Wednesday, 10 December 2008

SAHABAT DARI DENMARK

Siang tadi, jam 12, saya menghantar Vagn Plenge dan isterinya Lakambini Sitoy ( nama timangannya 'Bing') ke Stesen Keretapi lama untuk menaiki bas ekspres ke Penang. Vagn dari Denmark, pertama kali saya kenali 33 tahun lalu sewaktu beliau ke KL mencari bahan-bahan budaya seperti sastera untuk siaran radio.

Kini Vagn menjalankan sebuah penerbit kecil untuk menerbitkan karya sastera terjemahan dari negara-negara panas. Dialah penerbit, penterjemah dan editor ; dan ujarnya, " Saya telah merasai segala pahit getirnya". Pada musim gugur 2005 sewaktu diundang ke Pameran Buku Frankfurt, sedang saya leka bersembang dengan peserta lain di Dewan Antarabangsa, saya terkejut apabila Vagn tiba-tiba menyapa saya. Walaupun sudah lebih 30 tahun tidak bertemu, dia masih dapat mengecam wajah saya dari ruang tempat dia memamerkan buku-buku terbitannya.Dia hanya mengambil sebuah petak kecil saja untuk bahan pamerannnya kerana itu yang termampu, katanya. Gerai pameran di Frankfurt memang terlalu mahal kerana peserta dari seluruh dunia berebut datang ke sini.

Bing, isteri barunya selepas isteri pertamanya meninggal, berusia kira-kira 26 tahun lebih muda daripada Vagn. Dia penulis Filipina yang pernah menjadi wartawan dan kolumnis di Manila Times; dan memenangi hadiah-hadiah , penghargaan dan fellowship di UK, dan di Copenhagen. Dia lincah , prolifik, petah dan masih penuh ghairah dengan kehidupan sedangkan Vagn seperti dahulu : tenang, penyabar, dan bila berbicara teratur serta berhati-hati. Saya tidak dapat membayangkan saya mempunyai teman hidup di meja makan, di taman dan di katil dengan penulis seperti Bing yang segar bugar dan meluap dengan kreativiti. Saya tiga tahun lebih tua daripada Vagn, dan tak mungkin menjadi Vagn yang selalu nampak sabar dan tenang. Jadi nasehat saya pada teman-teman yang berangan-angan hendak beristerikan penulis muda, janganlah layan sangat keinginan itu kalau tak boleh menjadi seperti Vagn dari Denmark.


Saya gembira dapat menemukan Vagn serta Bing dengan kawan-kawan dari DBP, ITNM, dan PENA kerana Vagn baru saja menerbitkan kumpulan cerpen ASEAN termasuk empat cerita dari sastera Melayu Malaysia. Terdahulu dia menerbitkan terjemahan Ranjau Sepanjang Jalan Shahnon dalam bahasa Denmark. Mudah-mudahan pertemuan ini akan menghasilkan lebih banyak sastera Malaysia dibaca di negara jauh yang sejuk yang berada dekat dengan kutub utara dunia.

Menurut Vagn walaupun Denmark mempunyai penduduk sekitar lima juta orang, tetapi penerbitannya dalam bahasa Denmark dari segi jumlah judul setiap tahun cukup maju. Sekarang perkembangannya disaingi oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi elektronik. Tentang bahasa Denmark ia tetap menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya dari sekolah hingga ke universiti. Bahasa Inggeris hanya baru diajar pada tahun ketiga di sekolah. Di dalam hati, saya berasa hiba mengenangkan kita di sini sengaja meminggirkan bahasa Melayu walaupun penduduk kita lima kali lipat lebih besar. Cuma Denmark lebih banyak menghasilkan pengarang dan pemikir ternama seperti Hans Christian Andersen, dan Kierkegaard sehingga mentaliti pemimpin-pemimpinnya menjadi kukuh berdiri di atas bumi filsafat dan budaya bangsanya.

9 comments:

semut kecil said...

juga kecewa dengan perkembangan bahasa kita... dianak tirikan atas alasan kepentingan bahasa inggeris... sedangkan bukti telah nyata, banyak negara maju adalah negara yang kuat akar budaya dan bahasanya... kenapa kita tak jadikan bahasa Melayu itu bahasa milik semua???

p/s; hanya suara kecewa anak muda yang mentah =)

bahazain said...

Sdr semut kecil,
Harap jangan kecewa selagi sdr ikhlas memperjuangkan bahasa dan budaya bangsa. Perjuangan mungkin dipatahkan sekali, dua atau tiga kali, tetapi generasi muda mesti menghadapi cabaran itu dan terus melawan pengkhianatan budaya. Semut kecillah yang ditakuti oleh gajah kalau masuk ke telinganya.

sinaganaga said...

Ha ha ha ha ha.

Membaca entri Dato' - saya rasa macam-macam rasa. Bersyukur ada, cuak ada, berani-berani takut ada, takut-takut berani pun ada... Sebab? Sebab saya pun macam Vagn, - menjalankan sebuah penerbit kecil untuk menerbitkan karya sastera.

Aaa, ada harapan untuk beristeri muda juga ke ni, Dato'? Ha ha.

bahazain said...

sinaganaga
Penerbit kecil, risiko kecil, tetapi karya besar.
Biar berani-berani takut, jangan takut berani, tapi jangan tak takut bini.

Danielle_Corleone said...

Salam Pak Baha.

Saya fikir soal pengukuhan bahasa ini soal yang sepatutnya telah lama selesai. Kerana bahasa ini elemen dalam pembentukan negara. Tetapi apa daya kita. berada dalam negara yang sering menghumban bahasa sendiri. saya sedih dan akan tetap dengan cubaan memperkayakan hasil karya bahasa kita. :-)

Wajasetia said...

Salam Dato',
Hari ini pertama kalai saya membaca blog Dato'. "Terima Kasih" kepada berita minggu hari ini kerana memperkenalkan saya kepada blog Dato'. Saya begitu tertarik dengan kesungguhan Dato' mempertahankan penggunaan bahasa melayu(malaysia?) khususnya di sekolah-sekolah. Saya juga "mungkin" faham kejengkelan Dato' tentang bahasa kita yang begitu dianaktirikan selama ini. (siapa saya untuk memahami sepenuhnya permasalahan ini seperti Dato')
Satu perkara yang selalu saya tekankan dan saya rasa saya betul dalam hal ini, tiada tamadun di dunia ini yang menjadi maju dengan menggunakan bahasa orang lain.(jika saya salah harap Dato' betulkan)
Pada pendapat saya, permasalahan bahasa melayu ketika ini adalah terlalu rumit. Setelah beberapa dekad kita memulakan masalah ini, (bermula dari tindakan untuk mengurangkan penggunaan tulisan jawi) saya rasa kita memerlukan beberapa dekad lagi untuk memertabatkan semula bahasa kebangsaan kita. Itupun jika kita memulakannya dari sekarang. Lebih sukar lagi kerana sikap "tak apa" dan "tolak ansur"(mereka tolak kita ansur) yang kita amalkan selama ini

p/s: saya bukan penulis, jauh sekali ilmuan bahasa, tetapi saya berharap satu hari nanti pihak yang bertanggungjawab bersungguh-sungguh menangani masalah ini.

aida said...

Salam

Dah lama tak jumpa,tup tup baca akhbar online hari ini, abang baha dah ada blog sendiri. Wow!

bahazain said...

Sdr Danielle
Kesedihan sdr itu bagi saya sudah menjadi kegetiran, tetapi sama seperti sdr apabila kita terus mengucapkan diri dalam bahasa yang kita cintai, bahasa itu akan terus bertahan dan berkembang walaupun tertahan-tahan. Mari kita teruskan.

Sdr wajasetia.
Keperihatinan sdr dikongsi ramai, tetapi tidak semua berpeluang atau berani membantah pemimpin kerajaan. Pelajaran daripada pertikaian isu bahasa kali ini ialah, rakyat kena berhati-hati kerana tidak setiap keputusan pemimpin politik yang memerintah, walaupun menteri namanya, adalah betul bagi tamadun bangsa. Tulisan jawi beberapa tahun dulu pernah dilempar ke luar bilik darjah sekolah, nah hari ini diperkenalkan dan diajar semula.
Betul Jepun, Jerman, Perancis, Korea, Sweden,Russia, dan Cina tidak mengajar sains dan matematik kepada murid2 sekolah rendah dalam bahasa asing.Isu ini malah sudah merayap perlahan-lahan mengacaukan lagi kestabilan politik dan perpecahan antara pemimpin politik dengan cendekiawan dan penulis.
Saya percaya pemimpin bertukar ganti, tamadun bangsa mesti diteruskan, dan harus melawan pemimpin yang mengkhianatinya.

Sdr aida,
Itulah hebatnya alam maya; memberikan kita ruang untuk bersua; memberikan kita peluang untuk bertegur sapa meskipun tak berpandangan mata. Saya akan selalu hadir melalui kata-kata, InsyaAllah.

aida said...

Salam

Harap tiada yang rasa tersinggung kalau saya kata ini mengenai tulisan "Sahabat Dari Denmark".

Penulis tua tidak harus takut pada penulis muda, kerana penulis tua banyak pengalaman, lihat saja tulisan dan jawapan abang baha kepada saya, begitu manis, teratur dan tertib.