Monday, 15 December 2008

SIAPA ITU MELAYU?

Saya menjenguk blog yapchengyee setelah namanya menjelma dalam senarai e-mel saya. Pemaparan dalam blognya yang terakhir mempertanyakan takrifan 'Melayu' kerana menurutnya : Dia menghadiri suatu perbincangan tentang apa makna Melayu dan peserta2 panelnya memakai pakaian seperti orang Melayu, tetapi mukanya muka India. Yap juga membincangkan bahawa Perdana Menteri Mahathir berketurunan India, dan Abdullah Ahmad Badawi berdarah Cina, tetapi hanya sekali sekala memakai pakaian Melayu , malah sering dibaluti tubuhnya dengan pakaian Barat.



Dia seolah-olah berkata sesiapa pun kalau begitu boleh jadi Melayu apabila berpakaian Melayu sekali sekala. Betul juga katanya. Mantan PM dan penggantinya sekarang ( bakal menjadi mantan PM pada bulan Mac 2009) bukan 100% Melayu. Bukan Jawa, Banjar, Bugis , Minagkabau, Mandailing atau Melayu-Riau pun. Katanya menurut Perlembagaan, Melayu itu mesti mengamalkan cara hidup Melayu, dan beranggapan sekali sekala berpakaian Melayu bolehlah siapa-siapa saja dipanggil Melayu.


Tafsiran Melayu seperti dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ramai diketahui, malah oleh orang Melayu sendiri. Imej Melayu itu pula memang selalu meragukan, bukan saja kerana darahnya, malah sikap , mentaliti dan pendiriannya. Jadi saya jawab kepada kepada blogger ini kira-kira begini:

"Saudara telah menimbulkan satu isu yang menarik tentang soal siapa Melayu. Memang betul Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi itu bukan Melayu tulen. Jadi sesiapa saja boleh menjadi Perdana Menteri dalam negara yang bebas dan demokratik ini asal saja bergelar Melayu. Saya nasehatkan sdr berunding dengan mana-mana kawan sdr yang ahli tentang Perlembagaan Persektuan untuk mengetahui dengan betul tafsiran Melayu menurut perlembagaan."


Melayu itu adalah bangsa yang sangat ramah tamah, mudah bertolak ansur dan banyak memberi (very hospitable to guests, ever willing to compromise, and concedes a lot). Jadi kalau pemimpin politiknya banyak mengalah dan memberi , malah secara sendiri mengurangi unsur-unsur kebudayaannya untuk digantikan dengan budaya orang lain, mereka tidaklah boleh dituduh mengkhianati bangsanya kerana itu semua tak apa bagi masyarakat Melayu di bawahnya. Saya juga menasehati Yap, segeralah bertindak sementara pembantaian terhadap Melayu itu semakin panas supaya lebih banyak keuntungan dicapai walaupun PM baru , Dato' Najib akan mengambil alih nanti.

Kita orang Melayu ini memang cukup ironik. Walaupun sangat patriotik dan sayangkan keturunan, adat resam, bahasa dan agama, tetapi membiarkan pemimpinnya menyerah banyak apabila digugat dan dicabar terang-terang oleh orang lain. MIC dan Hindraf yang sejemput ( tak sampai 10%) itupun semakin lantang , tetapi itulah manifestasi yang betul daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin kaumnya. Melayu yang majoriti sampai 60% ini menikus di bawah ketiak pemipin negaranya, dan terpukau di bawah retorik politik yang bergema. Sampai bahasanya dipinggirkan oleh mantan Perdana Menterinya, orang Melayu masih terpegun dan terpukau, dan memujanya, termasuk beberapa tokoh budaya Melayu sendiri.Bayangkan kalau jumlah orang Melayu hanya kira-kira 10% saja seperti India, tentu membisu dan membuta tuli langsung.

Orang Melayu memang sungguh berbangga serta megah dengan kesetiaan dan kemurahan hatinya sehingga orang India dan Cina melihat kita sebagai badut sarkis yang berpakaian warna warni di dalam gelanggang yang penuh dengan najis dan kencing kuda.

Waktu kecil dahulu saya suka menonton sarkis yang datang membuat persembahan dekat kampung , tetapi sekarang nampaknya tak ada lagi persembahan yang memukau seperti pada zaman kanak-kanak dahulu. Walau bagaimanapun sarkis tersebut digantikan oleh sarkis yang lebih moden dan canggih kerana kalau dulu monyet atau orang tunggang kuda, sekarang orang tunggang orang.



( Bersambung dalam paparan selanjutnya)

14 comments:

Zakiah Ponrahono said...

Pada hemat saya Dato`,

Perlukah merujuk Perlembagaan Persekutuan untuk mencari makna MELAYU?

Perlembagaan Persekutuan terhasil kerana konon-kononnya British mahu memberi kedaulatan kepada Tanah Melayu. Walhal Tanah Melayu sebelumnya adalah berdaulat mengikut sistem perkembangan kenegaraan jajahan takluk Raja dan Kesultanan.

Perlembagaan Persekutuan bukan buku rujukan sebenar mencari makna Melayu bagi saya.

Lagipun ada klausa mentafsir siapa Melayu? (yang ini memang saya kena rujuk ke Perlembagaan Persekutuan semula Dato`. Sebab buku tu tertinggal dirumah.)

Itu buku seolah-olah cuba mendidik pemimpin memimpin negara mengikut acuan eropah.

Saya tidak pernah tengok sarkis secara langsung Dato`.

Dalam bahasa JAWA; MELAYU ITU BERLARI.

bahazain said...

Sdr Zakiah,
Ulasan sdr menjadikan perbincangan tentang erti 'Melayu' lebih menarik. Inilah yang saya harapkan supaya kita semua (Melayu dan bukan Melayu)menjadi lebih sedar kedudukan Melayu dan bukan Melayu dlm kesatuan negara.Pada posting saya terdahulu saya tidak gemar tentang istilah ketuanan Melayu kerana ia membuat kita hanyut dlm khayalan konon kita betul-betul jadi tuan sedangkan ada segelintir Melayu yang kaya raya,tetapi paling ramai Melayu yang memiliki segelintir. Saya menunggu ulasan2 lain sebelum memberi reaksi lebih lanjut kenapa saya tidak terlalu menekankan perspektif sejarah tentang Melayu, tetapi dlm perpektif perlembagaan.InsyAllah kita berdialog lagi.T.Kasih.

hafiz said...

Salam kunjung dato'. bagi saya, saya memilih untuk tiada bangsa. lebih senang dan mudah. walaupun hakikantnya saya ini melayu. merayakan semua kebudayaan adalah sebuah anugerah yang punya nilai tersendiri.

ketuanan melayu bagi saya cumalah sebuah retotik. Ia adalah subjek metafora. yang mana ia digunakan untuk kepentingan politik tertentu seperti umno.

saya dah jelik dengar perkataan melayu. malu. pimpinan negara amat bodoh dan bebal. ya. umno itulah. dato pun tahu kan? saya benci dan geram.

nak kata bela melayu??? saya tak nampak. mungkinla ada sikit2. tapi hakikat nyatanya... tak kira melayu india cina; kami terpaksa bekerja untuk kapitalis dengan bayaran gaji yang sedikit buat menyara hidup. ya kapitalis. so. ketuanan melayu??? tak da maknanya lagi. tipu. jijik. jelik.

Tun Jeram said...

Salam,

Kalau tak salah, takrif Melayu mengikut Perlembagaan simple dan longgar sahaja: seorang yang beragama Islam, boleh menggunakan bahasa Melayu dan pada kebiasaannya mengamalkan adat istiadat Melayu.

Jadi asal usul keturunannya atau darahnya tidak dipersoalkan. Cina boleh jadi Melayu, India boleh jadi Melayu, semua orang boleh menjadi Melayu, kalau memenuhi 3 krteria di atas.

Dari segi sejarah dan realiti saya kira memang begitu.

Jadi mengapa kita tidak terima saja takrif Melayu yang simple dan longgar itu?

Akmal Hisham Abdul Rahim said...

Salam.

Tak sabar saya untuk membaca artikel berikutnya!

Zarif Hassan said...

Dato',
satu tika dahulu, saya pernah duduk berborak bersama seorang rakan. Dia pernah berkata sesuatu yang membuatkan saya tersenyum dan tertawa. Bicaranya berbunyi begini "orang Melayu ini terlalu bertolak ansur, hingga tertolak beransur-ansur".

Tulisan Dato' ini seakan mengembalikan senyum dan tawa saya satu tika dahulu. Tetapi kali ini lebih bermakna dan bererti.

alfaiz263 said...

Assalamualaikum Dato'.
Setelah membaca artikel Dato' ini, terus membuatkan minda saya kembali dihujani beberapa persoalan yang telah lama kelam. Namun sekarang saya ingin berkongsinya dengan Dato'. Sebenarnya, siapakah Melayu ini? Adakah mereka bangsa yang besar yang merangkumi umat nusantara ini atau salah satu daripada beratus-ratus etnik yang wujud di wilayah nusantara. Di Malaysia, ras Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain ras yang berasal dari nusantara diletakkan dibawah nama etnik Melayu.sedangkan di Indonesia, Melayu itu merupakan salah satu etnik dari beratus-ratus etnik yang wujud disana. Ini bermakna, di Indonesia, Melayu itu etnik yang berlainan, Jawa itu juga etnik yang berlainan dan Bugis juga etnik yang berlainan. Mereka masing-masing mempunyai kebudayaan yang dapat dibezakan.

SATIRA + KACAU said...

Dulu di zaman Pak Sako, Rahim Kajai katanya sudah ada polemik mengenai siapa Melayu. Malang rujukan saya terhad. Apa Pak Baha Ydh punya rujukan tentangnya?

Wah, ini bangsa yang selalu kacau dengan identitinya. Malah selalu juga dicuit-cuit dan diacah segala oleh orang lain.

Kacaukan? Atau memang perlu disatira+kacaukan juga?

Ha. Ha. Ha. Sarkas orang menunggang orang. Cantik sungguh analogi yang dibuat YDH Pak Baha.

Satira + Kacau

Wajasetia said...
This comment has been removed by the author.
bahazain said...

Salam Sdr Hafiz
Saya tak terkejut dengan kejengkelan sdr sebaga generasi muda yang memiliki pandangan yang keras terhadap UMNO. Masalah besar UMNO bukan organisasi itu, tetapi sejumlah pemimpinnya yang melencong jauh daripada matlamat kolektif asal kepada kepentingan kapitalistik individunya. Masalah ini cenderung berlaku sama pada parti bukan UMNO yang berkuasa, Justeru itu cendekiawan dan pengkritik harus selalu berwaspada terhadap tokoh2 yang memerintah kerana dlm waktu yang sama mereka menguasai sumber kekayaan ekonomi.Ini yang sangat mengecewakan harapan rakyat yang mengangkatnya ke atas. Berwaspadalah. Tentang kaum-kaum lain orang Melayu tak adil memusuhinya, malah mengadakan kolaborasi bagi berkongsi potensi masing2 untuk keharmonian bersama.
Namun keadilan (bukan ketuanan) Melayu selaras dengan peruntukan serta semangat Perlembagaan wajar dipelihara supaya tidak timbul konflik yg merugikan semua.

Sdr Tun Jeram
Saya setuju dengan tafsiran yang sdr nayatakan seperti yg tertera dlm Perlembagaan Persekutuan (Perkara 160). Jadi faktor darah keturunan tak diambil kira.

Sdr Akmal.
InsyaAllah saya akan melanjutkan perbincangan 'Melyu' ini dalam paparan selanjutnya dengan pandangan 'man on the street' saja,yang prihatin.

Sdr Zarif Hassan,
Kalau kita baca apa Mat Salleh kolonial dahulu spt Hugh Low, Swetenham etc tulis tentang imej Melayu (konon Melayu adalah Nature's gentlemen) lagi seronok kita ketawakan diri kita sendiri.

Sdr Alfaiz263,
Indonesia menganggap semua penduduknya bangsa Indonesia, berbahasa Indonesia dan bernegara Indonesia. Banjar, Bugis, Sunda, Bali, Madura etc adalah suku bangsa yang masing-masing dengan sistem sosial dan nilai-nilai sosial budayanya. Dari segi antropologi dan sejarah saya kira Melayu itu merangkumi manusia sekitar Nusantara termasuk orang Katolik Filipina itu. Saya kurang arif tentang tafsiran ilmiah ini.Ilmuwan sejarah dan sosiologi/ethnologi universiti saya percaya boleh membantu kefahaman kita.

Sdfr Satira-kacau,
Supaya fikiran kita jangan kacau-meskipun telah dikacaukan- kita berpegang sahaja kepada yang lebih konkrit , yakni yang ditafsirkan dlm Perlembagaan. Malah yg terkandung dlm Perlembagaan itupun banyak yang tak ditangani melalui dasar dan pelaksanaan bagi menebus
ketinggalan Melayu-Islam sebagai rakyat majoriti [60%]. Jadi tak peliklah kalau sdr satira selalu, dan saya sinis ( sesekali saja) .

zamzuri_mustapha said...

Soal siapa itu Melayu boleh dibincangkan dari beberapa aspek, seperti arkeologi, kewilayahan, linguistik, kebudayaan atau perlembagaan. Ramai yang berbalah kerana tidak menetapkan untuk membincangkan Melayu dari sudut apa. Kadangkala timbul rasa lucu dari perbalahan-perbalahan tersebut.

Mengikut perlembagaan Malaysia, faktor penentu seseorang itu menjadi Melayu ialah beragama Islam. Itu yang paling penting. Bugis, Banjar, Jawa,atau Cina bukan isunya.

Abdullah Munsyi kacukan Tamil dan Arab mengakui bahawa beliau adalah Melayu. Bukankah itu perkara yang unik?

bahazain said...

Sdr Zamzuri Mustapha

Dalam perbincangan tentang Melayu yang sedang dipersoal oleh beberapa pihak; dan meragukan ramai orang Melayu sendiri, saya turut berpendapat bahawa tafsiran dlm Perlembagaan Persekutuan itulah yang sebaiknya menjadi landasan dialog.Dengan demikian semua akan berbicara dalam perimeter yang sama dan dlm rangka perundangan.Mahu tidak mahu hanya dialog/perbahasan atas landasan inilah memungkinkan penduduk bersikap lebih jelas dan tunduk kepada kenyataan bukan berdasarkan persepsi liar.

Izwan said...

Salam Datuk yang saya hormati..

Saya rasa kalau mahu ketengahkan isu "Siapa Itu Melayu" rujuklah pada Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Mungkin boleh faham. Dr Burhanuddin adalah orang Melayu yang tidak ber Ketuanan Melayu. Dr Burhanuddin merayakan Tuan Kesaksamaan dan keseramataan.

Tidak kira mana-mana parti, mana-mana penyokong parti; hakikatnya Melayu kita atas nama sahaja.

Kita sudah jadi macam Yahudi Zionis di Palestin, mengaku menjerit menyalak menghalalkan tanah Palestin di rompak dan fahaman Zionis di jadikan ideologi!! Yahudi Israel mengaku mereka adalah tulen Yahudinya daripada orang-orang Yahudi lain..

Kita umpama mahu mengucap Kita adalah Melayu daripada Melayu-Melayu di Asia Tenggara ini.

Sedarkah kita? Perkauman bermaharajalela..

Tapi lihat di Palestin dan Israel, bahasa dan adat mereka dijaga walaupun mereka itu semacam sudah terkena celaka.

Tapi kita? Bahasa dirompak dan dirogol habis-habisan, semua kekayaan sudah tiada, kapitalis senyum girang, nasionalis palsu lahir banyak, penipu dan korup dari bangsa Melayu banyak sangat!!!

Jadi?

Siapa itu Melayu? Saya menantikan definisi Datuk.. Sebab saya sudah jemu dengan telahan dan omongan kosong cendekiawan lain yang berlagak dan tidak cuba meniduri masyarakat untuk memahami.

Luka Kita oleh kumpulan musik Marginal untuk perjuangan mereka terdahulu..

Bencana dari negeri air mata
ratusan ribu jiwa pergi mendahului kita
bara luka kobarkan cinta rasa bersama
bara luka ciptakan satu pelita

C/o

saudaraku yang pergi tak hanya tinggalkan nama
saudaraku yang pergi meninggalkan berjuta makna
saudaraku yang pergi membangunkan seisi dunia
agar mengerti dalamnya makna hidup yang ada

tunjukkan bahwa kita semua bersaudara
luka mereka, luka kita semua

tunjukkan
tunjukkan oleh kita

derita yang ada
derita kita jua!!!

Saudaraku pergi
tinggalkan tugas untuk kita
Linangan air mata
Jadikan lautan permata

Besarnya bencana
Lebih besar maha hikmahnya

Untuk peringatan kita
Agar yang pergi tersenyum di syurga!!

bahazain said...

Salam Sdr Izwan
Memang ramai yang berasa sakit hati apabila memikirkan masalah Melayu sekarang.Lebih besar sakit hati memikirkan kelalaian pemimpin-pemimpin Melayu (politik dan bukan politik)yang mengambil mudah saja terhadap kepentingan dan nasib bangsanya apabila memegang kekuasaan.Kita bukan anti kaum-kaum lain, terutama warganegara, yang juga mempunyai hak untuk hidup dan mendapat keadilan.Yang menimbilkan kritikan ialah apabila apa yang hak bagi Melayu itu diabaikan , malah secara terancang dihancurkan ( spt isu bahasa Melayu). Ini boleh diterjemahkan, "harapkan pagar , pagar makan padi".Kalau tidak dilawan secara intelektual dan atas landasan budaya atau undang2, kita Melayu adalah bangsa yang dayus.Akhirnya kita akan bersedih dan terluka spt lirik 'Marginal' itu. Saya akan berbicara lanjut tentang masalah Melayu dari segi keadilan bukan ketuanan.InsyAllah