YAB Pak Lah agar terbuka hati untuk menimbangkan isu ini secara serius dan mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu.

Saya berdoa semoga Allah merestui segala perbuatan dan niat yang baik, dan melindungi YAB .

Salam hormat daripada,

Baha Zain. 17 Jun 2008.

___________________________________________________

(Catatan: Menyalin dan menyebarkan warkah ini diizinkan )

6 comments:

sahrunizam abdul talib said...

Dato'

Memang sangat aneh. Segala nasihat, pandangan, harapan dan rayuan daripada pelbagai pihak tentang perkara ini langsung tidak dipedulikan oleh mereka yang berada pada posisi penggubal dasar.

Semalam dalam BH, seorang ahli akademik dari UPSI telah membentangkan dapatan ilmiah beliau tentang perkara ini.

Tapi, Timbalan Menteri sekali lagi menyatakan UPSR 2008 sebagai kayu pengukurnya. Nak ukur apa lagi?

Pelik

Sham al-Johori said...

Dato' yang dihormati,
Saya sentiasa menyokong kesungguhan membina sebuah tamadun bangsa khususnya Melayu. Tetapi menyokong pembinaan tanpa keikhlasan adalah satu pembohongan perjuangan. Itulah yang berlaku kepada pucuk pimpinan kita hari ini. Mereka bermain tarik tali dan cuba menguji jiwa rakyat. Mereka menjadi pencatur yang licik dan pemuka-muka yang indah. Kita hanya menjadi buah dadu yang dilontar ke sana- sini atau lebih tepatnya BAHASA MELAYU kita sedang DIPERJUDIKAN.
Ini bukan lagi satu dosa besar tetapi PELAKNAT. 10 tahun menunggu, mereka hanya bermain dengan kata-kata yang muluk tanpa memberi keputusan. 10 tahun bukan satu jangka masa panjang. Dan, kita masih menunggu tanpa menyedari bahawa kita sedang diperjudikan.

Maaf Dato', kerana saya tidak menentang BI tetapi saya benci orang yang mengangungkan BI sedangkan bahasa kita seperti kepuk padi mati kelaparan. Kepimpinan kita lebih hina daripada pendayus yang menjual kekasih mereka kepada orang lain. Bahasa kita adalah kekasih kita; dan hari ini mereka menjualgadaikan kekasih kita itu. Bukankah itu DAYUS namanya.

Moga Allah SWT sentiasa memaafkan kita kerana kemarahan ini sudah tidak terbendung. Amin.

Puan Ainon Mohd. said...

Kita mesti tumbangkan pemimpin-pemimpin yang membinasakan masa depan jutaan pelajar!

bahazain said...

Sdr Sahrunizam, Sham dan Ainon.
Penulis dan budayawan biasanya tidak memilih untuk aktif dlm politik kepartian.Keutamaannya menulis& mencipta untuk mengisi kebudayaan manusia.Tetapi apabila diremehkan oleh kekuasaan dia tidak mempunyai banyak pilihan: hancur diam atau melawan. Apakah cendekiawan dan budayawan sekarang sedang didesak oleh sejarah untuk menentukan politik kebudayaannya?
Saya teringat pada tahun 60-an bersama Prof Bakar Hamid merangka Manifesto Penulis, antara lainnya:
"Hati nurani seorang penulis adalah hati nurani masyarakatnya. Maka itu ia mempunyai tanggungjawab untuk menyatakan dengan berani dan jujur segala kebenaran yang wujud.Dengan berani dan jujur pula ia harus menyatakan segala kemungkaran, ketidakadilan dan kecurangan yang berlaku di sekitarnya. Keberanian dan kejujuran ini lahir dari rasa tanggungjawab keagamaan yang tinggi dan kemanusiaan yang murni"

Ahmad Azam said...

Dato,

Sudah terang masih nak bersuloh! Dasar membunuh Bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik memang silap membawa celaka kepada Bangsa Melayu.Anak Melayu akhirnya bebal Bahasa Inggeris,dan bodoh Sains dan Matematik. Kajian akademik dah berpuloh membuktikan akan kebobrokan dasar ini. Nah,pemimpin UMNO nak tunggu apa lagi? Kamu pejuang Melayu.Kamu Nasionalis Melayu.Kamu hati nurani umat Melayu.Bertindaklah!

bahazain said...

Sdr admin
Saya percaya kesilapan UMNO terhadap bahasa Melayu ini bukan sahaja membawa kecelakaan terhadap bangsa Melayu, tetapi akan mengundang kecelakaan yang lebih besar kepada UMNO, kalau PM dan TPM lalai atau berdegil . Budayawan, cendekiawan dan penulis sudah 5 tahun bersabar dalam dialog yg berakal budi. Malangnya ramai orang Melayu juga bodoh tentang isu ini selain daripada terkeliru tentang hubungan ilmu dengan bahasa. Oleh kerana masih ramai orang Melayu yang masih terjajah fikirannya (termasuk sesetengah guru dan Guru Besarnya) maka mereka belum merdeka drpd imperialisme
dan kekaguman terhadap budaya Inggeris, walaupun sudah berkelulusan tinggi. Kita lihatlah nanti apa yg akan terjadi 4 tahun lagi.