Monday, 20 April 2009

DARI JAKARTA KE GOMBAK

SALAM dan kita berjumpa lagi. Alhamdulillah.

JAKARTA OH! JAKARTA. Aku tinggalkan engkau dengan kenangan-kenangan yang lunak, lugu dan ngilu. Panorama kota ini masih beraneka warna, diperkaya dengan putih, kelabu dan legam.
Meskipun jalan raya nampak bersih di tengah-tengah Jakarta, dan teksinya sudah moden seperti di KL ( ada juga teksi kereta Proton Wira ), tetapi kesibukan tetap sama seperti dahulu. Beca sudah berganti dengan bajai yg beroda tiga dan menggunaka enjin motosikal; menyelinap di kiri kanan teksi. Cepat sampai ke destinasi, tetapi mengerikan. Dari hotel di Jalan Tamrin ke pasar borong Tanah Abang cuma sepuluh ribu perak ( 10,000 Rupiah = Rm.3 ).

Suatu malam , sekitar jam 8 saya merayap keluar hotel ke Jalan Sabang yg penuh warung makan di kiri kanan jalan dan di kaki lima, berlapis-lapis , dan penuh dengan orang makan sate, bakso, ikan bakar, sup buntut, jagung rebus, dan entah apa-apa lagi. Saya memesan "murtabak Bandung spesial". Sambil menunggu giliran saya duduk memerhati. Datang kereta sorong yang berasap. Ini kereta jagung rebus yg beroda dua, ditolak dari tempat ke tempat. Bagaimana periuk jagung itu dipanaskan? Rupanya ada tangki gas kecil yg bulat spt labu, malahan bersaiz besar sedikit daripada buah labu. Nah ! tangki khas yang mobile untuk peniaga-peniaga kecil; boleh dijinjit sebelah tangan. Cukup inovatif bagi keperluan rakyat kecil berniaga di tepi-tepi jalan . Nampaknya tak ada masalah untuk mencari makan yang halal. Manusia yg berpusu-pusu memerlukan makanan yg ringkas, murah, cepat dan santai. Inilah seni hidup dan kreativiti apabila manusia terpaksa berdikari dan tegar menghadapi kesusahan. Tak ada rungutan, ketergantungan kepada pemimpin, dan yang perlu keberanian dan tidak malu-malu bekerja.

Tiba-tiba empat orang anak muda merapati saya dengan nyanyian dan muzik gitar, gendangan, dan entah apa alat yang sederhana. Sesudah bernyanyi mereka fikir saya telah terhibur, lalu menyudurkan cawan plastik kalau-kalau mahu menyumbang seratus dua rupiah. Saya senyum saja kerana saya tak ada tukaran kecil. Mereka pun senyum juga dan angkat kaki pergi . Dalam hati kecil mereka saya tak tahu, tetapi dalam hati kecil saya agak tak enak juga,

Dalam perjalanan pulang dari celah-celah tong sampah dan di sisi tiang letrik saya terdengar suara orang membaca surah Yasin. Saya memaling dan nampak seorang yang masih muda, berkupiah, tetapi kudung kakinya , tanpa mempedulikan saya yg berhenti, dia tekun membaca di bawah suluhan cahaya yang terang kelam di situ . Saya menyeluk saku dan memasukkan sehelai wang rupiah ke dalam bekas di sisinya. Dia tak ambil perhatian pun. Saya bergerak pergi, tetapi beberapa langkah kemudian saya berpatah dan meletakkan sehelai lagi wang rupiah untuknya. Aduh! di tengah ribuan orang yang makan-makan dan lalulintas kereta di situ ada juga yang mengharapkan belas kasihan dan dalam kedaifannya membacakan ayat suci dengan suaranya yang lunak; dan tidak sekadar menghulurkan tangan kosong.

*****
Esok malamnya saya bergegas ke Taman Ismail Marzuki. Sudah banyak berubah ,dan sudah berjejeran kedai-kedai makan di sebelah kiri hala ke gedung teater. Ramai anak-anak seni, pelajar akademi barangkali, yang nampak ceria dan bergegas ke sana sini atau duduk ngobrol sesama sendiri. Ada pementasan teater Hungari oleh teaterawan tempatan. Saya meluncur ke kedai buku yang menjual buku-buku lama yang tak tercetak lagi . Banyak juga buku-buku sastera dan budaya semasa. Di suatu sudut berlonggok buku-buku lama terbitan DBP; nampaknya daripada perpustakaan Rumah Malaysia. Entah bagaimana berakhir di situ. Saya bernasib baik. dan sangat-sangat beruntung kerana saya menemukan dua naskhah kumpulan esei, Esei Sastera Baharuddin Zainal ( 1980) susunan Hamzah Hamdani 29 tahun yang lalu. Sudah lama saya mencarinya kerana sudah tidak ada dlm simpanan , dan pada kawan-kawan yang ditanya juga jawapannya kosong. Kalau dijual seratus atau dua ratus ringgit pun akan saya bayar juga, tetapi harganya cuma Rp. 25, 000 sahaja senaskhah. Saya ambil semua. Alhamdullillah. Aneh betul. Apa yang dicari sangat buat beberapa lama di Kuala Lumpur, walaupun karya sendiri, akhirnya berjumpa di Jakarta. Terima kasih Jakarta. Sungguh, Tuhan Maha Berkuasa.

*****

Pagi sebelum berangkat pulang saya mencuri waktu ke Plaza Indonesia. Aduh, begitu mewah, dan moden. Jenama-jenama global : Emergildo Zegna, Giusppe Zanotti, Alberta Feretti, Anya Hindermarch, A. Testoni, Aigner, Brioni, Bruno Magli, Bvlgari, Chloe, de Grisogone, Diane Von Fustenberg, Edidi , Empario Amani dan lain lagi terpangpang pada ruang pameran yang luas, rapi dan dengan cahaya suluhan bersinaran. Siapakah yang membelinya? Harga sepasang sepatu Bruno Magli boleh menyara kehidupan sepasang pemandu bajai selama dua bulan agaknya. Tentu ada pasarannya. Kalau ada penduduk sekitar 10 juta di Jakarta, dan yang jutawan 1 persen saja, maka ada 100, 000 jutawan. Kalau 1 persen daripada mereka berbelanja setiap bulan, bererti 1, 000 jutawan akan membeli belah di tempat mewah ini. Plaza Indonesia adalah suatu wajah lain daripada Jalan Sabang atau Taman Ismail Marzuki. Di sini saya seperti biasa mengeluyur dan akan berhenti di kedai buku rangkaian antarabangsa, Periplus. Hampir semua judul yang terpamer berbahasa Inggeris. Termasuk saya hanya ada empat pelanggan. Kesemuanya berbangsa Tionghoa yang pasti mempunyai banyak wang, lebih banyak daripada peribumi. Apakah ekonomi perniagaan Indonesia masih dikuasai oleh suku kaum Cina seperti di Malaysia juga?

Dalam perjalanan pulang ke hotel menaiki teksi syarikat Blue Bird jenis Toyota, saya bertanya pemandu teksi siapa yang disukainya diantara calon-calon Presiden kerana sekarang Indonesia sedang demam dan panas berbicara tokoh-tokoh yang bergelut untuk naik ke kerusi no. 1. Dia menjawab pantas, " SBY, pak". Ini adalah nama Presiden Susilo sekarang. Jawapan ini adalah sama seperti pada yang lain-lainnya apabila saya tonjolkan pertanyaan tersebut kepada pemandu-pemandu teksi atau bajai. Nama Jusuf Kalla dan Megawati nampaknya tak naik ke lidah pemandu-pemandu bajai dan teksi ini.

*****
Jam 3.00 saya meninggalkan hotel dengan harapan akan sampai ke lapangan terbang paling lewat jam 4, walaupun pesawat udara akan berlepas jam 6.45. Cukup lapang waktunya. Apa yang terjadi kami terperangkap dalam jalan raya yang sesak , jem atau macet. Jam 5.15 baru nampak bumbung bangunan lapangan terbang. Dalam hati saya menyumpah besar. Saya memujuk supaya bersabar, dan akhirnya syukur sampai juga walaupun tergocoh-gocoh untuk lulus imigresen, pemeriksaan keselamatan, dan untuk menempah tempat duduk. Ini satu pelajaran lagi untuk memahami Jakarta yang sebenarnya.

Apa pun dan sesibuk atau seaneh mana pun, Jakarta bukanlah Indonesia. Ia hanya sebuah wajah daripada seribu wajah yang lain. Ribuan pulau, ribuan kilometer panjang pantai yang mengelilingi, air yang jernih dan yang pekat, puluhan suku kaum atau etnik yang menjadikannya syurga bagi penyelidik antropologis, dan sejarahnya yang panjang dan berliku, adalah sebahagian daripada Nusantara, iaitu sebahagian daripada wilayah Nusantara kita . Kita harus memahaminya dan menjalin persahabatan persaudaraan yang baik dengannya kerana masih sama-sama menjadi alat permainan globalisasi yang tak mengenal batas bangsa.

8 comments:

aranam said...

Selamat bertemu kembali, Dato'.

:)

D'Rimba said...

Syukur Dato' selamat kembali teramat sunyi melihat blog ini tanpa Dato' di sisi kepulangan sentiasa di nanti pandangan sentiasa diingini buat santapan rohani membentuk jatidiri..........

yana said...

Salam Dato'
Berada dibawah sememangnya satu kemestian yang perlu dilakukan oleh setiap insan yang bernama manusia. Disitulah jiwa kita akan tersentuh dan fikiran kita akan mula berjalan bagaimana untuk mengatasi permasalahan yang ada. Alangkah indahnya Malaysia,jikalau pemimpin yang diatas sentiasa berjalan bersama mereka yang dibawah ini, bukan hanya memandang yang sama darjat dengan mereka semata-mata. ..
>>Menanti Umar Aziz dari Malaysia<<

sheikh mustafa kamal al aziz said...

woodoh, Dato', tulisan kali ini begitu terkesan sekali bagi saya yang pernah berkunjung ke jakarta dan bandung. Di Bandung kita juga akan di ketemukan dengan insan-insan daif ini. Misalnya peminta sedekah di simpang jalan, pemuzik atau kanak-kanak jalanan.

Yang mengigit hati saya semasa lawatan tahun lepas ke Bandung (di Heritage di Jl. Martadinata aka Jalan Riau...) di mana kanak-kanak berusia 8 tahun meminta sedekah sambil menjunjung adiknya yang sedang tidur lena di bahunya. Kadang-kadang adiknya itu mengubah posisi tidur sambil tangan terhulur. Dengan mata yang nyalang dan kering... Woduh... sayu dibuatnya...

sila kongsi cerita: Ayat-ayat cinta bln Jan 23, 2009 dalam...

http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/

bahazain said...

SALAM
Sdr aranam
semoga sihat dan saling membaca paparan blog

Sdr D'Rimba
Syukur dengan doa sdr sekalian kita dapat bertukar pandangan lagi. Itulah tanda kita masih prihatin terhadap kehidupan dan masyarakat.

Sdr Rozana
Baik pemimpin mahupun rakyat , masing-masing ada tanggungjawabnya. Apakala pemimpin lalai dan leka di atas sehingga jadi lupa daratan, maka rakyat harus mencubitnya.

Sdr Sheikh Mustafa
Saya juga teringin ke Bandung kerana di kota Sunda Jawa Barat ini warna perasaan seni dan tradisinya saya percaya ada kelainannya drpd Jakarta dan Jogjakarta. Masalah ekonomi rakyat yg sangat besar jumlahnya agaknya di mana-mana tempat Indonesia tak banyak beza. Apa pun Indonesia selalu menarik pandangan dan menantang fikiran oleh keragaman rakyatnya. Mereka adalah sebahagian drpd umat Nusantara yg berkulit sawo matang.

sinaganaga said...

sedang mengumpulngumpul uang utk ke sana.

sudah ada yang menunggu, pak!

ha ha.

bahazain said...

SALAM Sinagnaga

Kalau sudah ada yg nunggu, tak perlu ongkos banyak di Jakarta. Cuma karcis Air Asia atau Fire Fly.
Selainnya tanggung beres pak,..

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Dato,
kalau nak menoropong Bandung sila layari artikal ini...


http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/2009/01/ayat-ayat-cinta.html

Ayat-ayat cinta


'2nd Honeymoon' di mana? ...Bali? tak, di Bandung!.

Dua minggu lepas aku bersama isteri ke sana. Mula merancang nak ke Bali tetapi membatalkannya di saat akhir kerana memikirkan isteri nak bershopping. Lalu aku memberi 'muka' padanya. Betul juga dia kata nak 'honnymoon' apa dah kahwin hampir 21 tahun? Aku kata 'every night is first night' buat abang...


Dari blogger: http://rizaliskandar.blogspot.com

Bandung, Cihampelas & Nia Ramadhani

Sekali lagi, untuk kali keduanya, aku menjejak di bumi Parahyangan ini. Bersama Muskamal dan isterinya, kami menyusuri kota Bandung dengan lebih bebas dan lebih adventure... kecuali aku saja yang bersendirian....