Tuesday, 8 July 2008

MENULISLAH DENGAN PENUH PERASAAN

Ramai bakat muda bertanya bagaimana penulis terkenal menulis. Saya tidak berani menjawabnya secara jelas kerana tidak pernah melakukan kajian atau memerhatikan secara teliti tingkah laku pengarang. Daripada pengalaman, saya lihat Usman Awang menggunakan mesin taip dengan cawan kopi di atas meja dan rokok kretek terpasang . Orang lalu lalang di depannya dia tak ambil pusing. Keris Mas juga menggunakan mesin taip manual; sambil menaip sesekali berhenti mengisap paip tembakau cap nenas yang semerbak baunya sampai ke luar biliknya. Kedua-duanya bekas wartawan 50-an , dan biasa menggunakan mesin taip di ruang kerja yang sibuk. Pengarang muda selepas zaman mereka ramai bukan wartawan dan lebih selesa menggunakan pena. Sebab itu pada dekad 60-an hingga 80-an fountain pen Parker, Sheafers, Cross, dan Pilot sangat populer, dan jadi semacam lambang status pegawai, guru atau pengarang. Yang menariknya tentang zaman lampau itu, sebelum generasi komputer muncul,
draf karya pengarang , dua atau tiga draf yang menunjukkan pembetulan, pemotongan dan sebagainya, boleh diperolehi dan ada yang tersimpan sampai hari ini. Sekarang susah nak dapat kerana pengarang sudah menggunakan komputer; lebih mudah menyunting draf dan lebih pantas menyiapkan karya di komputer saja.

Ah! semua itu hanya alat. Tanpa mesin taip atau komputer tak mesti orang tak boleh menulis Kabarnya Ernest Hemingway menggunakan pensil dan sebelum menulis dia akan mengasah sedozen dua pensil terlebih dahulu. Thomas Wolfe suka menggunakan kertas warna kuning. Demikian juga Truman Capote suka menggunakan kertas kuning
; dan suka menggunakan pensil hitam Faber Castell. Masing-masing mempunyai kebiasaan dan keanehannya tersendiri. Ini pun kebebasan juga; bebas berfikir dan bebas mengucapkan diri dalam bentuk serta cara yang disukainya. Akhirnya yang penting ialah hasil karya ; tak kira ditulis di dapur, di sisi tandas atau di bilik hotel.

Pada dekad 70-an saya bertemu dengan pengarang Amerika keturunan Cina, Maxine Hong Kingston, yang mengarang novel The Warrior Woman ( kalau saya tak silap eja nama dan judul karyanya). Dia memberitahu saya yang dia sangat terhutang budi kepada editor sasteranya yang bertanggungjawab menyunting serta memperbaiki novelnya sehingga layak diterbitkan . Demikian juga dengan pengarang terkenal Michener yang saya ketemui di Bangkok pada tahun
1981, menceritkan novel-novelnya tidak mungkin sehebat itu penerimaan dan jualannya kalau tidak kerana bantuan editor sastera yang komited. Agaknya inilah nasihat yang berguna bagi sekalian penulis, baik bakat baru atau yang veteran, supaya berasa perlu dan yakin bahawa
bantuan profesional editor sangatlah mustahak bagi memberi pandangan tentang isi dan gaya, membetulkan kesilapan bahasa , mencadangkan bentuk dan wajah buku, jenis cetakan
dan jilidan , malahan strategi pengedaran. Penulis memang mempunyai bakat, pandai mengarang, tetapi dia tidak mengetahui segala-galanya tentang penerbitan, dan selalu tidak nampak kesilapan-kesilapan kecil yang boleh mencacatkan penerimaan pembaca , selepas begitu banyak tenaga, waktu dan perbelanjaan dicurahkan.

Sesekali penulis perlu merendah diri, berlapang dada, dan berfikiran terbuka kerana ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Masalahnya editor yang mahir dan sanggup memberi waktu untuk membina penulis atau orang lain sangatlah sukar diketemui.

12 comments:

Nisah Haji Haron said...

Salam Dato' Baha,

Saya sangat bersetuju bahawa seorang penulis yang baik, juga memerlukan editor yang baik (malah, jika ada yang lebih baik, tentulah lebih dialu-alukan). Setakat ini saya pernah bekerja dengan 2 orang editor yang sungguh-sungguh memuaskan. Selebihnya, hanya mampu melakukan copy editting. Dalam kepantasan dunia penerbitan hari ini, ramai yang lupa bahawa menjadi editor itu bukan setakat membetulkan ejaan. Pengarang juga memerlukan seseorang yang boleh menjadi 'mata kedua' bagi membaca manuskripnya. Apatah lagi editor yang boleh membaca secara mikro dan makro. Hal ini, benar, amat sukar ditemui. Editor perlu terus mempertingkatkan kemahiran menyunting karya bagi memastikan karya yang dihasilkan penulis menepati sasaran pembaca.

Anonymous said...

Dato',

Sekadar berkongsi... Allahyarham Pak Keris Mas sebelum bergelar sasterawan besar yang kawakan, mengasah bakat awal penulisan beliau di lebihan kertas pembungkus barang yang dikumpulkan oleh beliau sewaktu bekerja di sebuah kedai runcit.

*Editor dan penulis kedua-duanya harus berlapang dada dan minda.

Sham al-Johori said...

Salam Dato' Baha,
Saya mula belajar menulis saat mengenal Alif, Ba' dan Ta'. Tapi yang paling penting ialah bagaimana 'pendekar bujang lapok' belajar menulis dan membaca. kata rakannya (dalam kelas dewasa); "'alif', 'mim', 'nun' tendang 'waw' ialah buaya". Sampai hari ini kita semua ketawa mengenangkan gelagat itu.
Bagi saya yang penting ialah ketajaman pena dan menguasai alam sekeliling. Ruang, waktu, dan alat adalah batas yang mengikat berfikir. Usman Awang, Keris Mas, Shahnon Ahmad dan saya percaya Dato' juga akan selalu mendengar bisikan kalbu kemudian memindahkahnya ke dalam kata-kata meski berada di mana-mana. Saya selalu teringatkan hikmat al-Ghazali menulis, kadang-kadang terbawa-bawa kepada hikmat as-shafie menulis. Mungkinkah semuanya itu akan bersatu demi kebenaran dan hak.

Salam.

jiwafaham said...

Assalamualaikum Dato',

Cair hati dan perasaan saya bila mendengar lagu Hayalan Penyair dendangan S Affendi. Cair juga jiwa dan perasaan saya bila melihat cermin... teringat sajak Dato'. Saya juga selalu menyoal diri di hadapan cermin.. apakah aku seorang pendusta atau seorang yang jujur di alam maya ini?

Saya sangat percaya lagu S Affendi dan sajak Dato' itu ditulis dan dihasilkan dengan penuh perasaan. Nilainya sangat tinggi.

Walau semua pakej sebagai penulis telah lengkap dan serba ada, tanpa semangat 'hendak' dan 'mahu' yang kental mengalir dalam diri untuk menulis, pakej yang ada akan terbiar lesu ya Dato'?

Hendak seribu daya

Akmal Hisham Abdul Rahim said...

Salam.....

Ada penulis, bila dihadapan kertas atau komputer....pantas menulis. Bila-bila masa saja boleh.

Tapi macam diri saya yang biasa ni, bergantung penuh kepada mood/emosi....

Keadaan faktor sekeliling juga perlu diambil kira.

Cuma bila saya baca tulisan Dato ini....memang menarik (best).

Terima kasih :)

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum.. Ketemu lagi disini..

Seorang penulis bagi saya bukan pada bakat kerna bakat yang tidak diasah mana mungkin dapat melahirkan seorang penulis yang kreatif dan lain dari yang lain.. Bagi saya, bagi menjadi penulis yang baik dan berbeza dari yang lain seseorang penulis itu harus peka dan mengamati persekitaran.. Semua ilham ini sangat indah dan cantik kerna semua ini ciptaannya yang maha Esa Allah Swt..

Datuk, Pramoedya Ananta Toer semasa meringkuk di jeriji-jeriji besi Pulau Buru menulis hanya menggunakan Pensil Kontot dan cebisan-cebisan kecil kertas yang dikutip semasa dia berlabuh bertahun-tahun disana.. Tapi, Karya Pram telah berjaya merentasi ke segenap seantero dunia dan disanjungi juga.. Inilah penglipur lara serta sastera yang jujur dan ikhlas.. Saya mengagumi Pram kerna sisa hidupnya bermodalkan penjara dan rakyat tapi karyanya berjaya ke segenap seantero dunia..

Bagi saya Dato, sesebuah karya Sastra mestilah merangkumi aspek politik, sosial, peradaban, keterbukaan, kesaksamaan, perjuangan, idealisme, persekitaran, agama dan global.. Sayangnya Datuk, toko-toko Buku di Malaysia banyak melankolik cintanya dan bangsa kita hanya terkenal dengan drama-drama cinta dan Melayu tipikal.. Bagaimana mungkin kita mahu setanding dengan sastra dunia sedangkan cinta yang entah ke mana diagungkan tidak semena-mena..

Aduhai, Bangsa kita, bangsaku.. Butakah mata? Pekakkah telinga? Saya sedikit gundah-gulana.. Kerna ada Melayu mengagungkan mereka artis berbanding Sastra..

Sasteralah Pemangkin Kemajuan Sesebuah Bangsa dan Negara bukannya artis yang bertelanjang dengan gossip semata-mata...

Malang lagi, Universiti dijadikan tangga kepada para artis ini, saya bukan membenci tapi hanya rasa sedikit sangsi dengan peranan cerdik-pandai ini..

Bagilah kepada kami anak muda bersuara supaya setanding Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestamam, Za'ba dan tokoh-tokoh Melayu lain..

"Sastra kita, Bergemalah Semula!!"

Danielle_Corleone said...

Salam Dato, jiwa penulis itu ada pada semua orang atau hanya yang tertentu sahaja?

Puan Ainon Mohd. said...

Dato'

Mohon izinkan saya terbitkan semula artikel ini dalam UNIKA supaya para editor muda faham tugas dan tanggungjawab mereka.

Zamri Mohamad said...

Assalam alaikum Dato' yang dihormati.

Adakalanya pilihan tempat juga menjadi jenama dan imej seorang penulis. Misalnya Pak Samad kini lebih gemar menconteng, berkarya di atas tisu (dan buku) di kafe Starbuck. Adakala bertemu di Borders dan KLCC.

Ada pula yang suka memandu jauh dari rumah bagi berkarya seperti dilakukan Steve Shapiro.

Ada pula yang mengasingkan diri dengan menyewa bilik di pejabat kecil yang mempunyai sebuah komputer dan pencetak.

Semua ini memberitahu kita apakah jenis personaliti yang dimiliki penulis.

Selain daripada stail dan gaya penulisan. Apakah bentuk pemikiran yang perlu ada bagi penulis? Khususnya yang menjadi penulis sepenuh masa.

Selari dengan topik ini, apakah cadangan Dato' bagi mengangkat kumpulan penulis tempatan sebagai sebahagian daripada kepentingan negara?

Hari ini penulis masih belum dilihat sebagai satu karier yang serius oleh massa. Masih ada dilabel sebagai hobi dan suka-suka.

Mohon bimbingan Dato.

ZAMRI MOHAMAD
www.motivasimindamu.blogspot.com

bahazain said...

Sdr nisah, ritah, sham, jiwafaham,akmal, izwan, danielle coreleone, ainon dan zamri,
Pandangan yang sdr2 sampaikan menyedarkan saya bahawa masalah penulis dan juga editor sebenarnya lebih luas dan rumit.Setiap kita rupanya mempunyai pengalaman dalaman yang pelbagai, aspirasi yang bermacam-macam, dan pengertian yang tidak semua sama tentang apa ertinya menjadi seorang penulis itu.Hakikat yang kompleks inilah yang menyebabkan amat sedikit jumlah editor yang boleh menghadapi aneka watak penulis. Pada umumnya saya percaya semua orang boleh menjadi penulis. Hanya yang berbeza ada yang berbakat menulis esei, ada yang berbakat menulis cerpen atau puisi, drama, novel atau lebih daripada satu genre. Yang pasti penulisan bukanlah kerja yang singkat ; mungkin bertahun-tahun baru betul-betul mantap dan yakin akan gaya dan pendirian atau pegangannya ( sosial, agama, politik, kebudayaan etc). Banyak sekali adjustment, penyesuaian, dialog, bacaan, dan malah polimik yang perlu ditempuh sampai kita yakin dan berani. Apa pun prinsip, pegangan dan keyakinan itu ia harus diterjemahkan dalam komunikasi verbal yang membawa stail bahasa masing-masing yang menjadi pribadi masing-masing.Inilah yang membezakan pribadi Pramoedya,Usman Awang,Umar Khayam, Anis , Kassim Ahmad, Rustam,Mohamad Hj Salleh, Rendra dan Goenawan.Semua mereka ini telah berjalan begitu lama di jalan yang panjang , dan pernah luka-luka dalam penegembaraannya.Saya kira demikianlah rumusan umum saya bagi pandangan2 menarik sdr2 sekalian. Saya akan berbicara lagi tentang isu penulis dan penulisan, editor dan pengeditan ini dalam kolum-kolum dan blog selanjutnya untuk kita berdialog

sinaganaga said...

Kan saya dah kata, saya memang bergeliga. Ha ha.

Ok, buku-buku tulisan saya (yang saya terbitkan sendiri) rupa-rupanya adalah Buku Latihan Mari Mengedit Naskhah untuk bakal editor, editor hijau, editor mahu 'naik' skill, et cetera et cetera. HA HA.

Seperti kata Kak Ainon, dulu, DBP sepatutnya memiliki pegawai pemasaran seperti saya. HA HA.

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Salam mesra Dato' Baha,

Setelah saya agak lama melayari dan membloger, hari ini saya dapat laman Ab. Baha. Dan saya mula juga mencari artikel2 kreatif tapi tak banyak mungkin saya masih baru dilaman ini. Saya cadangkan semua artikal Dato dlm Dewan Sastra dimasukkan ke blog ini.
Secara ilmiahnya saya meminati tulisan sebegitu, padat dan pendek.

Dulu, saya meminati tulisan Johan Jaafar tapi kini tulisannya dalam Berita Minggu telalu banyak fakta dicedok mengalahkan para penulis ekonomi langsung menyampah... panjang meleret-leret... saya tak tau sama ada diminati orang banyak...

Klu. ada kelapangan sila lawati laman ini: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/
barulah Dato Baha mengenali saya...