Monday, 13 October 2008

PERPADUAN: DARIPADA METOS KEPADA KENYATAAN

Bolehkah kita mewujudkan perpaduan bangsa di kalangan Melayu, Cina , India dan lain-lain keturunan? Tetapi sebelum itu apakah ada perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri, masyarakat Cina atau masyarakat India ?



Apakah maknanya perpaduan? Bergabung menjadi satu dan bersebati; bersatu hati dan sehidup semati apabila menghadapi setiap masalah; bersetiakawan dan searah sehaluan? Menyeragamkan pelbagai kebudayaan kebendaan dan rohaniah menjadi sama untuk semua? Kalau ini yang kita maksudkan, maka perpaduan bangsa itu adalah satu angan-angan, satu idealisme tinggi yang tak tercapai, dan satu metos. Jangan kelirukan fikiran dan lidah kita.



Kalau kita memandu kereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Plus dan berhenti di tempat istirihat di Tapah, kita akan melihat kereta-kereta Produa, BMW, Mercedes, VW, Toyota, Honda, KIA dan lain-lainnya. Semua jenis kereta ini baik di bawah 2000 cc, atau yang berkuasa lebih tinggi di miliki oleh pelbagai kaum baik Melayu, Jawa, Hakka, Jaffna atau lain-lainnya, dan tak ada satu-satu keturunan memonopoli sesuatu jenis kenderaan atau sesuatu kelas kereta. Jadi dalam setiap kaum ( Melayu, Cina atau India) terdapat beberapa lapisan, kumpulan, dan profesion yang berbeza-beza: miskin kaya , berpendidikan tinggi dan rendah; yang tradisi atau yang moden, dan dari bandar atau luar bandar. Kalau pun ada yang sama pekerjaan profesionalnya ( seperti peguam, doktor, dan ilmuwan), tetapi dari segi adat resam budaya, agama dan stail kehidupan , tidak mesti sama. Pendek kata kira-kira 26 juta penduduk Malaysia
ini hidup dalam pelbagai kebudayaan.

Inilah hakikat kaum dan kebudayaan Malaysia: ada bangsa Melayu dengan kebudayaan dan agamanya, ada bangsa Cina dengan kebudayaan dan kepercayaannya, ada bangsa India dengan kepercayaan dan agama Hindunya, dan ada kaum-kaum lain lagi yang menganut agama Buddha, Kristian ,Sikh, animisme etc. Tentu ada juga anggota masyarakat yang atheis dan tak percaya kepada tuhan atau mana-mana agama. Dalam masing-masing bangsa juga ada kumpulan-kumpulan mempunyai keutamaan terhadap falsafah, ideologi, aliran, fahaman,
dan rukun tertentu yang berbeza daripada anggota masyarakat sebangsanya. Latarbelakang kemasyarakatan, kepecayaan, dan intelektual yang berbeza ini , diperkuatkan pula dalam beberapa hal oleh jarak atau sempadan alam seperti antara Kelantan dengan Johor, dan Timur Malaysia dengan Semenanjung Malaysia, maka semakin beragam dan pelbagailah nilai-nilai, unsur-unsur dan amalan sosial-budaya di negara persekutuan ini.

Kepelbagaian di atas barangkali jelas ditunjukkan oleh adanya sangat banyak parti politik baik di kalangan Bumiputera, Cina atau India seperti PBS, UMNO, PAS, Keadilan, DAP, MCA, Gerakan, SAPP, MIC , Progresif, dan banyak lagi.

Penduduk kita kena menerima hakikat ini, dan hidup dalam kepelbagaian ini, dan situasi yang bernama perpaduan itu adalah satu konsep yang idealis, satu metos, dan bukan kenyataan.
Ini fakta kehidupan yang harus kita hadapi dengan objektif dan rasional, dan jangan dikelirukan
oleh retorik politik yang tidak berdiri tegak di atas muka bumi yang nyata.

Kalau kita berani menghadapi kenyataan itu, selanjutnya kita harus dengan fikiran yang jelas memahami masalah-masalah dan cabarannya bagi memupuk kehidupan yang sivil, adil, berakal budi dan harmoni. Kita harus sedar dan insaf akan sejarah masa lalu, dan memeta kehidupan bernegara masa depan. Dialog dan perbincangan ini harus terbuka kepada rakyat yang bertanggungjawab, dan bukan diarah , dipaksa, diakta dan diperundangkan sebagai jalan pintas ke depan. [ BERSAMBUNG ]

8 comments:

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Perbezaan juga boleh menjadi teras perpaduan kan Datuk..?

Apabila berbeza, kita berkongsi dan beramah-tamah dengan mereka yang berbeza latar.. Mengenali satu sama lain..

Politik sempit sentimen merbahaya kepada marhaen rakyat dan masyarakat.. ;)

Jelas sekali penerangan Datuk..

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Dato, ada satu pameran..

Di Pasar Seni, kalau ada kesenggangan masa bolehlah datuk pergi..

Disini saya pautkan :

http://revolusi48.blogspot.com/

Ahmad Azam said...

Dato,

Bangsa-bangsa dijadikan untuk saling kenal mengenal.Dan yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa.Ini perspektif Al-Quran (al-Hujuraat 49:13)
Isu sentral bagi menanggani krisis perkauman adalah keadilan yang merupakan asas taqwa.

Masalah kita ialah elit pemerintah (baik Melayu,Cina,India)ingin terus berkuasa mempertahankan status quo dengan formula lapok.Masing-masing
membutakan mata dengan realiti yang
berlaku.

TPJ14

bahazain said...

Sdr Ahmad Azam
Saya fikir isu kepelbagaian kaum dan budaya ini dengan pandainya ( atau jahilnya) diputar belitkan dengan isu perpaduan. Saya kira yang paling penting ialah nilai keharmonian antara pelbagai kaum- dan budaya itu yg mesti dipupuk secara sosial, berhemah,dan jujur.Kepelbagaian ini malah mengandungi potensi yg sangat dinamik untuk tamadun bangsa, asal jangan dieksploitasi untuk tujuan kekuasaan satu-satu pihak.Justeru itu, saya kira dialog ini perlu diperluaskan berdasarkan kejadian bangsa-bangsa yang sangat benar rahmatnya spt firman Tuhan tersebut. Keamanan, toleransi dan kerjasama (collaboration)sepatutnya menjadi kata kunci bagi negara bangsa, bukannya istilah perpaduan yg hanya konsep idealistik.

Danielle_Corleone said...

Salam Pak Baha, boleh atau tidak jika Pak Baha tak keberatan, untuk kupaskan tentang Perlembagaan Rakyat 1947 dan Penyatuan Bangsa. kaitan kedua2nya. terima kasih.

Puan Ainon Mohd. said...

Dato',

Saya sangat setuju dengan tulisan Dato'.

Sebagai seorang bisnesman, saya terhutang budi kepada pencetak-pencetak Cina yang mendukung bisnes PTS sejak mula-mula sampai sekarang dengan menaruh kepercayaan bahawa saya akan bayar hutang saya apabila saya sudah jual buku-buku terbitan PTS.

Kini bisnes saya didukung oleh bank-bank Cina.

Perpaduan bukan bermakna kita "serupa" tetapi kita tolong-menolong tanpa mengira kaum.

Don Balon said...

Pak Baha..
saya secara umum setuju dengan pandangan pak baha..

cuma saya sentiasa rasakan ada pihak yang meraih untung dari ketidaksepakatan kita sebagai rakyat Malaysia..
Dan pihak tersebut ingin mengekalkan situasi sekarang untuk kepentingan politik dan ekonomi mereka..

Unknown said...

Dato', maaf keluar topik sikit.
Kenapa laman web prihatin tidak dapat dibuka?

http://www.prihatin.net/

Lebih dari seminggu sudah tak boleh buka. Yang ada hanya kenyataan ini

"Direct Access to this location is not allowed."