Thursday, 6 November 2008

DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN: MENCARI KEJERNIHAN FIKIRAN

Tadi siang saya diundang menghadiri wacana, " DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN DALAM SUASANA LIBERAL KEBUDAYAAN MASA KINI". Ini adalah kali kedua saya menghadiri pertemuan tentang topik yang pada dasarnya sama. Pada mulanya saya agak enggan menghadirinya kerana jauh dari rumah ke Shah Alam, tetapi membayangkan mungkin ada fikiran-fikiran yang berharga dilontarkan untuk saya hadham saya gagahi juga.

Selama dua jam itu saya tekun mendengar dan malah dijolok untuk berbicara saya enggan kerana saya bertujuan menyelami perasaan dan fikiran hadirin tentang isu budaya ini. Rata-rata yang hadir adalah tokoh penulis negeri dan ada juga ilmuwan dan budayawan, sekitar 30-40 orang. Apabila semua yang hadir adalah Melayu, maka orang tidak segan silu mencurahkan perasaan hatinya, kekesalannya terhadap pemimpin politik Melayu, darjat kebudayaan Melayu yang terabai, dan kegetiran terhadap bukan Melayu yang tidak bertimbang rasa, dan sebagainya. Rintihan diluahkan oleh bukan peribadi biasa, tetapi nama-nama yang dikira tokoh , dan ada pula yang secara bersopan mengungkapkan pandangan alternatif.

Malangnya tajuk wacana itu sendiri terbiar tak terpecahkan. Apakah yang dimaksudkan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Suasana Liberal Kebudayaan Masa Kini ? Dalam pemaparan blog saya beberapa ketika dahulu ( ) saya telah menyentuh bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu lebih merupakan metos daripada satu dokumen yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan atau telah diluluskan oleh Kabinet. Ia satu keputusan dan pernyataan yang dibuat pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 yang dihadiri oleh ramai seniman, dan dipersetujui oleh budayawan, pegawai
dan malah Kementerian Kebudayaan. Jadi dasar itu lebih pada kepercayaan orang yang hendak percaya saja walaupun kandungannya cukup penting .

Pada penghujung pertemuan barulah seorang pegawai daripada Kementerian Kebudayaan menjelaskan bahawa dia sendiri tidak jelas batas dan ruang dasar itu, dan mengaku ia lebih merupakan satu pernyataan sahaja. Supaya saya tidak berasa berdosa kerana dari awal lagi meragukan konsep dan status dasar itu saya turut menyatakan fikiran saya bahawa kita sebenarnya berbicara dalam gelap kerana mempercayai bahawa dasar itu benar-benar wujud.
Di negara lain dasar kebudayaan ini hanya terbatas dalam perimeter tertentu, yakni dunia kesenian material dan bukan material ( seperti bangunan warisan lama, istana, kota, monumen, dan seni muzik, bahasa, sastera, seni rupa serta persembahan, etc). Jadi lebih jelas ruang lingkup konsep dan programnya; dan tidak menyentuh kebudayaan dalam erti umum , iaitu cara hidup, sistem sosial, dan sistem nilai-budaya yang amat luas itu.

Hari ini pelbagai wacana, perbincangan, pertemuan dan kongres diadakan oleh masyarakat Melayu kerana berasa tertekan dengan situasi politik semasa. Melayu seolah-olah berada dalam krisis. Apakah ini kebimbangan, keadaan emosi atau memang betul-betul nyata ? Ramai antara kita tak memikirkan sebab musababnya , bagaimana boleh terjadi begitu. Secara mudah ada yang melihat bahawa masyarakat Melayu sedang dihadapkan dengan ancaman dan gugatan daripada masyarakat bukan Melayu. Dari sejarah, kita mengetahui bahawa selama ini Menteri Kebudayaan itu semuanya dipegang oleh ahli politik Melayu. Jadi kalau kita tidak berpuas hati dengan keadaan kebudayaan kebangsaan, kita hendak salahkan siapa. Apakah semua ini terjadi selepas Pilihan Raya ke-12, dan sebelumnya semua bagus-bagus belaka? Itulah apakala Melayu diberi kekuasaan , lalai menggunakan kekuasaan. Lihat di bawah dua Perdana Menteri Melayu, bahasa yang menjadi asas penting kebudayaan kita itu sedang menuju kehancurannya. Ini bukan kerja Lim Kheng Yik, Ong Kah Ting atau Samy Vellu. Marilah kita menjernihkan fikiran dan hati kita.

Apa yang saya dapat rumuskan daripada pertemuan petang ini , ialah ramai antara kita tidak berfikir secara rasional, kritis, dan berhemat menghuraikan situasi dan masalahnya. Kita mudah terpesona dengan pidato yang keras dan tegar. Kita wajar beremosi bagi memperkukuh pendirian, tetapi harus dibarengi dengan metode berfikir yang betul berasaskan maklumat dan pengetahuan. Kalau tidak kita akan kalah dengan lawan, selain daripada tak berjaya mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh diterima oleh masyarakat pelbagai bangsa atau pemimpin.

Kehidupan kebudayaan ini, walaupun aspek keseniannya, sangatlah kompleks dan rumit. Faktor-faktor persekitarannya ( kepelbagaian etnik, teknologi komunikasi moden, sistem pasaran bebas, seni tradisi dan seni avant-garde, kebebasan seniman, lalu lintas unsur budaya antarabangsa, hegemoni media Barat, dan gelombang komoditi serta budaya Cina baru, etc), harus dihurai kesan positif dan negatifnya , potensi dan risikonya dalam membicarakan pembentukan kebudayaan kebangsaan. Satu penilaian kritikal perlu dilakukan oleh kerajaan dan kita yang prihatin terhadap jatidiri dan negara.

5 comments:

sham al-Johori said...

Dato' Baha yang romatisme (hehehe),
Rumah kita tidak sama seperti rumah orang beriman.
Rumah kita tingkap dan pintunya tak pernah berkunci.
Rumah kita lantai dan bumbungnya tak pernah kuat dimakan uji.
Rumah kita adalah rumah yang tiangnya tak pernah berseri malah tak sesekali lurus berdiri.
Rumah kita halamannya adalah tanah kubur tak berharum mawar.
Rumah kita dipenuhi puspa indah tak beraroma.
Rumah kita dikuasai oleh pencacai yang selalu memikirkan bagaimana untuk menjual atau mengadai tanah sekangkang kera ini.

Rumah kita dihina oleh jiran tetangga kerana buruk dan keji.
Rumah kita menanti untuk dirobohkan esok hari.

Kita mencari rumah abadi di tanah air sendiri.

Pegawai Khalwat said...

Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK)?
Apa tu?

Saya rasa persoalan tu akan timbul di benak lebih 7 per 10 orang yang saya tanya.

Kalau bertanya kepada manusia di lingkungan budaya ini, sekurangnya mereka pernah mendengar, meskipun mereka tidak tahu apa itu DKK.

Yang lain?

Jadi dasar akan jadi macam batu dasar. Terperam di dasar tanah. Bila dikorek baru jumpa.

Faizal Zakaria's Blog said...

Selamat Datang Ke Laman Blog Baru Saya :-)
http://Forum1Malaysia.blogspot.com

Izwan said...

Assalamualaikum Datuk..

Adakah ini tajuk wacana yang datuk hadiri - Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Suasana Liberal Kebudayaan Masa Kini?

Saya terbaca yang datuk ada memberitahu yang hadir kebanyakkannya Melayu..

Saya agak khuatir, adakah kebangsaan itu melibatkan bangsa Melayu sahaja? Bagaimana dengan bangsa lain yang juga seharusnya termaktub dalam istilah kebangsaan itu..

Bukankah ada sumbangan daripada segi aspek sosia budaya, persekitaran, keharmonian dan bermacam lagi yang disumbangkan oleh bangsa-bangsa lain..

Kenapa sekarang wacana ini mahu membincangkan isu kebangsaan dan Melayu? Mana mereka hilang selama ini?

Adakah hanya kerana UMNO kalah itu menandakan kekacauan dan ketidaksepakatan masyarakat Melayu?

Apa UMNO sahaja yang menjadi pembela kepada Melayu? Atau adakah Kementerian Kebudayaan itu sahaja menjadi lambang perpaduan bangsa Melayu?

Wajarkah kegagalan Si Tuan Kuasa pada PRU ke 12 dijadikan semacam modal untuk melambangkan ketidak muafakatan bangsa Melayu?

Saya bukan menyokong mana-mana parti, malahan saya kecewa mereka yang namanya Si Tuan Kuasa. Mereka ini lupakah?

Siapa yang membentuk negara ini selama lebih berdekad-dekad kita Merdeka? Siapa pula yang bertanggunjawab?

Adakah berat sama dipikul dan dosa sama-sama ditanggung walhal pada ketika mereka berkuasa mereka alpa, mereka leka..

Lalu, marhaen tertanya.. Kenapa dipersalahkan marhaen?

Kenapa dan apa yang dipersalahkan?

Rungsing..

NR.Ada said...

salam..saya merupakan salah seorang pelajar ipta di malaysia..saya berminat dengan tajuk ini dan berharap ada lagi kesinambungan mahupun cadangan bahan bacaan yang lain berkaitan tajuk ini...