Saturday, 6 September 2008

SAAT TERAKHIR SEORANG PATRIOT


Dia seorang nasionalis, pejuang kemerdekaan, pejuang bahasa, dan seorang patriot.


Pada jam 3.00 petang, 5 Ramadan (5 September), hari Jumaat, penghulu segala hari, dan pada bulan Ramadan, penghulu segala bulan, jenazah A.Samad Ismail selamat dikebumikan, selepas jenazahnya disembahyangkan di masjid. Apakah hari yang lebih baik untuk jasad dan roh seseorang itu meninggalkan alam dunia dan berziarah ke alam akhirat?

Allahyarham orang perjuangan dan manusia cita-cita. Dia tidak hidup hanya dengan slogan untuk kemerdekaan tanah air, kedaulatan kesusasteraan bahasa Melayu, dan kewartawanan .Dia bekerja dan hidup di dalamnya bukan di atasnya. Dia juga menjadi pemikir untuk kedaulatan politik, budaya dan sosial sehingga kematiannya meninggalkan deretan
peristiwa-peristiwa politik dan persuratan yang bersejarah. Dia membina tokoh-tokoh lain , sasterawan dan wartawan, yang menyambung lidah serta suara kemerdekaan sehingga bergema ke ceruk pelusuk tanah air. Samad sendiri merengkok beberapa kali dalam tahanan bukan sahaja oleh penjajah Inggeris , tetapi juga oleh pemimpin bangsanya sendiri yang menjadikannya sebagai alasan untuk naik ke atas. Jasadnya tak pernah sunyi daripada dideritai
oleh kekuasaan.

***

Hari ini kita sudah 51 tahun merdeka. Ramai yang hanya mengenal namanya, tetapi sedikit yang memahami pergelutannya untuk menegakkan kemerdekaan yang memberikan nikmat ; nikmat yang direbut oleh sejumlah politikus Melayu, Cina dan India yang kufur nikmat kerana jahil sejarah. Ramai rakyat sekarang yang menikmati pelbagai kemudahan pendidikan moden, prasarana ekonomi, keselesaan kediaman dan tempat tinggal, kesihatan yang baik, dan kemakmuran hidup lupa bahawa ini adalah lanjutan daripada perjuangan rakyat dahulu yang hidup dalam kemiskinan, tetapi dengan semangat waja menentang penindasan Barat. Samad adalah antara ribuan jiwa yang telah mengorbankan keselesaan waktu dan keselamatan mereka.
Hari ini ramai yang hidup dengan kerakusan peribadi tanpa mempedulikan nasib budaya, ekonomi, dan pendidikan rakyat terbanyak.

Bacalah karya-karya Samad, sejarahnya dan bagaimana dia mendampingi bakat-bakat intelektual untuk mengajak sama-sama berjuang seperti Keris Mas, Usman Awang, Kassim Ahmad, Omar Hashim, Syed Husin Ali, dan puluhan wartawan lain yang dididiknya untuk menjadi manusia yang pandai dan berguna kepada bangsa. Dia jugalah yang menyumbangkan tenaga fikir di sebalik penubuhan parti politik PAP , dan badan pengarang ASAS 50 di Singapura, dan PENA di Kuala Lumpur

Atas jerih payah, dan niat ikhlasnya untuk mendidik dan membina orang lain, semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal, dan menempatkan rohnya di sisi orang-orang yang dikasihi dan dirahmati Allah.
Al-Fatihah dan Amin.

5 comments:

haneem kaydeen said...

Moga Allahyarham berhijrah dengan tenang dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Insyaallah.

MARSLI N.O said...

Pak Baha Yang Dihormati: Allahyarham terlalu banyak jasanya kepada bangsa ini. Perginya secara senyap dan tidak pun didendang oleh media milik penguasa secara jelas atas namanya sebagai wira milik negara.

Barangkali, keghairahan untuk mengulang tindak memijak bangsa sendiri demi kepentingan kerusi milik diri seketika itu menjadi lebih keutamaan di fikiran, berbanding menobatkan pejuang yang ikhlas untuk bangsanya di tempat yang wajar.

Bagaikan cermin pembanding, melihat ghairah dan mabuk pemimpin belakangan ini, terasa gusar, akan ke mana dan bagaimana nanti bangsa yang bernama Melayu ini.

Tatkala suara budayawan, sasterawan yang ikhlas dianggap bagaikan haiwan menyalak bukit?

Marsli N.O, September 8, 2008

Izwan said...

aL-fATIHAH....

Tiada Ganti untuk Patriot ini..

Ahmad Azam said...

Dato Baha terhormat,
Memang benar.Masalah kita sekarang ialah kerana kufur nikmat kerana jahil sejarah.Kejahilan dalam bentuk apa jua akan mengakibatkan kekufuran.
Allahyarham Pak Samad sepatutnya disemadikan di makam pahlawan kerana sumbangan perjuangannya yang mengorbankan hampir segalanya demi kemerdekaan.Tetapi mungkin kerana jahil atau kepentingan politik sempit,pemergiannya semacam tidak dihargai secara wajar oleh negara.
Generasi muda rasanya tidak mengenal Pak Samad secara sepatutnya.Sejarah perjuangannya secara objektif harus diabadikan agar kufur nikmat ini tidak berterusan sehingga boleh mencetuskan huru hara kerana jahil sejarah.

TPJ14

Hartini Omar said...

al-fatihah

manusia mati meniggalkan nama.. dan tinta, dan pena dan cereka2 mereka

terkenang membaca 'kail panjang sejengkal' karya allahyarham.. seni tertinggi, sukar dicari ganti!