Tuesday 15 July 2008

RUANG--WAKTU-- KESEPIAN--DAN DIRI

SEPI ITU SIHIR

Sewaktu kecil dahulu, pada zaman kanak-kanak, kita melihat betapa besarnya sekolah, padang bola, kolam masjid, rumah Tuk Penghulu; dan tidak menyedari , malah tidak ambil peduli tentang waktu. Hari demi hari kita membesar; tiba-tiba menjadi dewasa, dan berkeluarga.

Hari ini apabila kembali ke kampung, sekolah, padang bola, masjid dan jalan serta rumah-rumah yang dahulu terasa sangat besar , kini sekalian ruang serta bangunan itu terasa kecil di depan mata. Kita sudah tidak kagum dan tidak terpukau oleh ruang lagi. Kadang-kadang kita tidak sedarpun bahawa kita bergerak di dalam ruang, di atas lantai, dan dikelilingi oleh dinding atau pohon-pohon. Fikiran lebih dihantui oleh waktu; dirisaukan dan merisaukan waktu; tidak cukup waktu atau tiba-tiba kehabisan waktu. Waktu, waktu dan waktu memenuhi kesedaran kita.

Kehidupan yang begitu sibuk setiap hari dan setiap waktu membuat kita merindui kesepian; ingin aman dan bersendirian; jauh daripada rakan sepejabat. Apa kah kesepian? Ia bukanlah keadaan atau perasaan, tetapi peluang untuk kita berjalan mengembara jauh ke dalam dunia dalam diri kita; ke dasar-dasar yang gelap dan dilupakan. Jelajahilah landskapnya: lorong-lorong yang dihiasi pohon-pohon, bunga-bunga yang harum, daun yang hijau merimbun, telaga yang jernih serta dingin, dan bayu yang berhembus. Di situ ada keamanan, muzik dan impian yang bersihir, dan tak terdugakan. Bersykurlah apabila anda menemukannya kerana ia akan menjadi sumur yang mengalir dengan air jernih bagi mengungkapkan karya anda.

Jadi lupakanlah sekejap masalah waktu yang tidak cukup itu. Menyepi dan bersendirianlah untuk mengucapkan sesuatu . Pada saat-saat inilah waktu menjadi sangat bermakna; dihayati serta dimanfaatkan, tidak dibazirkan, tetapi diisi dengan makna diri yang dalam--- Sepi itu sihir.

7 comments:

Unknown said...

Saya rindu...

sinaganaga said...

Dalam sebuah entri saya yang terdahulu, saya menulis tentang Sepiah. :)

jiwafaham said...

Assalamualaikum Dato'

Tahun 2000 bila saya datang kembali ke Dewan Sri Budiman UiTM, memang saya merasakan dewan itu sangat kecil, rimas dan menyesakkan, tidak seperti ketika saat manis saya menimba ilmu dulu!

Kali kedua perasaan yang sama berulang masa saya masuk Dewan Tunku Canselor UM kerana menghadiri satu majlis setelah ia dibaikpulih dari tragedi terbakar itu. Hati dan perasaan saya sangat lemas, merasakan ianya sempit dan sangat menyesakkan.

Perasaan yang sama berulang kali ketiga masa berada di Dewan Putra PWTC semasa sambutan Maulidul Rasul. Dewan itu terasa sangat kecil.. saya bertanya pada diri sendiri "aku ni betul ke tak betul ni..."

Ya tempat yang suatu masa dahulu sangat luas, selesa dan mengagumkan kini terasa sempit, kecil, bosan dan merimaskan. Benar ya Dato'.

Namun berlainan pula ketika berada dalam Masjid Kuala Lumpur, Jalan Duta ketika majlis Bacaan Yassin dan Tahlil untuk Seniman Tanah Air baru-baru ini, terasa sangat selesa, nyaman dan segar!

Sekarang ini Dato' anak saya komen, ayah suka sangat menengok pokok, menengok bunga durian gugur, menengok kambing betina terkedek-kedek melintas jalan. Kelakar la ayah ni....

Agaknya beginilah perangai manusia bila umur sudah menginjak ke angka 40an ya Dato'?

Hati sepi dan sayu orang-orang yang menyayangi kita ramai telah berhijrah ke alam sebelah sana...

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaukum Dato..

Sepi itu indah.. Sangat indah.. Nan jiwa ini sepi, bercambah lagi inspirasi dan nan jiwa ini sepi bercambahlah naluri.. Saya banyak sepi sekarang ini, kecelaruan dikala sepi ini kita berfikir dan merenung jauh di benak hati.. Merindui cerita-cerita lama dan merindui orang yang jauh dimata merupakan peneman saya dikala sepi.. Betapa indahnya sepi..

Saya tidak memahami apa itu sepi, tapi apabila kian umur beranjak meningkat usia saya mula memahami apa itu sepi.. Kian lama saya begini, kian lama saya sepi.. Saya akan cuba menghargai setiap hari saya yang sepi..

Apabila tiba seruan yang Esa, kita pasti juga akan sepi ditemani bunyi-bunyian di Alam barzakh nanti..

Itulah sepi yang abadi..

Puan Ainon Mohd. said...

Alangkah sempitnya ruang orang kota.

Alangkah luasnya ruang orang kampung macam saya.

Tinggalkanlah rumah besarmu di Kuala Lumpur yang kecil itu.

Mari tinggal di lembah tanah tinggi yang diberi nama Janda Baik.

Di sini rumah kecil adalah besar.

Sham al-Johori said...

sebuah sepi adalah ...

sepi adalah rumah kita
sepi adalah roh kita
sepi adalah rindu kita
sepi
adalah
sebuah
pusara
yang menanti
janji
kita.

mari kita cari
erti sepi yang abadi.

shamsudin othman
madrasah sham al-johori

Danielle_Corleone said...

Sepi itu perlukan waktu kan dato'?