@ PAGI AHAD 15 FEBUARI 2009
@RUMAH GAPENA
@JALAN DEWAN BAHASA
*PERHIMPUNAN MENENTANG PPSMI.
PERTEMUAN INI MEMBUKAKAN RUMAH GAPENA KEPADA SESIAPA SAJA TETAMUNYA YANG PRIHATIN TERHADAP BAHASA MELAYU DAN BERSIMPATI DENGAN PERJUANGAN BUDAYA OLEH SEKELOMPOK RAKYAT.
Peristiwa di atas mengingatkan saya pada apa yang berlaku 42 tahun dahulu, iaitu pada 3 Mac 1967, apabila Balai Budaya , DBP, penuh tepu dengan pejuang-pejuang nasionalis baik dari parti PAS, UMNO, persatuan guru-guru dan badan-badan bukan kerajaan, serta individu yang komited memperjuangkan bahasa kebangsaan. Kakitangan DBP yang ada turut menjayakan perhimpunan itu, terutama kerana Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan itu sendiri berpusat di DBP.
Perhimpunan luar biasa tersebut menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang sedang dibahaskan di Parlimen. Rang undang-undang ini masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sedangkan sebahagian besar masyarakat Melayu hendakkan bahasa Melayu sahaja sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Rang undang-undang ini bukan sahaja ditolak oleh
rakyat biasa, malahan oleh sekelompok 15 tokoh peguam Melayu seperti Kamarul Ariffin (sekarang Tan Sri), dan Daim Zainuddin (sekarang Tun). Mereka tahu akan akibat jangka panjangnya terhadap kedaulatan bahasa Melayu.
Penentangan tersebut menjadi semakin getir apabila orang Melayu menyedari bahawa UMNO di bawah pimpinan Perdana Menterinya Tunku Abdul Rahman, sangat banyak bertolak ansur dengan masyarakat Cina dan India, bukan sahaja dari segi bahasa dan pendidikan, tetapi juga dari segi hak kerakyatan. Perlu juga diingat bahawa pada tahun 1965 di bawah pimpinan PM yang sama , kerajaan Malaysia telah menyerahkan pulau Singapura yang kaya raya itu kepada kerajaan DAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew, yang hendak menjadikan Malaysia ini sebagai hak bersama dan sama bagi semua bangsa atau Malaysian Malaysia. Ini semua menimbulkan perasaan benci dan muak kaum cendekiawan Melayu kerana berasa pemimpin UMNO sangat mengalah dan menyerah banyak kepada tekanan bangsa lain, sehingga merugikan kepentingan perjuangan asal bangsa Melayu.
Daripada karya-karya puisi, cerpen, esei, wacana , dan antologi puisi protes (Keranda 152, Teluk Gong, dan Suara Tujuh) yang terbit pada penghujung dekad 60-an itu dapat kita baca apa yang sebenarnya terpendam dalam jiwa dan fikiran rakyat, yakni ketidak-percayaan kepada menteri-menteri dan Perdana Menterinya. Kredibilit kerajaan merosot, kepercayaan rakyat merundum serendah-rendahnya, dan orang Melayu berasa pemimpinnya telah mungkir janji dan berkhianat. Akhirnya kesombongan kaum lain menjadi-jadi, dan kemarahan orang Melayu meluap terus.
Jadi memang tidak peliklah apabila tiba Pilihan Raya Umum 1969, kerajaan kalah teruk, dan terjadi perkelahian berdarah dan berbunuh-bunuhan antara kaum Melayu dan bukan Melayu pada 13 Mei 69.
Soalnya sekarang: apakah telah berulang kembali situasi sejarah di mana masyarakat Melayu, terutama cendekiawan , penulis, pelajar dan pencinta bahasanya sudah tidak percaya lagi kepada pemimpin Melayu yang berkuasa? Apakah mereka
berasa amanah dan janji sudah dimungkiri? Apakah Menteri-menteri Melayu sudah menjadi begitu jauh (aloof) atau bersikap masa bodoh terhadap suara-suara budaya bangsanya, sehingga tak berasa sedikit pun getar yang bergelombang dalam rohani
rakyatnya.
Kalau pemimpin Melayu sekarang yang berusia sekitar 40-50 tahun tidak memahami apa yang membakar jiwa Melayu dan melukai hati orang Melayu pada tahun 1965-1969 , saya tidaklah hairan sangat kerana mereka masih berhingus pada waktu itu, dan tidak insaf akan kesusahan dan kehinaan ibu bapa dan saudara maranya yang rata-rata orang miskin. Kadang-kadang tidaklah juga adil menuduh mereka yang berjawatan besar dan tinggi sebagai, " Kacang Lupakan Kulit", " Lupa Daratan", atau "Si Kudung Dapat Cincin", kerana mereka telah menjadi mangsa sistem pendidikan yang tidak menanamkan kesedaran sejarah serta semangat patriotisme. Sistem pendidikan yang kita lalui lebih bertujuan untuk memberi maklumat, menyediakan pekerja mahir untuk pejabat serta kilang atau di ladang-ladang, dan bukan juga untuk melahirkan manusia berfikir, inovatif, berakhlak mulia dan bangga akan tradisi kebudayaannya .
Pada tahun 60-an itu sangat terasa pertentangan pendapat dan idea antara pemimpin politik kerajaan dengan kaum penulis sehingga PENA menerbitkan suatu MANIFESTO PENULIS apabila semakin terasa tekanan dan propaganda politik terhadap kebebasan bersuara . Establishment pada waktu itu tidak sensitif terhadap fikiran yang alternatif dan gagal membina jambatan antara aktivis politik Melayu dengan aktivis budaya Melayu--satu keadaan yang sama seperti yang sedang berlaku pada hari ini. Tidak ada engagement yang produktif. Hanya sinisme daripada kedua belah pihak. Hanya kesombongan politik ( political arrogance), aloofness dan intellectual snobbery di sana sini. Manusia sudah tidak autentik lagi; retoriknya lancung dan menjadi suara-suara khemah kepentingan kelompok. Satu zaman yang gelap untuk tanah air apabila manusia tidak tulen dan jujur bersuara; dan pemimpin menjadi kelas eksklusif bersama dengan ahli-ahli parti politiknya di tengah-tengah rakyat jelata yang banyak, yang apolitical.
Walau apapun kita cuba melihat cahaya yang cerah daripada pertembungan yang dilektikal ini. Mudah-mudahan ada kebaikannya; mengembalikan kita kepada asal usul dan kebenaran yang hakiki. Itulah rahmat Allah, yang selalu ada di mana-mana.
i
8 comments:
saya tidak pasti mahu guna apa, datuk kerana datuk memang berpangkat datuk atau kerana selayknya datuk sudah saya anggap seperti datuk.
Terima kasih untuk pengajaran sewaktu MPR O8 tempoh hari, juga atas puisi datuk untuk kami.
(^_^)
Sdr AbEsa
Menulislah sebanyak mungkin, setelah berfikir dan membaca sebanyak mungkin; gunakanlah bahasa yang sopan santun sebanyak mungkin untuk berkongsi dengan masyarakat.
tulisan yang berguna..jangan lupe ke www.norapalestina.blogspot.com ya!
salam ukhwah.
Salam Datuk
http://friendismirror.blogspot.com
http://rarwrites.blogspot.com
Mejar Ramli Abdul Rahim (B)
Assalamualaikum Dato,
Salam ziarah. Terima kasih kerana sudi menziarahi blog saya.
Berkaitan isu PPSMI, NGO yang saya sertai merancang untuk mengadakan satu program berkaitan perkara tersebut. Saya ingin meminta nasihat dan pandangan Dato jika Dato berkelapangan dan sudi.
Jika tidak keberatan boleh saya minta alamat emel Dato untuk memperpanjangkan perkara ini.
Terima kasih Dato.
Kata-kata Dato' mengingatkan saya kepada kata-kata Datuk Nazir Razak, CEO Kumpulan CIMB. Beliau menentang dasar DEB. Katanya DEB itu melemahkan orang Melayu. Menjadikan orang Melayu itu malas dan sentiasa dalam kepompong keselesaan yang menghakis daya saing. Tapi, tidakkah dia lupa, kedudukan dia sekarang adalah hasil penetapan dasar DEB yang diperjuangkan arwah bapanya dahulu. Sekali pun dia tidak merasai nikmat hasil DEB, sekuirang-kurangnya dia bertuah kerana dibesarkan dalam keluarga berada sehingga mampu belajar ke luar negeri. Bayangkan anak-anak Melayu yang saban pagi membersihkan badan dengan air perigi atau sungai yang sejuk membeku. Bersarapan secubit lempeng dan seteguk kopi setiap pagi sebelum ke sekolah. Mereka ini tidak semewah kehidupan Datuk Nazir. Mereka tidak ada wang untuk pergi ke luar ngera belajara dengan duit sendiri. Jadi, jika tidak ada dasar DEB itu, mana mungkin anak-anak Melayu mampu belajar jauh sekali pun universiti dalam negara. Sekarang, Melayu-Melayu yang tidak sedar diri itu mula menyalak lagi. Nak menghapus bahasa sendiri secara halus. Saya dibesarkan dengan Bahasa Melayu. Lahir saya bermula dengan Bahasa Melayu. Ibu bapa saya, datuk nenek saya semuanya berbahasa Melayu hatta moyang saya yang sempat saya berbual sewaktu saya kecil dahulu. Tidak akan saya biarkan bahasa ibunda saya ini tenggelam. Tidak akan saya biarkan jiwa Melayu saya ini malap sahaja.
Assalamualaikum Dato,
Tahniah diatas laporan Polis menentang PPSMI.Penentangan semakin ramai. Apabila pejuang Bahasa dah ke hadapan, rasanya anak muda tiada alasan untuk tidak menyahut gerakan penentangan PPSMI ini. Cumanya golongan professional yang dah berjawatan tinggi dan bergaji besar nampaknya ramai bersikap tidak peduli tentang perjuangan ini. Ini merisaukan saya.
TPJ14
HIMPUNAN GABUNGAN PENDIDIK & NGO - ESOK
Tarikh : 17 Februari 2009 (Selasa)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Berkumpul di pintu masuk Parlimen
Agenda : Penyerahan Memorandum kepada ahli Parlimen untuk membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Keterangan lanjut terdapat di blog Gerakan Mansuh PPSMI (GMP).
Semua dijemput hadir beramai-ramai.....
Post a Comment