Tuesday, 24 March 2009

POLIS JUMPA GMP DI RUMAH PENA dan ISU BAHASA

Jam 3 petang Selasa tadi, 6 orang Pegawai Penyiasat Polis menemui ahli Jawatankuasa Induk GMP (Gerakan Membasmi PPSMI) bagi mendapatkan maklumat tentang tunjuk perasaan anti PPSMI pada 7 Mac yang lalu. Pertemuan diadakan di Rumah PENA bagi memudahkan pihak polis dan pihak GMP bertemu dalam keadaan yang lebih selesa dan mesra. Dato' Hassan Ahmad, Prof. Abdullah Hassan, Prof. Shahrir, Dato' Samad Said, Ainon Mohd, Hasni, dan Dinsman adalah antara sembilan aktivis GMP yang diwawancara dengan kehadiran dua orang peguam bagi pihak GMP. Dr Ibrahim Ghafar, Timbalan Pengerusi Tetap PENA telah berusaha mengatur tempat dan kemudahan bagi pertemuan tersebut.

Diharap pihak polis telah memperoleh maklumat penting yang diperlukan, dan dapat juga memahami matlamat utama yang menggerakkan GMP sehingga usaha mereka untuk menghantar memorandum tentang bahasa Melayu kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong berkembang menjadi perhimpunan yang sangat luar biasa.

Melihat betapa susah dan bermasalahnya pengalaman ahli-ahli jawatankuasa GMP ini, sehingga harus berhadapan dengan penyiasatan pihak polis, saya terfikir alangkah sukarnya untuk memajukan bahasa Melayu itu di buminya sendiri. Kenapakah sampai begitu keadaannya pada zaman yang dianggap global ini? Apakah globalisme telah menyesatkan pandangan dunia atau tasawur bangsa-bangsa yang sedang berkembang; dan apakah ini sebahagian daripada strategi Zionis Yahudi untuk melakukan disorientasi budaya dan sosial musuhnya? Memang jelas premis pemikiran mereka yang mengimpikan kemajuan ekonomi dan teknologi sangat percaya bahawa globalisme adalah lampu ajaib Aladin yang boleh memberi jawapan bagi mengatasi segala kemunduran . Jin daripada lampu Aladin itu akan menunjukkan jalan dan memberi pedoman bagaimana untuk mencapai kehendak nafsu manusia.

*****

Sebentar tadi (jam 9.30 malam) tersiar secara langsung di TV acara perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO oleh YAB Timbalan Presiden UMNO. Dato' Najib memberi ucapan yang jelas dan mudah difahami tentang kenapa UMNO mulai ditolak oleh rakyat, dan bagaimana untuk memenangi semula fikiran dan hati rakyat terutama generasi muda. Sebahagian besar pidatonya
mengarah ke dalam parti, dan hubungannya dengan perjuangan bangsa Melayu.

Tidak ketinggalan beliau menyentuh "Bahasa Jiwa Bangsa", tetapi tidak memberi apa-apa komitmen tentang PPSMI, malah menyebut bahawa bahasa Melayu akan diminati dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain apabila bangsa Melayu itu sendiri maju . Beliau mengambil contoh kematian bahasa Sankskrit, Latin, dan Aztec yang mengekori kemorosotan masyarakat penggunannya. Bahasa Sankskrit adalah bahasa kesusasteran Hindu kuno yang menjadi asas Hindi dan Urdu. Latin adalah bahasa yang digunakan oleh orang Rom pada zaman lampau yang juga menjadi bahasa kumpulan terpelajar di banyak negeri Eropa pada waktu dahulu. Bahasa Aztek adalah bahasa Empayar Aztek pada suatu waktu dahulu di Amerika.

Contoh sejarah ini tidak boleh dijadikan asas untuk membuat keputusan menolak bahasa Melayu dalam sains dan matematik; dan anggapan bahawa orang akan menghormati dan belajar bahasa Melayu apabila bangsa Melayu sudah maju nanti ( sebagaimana yang disebut-sebut oleh mantan PM Mahathir) tidak menjawab hujah-hujah pihak yang menentang PPSMI. Juga alasan ini tidak relevan.

1. Kita mesti memajukan bangsa bersama-sama dengan bahasa Melayu sekali kerana tujuan kemajuan bangsa bukan maju ekonomi dan teknologi saja. Apakah juga menggunakan bahasa Melayu menghalang kemajuan ekonomi, teknologi dan bangsa? Malahan dengan mengajar sains dan matematik di sekolah dalam bahasa yang difahaminya dalam keluarga akan memudahkan murid sekolah menjadi berilmu bagi membinanya sebagai modal insan yang kreatif.

2. Dengan mempertahankan penggunaan bahasa Melayu , tidak ada niat sedikit pun untuk meninggalkan bahasa Inggeris. Malahan mesti diperhebatkan penguasaannya; dan dimantapkan profisensi pelajar membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris .

3 Lojik fikiran bahawa apabila bangsa maju bangsa-bangsa lain akan belajar bahasa Melayu salah sama sekali. Kalau kita maju dengan menggunakan bahasa Inggeris ( pelajar, guru, pensyarah, penyelidik, dan rakyat Malaysia maju kerana menggunakan bahasa Inggeris ) kenapa mesti orang belajar bahasa Melayu yang tak berkembang itu ? Orang belajar saja bahasa Inggeris yg digunakan. Jepun , Korea, Jerman dan Perancis maju kita tidak pula berlumba-lumba untuk menguasai bahasa Jepun, Korea, Jerman dan Perncis. Selain itu kalau Korea atau Jepun menjadi tersangat unggul dalam ekonomi , teknolgi dan tamadunnya dalam bahasa Inggeris kenapa kita mesti pula belajar bahasa Korea atau Jepun yang tak berkembang maju seiring dengan kemajuan tamadunnya.

4. Apabila kita memperjuangkan perkembngan dan kemajuan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa ilmu moden bukan kerana kita hendakkan sangat orang asing atau bangsa lain mempelajari bahasa Melayu. Kita bercakap bagi kepentingan bangsa kita dahulu. Bagi kepentingan ilmu, perpaduan, jati diri dan kepatuhan terhadap Perlembagaan negara. Ini keutamaan . Tak ada sangkut paut dengan Jepun atau Russia atau oarng lain akan teruja dengan bahasa kebangsaan kita. Mereka hendak belajar BM, silakanlah. Kalau tidak mereka boleh terjemah karya dan hasil penyelidikan dalam bahasa Melayu ke bahasa mereka.

5 Kalau Latin, Sankskrit , dan Aztec pupus kerana bangsa penggunanya pupus, bahasa Melayu pun lojiknya akan pupus kalau bangsa Melayu pupus. Tetapi masalahnya sekarang ( mulai 2003) bahasa Melayu itu sedang pupus sebagai bahasa sains dan matematik sebelum lagi bangsa Melayu sendiri betul-betul pupus . Di Indonesia ada kira-kira 80 juta masyarakat Jawa ( Melayu kita di sini berapa juta? 7? 8?) , tetapi bahasa Jawa sudah pupus sebagai bahasa sains, matematik, dan bahasa ilmu moden kerana tidak digunakan untuk mengajar dan belajar kimia, biologi, fizik, matematik dan kejeruteraan di intitusi pendidikannya. Ini isu pokok perbahasan PPSMI.

Rumusannya ialah marilah kita memikirkan dan menyelesaikan isu PPSMI ini dengan fikiran
yang jelas, tidak kusut dan berjerebu kerana ini isu tamadun yang akan menimbulkan pelbagai implikasi dan reaksi yang berpanjangan.
Pihak yang menuduh penentang PPSMI, dan penyokong GMP yang berdemonstrasi sebagai berfikiran emosional ( Lihat NST, Mac 21), tidak membaca atau tidak faham pandangan-pandangan serta hujah yang begitu banyak diutarakan, sehingga terlanjur membuat kesimpulan yang angkuh.
Sepatutnya editor media yang menyiarkan pandangan Pengerusi PAGE (Parent Action Group for Education) yang bernama Datin Nor Azimah menyunting sedikit ayat-ayatnya supaya dia nampak lebih cerdik dan matang .

14 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Dato'
Baru-baru ini ada rencana di Berita Minggu Singapura yang menyeru agar orang Melayu belajar daripada orang Melayu Singapura. Katanya orang Melayu Singapura sudah maju kerana belajar sains dan matematik dengan menggunkan bahasa Inggeris. Dalam konteks ucapan TPM yang menyatakan bahawa orang akan belajar bahasa Melayu jika bangsa Melayu maju, sudah tentu orang Melayu Singapura akan berbangga kerana orang bangsa lain akan berebut-rebut belajar bahasa Melayu. Sedangkan orang Cina Singapura yang maju dengan menggunakan bahasa Inggeris apakah mampu untuk memajukan bahasa Mandarin?

D'Rimba said...

Teruskan perjuangan. Semakin ditekan semakin kentalkan perjuanganmu pejuang bahasa yang amat kukagumi sekalian mengharapkan perubahan hanya yang terbaik untuk kami anak bangsa.

anakmelayu said...

Assalamualaikum ayahanda Baha Zain, maaf anakanda mencelah di sini. Anakanda merupakan antara 'segelintir' pelajar Akademi Pengajian Melayu yang terpanggil untuk menyokong perjuangan GMP. Anakanda antara golongan muda yang sama-sama mengekori barisan kepimpinan GAPENA membuat laopran polis di Brickfields. Sedih apabila ada di antara rakan-rakan anakanda sendiri yang kurang peka isu perjuangan bahasa ini sedangkan mereka semua bernaung di bawah Akademi Pengajian Melayu. Ada diantaranya yang tidak tahu apa itu PPSMI. Ada juga sahabat-sahabat daripada fakulti sains yang merasakan bahawa seorang yang mempunyai otak sepintar Tun Dr. Mahathir tak mungkin melakukan kesilapan, lalu mereka menyokong PPSMI. Suara anakanda mungkin kecil, tapi anakanda berjanji yang anakanda akan terus mempertahankan warisan kita ini selagi anakanda mampu. Setidak-tidaknya anakanda telah berjaya mengadakan satu forum dengan Dato' Dr. Hassan Ahmad sendiri sebagai panel disamping Prof. Dato' Dr. Zainal Kling. Maaf tidak dapat menjemput ayahanda kerana kekangan waktu dan peruntukan. Akhirnya, semoga perjuangan kita umat Melayu yang masih lagi dalam 'kewarasan' ini akan bertambah kuat dari semasa ke semasa. Assalamualaikum.

sinaganaga said...

Najib lupa nak sebut tentang bahasa Manx. He he. Dia tak tau kotttt.

D'Rimba said...

Kami anak bangsa amat mengharapkan pejuang-pejuang bahasa membangkitkan semula bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri dalam erti kata yang SEBENAR. Kami sandarkan harapan ini kepada kalian kerana keikhlasan kalian dalam perjuangan amat menjanjikan keseimbangan kami di masa depan. Bantulah kami segera sebelum terus hanyut dengan sihir walang acuan barat. Kami amat dahagakan acuan tersendiri berteraskan Islam sejati.

bahazain said...

Assalamulaikum Sdr2 sekalian,
Saya ingin berkongsi pendapat seorang ilmuwan yang berkata kepada saya bahawa selagi orang Melayu memperdalam ilmu dan dakwahnya dalam Islam, bahasa Melayu tidak akan hapus kerana BM berkembang dalam konsep Islam dan kedatangan Islam memodenkan fikiran masyarakat Melayu. Barangkali teori ini benar kerana kekentalan keimanan dapat menjadi benteng terhadap serangan fahaman kebendaan dan kemajuan teknologi yang bebas akhlak yang dijuarai oleh bahasa Inggeris dan pejuang-pejuang PPSMI. InsyaAllah . Kentalkan keimanan kita dan kentalkan perlawanan intelektual kita . Anggap bahasa Inggeris itu sebagai alat ilmu saja; bukan matlamat hidup. Akhirnya akan berlaku konflik hebat antara orang-orang beriman dengan agen-agen kafir Barat. Jangan lemah semangat , teruskan debat. Bangsa Melayu mesti belajar degil . Kalau tidak kita akan dilemahkan oleh mereka yang berkuasa dan berkhianat kepada bahasanya.

lutfi said...

Salam dato.
Betul, jika kita lihat, memang bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam proses Islamisasi di kepulauan Melayu. Melalui proses Juz'i dan Kulli, Islam telah melakukan proses dua hala seperti yang dihuraikan oleh Fazlur Rahman. Yang pertama, melalui proses kulli, Islam menyesuaikan konsep dan kebuayaan yang sesuai dengan Islam dengan memperkenalkan kata kunci (basic vocabulary - seperti yang dihuraikan oleh al-Attas) dan melalui proses juz'i, mengekalkan kebudayaan, seni dan lain-lain yang sesuai dengan pandangan Islam.
Sebab itu, bahasa Melayu ialah bahasa Islam.
Sebab itu, kita harus melihat perjuangan ini sebagai satu perjuangan mempertahankan kesucian Islam dan bukannya satu perjuangan yang berteraskan faham kebangsaan semata-mata.
Apapun, dato, jemput ke blog saya, saya ada menulis tentang 7 sebab, pada pandangan saya, mengapa PPSMI patut ditolak.
Salam

D'Rimba said...

Salam cikgu, ada program perhimpunan penulis muda nasional di Melaka ya April ni. Saya ada dapat emel dari berkenaan. Saya yang masih belum memulakan menulis bolehke sertai? Saya rasa makin terbuka hati untuk menulis tapi masih kabur cara dan jalan.

bahazain said...

Salam Sdr D'Rimba
Apa yang penting minat sdr. Sdr sebenarnya telah mulai menulis meskipun dalam blog, Menulis tak pernah berhenti . Rangsangan drpd pergaulan sesama penulis sebenarnya sangat penting. Saya pun terus menimba pengalaman drpd teman-teman penulis tua dan muda.

D'Rimba said...

Salam Dato', di sini saya juga ada satu hasrat sebenarnya yang masih belum terlaksana. Saya sudah siapkan pengenalan dan objektif sayembara deklamasi puisi berformat baru lebih menyeluruh. Deklamator, penulis, karya dan bidang sastera itu sendiri akan diangkat dan dipromosikan bagi membangunkan lagi bidang sastera seluruhnya. Selama ini pertandingan deklamasi hanya mengangkat deklamator sahaja kali ini lebih adil dan saksama. Bagaimana saya hendak merealisasikannya? Siapa yang saya boleh berbincang lebih lanjut? Mudahan Dato' dapat membantu segera kerana saya pernah merasai kemanisan deklamasi itu sendiri...... Atas kesedaran itulah saya ingin menyumbang sesuatu dalam bidang ini walaupun tidaklah seberapa. Saya tidak boleh meneruskan kertas kerja tersebut kerana masih ada perkara yang tidak jelas dan perlukan bantuan dan sokongan daripada pihak berkaitan.

bahazain said...

Sdr D'Rimba
Saya cadangkan sdr berhubungan dengan Sdr Borhan di Rumah Gapena untuk berbincang dengannya kerana GAPENA setiap tahun menganjurkan majlis deklamasi kebangsaan. Boleh juga sdr berbincang dengan Cik Salmiah di Jabatan Sastera DBP. Saya percaya mereka dapat bertukar fikiran tentang cadangan sdr ini.

D'Rimba said...

Maafla Dato', di sini cuba lihat sendiri di dalam kotak bicara saya ada seorang cikgu berbicara. Cuba Dato' klik di namanya dan telitikan blognya juga sahabat-sahabat seperguruan yang lain. Saya ingin dapatkan kepastian bolehkah kita campuraduk bahasa dan menggunakan kata singkatan untuk disiarkan dalam blog?

D'Rimba said...

Ini blognya http://seniduniaku.blogspot.com/. Sekadar ingin dapatkan kepastian.

Fly said...

salam ziarah.
Maafkan saya Dato' saya adalah pemilik blog http://seniduniaku.blogspot.com. Saya agak terkejut kerana blog saya menjadi isu bagi blogger D'rimba. Saya agak terkilan dengan tiba-tiba beliau sngaja membangkitkan perasaan tidak puas hati terhadap penggunaan bahasa di dalam blog saya. Saya tidak menyangka beliau sanggup berbuat demikian. Blog adalah bersifat peribadi, saya faham dan sedar bahawa penulisan saya tidak mengikut etika bahasa yang sebenar, tetapi blog itu untuk hasil seni saya dan khas untuk anak saya. Tentang bahasa ni, beliau memang ada menegur saya, saya terima denga hati terbuka dan hormati beliau sebagai tetamu saya. Tetapi saya cukup sedih sampai ke tahap ini beliau memperdagangkan hak peribadi saya. Saya telah baca jawapan dato' di blog beliau, saya menyokong pendapat dato' itu. Saya mohon dulu kepada beliau kenali dulu seseorang itu, jangan terus menilai tanpa usul periksa.

Sekali lagi saya mohon maaf Dato'