Sunday, 22 March 2009

BERCAKAP TENTANG MELAYU DENGAN SUARA SINIS

Hari minggu ini berhimpun sekelompok orang Melayu yang berniat untuk membangunkan kehidupan ekonomi , politik dan sosial bangsa Melayu dengan merumuskan fikiran-fikiran yang bernas daripada sejumlah pemikir yang ahli dalm bidang masing-masing. Usaha yang bersungguh-sungguh dengan berlandaskan hati yang bersih serta jujur dan fikiran yang rasional sangatlah penting, bukan sahaja bagi menemukan keputusan yang berguna, tetapi untuk mendapat restu daripada Allah.

Daripada media yang memberi liputan peristiwa ini saya mendengar seorang pembicara meluahkan pembantaiannya terhadap bangsa Melayu, seolah-olah bangsa Melayu itu teruk dan tak boleh diperbetulkan lagi kesalahannya: suka berhutang, rasuah, jual kontrak, menyalahgunakan kekuasaan serta peluang dan macam-macam lagi. Katakanlah semua ini betul, tetapi buat apa hendak diulang-ulang pada waktu yang sangat terbatas yang sepatutnya digunakan untuk memberi statistik kemunduran Melayu vis-a-vis bukan Melayu , dan apa cadangan-cadangan yang konkrit buat jangka pendek dan jangka panjang bagi memberi jalan keluar terhadap permasalahan.

Barangkali laporan media itu tidak memberi liputan yang lengkap sehingga apa yang saya dengar pada keseluruhannya negatif dan meletakkan kesalahan kepada sikap dan watak rakyat Melayu dan bukan kesalahan pemimpin yang diamanahkan untuk membuat dasar, mewujudkan institusi , dan melaksanakan dengan cekap dasar-dasar yang diperkenalkan. Barangkali dasar itu tak betul, institusi dan mekanisme lemah, pelaksanaan dan pemantauan tak jujur, atau pemimpin sendiri yang rusak sikap dan kepimpinannya. Inilah kesalahan besar politik pada masa yang sudah sehingga rakyat hilang kepercayaan, tetapi pemimpin asyik menyalahkan rakyat.

Cukuplah tabiat membantai ( bashing ) Melayu ini. Pemimpin cuba duduk diam-diam di ceruk-ceruk mana, bertafakur dan muhasabah diri. Sekarang adalah zaman untuk melakukan pembetulan terhadap keslahan yang lalu, dengan memberikan fikiran-fikiran yang positif , dan bukan sinisme dan memburuk-burukkan bangsa sendiri. Masyarakat sudah semakin membebaskan diri dan fikirannya daripada khutbah-khutbah pemimpin seperti tanda-tanda terang yang disampaikan oleh PMU ke-12. Pemimpin politik jangan menfikan kenyataan baru sekarang dan meneruskan amalan:" Kena di perut dikempiskan, kena di mata dipicingkan".

2 comments:

D'Rimba said...

Dia sengaja ingin menjadi wira bangsa mengelak dengan isu semasa mendapat tepukan gemuruh dari ucapannya supaya lebih kukuh tapaknya senang jalankan pengaruhnya melayu haprakla apala segalanya rakyat yang kena sibuk komen sini sana yang peliknya media ni takde berita lain gamaknya

donmny said...

TUAN

...setuju tanpa sebarang kompromi