Saturday, 13 September 2008

AMARAN 12 SEPTEMBER

12 September ( Jumaat) sebenarnya hari yang memberi amaran. Jangan ambil mudah kerana 12 September mencatatkan dua peristiwa . Satu mempunyai kesan berita berskala besar, iaitu penahanan di bawah kekuasaan ISA; dan satu lagi tidak mempunyai kesan berita yang besar, iaitu kenyataan akhbar kira-kira 40 badan bukan kerajaan yang menyanggah dasar pelajaran yang meneruskan Sains dan Matematik dlm bahasa Inggeris.

Dua tahanan ISA itu dikaitkan dengan sensitiviti agama. Kenyataan akhbar itu berkaitan pendidikan dan Bahasa Melayu. Tidakkah sudah sangat-sangat jelas termaktub dalam Perlembagaan Persektuan itu tentang kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.Tidak juga ada kekaburan tentang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara. Pertanyaannya kenapa timbul keberanian orang menyentuh tentang
amalan penganut Islam di Malaysia ini? Kenapa setelah 51 tahun merdeka timbul protes
dan kemarahan sesetengah orang Melayu ( rakyat dan cerdik pandai) terhadap kerajaan
tentang kedudukan dan peranan Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan kita?

Pertanyaan-pertanyaan mudah ini harus difikirkan dan dijawab dengan jujur dan ikhlas oleh pemimpin politik UMNO, yang Islam dan yang Melayu. Kenapa pemimpin UMNO? Kerana UMNO telah menjadi tulang belakang pemerintahan sejak awal merdeka lagi. Islam sebagai agama rasmi negara harus dengan jelas dan tegas diterjemahkan dalam dasar-dasar kerajaan
dan dilaksanakan, tanpa menidakkan keadilan bagi penganut-penganut agama lain. Penganut-penganut agama lain tidak boleh tidak misti menerima hakikat ini kerana sudah termaktub dalam perlembagaan sejak negara ini meredeka. Tak ada retorik dan permainan politik lagi. Kalau tidak dari tahun ke tahun, dari zaman ke zaman berbangkit isu ini dan kerajaan bertindak reaktif untuk mengamankan rakyat yang bebal dan busuk hati.

Islam tidak pernah tidak adil, dan selama-lamanya tidak berbuat kezaliman kepada agama-agama lain. Kalau majoriti orang Melayu tidak beragama Islam selama ini, maka sudah terjadi banyak kezaliman dan kejahatan terhadap masyarakat bukan Melayu. Justeru kerana mereka berpegang kepada nilai-nilai kejiranan dan kemasyarakatan Islamiah , maka mereka sangat mengawal sikap dan perbuatannya. Tetapi pemimpin Melayu-Islam di Malaysia jangan terlalu banyak bermain politik dengan rakyat tentang soal agama. Hadapi dengan tegas dan berani, dan amalkan. Satu gagasan dan dasar pemerintahan yang jelas tentang Islam, dan mekanisme pelaksanaannya harus perkenalkan tanpa takut-takut terhadap agama lain. Kalau Mei 69 menyaksikan pertumpahan darah antara Melayu bukan Melayu, bayangkan pergaduhan agama akan lebih tragis dan traumatik untuk negara yang kecil ini. Tak ada sesiapa yang lebih untung, kerana seluruh negara akan dirugikan dan tak akan sembuh dengan mudah . Inilah cabaran kalau menjadi pemimpin politik negara; harus berfikir dengan mendalam dan bukan untuk menyadap kesenangan sahaja.

Tentang isu kedua, iaitu bahasa, kenapa sampai terjadi dasar dan amalan yang berlawanan dengan akal sihat dan pertimbangan yang masuk akal. Kenapa pemimpin-pemimpin politik Melayu sampai tidak nampak nilai-nilai baik dan terbukti bermanfaat bukan saja dari segi kebudayaan, tetapi dari segi pembinaan modal insan, sejak Dasar Pendidikan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri yang hebat, Tun Abdul Razak? Kebencian sesetengah orang Melayu ( malah kelompok pendidik Cina dan India juga ) telah menjadi bara dalam sekam sekarang. Jadi salahkah kalau sesetengah orang Melayu , tua dan generasi muda, berkempen diam-diam menentang kerajaan dalam pilihan raya yang sudah, dan akan terus lebih aktif lagi pada masa akan datang. Dalam hal ini bukan tidak ada dasarnya, tetapi dasar pelajaran dan kebahasaan yang sudah ada itu dikoyak-koyak.

Inilah antara isu-isu yang misti dengan terus terang masyarakat Melayu patut perdebatkan
kalau negara ini hendak aman, stabil dan berkembang. Kita telah sampai kepada satu tahap yang tidak miskin lagi, yakni makmur, sehingga kita hendak lebih makmur sampai lupa sejarah, sampai jadi kacang lupakan kulit. Kita telah menjadi kufur nikmat. Nah sekarang jalinan kemasyarakatan kita longgar dan boleh terburai; setiap hari orang ramai mengesyaki sesuatu akan terjadi. Orang ramai seolah-olah taksub dengan tema ketidakpastian dalam perbualan sebelum dan selepas terawih, di surau-surau dan masjid .Sungguh malang.

Nah ! Tahanan ISA; dan Protes NGO's di atas adalah satu signal, satu amaran. Kerajaan kena lebih tegas; dan lebih jelas. PM sebagai pemimpin UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan, kali ini misti menunjukkan dia harimau yang bertaring. Maka tidak boleh tidak bertindak MELAWAN hasutan dan komplotan, dan mesti mengembalikan status dan maruah Bahasa Melayu. Kalau tidak orang Melayu akan mengutuknya sampai bila-bila masa.

Hanya penyapu yang bersih sahaja yang boleh membersihkan rumah. Penyapu yang sudah kotor jangan dipakai lagi.

7 comments:

ainon mohd said...

Dato',

Mohon saya pautkan artikel ini ke blog saya.

bahazain said...

Sdr Ainon,
Silakan; dan elok juga diperluaskan dialog ini supaya semakin jelas prinsip-prinsip ideologi nasional yang hendak dibayangkan oleh pemimpin politik kita bagi masa depan tanahair tercinta ini.

Izwan said...

Assalamualaikum Dato Baha..

Saya bersetuju dengan Dato..

Bukan hanya UMNO, malahan semua ahli politik perlu menjawab..

Apakah tenggungjawab mereka sebenarnya.. Adakah sekadar retorik semata?

Membentuk sebuah bangsa bukannya mudah, tapi boleh dipermudahkan dengan permuafakatan..

Terima kasih Dato..

Saya faham sudah sekarang.. Berminggu-minggu saya penat memikirkan.. Terima kasih..

Danielle_Corleone said...

Salam Datuk,

Datuk berjaya membuatkan saya faham situasi dan peristiwa. Saya tak mahu anak-anak berhadapan dengan perubahan dasar semata-mata. Tetapi anak-anak memerlukan perubahan isi dalaman dan perubahan yang sebenarnya. terima kasih Datuk, pendapat yang bernas.

Voice said...

Salam Dato',

saya minta izin meletakkan artikel ini dalam blog saya, dengan pautan ke blog Dato'. Terima kasih.

bahazain said...

Sdr Voice
Silakan kalau ingin terbitkan semula. Saya tak keberatan dan lain kali pun tak payah minta izin. Apa yg saya paparkan untuk umum dan faedah bersama.

sinaganaga said...

Dato',
One more thing, kita kena pergi kedai beli penyapu dulu. kemudian baru boleh menyapu. Mencuri? Wooo, Tuhan marah. HA HA.

Selamat Hari Raya, Dato'! Kirim salam kat Datin ya.