Thursday, 25 September 2008

BERWASPADALAH! JANGAN KEMBALIKAN SUASANA KONFLIK MEI 69

Kalau anda sekarang berusia bawah 40 tahun, anda tidak mengalami kegelisahan politik dan sosial yang tajam dengan syak wasangka perkauman, dan perbalahan pandangan tentang apa maknanya kemerdekaan sewaktu baru-baru merdeka dahulu. Kalau anda tidak tinggal di Kuala Lumpur sewaktu 13 Mei tahun 1969, anda tidak tahu tentang kebimbangan untuk berjalan kaki atau bersiar-siar melalui Jalan Petaling, Chow Kit, Jinjang, Sentul, Kampung Baru, Kampung Kerinci atau Gombak. Orang Melayu bimbang ditetak oleh orang Cina , orang Cina khuatir kalau-kalau dipancung oleh orang Melayu, dan orang India berasa tidak aman ke mana-mana.

Ada kegerunan dan pesimisme di merata ceruk dan lorong; ada kesuraman dan kebencian yang memerintah perasaan dan sikap penduduk pelbagai kaum. Bayangkan juga perasaan dendam dan marah serta ingin menuntut bela bagi mereka yang rumahnya dibakar, dan ibu bapa atau adik beradiknya yang dibunuh tanpa dosa dalam perkelahian Mei 1969. Walau bagaimana pun orang Cina dan India yang tinggal terpencil satu atau dua keluarga di kampung-kampung Melayu di luar bandar selamat dan aman.

Suasana kemasyarakatan Kuala Lumpur yang menjadi pusat pentadbiran, perniagaan dan politik dalam dekad 60-an seolah-olah berpetak-petak dan berpuak-puak . Tidak utuh dan hanya nampak aman di permukaan. Saya tidak ingin mengalami sekali lagi kerapuhan hidup yang seperti itu . Ia seolah-olah mengejek segala idealisme tentang kehidupan kemerdekaan yang pada mulanya diimpikan sebagai aman bersatu padu , indah serta romantik. Akhirnya satu dekad kemerdekaan itu menemukan tragedi berdarah 13 Mei 1969 .

Di sini kita tidak mahu mencungkil siapa yang merancang, siapa yang bersalah dan mencetuskan peristiwa berdarah tersebut. Tetapi elok kita imbas peristiwa-peristiwa yang sedikit demi sedikit melonggokkan kebencian antara kaum , keturunan, agama, bahasa dan adat resam. Istilah-istilah agama, bahasa , nilai-nilai dan adat resam pada hari ini sudah menjadi terlalu biasa sehingga kita lupa bahawa pride dan prejudice perkauman itu sangat kuat mempengaruhi perasaan, sikap dan seterusnya tindakan seseorang apabila berhubungan dengan penduduk lain setiap hari; apabila menonton TV atau membaca akhbar. Hari ini sensitiviti ini kembali terasa, dan kita perlu berwaspada. Jangan leka dan lupa akan faktor prasangka perkauman yang boleh menjerumuskan kita sekali lagi.

Beberapa tahun sebelum tragedi berdarah itu, iaitu pada 9 Ogos 1965, Dewan Rakyat Malaysia telah meluluskan pindaan perlembagaan yang membenarkan Singapura keluar daripada Malaysia. Ketetapan ini diambil kerana PAP atau People’s Action Party di Singapura (yang waktu itu berada dalam Persekutuan Malaysia), dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan kaum dengan kempennya “Malaysian Malaysia”. Kempen ini memperjuangkan bahawa semua kaum mempunyai hak yang sama dalam apa jua bidang. Tidak ada keistimewaan bahasa dan keistimewaan hak bagi orang Melayu. Tentulah cakap-cakap dan kempen yang seperti ini mendapat sokongan kuat orang bukan Melayu, dan dalam waktu yang sama sedikit demi sedikit menyemai benih kemarahan penduduk Melayu.

Kempen politik di atas melemahkan sokongan kaum Cina terhadap MCA, dan dalam waktu yang sama menimbulkan kemarahan sesetengah orang Melayu terhadap pemimpin UMNO yang dianggap tidak tegas mempertahankan hak-hak orang Melayu, dan terlalu bertolak ansur dengan masyarakat lain sehingga pulau Singapura yang sangat berharga itu pun akhirnya diserahkan balik kepada orang asing. Para penulis, budayawan serta cendekiawan Melayu juga berkonfrontasi dengan PM dan pemimpin UMNO yang dianggap konservatif, dipengaruhi fahaman kapitalis , tidak membasmi kemiskinan rakyat, dan tidak tegas melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal.

Jadi baik dalam bidang politik, sosial atau kebudayaan zaman sepuluh tahun kemerdekaan itu terlalu banyak fahaman politik yang bercanggahan sehingga kebebasan demokrasi yang baru dimenangi daripada penjajah Inggeris, menjadi sangat bebas mulut dan penuh dengan kempen dan polemik yang belum tentu betul atau bermanfaat bagi penduduk yang pelbagai kaum. Konflik parti politik semakin tajam, perdebatan dan polemik yang berbau perkauman merebak.

Apakah pasca Pilihan Raya Ke-13 hari ini memberi satu milieu yang serupa dengan wujudnya bermacam-macam pengucapan , perbincangan, forum, perdebatan , demonstrasi, dan media , terutama internet dan blog yang sangat bebas dengan pendapat, kritikan , tuduhan malahan tohmahan pun. Di sana sini diadakan perbincangan tentang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, kesamrataan antara kaum, kontrak sosial, dan kedudukan istana.

Topik ‘kontrak sosial’ saja seolah-olah sedang dianalisis di bawah mikroskop undang-undang untuk menilai kepentingannya dengan kehidupan bernegara sekarang. Ada yang menganggap ia tidak wujud, dan ada yang menganggap ia adalah suatu persefahaman yang real antara Tunku Abd Rahman, pemimpin UMNO, dengan Pemimpin MCA sehubungan persetujuan tentang hak keistimewaan Melayu, dan hak kerakyatan jus soli kepada bukan Melayu. Kontrak sosial tersebut sekarang dihujah pula dari perspektif hak-hak asasi manusia, dan kebebasan beragama . Ada niat di satu pihak untuk merungkai amalan yang lama, dan ada reaksi di pihak lain untuk mempertahankannya dalam rangka amalan, adat kebiasaan dan semangat undang-undang ( the spirit of the law ) yang telah berpuluh tahun wujud di negara berbilang kaum ini.

Kalau arus perdebatan atau polemik ini menjadi semakin rancak dalam kebebasan berdialog dan menyalurkan pandangan; kalau tidak diuruskan dengan perasaan tanggungjawab, kematangan, dan kebijaksanaan akal budi , dan ramai pula hendak menjuarakan satu-satu pihak atau kaum, tidak mustahil konflik tajam akan berlaku sekali lagi. Dialog harus berterusan, tetapi jangan menjadi terlalu ghairah dan salah timing. Hari ini pelbagai kesulitan ekonomi dan jenayah sosial sedang menimpa negara; dirumitkan lagi oleh konflik kepemimpinan, dan tergugatnya kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti pegawai-pegawai tinggi kerajaan . Semuanya ini adalah tanah subur bagi tumbuhnya emosi yang ekstrem dan ketidakstabilan.

Kita tidak harus membazirkan peluang-peluang yang luas untuk memupuk keharmonian antara penduduk. Mari kita elakkan tragedi seperti Mei 13 berulang lagi sehingga darurat diisytiharkan, Parlimen digantung, dan demokrasi dinafikan .

Eloklah kita belajar daripada peristiwa masa lalu kerana sejarah mengajar manusia untuk berfikir lebih baik, dan bertindak lebih bijaksana . Mari kita pelihara asas-asas kehidupan masa depan yang indah bagi anak-anak kita semua. Berusahalah menahan lidah dan hati kita daripada melukai lidah dan hati manusia lain.


* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Jun 2008

2 comments:

Hartini Omar said...

salam dato'

maaf out of topic. di kesempatan ini sy nk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri buat dato sekeluarga. pohon maaf segala kekhilafan kata dan semoga dato dirahmati di lebaran mulia

terima kasih

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum Dato..

Terima kasih untuk peringatan..

Kita beringat untuk berubah pada masa depan dan tidak berdolak-dalik dengan percaturan politik perkauman..

Prejudis dan rasis adalah sistem untuk mereka yang tiada otak dan haprak..

Janganlah malaysia menjadi seperti Israel dan Yahudi.. Rasis tidak mengenal kemanusiaan dan kerasionalan..

Mohon kemaafan andai saya ada salah silap.. Terima kasih Datuk..