Saturday, 27 December 2008

WAJAH MELAYU DI MATA ORANG ( ii )

(Sambungan Paparan Lalu)

Dalam teks yang sama ada beberapa gambar orang Melayu. Swettenham memuji rupa wajah dan pakaian perempuan-perempuan Melayu yang memang sungguh ayu dan menarik dalam dua keping gambar.

Ada dua gambar lain yang elok juga kita baca keterangannya bagi menyelami persepsi dan pendapat pegawai British ini terhadap orang kita pada zaman dahulu. Gambar pertama : seorang lelaki Melayu berkopiah ketayap dan berkaki ayam menarik tenggala (bajak) , dan seorang perempuan berkain, dan bertudung kepala menyorong dari belakang. Keterangan atau caption gambar berkata begini:

MELAYU MALAS BERSUSAH PAYAH MEMBAJAK TANAH
" Alat yang digunakan oleh orang Melayu untuk pertanian sangatlah kuno; sebuah tenggala biasanya dibuat daripada cabang pokok dengan mata tenggalanya berbentuk kasar. Waktu lama yang memenatkan digunakan oleh buruh tani ini bagi mengerjakan tanah kepunyaannya, kerana mereka sangat tak suka berkerja tekun, dan kemalasan serta tabiat suka berseronok membuat mereka lebih suka berhutang daripada mencari wang.

Gambar kedua menunjukkan sepasang lelaki memakai kain, sepatu dan berketayap sedang menari, dan tiga orang lain bertinggung sedang asyik menonton.Keterangan gambar berbunyi begini:

TARIAN MELAYU DENGAN GERAKAN PENUH BERGAYA
" Bagi orang asing tarian ini memang membosankan--ulangan gerak geri yang itu itu juga; tetapi orang Melayu meminati apa yang dilakukan oleh penari mereka, dan sorakan penonton disambut dengan suara pekikan pujian daripada pemukul gendang yang memukul dengan sekuat-kuatnya gendang yang kosong.


Nampaknya Swettenham merumuskan bahawa bangsa Melayu ini memang baik hati dengan orang, bersopan, hormat, mesra, dan bergaya , tetapi boleh pula tanpa diduga mengamuk sampai membunuh. Melayu juga katanya: malas, tak suka bekerja kuat, leka berseronok dan suka berhutang daripada bekerja tekun mencari wang.

Barangkali kalau orang Melayu rajin dan tekun bekerja tentu hasil negeri bertambah berlipat ganda dan Inggeris akan memuji kerana boleh menjadikan Melayu hamba abdinya untuk mengaut lebih banyak wang untuk dihantar ke London sebagaimana dia ceduk daripada bijih timah dan getah yang dikerjakan oleh bangsa Cina dan India yang dianggapnya kuli. Tapi takkanlah bangsa Melayu macam itu juga sampai hari ini kerana sekarang sudah merdeka daripada penjajah Inggeris. Terserahlah apa yang anda fikirkan.

(Bersambung)

5 comments:

ekspresi said...

swettenham dalam 'a nocturne and other malayan stories and sketches' melihat dari sudut yang 'jujur' baginya. ada yang saya setujui, ada yang sangat melucukan dan ada yang membuatkan saya terfikir-fikir...

kembara_1990 said...

assalamualaikum dato' , baru2 ini sajak saya tersiar dalam dewan siswa disember 2008. mohon komentar dato'. sajak tersebut boleh dilihat di blog saya.terima kasih

-kembara_1990

Harat said...

Salam,

Barangkali memang benar orang Melayu pada zaman itu tidak mahu bekerja kuat dan suka bersenang-senang. Tapi tentu ada sebabnya:

a) Kalau mereka kaya dan berharta, harta mereka mungkin akan dirampas oleh golongan feudal (ini "teori" Abdullah Munshi dalam Kisah Pelayaran Abdullah).

b) Ada teori mengenai masyarakat tani yang mengatakan, kalau mereka bekerja kuat dan menjadi lebih kaya daripada orang lain, anggota masyarakat yang lain akan dengki dan iri hati kepada mereka. Jadi lebih baik mereka hidup "sederhana" seperti orang lain.

c)Ada juga teori mengenai masyarakat tani yang mengatakan bahawa kaum kau bekerja mengikut "keperluannya" pada satu-satu masa. Misalnya, kalau keperluannya RM20 sehari dan pendapatannya pun RM20 sehari, maka dia akan bekerja pada tiap-tiap. Tapi, katakanlah pada hari tertentu pendapatannya mencapai RM60, maka pada hari berikutnya dia akan "bercuti" atau berehat (di kedai kopi misalnya) selama 2 hari, kerana pendapatannya itu sudah cukup untuk menampung "keperluannya" bagi 3 hari.

Jadi kaum tani tidak perlu bekerja kuat, kerana keperluannya pada masa itu memang terhad (Dia tidak perlu pakai TV, kereta, menghantar anak ke sekolah dll) seperti orang sekarang.

Oleh kerana orang Melayu pada zaman dahulu umumnya terdiri daripada kaum tani, maka beberapa teori tentang kaum tani itu mungkin dapat menerangkan mengapa orang Melayu pada zaman itu "malas" atau tidak mahu bekerja kuat.

Zakiah Ponrahono said...

Salam Dato`,

Bukankah itu pandangan peribadi swettenham? Mungkin boleh dirujuk sebagai kajian sejarah bagi peradaban mereka.

Tapi kajian sejarah yang elok adalah kajian yang dibuat dengan perbandingan.

Mengkaji di mana persamaannya dan di mana perbezaannya.

Adakah beza antara "ballroom dance" dengan zapin dari segi konsepnya untuk memberi keseronokan dan kepuasan?

Minum kopi malam hari duduk-duduk ramai tidak banyak bezanya duduk-duduk minum wain di bar dari segi konsep komunikasi terjalinkan?

Antara sikap individu dengan gaya hidup peradaban juga amat berbeza.

Pendekatan barat untuk meluaskan jajahan adalah kasar berbanding tamadun arab dan pemahaman terhadap Islam yang halus dan lembut menyerap masuk dalam kehidupan tamadun melayu.

Bukankah perang salib mencetuskan perubahan tamadun seluruh dunia?

Kalau ada Melayu malas, Cina, India dan lain-lain juga ada malasnya. Tidak terkecuali Swettenham yang malas mengkaji perbandingan tetapi menerangkan kefahamannya melalui pemerhatian bersifat individunya.

:=P

bahazain said...

Assalamualaikum,
Sdr ekpresi,
Harat, dan
Zakiah.

Pandangan sdr sekalian pada umumnya ada persamaan dalam erti
imej yg dilukis oleh Swettenham itu adalah berdasarkan ukuran-ukuran nilainya sendiri dan dilihat daripada kaca mata Barat
yg dipengaruhi oleh filsafat atau pandangan dunia Inggeris.Dan seratus tahun dahulu.
Saya gembira kerana menerbitkannya semula membuat kita berfikir secara lebih analitis ke dalam diri kita sendiri. Pandangan Swettenham ini malah diteruskan oleh sesetengah bukan Melayu hingga ke zaman ini.

Pada dasarnya ada beberapa budaya hidup Melayu tradisi itu baik, dan ada yg sangat perlu diubah, terutama dalam konteks masyarakat negara merdeka pelbagai kaum hari ini di mana keturunan Melayu itu majoriti.Apakah yg hendak dikekalkan, dan apa yang hendak diubah? Inilah persoalannya supaya masyarakat majoriti yg juga dari segi sejarahnya anak bumi ini , tidak ketinggalan dari segala seginya (ekonomi, pendidikan, etika, teknolog, politik ,keselamatan, kemasyarakatan,etc).Jawaban paling mudah ialah melaksanakan dasar PEMBANGUNAN NEGARA YG BERASASKAN MELAYU-ISLAM, YAKNI MENERUSKAN BUDAYA MELAYU YG TIDAK BERCANGGAH DENGAN ISLAM, DAN MELAKSANAKAN PRINSIP HIDUP YG BERLANDASKAN AL-QURAN SERTA SUNNAH .SIAPA YAG PATUT MELAKUKANNYA, DAN BOLEHKAH SECARA POLITIK DILAKSANAKAN DENGAN JAYA?